Keadaan Bilik/Rumah Selepas Daftar Keluar/Check-Out Cerminan Peribadi Diri

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya banyak berurusan dengan tetamu yang menginap. Menjadi orang tengah bukanlah mudah yang disangka. Ada tetamu sengaja melengah-lengahkan waktu check-out sehingga menyusahkan tuan rumah/staf untuk membuat persiapan tetamu berikutnya. Hanya kurang 2 jam untuk mereka membersihkan rumah/bilik tersebut. Itu kalau satu rumah atau 1 unit bilik. Kalau ada banyak unit bilik???

Membayar penuh bayaran sewa untuk menginap di hotel/homestay BUKAN bermakna kita boleh tinggalkan rumah/bilik dalam keadaan yang teruk dan tidak tepati masa waktu check-out. Orang yang sudah biasa tinggal dalam rumah yang bersih tidak akan meninggalkan rumah dalam keadaan yang kotor. Orang yang tahu peraturan dan beradab tidak akan merokok dalam rumah apatah lagi membuat semak.

Ini sebenarnya adalah cerminan sikap peribadi. Kita mudahkan urusan orang lain, Allah permudahkan urusan kita.

Psttt... Perkara ini sangat penting kerana sikap buruk akan terbawa sehingga ke tempat lain termasuk luar negara. Jangan sampai host tidak mahu menerima tetamu dari Malaysia kerana sikap pengotor.

Sharhanah

Sepanjang Bulan Syawal Bersama Mak

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

  1. Alhamdulillah, mak masih ada lagi di rumah saya. Kami berpuasa enam. Paling indah dapat bersahur dan berbuka puasa bersama. Dah agak lama saya tak merasainya sebab jarang sangat saya balik kampung apatah lagi di bulan Ramadan.
  2. Kalau dulu, mak lah yang selalu menyediakan juadah bersahur dan berbuka puasa untuk anak-anaknya. Kali ni, biarlah saya pula yang menyediakan semuanya. Lagipun lutut mak dah tak kuat dan kaki mak pula Bunion, yang menyukarkn mak berjalan.
  3. Sepanjang mak berada di sini, saya ditugaskan oleh kakak di kampung untuk memantau keadaan tekanan darah dan paras glukos dalam darah mak. Keraplah kami ke Klinik Kesihatan. Kakak dalam proses untuk dapatkan alat bantu pendengaran untuk mak.
  4. Lepas ni mudah dan selesa lah mak nak mendengar. Dapat juga cegah demensia, dapat tingkatkan komunikasi dan keyakinan mak, dapat elakkan perasaan yang boleh menyebabkan kemurungan dan tingkatkan keseimbangan. Moga dimudahkan urusan semuanya.
  5. Alhamdulillah, mak takde penyakit kencing manis. Hanya tekanan darah mak je agak sedikit tinggi. Saya juga perlu memantau makanan mak. Risaulah kan, salah makan... jenuh. Cuma mak tak boleh banyak fikir dan stress. Itu je.
  6. Bila suami saya cuti, kami bawa mak jalan-jalan hingga ke Kuantan. Mak tak pernah sampai ke sana. Alang-alang singgah beraya di rumah sepupu saya, anak buah mak juga. Dah agak lama mak tak berjalan jauh kan. 3 tahun lebih mak jaga arwah ayah yang terlantar disebabkan strok.
  7. Kerja WFH saya dah mula banyak. Fuh, tak bernafaslah lepas ni.
  8. Dalam kesibukan ini, Alhamdulillah... saya tersenarai sebagai pemenang ke-2 GiveAway by Blog the Story of Mommy EEZ. Dapat Sejadah! Rasa macam dapat duit raya pula tua-tua begini. Hehehehe

Tahniah juga kepada Cuya & Syuhada. UPDATE: Hadiah saya sudah diterima pada 6 Mei 2024. Terima kasih Mommy EEZ!

9. Mak akan balik ke kampung pada 1 Zulkaedah ni.  Pasti saya akan merindui mak. Seboleh-bolehnya saya nak bahagiakan mak. Apa yang mak nak, saya cuba tunaikan. Yang pastinya, saya tak dapat membalas jasa mak dan arwah ayah membesarkan saya. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas. 

