🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Masak-masak. Show all posts
Showing posts with label Masak-masak. Show all posts

WFH: Nasi Goreng Tanpa Perlu Kupas Bawang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Nasi Goreng, Telur Mata & Salad

Nak sarapan nasi goreng tapi malas nak tumbuk bawang, hiris cili bagai? Kalau tak nak lelama dekat dapur, guna Sambal Bilis je tak kisah jenama apa! Kebetulan ada 1 botol Sambal Bilis Nyet (stok terakhir). Apa lagi... mudah la keje saya 😁

Mula-mula, panaskan minyak masak sikit. Masukkan sambal bilis tu, kacau-kacau kejap bagi mesra, terus tuang nasi sejuk. Gaul biar warna dia sekata. Waktu ni kuatkan api tau.

Akhir sekali, tabur secubit garam sebagai pelengkap rasa. Goreng sampai nasi tu nampak cantik berkilat. Dah siap!

Masa hidang tu, ganding la dengan telur mata kerbau yang kuningnya cair meleleh. Kalau rajin, goreng ikan bilis dalam segenggam. Sambal bilis ni, ikan bilis tak banyak mana pun. Boleh la kalau nak tambah. Kebetulan ada stok salad dalam peti sejuk, saya hias sekali bagi nampak acah-acah hotel.

Nasi goreng 'campak-campak' macam ni la yang paling laku keras kat rumah. Kalau beria masak, tak sedap la pula. Hahaha. Agak-agak kalau saya nak tambah bahan lain bagi lagi letop, anda cadangkan letak apa?

- Sharhanah

Sebab Ada Diaaaa, Jadilah Sebuku Roti!

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Dalam sibuk-sibuk memasak untuk lunch dan sesekali buat keje admin, saya sempat buat sebuku roti. Sebab apa terlebih rajin ni? Sebab kat rumah ada serbuk yis baharu.

Sebelum tu, masa anak sulung nak buat doh pizza... doh tak naik langsung! Rupa yis tu dah lama dan masuk angin. Makan la kami doh yang keras tu.

Anak laki pergi kedai baru-baru ni. Saya suruh la dia beli yis. Semangat sikit nak buat roti kalau yis tu masih baru. Kembang elok la doh roti kali ni.

Doh tanpa malu-malu dia membesar

Kebetulan petang tu, hujan. Auto lapar. Dah la takde apa nak makan. Maka, roti ni la buat cicah dengan teh o. Nikmat....


Bila dah potong-potong.

Saya guna 2 cawan tepung gandum, 1 sudu teh yis, secubit garam, 2 sudu gula je dan letak sikit butter (takde shortening). Beginilah kejadiannya seperti gambar dia atas.

Tapi saya suka sungguh roti benggali macam arwah ayah beli. Cicah kopi dan kari ikan. Mabelesss... sebab dia liat-liat sikit bila tarik. Macam mana eh nak dapat tekstur macam tu??

Sharhanah

Drama Buat Biskut Mazola

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Semalam buat biskut Mazola. Biskut favourite saya neh. Rasanya ada beberapa entri dalam blog ni. Tapi nak post juga.

Resipi dia senang je. Dapatlah dalam 3 balang kecik.

Bakar pula kena 2 kali sebab sekali bakar boleh masuk 2 dulang je.

Masuk batch pertama, tunggu punya tunggu… pasal apa lama sangat tak masak ni? Patutnya dah ada aroma.

Rupa-rupanya oven tak panas. 😂

Patutlah!

Terus naikkan suhu. Sekali bila dah naikkan suhu, terlebih bakar pula. Hahaha.

Nasib baik tak sampai hangus. Cuma telur kuning yang saya sapu atas biskut tu yang hangus sikit. Biskut masih selamat.

Batch kedua, barulah saya dah belajar dari kesilapan. Kali ni tengok biskut elok sikit rupa dia. Warna pun cantik.

Tapi yang paling penting… Sedap!

Hahaha. Chewah, puji diri sendiri pula.



Warna cerah, gelap sikit...

Mangsa... 

yang ni kut helok sikit


Serius, kali ni memang sedap sangat. Gigit je terus cair dalam mulut. Kacang tanah tu pun terasa. Tak manis sangat. Memang jenis yang sekali makan, tangan boleh pergi ambil lagi tanpa sedar.

Kononnya buat biskut untuk simpan. Tapi kalau tiga bekas tu tak bertahan lama, jangan tanya kenapa. 😂

Biasalah, bila buat sendiri ni macam-macam drama dia.

Oven tak panas pun boleh tak perasan.

Dah sedar, naikkan suhu pula sampai hampir terlebih masak.

Tapi akhirnya jadi juga.

Yang penting biskut tak hangus dan boleh makan.

Dan untuk saya, biskut sedap tu dah cukup membahagiakan. Siap anak bawa bekal sampai ke Melaka😆

Sharhanah



Susah-Susah Dahulu: Rahsia Masak Cepat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sekarang ini, saya agak sibuk di dapur menyediakan pelbagai pes asas untuk memudahkan kerja memasak sepanjang bulan puasa. Memang bukan kerja lima minit tau — mengupas bawang, mengisar cili, menyangai rempah… memang ada sesi air mata dan pedih mata yang tak dapat dielakkan. Dapur pun penuh aroma bawang dan rempah! Tapi saya tahu, semua ini sangat berbaloi.

Pes halia dalam bentuk kiub

Pes lengkuas dah lama simpan

Antara pes yang saya sediakan ialah pes sambal, pes tomyam, pes kari, pes sambal hijau, pes masak lemak dan juga pes ikan bakar. Bila semuanya sudah siap dimasak dan cukup rasa, saya biarkan sejuk sebelum dibahagikan ke dalam bekas ketul ais — siap portion sekali masak lagi. Kemudian terus simpan dalam peti sejuk beku. Bila dah beku keras, saya keluarkan dan simpan pula dalam bekas kedap udara. Masuk balik ke dalam peti sejuk beku. Boleh tahan sehingga tiga bulan!

Seronok tengok deretan pes yang tersusun rapi — rasa macam ada “stok rahsia” di dapur sendiri. Bila nak memasak, tak perlu lagi kisar itu ini. Hanya keluarkan beberapa ketul, campak ke dalam kuali, dan masakan pun siap dengan lebih cepat.

Memang betul kata orang, susah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kini kerja memasak jadi lebih pantas, teratur dan menjimatkan masa.

-Sharhanah

Jemu makan nasi? Meh makan mee udang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Udang mana???
Nak ke kedai depan rumah beli udang, hujan pula. Sebab ada paste mee udang. Maka, masaklah apa yang ada. Ya, hanya ada isi ayam. Dah boleh tukar nama menu, Mee Ayam!

Alhamdulillah. Masih ada sayur celur, tauhu dan bawang goreng dan telur rebus. Tidaklah seteruk mana menu mama kali ni 🤭

Sharhanah

Resipi Daging Stew Yang Mudah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jemu pula kalau asyik nak buat kari je kan. Ada isi daging tapi bahan-bahan agak terhad. Saya buat je la stew.

Bahan utama yang perlu ada ialah;

  • Isi daging - potong kiub, diperap bersama garam dan sedikit lada sulah.
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Bawang Holland - Cincang kasar
  • 2 sudu besar sos tomato
  • Kentang - potong 4
  • Lobak merah
  • Tepung jagung

Cara membuatnya ;

1) Isi daging yang diperap disalut dengan tepung jagung. Goreng sehingga keperangan. Ketepikan.

2) Tumis bawang hingga layu. Masukkan sos tomato. Kacau dan masukkan air.

3) Masukkan tepung untuk memekatkan kuah. Kacau sehingga sebati.

4) Masukkan daging dan kentang. Tutup periuk. Renehkan dengan api yang kecil sehingga empuk.

5) Masukkan lobak merah.

6) Semua bahan sudah empuk, perasakan dengan sedikit garam.

Tadaaaaa...

Siapppp dihidang
Anak bongsu makan sampai licin pinggan. 

"Mama selalu masak sedap. Macam chef", sambil bawa pinggan ke dapur.

Hahaha... Mak hang ni ikut mood. Kalau mood dia happy, masak apa semua sedap. 

Sebab tu saya letak resipi 🤭. Senang nak rujuk semula. Al-maklumlah, saya bukan minat memasak pun.

Sharhanah

Sup Salmon Brokoli

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selamat Tahun Baru 1446 Hijrah. Isnin baru anak-anak balik asrama. Bila semua ada dekat rumah, maknya dah blur nak masak apa.

Dalam peti sejuk ada 2 keping ikan salmon, isi ayam dan perut lembu. Apa yang paling senang? Hahaha. Kepingan salmon melompat-lompat minta dimasak. Haaa... Tipu.

Anak ke-2 yang saya request nak ikan. Sebab dah lama dia tak makan ikan tersebut. Dia lah yang tumbuk bawang putih dan halia untuk dilumurkan pada ikan. Ok, itu kita bakar je la.

Alahai... Suami pula kalau makan nasi, nak berkuah. Jadinya, saya buat sup je. Untuk yang makan pedas, dah ada stok sambal kicap.