Tetiba teringat arwah ayah. Baru 8 bulan ayah pergi ke negeri abadi. Al-Fatihah.

Sharhanah

Aik, Dah Busuk??? ketahui Kaedah Yang Betul Simpan Telur Ayam

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Haaa, pasai apa pulak? Sebenarnya, kulit telur ada struktur yang berpori-pori yang dinamakan Porous.

Sebab tu lah, Allah dah wujudkan satu lagi lapisan pertahanan yang dikenali sebagai kutikula (egg bloom). Fungsi lapisan kutikula ini adalah sebagai pertahanan kepada telur.

Ia akan menghalang udara ataupun bakteria daripada luar daripada persekitaran ni daripada menembusi kulit telur itu dan masuk ke dalam. Unik sungguh ciptaan Allah.

Kalau kita basuh ataupun cuci telur tersebut sebelum kita simpan, akan tertanggallah lapisan kutikula. Maka, tertanggallah juga pertahanan semulajadinya. Lebih cepatlah telur menjadi rosak.

Kadang, geli kot nak simpan telur ayam yang ada najis atau kotoran yang melekat pada kulit telur.

Ada 2 kaedah simpan telur yang telah dibeli;

Pertama, nak cuci dulu pun boleh, tapi.. lepas cuci perlu lap dan keringkan telur tersebut. Kemudian, simpan di dalam bekas yang bertutup dan terus letak di dalam peti sejuk di bawah 4 darjah celcius.

Ingat ya, dalam peti sejuk bukannya dekat pintu peti sejuk. Suhu dekat pintu peti sejuk ni tak stabil disebabkan kita kerap tutup buka dan suhu di dalamnya pun turun naik. Maka lebih cepat telur yang telah dicuci ini rosak.

Kalau simpan secara betul, telur boleh bertahan lebih lama sehingga 2 hingga 4 minggu!

Selepas pembelian kaedah penyimpanan kedua adalah tak payah simpan dalam peti sejuk. Jadi, tak boleh cuci. Simpan je telur di sarang asalnya ataupun carilah bekas yang bertutup dan simpan. Tapi, sebelum masak, masih kena cuci ya. Sebab kulit telur tu kan ada habuk, kotoran yang melekat pada kulit telur, bakteria pada tangan orang yang mengutip telur, maka cuci dan bilaslah. Selepas itu baru pecahkan ke dalam bekas atau kuali.

Perlu tutup untuk telur tahan lebih lama 

Tanda-tanda Telur Telah Rosak

  • Berbau busuk dan hanyir
  • Warna putih telur berubah
  • Kulit berlendir (tanda bakteria)
  • Telur terapung dalam air (telur lama)
  • Kulit retak (wajib buang)
  • Tarikh tamat tempoh
  • Kulit ada lapisan berdebu (tanda kulat)

*Jika rasa ragu-ragu jangan makan! Salmonella menyebabkan demam, muntah, cirit dan kematian.

Disebabkan peti sejuk saya bersaiz comel, saya guna kaedah kedua. Korang guna kaedah yang mana satu?

Sharhanah

Raya 1445H: Tahun Ni Tak Balik Kampung

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tahun lepas, saya beraya di kampung. Tahun ni, suami kena keje. Maka, berayalah kami di rumah. Anak bongsulah yang paling sedih tak dapat balik kampung. Tahun ini adalah tahun pertama dia berjaya puasa penuh. Dia bukan faham situasi pun. Saya sebagai ibu, kenalah cipta suasana agar kemeriahan Hari Raya tetap terasa.

Malam terakhir solat sunat tarawih, saya dan anak-anak bersolat di surau. Orang taman perumahan kami ramai yang dah balik kampung. Mungkin nak merasa suasana last berpuasa di sana. Sempatlah bagi duit raya pada anak-anak jiran sebelah sebelum mereka bertolak balik.

Sunyi je taman kami. Anak-anak saya mati kutu sebab takde kawan nak mainπŸ˜…

Malam raya

Anak sulung saya, Sofea... tugasnya seterika semua pakaian raya. Kalau dekat kampung, waktu macam ni... saya dan adik-beradik yang lain dah sibuk tukar langsir, tukar sarung kusyen dah.