Selalu salmon, saya bakar je. Nak kuah punya pasal, jadilah menu ini.
Eh, tengok Rina (anak Duriankimchi) makan, acik pun berselera juga tau. Tapi acik tak cukup bahan nak buat menu macam mummy Rina masak tu. Acik pun main belasah je apa yang ada. Janji lapik perut.

Sharhanah

Minyak Masak - Berapa Kali Boleh Ulang Guna?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Berapa kali boleh ulang guna minyak masak? Ada yang ulang 10 kali, ada yang kata 3 kali je, ada yang kata... lepas guna sekali terus buang. Yang mana betul?

Setiap kali minyak masak dipanaskan dan digunakan dalam masakan, ia akan melaui proses pengoksidaan, polimerisasi dan hydrolisis. Ketiga-tiga proses ini akan menyebabkan bertambahnya jumlah asid bebas lemak di dalam minyak tersebut. 

Penentuan Pembuangan Minyak Masak

Minyak masak yang digunakan berulang-kali perlu dibuang dan digantikan jika;

  • Bau tengik
  • Likat atau pekat
  • Warna minyak bertukar perang pekat
  • Warna makanan terlalu perang atau tidak menarik
  • Rasa makanan tidak sedap
  • Asap dihasilkan terlalu banyak

Warna Minyak

  • Kuning emas atau gangsa - masih boleh diguna pakai
  • Perang pekat atau hitam - perlu ditukar dan ditapis

Minyak masak yang sudah mengalami perubahan sifat seperti di atas, sebenarnya dah ada banyak radikal bebas yang boleh merosakkan sel serta molekul di dalam tubuh kita. Sekaligus menyebabkan banyak masalah kesihatan seperti masalah jantung, kanser dan lain-lain lagi.

Sebab itulah kita disarankan agar tidak mengulang-ulang menggunakan minyak masak yang sama lebih daripada 3 kali. Korang ulang minyak masak berapa kali???

Untuk guna minyak masak lebih lama dan panjangkan jangka hayatnya, gunakanlah cara penggorengan yang lebih sesuai.

Yang pertama, elakkan menggunakan salutan yang mengandungi tepung atau pun rempah. Sebelum nak simpan balik minyak yang telah digunakan tu, biarkan minyak untuk sejuk dulu. Kemudian baru tapis dan simpan di tempat yang jauh daripada sinaran matahari. Elakkan mencampur minyak masak yang dah lama dengan yang baharu sebab nanti kualiti kesemua minyak menurun.

Jadinya gunakan kaedah-kaedah yang lebih sesuai untuk simpan minyak masak kita tu. Kalau dah tiba masa kena buang, buanglah juga ye. Tapi ingat, jangan buang dalam longkang ataupun sinki. Ia akan menyebabkan masalah tersumbat sistem pengaliran.

Jadi, untuk buang minyak masak yang dah kita tak nak tu, perlu sejukkan dulu ya. Kumpul dalam bekas tertutup dan yang ketiga, buang dalam tong sampah ataupun dekat pusat pengutipan minyak masak terpakai.

Hari tu dapat emel. Ada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Petronas berdekatan dengan rumah. Disebabkan suami nak pergi keje, nak beratur ramai pula orang, dia bagi saja pada salah sorang yang beratur tu. Lagipun 1 balang je.

So lepas ni, kumpul, jual dan dapatkan wang tunai. Cuma balang nak cari mana ntah. Sementara ni, pakai balang biskut raya je la. Ekekeke

Sharhanah

Menu Iftar Sepanjang Ramadan 1445H: Berjaya Kurangkan Pembaziran!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Orang yang paling banyak pahala puasa para isteri dan ibu. Apa lagi jika hidangan dimasak dengan ikhlas, berwajah manis, memasak sambil berzikir atau sambil mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Lagi la bertambah banyak pahala. Tapi, jangan pula mengeluh. Rugi!

Alhamdulillah, tahun ni nampak betul perbezaan. Saya masak sikit-sikit je. Tong sampah pun tak penuh-penuh. Periuk nasi besar tukar ke periuk nasi kecil. Masak 2 pot nasi je. Kalau bulan biasa, 4 pot sekali masak.

2 orang anak saya tinggal di asrama. Tapi, setiap hujung minggu diorang balik. Saya masak 3 pot nasi kalau mereka ada.

Bazaar Ramadan pun langsung saya tak pergi. Majoriti saya masak sendiri. Ada beberapa menu yang jiran bagi.

Ramadan 1445H

Hari / Menu

1: Nasi Ayam + Buah Melaka

2: Nasi Goreng Ayam + Sandwich Gulung Sosej

3: Nasi Putih + Kari + Ikan Sardin Goreng + Kuih Cara

4: Nasi Putih + Tomyam (beli di kedai makan) + Telur Dadar

5: Nasi Putih + Masak Lemak Udang Kara (udang, jiran kasi) + Megi Goreng

6: Nasi Putih + Sambal Sardin + Dadih (buat dapat 3 bekas besar. Pencuci mulut selama seminggu) + Kek Pisang (beli sebab teringin)

7: Nasi Putih + Ayam Masak Kicap

8. Nasi Putih + Ikan Dory Stim

9. Nasi Putih +  Sup Ayam

10. Nasi Putih + Gulai Udang + Buncis Goreng Lobak Merah

11. Nasi Putih + Sambal Sotong + Ikan Bilis Goreng + Buncis Goreng Lobak Merah

12. Iftar bersama keluarga bos (makan luar)

13. Nasi Putih + Sambal Ikan Merah

14. Nasi Putih + Ayam Masak Lemak Cili Padi + Tempe Goreng

15. Nasi Putih + Ayam Goreng Bertelur + Sup Kosong

16. Nasi Briyani Ayam & Kambing (beli di gerai) + Bubur Lambuk (jiran bagi) + Roti John (jiran bagi)

17. Iftar di surau taman perumahan

18. Nasi Putih + Tofu Enoki Fishball + Ayam Goreng Tepung

19. Rendang Ayam Hijau + Tempe

20. Nasi Putih + Kari Sawi + Salmon Bakar + Sambal Belacan + Keria

21. Nasi Putih + Sambal Sotong Rendam + Keria + Telur Dadar

22. Nasi Bryiani Kambing (beli di gerai)

23. Bubur Lambuk (sumbangan Kelab Media Prima)

24. Nasi Putih + Sup Ikan + Salmon Bakar

25. Tomyam Seafood (beli di kedai makan) + Telur Dadar

26. Nasi Lemak + Sayur Kangkung

27. Bihun Sup Utara

28. Nasi Putih + Sardin Sambal + Daging Goreng Jintan

29. Nasi Putih +  Rendang Daging + Rendang Ayam

Gambar menu tidak disertakan disebabkan masalah pencahayaan. 

Untuk sahur, selalunya makan je menu yang masih berbaki waktu iftar. Kalau habis, baru saya masak. Terpaksalah bangun lebih awal.

Sharhanah 

Kenal Pasti Perbezaan Daging Lembu Dan Daging Kerbau

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jom kenal perbezaan antara daging lembu dan kerbau. Rasanya dulu-dulu, kerap saya tersalah beli. Kalau nak buat rendang, rasanya tak kisahlah yang mana pun kan..hihihi

Kiri: Daging lembu 

Daging Lembu

Warna: Merah cerah

Tekstur: Agak lembut

Serat-serat Daging: Halus dan nipis

Lemak: Warna putih susu & cerah

Tempoh Masak: Normal

Harga Kebiasaannya: Lebih mahal

Daging Kerbau

Warna: Merah pekat

Tekstur: Agak liat

Serat-serat Daging: Kasar dan tebal

Lemak: Warna putih kekuningan dan agak keruh

Tempoh Masak: Lebih lama

Harga Kebiasaannya:Lebih murah

* Daging lembu dan daging kerbau merupakan antara barangan harga terkawal dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri yang berkuat kuasa dari 5-19 April 2024.

Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup

Sharhanah

Biskut Raya Premium Rasa Lebih Sedap Dan Lebih Mahal!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Korang dah beli biskut raya? Ke buat sendiri? Awalnya saya tak nak buat, sebab macam nak beli je. Bila tengok harga, pengsan.

Saya akur, harga mahal tu disebabkan  bahan-bahan yang digunakan premium dan bermutu tinggi. Itu belum kira masa yang dihabiskan untuk mencipta biskut raya tersebut kan.

Saya nak marah pada peniaga yang menjual biskut raya mahal tapi menggunakan bahan-bahan tak premium. Contoh orang letak RM40, dia pun nak letak RM40. Orang tu takpe la, contohnya kos 1 biji biskut jatuh RM1. Dia pula, kos RM0.60. Patutnya, harga jualan biskut dia pun mestilah murah daripada orang yang menghasilkan biskut premium tu kan. So, hati-hatilah membeli.

Biskut by Arissa. Disebabkan dia excited nak buat biskut ni, saya terpaksa beli oven baharu.