Anak ke-2, Arissa excited pula nak buat biskut raya. Biarlah dia bizi-bizi di dapur. Saya dah tak kuasa nak melayan biskut. Mata dah ngantuk. 

1 Syawal 

Saya bangun awal, sebab dah biasa siapkan sahur kan. Keluarkan rendang dalam freezer (buat sehari awal) dan panaskan, kukus ketupat palas dan rebus ketupat nasi. Masukkan biskut raya ke dalam beberapa balang dan susun di atas dulang khas. Saya kejutkan semua anak-anak untuk mandi dan niat mandi sunat Aidilfitri. Sorang-sorang bangun. Lepas tu solat subuh.

TV channel Al-Hijrah saya buka awal. Baru suasana hidup. Takde la sunyi sepi dalam rumah macam tanah perkuburan.

Masing-masing bersiap untuk ke masjid yang berdekatan dengan rumah. Anak-anaklah paling teruja dapat mengenakan baju raya baharu. Setahun sekali je dapat. Anak-anak dara paling lama duk adjust tudung. Geram pula mak dia. Hahaha. 

Sunat memakai wangi-wangian dan kami bersarapan dulu sebelum bertolak ke masjid. Ambil wudhu siap-siap dan kami berenam menaiki kereta untuk ke masjid. 7.45 pagi kami dah sampai.

Saya dan 3 orang anak perempuan, masuk ke ruang solat muslimat yang masih ada 60% ruang kosong waktu kami sampai. Kami mengenakan telekung dan duduk dalam saf. Takbir Raya pun bermula. Bergema di seluruh ruang. Bersahut-sahutan memecah sunyi memuji Ilahi.

Allah Maha besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,

Allah Maha Besar dan segala puji hanya milik Allah.

Ruang solat sudah mulai penuh. 8.30 pagi, imam masjid beri sedikit taklimat dan memulakan solat sunat Aidilfitri. Selepas tu, ada Khutbah Solat Aidilfitri. Selesai semuanya, kami bersalam-salaman. Anak bongsu saya, Zahra seronok dapat duit raya daripada salah seorang jemaah yang hampir dengan kami.

Kami balik ke rumah dalam pukul 9.15 pagi. Nak balik rumah ikut jalan lain, terlalu jauh la pula memandangkan suami saya masuk kerja pada pukul 2 petang (bawa siap-siap baju kerja). Kami sampai rumah, sambung makan dan kemas-kemas untuk beraya di rumah mak saudara di Kampung Pandan pula. Bawa sedikit buah tangan dan memulakan perjalanan. Alhamdulillah, jalan raya sangat lancar dan terasa jalan raya sendiri punyaπŸ˜‚

Sampai di rumah mak saudara suami, kami dijamu dengan kuih raya, lontong dan lauk-pauk. Jamah la sedikit walaupun perut masih kenyang. Borak-borak kejap, dah nak dekat pukul 1 tengahari. Kami minta diri sebab nak hantar abahnya ke tempat kerja. Bersalam-salaman minta maaf zahir dan batin sebelum balik. Macam tu lah kalau beraya kalau ada orang kena keje. Beraya pun sekejap jeπŸ˜‚

Tahun ni, adalah tahun pertama beraya tanpa arwah ayah. Tanpa redah jem dan tanpa saya perlu apply cuti raya. Balik kampung hanya ada mak. Mak nak datang ke rumah saya pada 2 Syawal. Hehehehe, sebab tu saya okey je tahun ni tak balik kampung.

Pagi 1 Syawal 1445... Keluarga kecil saya

Ikuti kisah Raya Aidilfitri 1444H

Sharhanah

Menu Iftar Sepanjang Ramadan 1445H: Berjaya Kurangkan Pembaziran!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Orang yang paling banyak pahala puasa para isteri dan ibu. Apa lagi jika hidangan dimasak dengan ikhlas, berwajah manis, memasak sambil berzikir atau sambil mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Lagi la bertambah banyak pahala. Tapi, jangan pula mengeluh. Rugi!

Alhamdulillah, tahun ni nampak betul perbezaan. Saya masak sikit-sikit je. Tong sampah pun tak penuh-penuh. Periuk nasi besar tukar ke periuk nasi kecil. Masak 2 pot nasi je. Kalau bulan biasa, 4 pot sekali masak.