Biskut Arissa, pakai mentega Butterfly. Coklat chips ntah brand apa dia beli. Rasa coklat tu kureng sikit la. Panas lit-lit dia ke kedai untuk beli bahan-bahannya. Walhal, waktu tu mana ada oven. NAK BUAT BISKUT, OVEN TAK ADA... HAHAHAHA. Nak tak nak, beli juga oven pada hari kejadian. 

Oven mur-mur. Beli di kedai depan rumah. Oven hadiah kawin dah uzur bebenor (dah buang). Dah setahun lebih rumah saya takde oven😌. Sebab musabab saya tak minat buat biskut atau kek. Tak minat ke tak reti??? ekekeke

Kisah biskut saya, kacang tanah telebih goreng. Terlebih minyak jagung juga.  Minyak pun orang bagi free. Rasanya tahun lepas. Jenama pun tak terkenal. Gula pun pakai gula kastor bukan gula icing. Aishhh... agak-agak? Hahaha.

Huduh bebenor biskut mazola saya ni. Tak sedap pulak tu. Tapi makan juga, sebab tak nak bazir.

Hasilnya tak sedap. Kalau pakai minyak Mazola, mesti rasa dah ok. Ini tak, rasa macam mana ntah... lepas telan rasa macam kelat-kelat, ntah nak gambarkan macam mana.

Tidak hairanlah, menggunakan bahan-bahan yang premium dan berkualiti tinggi menghasilkan biskut yang sedap dan kalau membeli, biarlah ngam rasa dengan harga.

Saya tetap malas nak cipta biskut,

Sharhanah

Cara Defrost Ayam & Daging Yang Betul

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sapa yang selalu buat, letak daging/ayam beku di sinki pada waktu pagi sebelum pergi kerja? Pastu biar seharian (melebihi 4 jam) untuk daging beku mencair. Petang selepas balik kerja baru masak.

Nak tahu, kaedah ini perlu dielakkan kerana ada risiko keracunan. Daging dan ayam mentah, jika dibiar lama diluar adalah syurga buat kuman dan bakteria.

Untuk keselamatan, letakkan daging beku di ruangan peti sejuk (bukan beku) seharian atau gunakan fungsi defrost ketuhar gelombang mikro untuk mencairkan ais sebelum ia boleh dimasak.

Semoga bermanfaat.

Sumber: Public Health Malaysia 

Lambat pula nak gaji,

Sharhanah

Cegah nasi goreng beracun!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan tak percaya, nasi goreng juga boleh menyebabkan kita keracunan makanan. Ia bukan daripada hidangan nasi goreng berkenaan, tetapi disebabkan oleh cara mengendalikan nasi tu sebelum digoreng. Itu pointnya.

Sebenarnya, semua beras yang belum dimasak ada spora kuman bacillus cereus. Walaupun beras telah menjadi nasi, spora boleh survive jika nasi tersebut terdedah pada suhu bilik melebihi 4 jam. Ini kerana masa itu sudah cukup menyediakan satu persekitaran yang selesa untuk spora ini aktif. Contohnya kelembapan, suhu, pengudaraan dan nutrisi.

Mungkin kita sangka, memanaskan atau menggoreng nasi yang telah terdedah ini boleh mematikan kuman ini, jawapannya TIDAK. Dalam tempoh 1-5 jam kita makan nasi goreng yang penuh dengan kuman Bacillus Cereus ini, gejala muntah dan cirit akan muncul.

Jadi, apa tips simpan nasi supaya nasi selamat untuk dimakan?

Nasi yang telah dimasak atau kalau tak abis dimakan, boleh terus simpan dalam bekas yang bertutup di dalam peti sejuk (tidak lebih daripada tempoh 24 jam ye). Lepas tu boleh panaskan secara sekata dan menyeluruh. Ingat, nasi goreng yang tak habis jangan dipanas berkali-kali tau!

Bismillah.

Hati-hati membeli nasi goreng yang dijual,

Sharhanah

Resipi Bihun Goreng

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Bihun goreng penuh hiasan... tapi lupa nak potong cili merah tu haaa. Baru berseri

Dulu, saya tak pandai nak buat bihun goreng. Asal buat je... keras...kadang lembik sangat...rasa ke laut...hehehe. Anak-anak pun tak suka cik bihun ni mungkin fobia lepas makan mak diorang masak. Memang tak laku bihun saya. Sedih. Dah la masak sampai 1 bungkus, tak habis pula tu. Bihun sup je laku dekat rumah ni.

Saya hanya buat bihun Singapore. Itu je yang saya agak pandai. Sekarang saya dah pandai. Tu yang berani kongsi resipi. Tapi, saya sampai sekarang tak pandai nak masak dalam portion yang banyak. Hanya untuk keluarga saya yang 6 pax.

Saya minta resipi dekat adik di kampung. Adik kalau memasak, memang terer. Lagipun anak-anaknya jenis kuat makan. Seronok la masak. Asal masak je licin. Memang bersemangat hari-hari nak masak.

Resipi Bihun Goreng

Bahan-bahan:

2 keping bihun kering (rendam lama pun ok, kemudian toskan)

Sejemput udang kering - ditumbuk

1 biji bawang merah - ditumbuk halus

1 biji bawang putih - ditumbuk halus

5 sudu sos cili

3 sudu kicap

Garam secukup rasa

Sedikit minyak masak untuk menumis

Cara Membuat:

  1. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak.
  2. Tumis bahan yang telah ditumbuk sehingga garing.
  3. Dengan api sederhana, masukkan sos cili, kicap dan sedikit garam. Kacau sebati.
  4. Masukkan bihun dan kacau sehingga sebati. Kuatkan api dan goreng sehingga nampak kering. Tutup api dan hidangkan.

Hiasan:

Telur dadar - gulung dan hiris

Sedikit daun bawang - ditabur

Sedikit daun ketumbar - dihiris

Sedikit bawang goreng - ditabur

1 cili hidup - dihiris

Itu je. Mudah kan??? Kenapa la baru sekarang saya baru pandai masak.😂

#TIPS: Selepas angkat bihun, masukkan air dalam kuali dan biarkan.  Nanti senanglah nak cuci.

Sharhanah

Resipi: Nasi Ayam Sedap Dengan Bahan Mudah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Semalam buat nasi ayam kali ke-2 guna resipi mudah. Sebab apa saya kata mudah? Sebab tak banyak bahan🤭. Saya guna je apa yang ada di rumah (daging ayam, bawang putih, halia, minyak bijan, daun bawang, sos tiram, kicap, sos cili, daun pandan, timun dan cili).

Saya sejenis malas nak keluar membeli walaupun ada kedai depan rumah. Apa yang ada... Yang itulah saya guna. Sesuai sangat untuk orang yang WFH. Ya la, 2 kerja dalam 1 masa. Kejar masa untuk memasak sebelum anak balik sekolah.

Sebab suami dan anak-anak bagi rating beratus bintang, hahaha... saya konfiden nak share resipi dalam blog. Teruskan membaca.

Bahan dan cara (Sup):

  • Tulang/leher/kaki ayam
  • Daging ayam potong 8 (lumur dengan sedikit garam setengah jam)
  • Daun bawang (bahagian bawah)

Rebus semua bahan di atas dengan api yang perlahan. (Saya tak letak kiub ayam sebab takde... So far ok je, rasa original)

Bahan dan cara (Nasi):

  • 4 pot Nasi - basuh dan toskan.
  • Sedikit lemak ayam
  • 4 ulas bawang putih - ditumbuk halus
  • 1 inci halia - ditumbuk halus
  • 1 sudu mentega dan 2 sudu minyak bijan untuk menumis.

Panaskan mentega dan minyak bijan. Goreng lemak ayam sampai keperangan. Kemudian, masukkan bawang putih, halia dan daun pandan. Dah naik bau, saya curahkan ke dalam beras. Masukkan juga beberapa senduk air rebusan ayam (angaran 4 pot seperti sukatan beras) dan sedikit garam. Kacau sebati. Masukkan ayam (yang dipotong 8 dan direbus tadi) dan susun ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

Bahan dan cara (Sambal cili):

  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 cili hidup
  • 1 cili padi
  • 2 sudu sos cili

Tumbuk bawang putih, halia, cili hidup dan cili padi sehingga lumat. Masukkan sos cili. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk kecil. Campurkan 1 senduk sup ayam dan kacau sehingga sebati, hidangkan.

Bahan dan cara (Kicap):

  • 2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
  • 1 sudu minyak bijan
  • Kicap
  • Sos tiram
  • Sedikit garam dan gula

Panaskan minyak bijan dan goreng bawang putih sehingga keperangan. Masukkan kicap, sos tiram dan 1 senduk air rebusan ayam. Kacau sebati dan hidangkan.

Bahan untuk hiasan:

  • 2 biji timun - dipotong serong
  • Daun bawang
  • Bawang goreng

Tadaaaaa... hasilnya seperti di bawah.


Hidangan sepinggan Nasi Ayam

Cubalah, pasti semua terpikat!

Sharhanah

Makan Malam: Burger Simple

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Stok makanan banyak yang dah habis. Peti sejuk pun dah kosong. Nak restocknya lagi sehari dua. Makanlah apa yang ada dulu. 2 minggu lepas shopping barang dapur. Tak pernah-pernah cecah sampai RM600+ walaupun tak penuh 1 troli. Terkejut juga. Memang mahal harga benda sekarang.