2 orang anak saya tinggal di asrama. Tapi, setiap hujung minggu diorang balik. Saya masak 3 pot nasi kalau mereka ada.

Bazaar Ramadan pun langsung saya tak pergi. Majoriti saya masak sendiri. Ada beberapa menu yang jiran bagi.

Ramadan 1445H

Hari / Menu

1: Nasi Ayam + Buah Melaka

2: Nasi Goreng Ayam + Sandwich Gulung Sosej

3: Nasi Putih + Kari + Ikan Sardin Goreng + Kuih Cara

4: Nasi Putih + Tomyam (beli di kedai makan) + Telur Dadar

5: Nasi Putih + Masak Lemak Udang Kara (udang, jiran kasi) + Megi Goreng

6: Nasi Putih + Sambal Sardin + Dadih (buat dapat 3 bekas besar. Pencuci mulut selama seminggu) + Kek Pisang (beli sebab teringin)

7: Nasi Putih + Ayam Masak Kicap

8. Nasi Putih + Ikan Dory Stim

9. Nasi Putih +  Sup Ayam

10. Nasi Putih + Gulai Udang + Buncis Goreng Lobak Merah

11. Nasi Putih + Sambal Sotong + Ikan Bilis Goreng + Buncis Goreng Lobak Merah

12. Iftar bersama keluarga bos (makan luar)

13. Nasi Putih + Sambal Ikan Merah

14. Nasi Putih + Ayam Masak Lemak Cili Padi + Tempe Goreng

15. Nasi Putih + Ayam Goreng Bertelur + Sup Kosong

16. Nasi Briyani Ayam & Kambing (beli di gerai) + Bubur Lambuk (jiran bagi) + Roti John (jiran bagi)

17. Iftar di surau taman perumahan

18. Nasi Putih + Tofu Enoki Fishball + Ayam Goreng Tepung

19. Rendang Ayam Hijau + Tempe

20. Nasi Putih + Kari Sawi + Salmon Bakar + Sambal Belacan + Keria

21. Nasi Putih + Sambal Sotong Rendam + Keria + Telur Dadar

22. Nasi Bryiani Kambing (beli di gerai)

23. Bubur Lambuk (sumbangan Kelab Media Prima)

24. Nasi Putih + Sup Ikan + Salmon Bakar

25. Tomyam Seafood (beli di kedai makan) + Telur Dadar

26. Nasi Lemak + Sayur Kangkung

27. Bihun Sup Utara

28. Nasi Putih + Sardin Sambal + Daging Goreng Jintan

29. Nasi Putih +  Rendang Daging + Rendang Ayam

Gambar menu tidak disertakan disebabkan masalah pencahayaan. 

Untuk sahur, selalunya makan je menu yang masih berbaki waktu iftar. Kalau habis, baru saya masak. Terpaksalah bangun lebih awal.

Sharhanah 

Kenal Pasti Perbezaan Daging Lembu Dan Daging Kerbau

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jom kenal perbezaan antara daging lembu dan kerbau. Rasanya dulu-dulu, kerap saya tersalah beli. Kalau nak buat rendang, rasanya tak kisahlah yang mana pun kan..hihihi

Kiri: Daging lembu 

Daging Lembu

Warna: Merah cerah

Tekstur: Agak lembut

Serat-serat Daging: Halus dan nipis

Lemak: Warna putih susu & cerah

Tempoh Masak: Normal

Harga Kebiasaannya: Lebih mahal

Daging Kerbau

Warna: Merah pekat

Tekstur: Agak liat

Serat-serat Daging: Kasar dan tebal

Lemak: Warna putih kekuningan dan agak keruh

Tempoh Masak: Lebih lama

Harga Kebiasaannya:Lebih murah

* Daging lembu dan daging kerbau merupakan antara barangan harga terkawal dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri yang berkuat kuasa dari 5-19 April 2024.

Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup

Sharhanah

9 Sebab Kenapa Allah Bagi Kita Sakit

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allah SWT berfirman: Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiya: 35)

Adapun hikmah disebalik musibah sakit dan penyakit adalah:

  1. Allah sedang menguji manusia agar lebih bersabar dalam menghadapi ujian berupa penderitaan penyakit.
  2. Sebagai kifarah dosa dan kesalahan yang dilakukan manusia pada masa yang lalu.
  3. Dilipat gandakan kebaikan dalam hidup manusia yang ditimpa sakit atau penyakit. Hakikatnya Allah ingin menambah kebaikan kepada hamba-Nya dengan ujian sakit dan penyakit.
  4. Untuk mengangkat darjat manusia disisi Allah Azza Wa Jalla, kerana sakit dan penyakit adalah ujian kepada hamba-Nya agar bertambah darjat kemuliaan di akhirat.
  5. Untuk menyelamatkan manusia dari azab Allah. Dengan memberi sakit dan penyakit kepada manusia di dunia, semoga terselamat di akhirat kelak.
  6. Sebagai tanda ingatan, kerana manusia selalunya akan sedar saat sakit atau penyakit tersebut menimpa dirinya.
  7. Membersihkan dan mensucikan hati dan jiwa dari pelbagai penyakit rohani, seperti penyakit sombong, riak, ujung dan sebagainya.
  8. Untuk mengingatkan manusia atas nikmat Allah SWT yang diperolehinya dalam hidup. Kadangkala kita kurang mensyukuri semasa kita sihat dan kuat lagi.
  9. Untuk menyedarkan dan menginsafkan manusia di atas kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.
Dapat disimpulkan, bersangka baik kepada Allah Yang Maha Baik, tiada yang terjadi melainkan ada kebaikan di dalamnya dan berdamailah dengan irodahNya; Ucaplah Innalillah wa inna Ilahi rooji’un jua puji lah DIA di semua tempat setiap masa.

Ya Allah berilah kami kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi apa jua permasalahan dalam hidup kami, dan berilah kebaikan kepada kami dari musibah sakit dan penyakit yang Engkau timpakan kepada kami. Mudah-mudahan kami menjadi hamba Mu yang soleh. Aamiinn

Sharhanah


PEMBERSIH - Suka Persekitaran Yang Teratur BUKAN OCD

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika korang tahu bagaimana derita ada Obsessive-compulsive disorder (OCD), korang tak akan berani untuk mengaku sebagai OCD.

Perfectionist, pembersih, suka keadaan yang teratur BUKAN OCD (sayalah tu!). OCD adalah gangguan mental yang menyebabkan penderitanya untuk melakukan tindakan tertentu secara berulang-ulang. Sesetengah orang boleh mempunyai kedua-dua obsesi dan paksaan.

Bila berlaku OCD, otak akan berfikir secara berulang-ulang dalam satu kitaran yang tidak boleh dihentikan. la sangat memenatkan dan mengecewakan si penghidap.

Contohnya, OCD mencuci tangan berulang kali, kunci pintu rumah, parking kenderaan, menyiapkan tugasan harian dan obsesif dan kompulsif berlaku begitu lama, mungkin sehingga berjam-jam lamanya. Obsesif dan/atau kompulsif juga SANGAT TERUK sehingga menyebabkan stress yang amat sangat dan ganggu kefungsian hidup seseorang.

• Tiada apa yang ingin dibangga sebagai penghidap OCD, korang jangan meminta-minta nak pula.

Sharhanah

Berniaga Di Pasar Seloka

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dua hari berturut-turut saya teman sorang kawan berniaga di Pasar Seloka anjuran Kelab Media Prima. Walhal, saya ni online seller je. Pemalu dan tak reti la nak panggil-panggil customer datang membeli. Punyalah tawakal habis. Bayangkan lah, betapa saya kekok berniaga di hadapan orang😟. Selalunya jari je duk text customers.

Alhamdulillah, kekok-kekok pun ada saleπŸ˜‚. Saya hanya bawa ketupat palas utara yang dibawa khas dari Penang. Kakak saya memang tiap-tiap tahun dia buat. Lagipun, saya dah ada regular customers. Senang, ambil order je.

Nak cerita pengalaman je ni. Hahaha. 

Hari pertama, kami ke driveaway Balai Berita, Bangsar. Waktu Pasar Seloka dari pukul 12 tengahari sehingga 5 petang. Pukul 11 pagi, kami berdua dah loading barang niaga. Kami memang bekas pekerja di sini. Maka, dah tau la selok-belok nak parking kete kat mana, tandas dekat mana, surau dekat mana. 