Pagi buat nasi goreng sampai ke tengahari. Petang buat buah melaka. Si sulung tolong parutkan kelapa, anak no.2 bantu blend daun pandan untuk dapatkan warna dan aroma dan si bongsu pulak buat rancak! Dia nak tolong macam-macam, sudahnya dia keluar main.

Makan malam, buat burger simple. Kebetulan adik ipar saya hantar banyak roti. Apalagi, saya suruh anak-anak bakar roti, goreng patty & telur. Anak laki ke kedai belikan keju.

Siap je, saya susun. Roti bawah, patty, keju, telur, sos cili, mayonis dan roti bahagian atas. Buat sorang satu, makan ramai-ramai. Alhamdulillah.. Sedap dan kenyang..


Murahkan rezeki buat si pemberi dan murahkan juga rezeki untuk kami. Aamiin.

Sharhanah

Resipi: Kari Ayam Mudah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya ni tak pandai buat kek asas. Apatah lagi kek yang susah-susah. Pengemar kek pisang, kek marble dan kek pastry buah. Kalau buat pun mesti salah teknik. Rasa sedap, cuma tekstur payah nak dapat yang perfect. Kalau saya cuba banyak kali, membazir pula. Baik beli. Support ekonomi je lah.

Kalau memasak kari atau sambal tumis, itu kepakaran saya. Chewah! Suami dan anak-anak akan makan bertambah. Kiranya okaylah kan. Anak sulung saya minta resipi. Saya jawab, nanti refer blog mama je. Boleh rujuk hingga ke anak cucu. Apa yang baik, mama kongsi. Kalau rindu, sedekahkan Al-Fatihah dan buka blog ni.

Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan untuk hidangan 4 pax,

Bahan-bahan:

8 ketul daging ayam dilumurkan sedikit garam dan kunyit - perap sejam

1 paket serbuk kari ayam/daging Faiza @ Cap O - Campur dengan setengah cawan air untuk dijadikan pes

2 ulas bawang merah - ditumbuk halus

2 ulas bawang putih - ditumbuk halus

1 inci halia - ditumbuk halus

2 biji ubi kentang - belah 4

1 batang lobak merah - hiris besar

1 biji bunga lawang

1 batang kayu manis

2 biji cengkih

2 biji cili merah - tidak dipotong atau dibelah

Garam secukup rasa atau nak letak kiub ayam pun ok

1 cawan santan - ikut citarasa, nak pekat masukkan lebih

Kaedah:

  1. Bismillah... Panaskan 1 senduk minyak masak di dalam kuali tanah liat. 
  2. Tumis bunga lawang, bunga cengkih dan kayu manis.
  3. Masukkan bahan yang telah ditumbuk halus dan pes. Kacau sebati.
  4. Masukkan daging ayam dan cili merah. Kacau sebati dan tutup penutup kuali. Buka api yang perlahan.
  5. Nampak kering dan pes pecah minyak, tambahkan air. Tutup semula penutup kuali.
  6. Masukkan ubi kentang. Tutup semula penutup kuali.
  7. Bila nampak ubi kentang dah lembut, masukkan santan dan 1 cawan air. Kacau sebati.
  8. Tunggu mendidih, masukkan garam secukup rasa. Tutup api.
  9. Sedia untuk dihidang.

Selalunya lauk kari ayam ni lawannya kobis goreng dan sambal belacan. Cukup dah tu. Nanti mama share resipi kari ikan, sambal tumis dan ayam masak kicap pulak. 

Heeee... resipi tu ikut style saya tau. Lain orang lain tekniknya. Kang ada yang pertikaikan, awatla cili merah masuk awal sangat😅

Sharhanah

IKAN CENCARU SAMBAL CILI

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Ikan cencaru masih ada di dalam freezer. Apalah sangat yang boleh dimasak dengan ikan ni kan... Apa-apapun, saya suka masak berasaskan cili ikan jenis ni.


IKAN CENCARU SAMBAL CILI

Saiz Hidangan: 4

BAHAN (A) : BAHAN UTAMA

4 ekor ikan cencaru
2 sudu makan marjerin

BAHAN (B) : DIKISAR HALUS

4 batang serai
8 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras
1 sudu kecil gula
½ inci halia
1 sudu kecil udang kering
1 sudu kecil garam
4 biji limau kasturi (air perahan)
1 cawan air

CARA PENYEDIAAN :

Sumbat bahan (dikisar halus) ke dalam ikan yang telah dibersihkan
Tambahkan majerin pada bahan
Balut ikan dengan daun pisang
Bakar ikan hingga masak
Sedia untuk dihidang bersama nasi putih dan sayur-sayuran kegemaran
Sedia untuk dihidang

KANDUNGAN NUTRIEN :

1 HIDANGAN : 1 EKOR IKAN
625 mg sodium / hidangan
Kalori (kcal) : 120
Karbohidrat (g) : 6
Protein (g) : 19
Lemak (g) : 2

Sumber: KKM

Sharhanah

Sambal Hitam - Mudah Tapi Renyah Kemain!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Bahan-bahan dan sambal hitam yang dah siap

Sebenarnya, saya tak pernah buat sambal hitam walaupun pokok belimbing buluh berlambak-lambak berbuah. Selalunya, saya akan beri pada jiran.

Ntah mengapa hari ini, saya terlebih rajin. Mungkin banyak masa di dapur dan kerja opis pula tak banyak. Kebetulan pula suruh si bongsu ambil 4 biji buah belimbing untuk dimasukkan ke dalam masak lemak cili padi kerang. Dia ambil, satu plastik weh!

Nak tak nak, buat juga la sambal hitam. Kebetulan pula ikan bilis ada. Apa lagi, saya mulakan dengan mencuci buah belimbing satu per satu.

Bahan-bahan nak buat tu sangat senang nak cari. Just anggarkan je nak masuk banyak mana.

Cili padi

Cili hijau

Ikan bilis

Bawang besar hanya potong kecil sebab nak kisarkan

Saya kisar semua. Cuma buah belimbing buluh tu saya kisar sikit-sikit (tak perlu letak air banyak, saya kisar dan tuang ke dalam bekas. Tinggalkan sedikit dalam blender, masukkan buah belimbing ulang-ulang). Sebab banyak sangat. Lepas tu tapis.

Cara memasak,

Tumis ikan bilis + cili padi + cili hijau + bawang sampai naik minyak. Lepas tu masukkan belimbing buluh yang dah dikisar. Nak tunggu air kering memang makan masa dan perlu bersabar. Bila dah hampir pekat, perlu kacau untuk elak berkerak atau hangus. 

Masukkan gula dan garam. Perasakan dengan apa yang anda suka. Saya baca dalam website, ada yang suruh masukkan kicap, sos tiram la... hentam saja la.

Hampir nak masuk Asar baru lah siap. Hampir 8 jam duk di dapur melayan dia saja. Itu pun saya suruh anak sulung kacau kejap sementara saya nak solat Zohor.

Bila siap, dapatlah dalam 4 bekas. Masa mula masak, hampir penuh 1 periuk besar. Patutlah harga sambal ni boleh tahan jugak la kan. Saya setuju harga berapa pun, penat ooo nak membuatnya. Melainkan kalau ada bantuan mesin macam kat kilang tu kan.

Selepas kemas dapur, cuci periuk segala... saya bersuara kat anak... cukuplah sekali mama masak. Kalau teringin, kita beli je la...

Sharhanah

AGLIO OLIO IKAN BILIS

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Saje la nak share resipi sihat daripada KKM ni kan. Buatnya belum🤭. Nanti saya share gambar. Agak sibuk minggu ni haaa.


AGLIO OLIO IKAN BILIS 
Saiz Hidangan: 4

BAHAN-BAHAN :

250 g spaghetti (direbus sehingga masak)
1 biji bawang holand (dipotong dadu)
5 ulas bawang putih (dicincang halus)
2 sudu besar ikan bilis (direndam, bilas dan tos - ditumbuk kasar)
2 sudu besar chili flakes
1 sudu kecil serbuk lada putih
4 tangkai daun parsley segar
1 cawan bayam (dipotong kecil)
3 sudu besar minyak zaiton
½ sudu kecil garam

CARA PENYEDIAAN :

Rebus terlebih dahulu spaghetti di dalam air mendidih
Panaskan minyak zaitun dengan api sederhana
Tumiskan bawang holand dan bawang putih hingga kekuningan
Masukkan ikan bilis, chili flakes, lada putih dan garam seterusnya masak hingga kekuningan
Masukkan spaghetti dan gaul sebati.
Tambahkan sedikit air
Masukkan daun parsley dan bayam.
Kacau sehingga rata
Sedia untuk dihidang

KANDUNGAN NUTRIEN :
1 HIDANGAN : 1 PINGGAN
400 mg sodium / hidangan
Kalori (kcal) : 255
Karbohidrat (g) : 47
Protein (g) : 14
Lemak (g) : 9

Jom cuba!

Sharhanah