Tulis siap-siap harga
Sesampai je, kami keluarkan kotak-kotak yang boleh tahan berat dari bonet kereta ke meja yang telah disediakan penganjur. Dua-dua tengah puasa, tapi kekal bertenaga berkat sahur. Lepas tu baru susun-susun biskut raya, kuah kacang, kerepek nangka dan 1 tong ketupat... waktu ni, kawan yang kenal dah mula menegur. Hahahaha. 
Pes kuah kacang.... letak air je.

Ketupat palas utara kakak saya. Dah masak, cuma defrost dan kukus selama 20 minit.
Dapat jumpa kawan-kawan lama, diorang datang support. Tak sempat pukul 12 tengahari, ramai yang dah datang membeli. Biskut suji dan biskut butter spiral dah sold out. Pukul 3, kami dah cabut balik. Kawan saya ajak balik awal sebab dia nak buat biskut yang dah habis.
Pemandangan dari meja saya di Sri Pentas
Hari kedua, kami ke Sri Pentas pula. Sampai dalam pukul 10 pagi. Ini adalah kali ke-2 saya ke sini. Pertama kali datang sebab saya hadir ke kursus bahasa untuk media massa. Ingat-ingat lupa.
Untuk kali-2 datang sini

Kali ini, meja kami di dalam ruang lobi. Terpaksalah angkat bawa masuk semua kotak-kotak ke dalam. Agak jauh juga. Fuh!

Sebab dah pandai menyusun, saya rileks je susun atur semua tu. Dalam fikiran, kalau buat hari-hari... mestilah pandaiπŸ˜†. Banyak juga peniaga di sini. Majoriti jual biskut raya. Ada juga yang jual tudung, pakaian, buah-buahan dan makanan ready-to-eat. 

Bila semua dah siap, kami duduk-duduk sambil borak-borak. Agak janggal di sini sebab tak ramai kawan kami berbanding di Balai Berita. Yang kami kenal, selebriti je lah. Ada yang borong biskut raya di meja kami disebabkan biskut kami harga sangat rahmah.

Ada staf yang beli. Lepas tu, dia datang bawa kawan pula. Dia bagi review, samperit sedap. Aikkkk... kami pakat gelak. Dia kata dah tak boleh puasa, alang-alang dia rasa terus. Sebab sedap, dia bagitau kawan.

Alhamdulillah, ketupat palas saya sold out. Itu pun ada yang datang bertanya lagi. Benda rare kan. Majoriti yang membeli, orang utara la. Banyak biskut yang sold out. Saya juga up di status. Jiran-jiran pm pakat order. 21 balang sold kurang sejam. Sebab tu saya suka berniaga online. Kurang penat. Heeee.

Saya up dalam status Wa dan group taman perumahan

Pukul 4 petang, kami siap-siap kemas. Dapatlah bubur lambuk, nugget, kurma dan air mineral daripada pihak penganjur. Balik tu, jalan kemain jem. Memang tak sempat nak masak. Pukul 6.30 petang, baru saya sampai di rumah. Nak order lauk, kedai makan yang saya suka beli tu, tutup pula. Sudahnya, saya sekeluarga berbuka dengan bubur lambuk. Alhamdulillah, licin.

Tengoklah tahun depan macam mana. Nak join lagi ke ntah.

Salam 26 Ramadan 1445,

Sharhanah

Biskut Raya Premium Rasa Lebih Sedap Dan Lebih Mahal!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Korang dah beli biskut raya? Ke buat sendiri? Awalnya saya tak nak buat, sebab macam nak beli je. Bila tengok harga, pengsan.

Saya akur, harga mahal tu disebabkan  bahan-bahan yang digunakan premium dan bermutu tinggi. Itu belum kira masa yang dihabiskan untuk mencipta biskut raya tersebut kan.

Saya nak marah pada peniaga yang menjual biskut raya mahal tapi menggunakan bahan-bahan tak premium. Contoh orang letak RM40, dia pun nak letak RM40. Orang tu takpe la, contohnya kos 1 biji biskut jatuh RM1. Dia pula, kos RM0.60. Patutnya, harga jualan biskut dia pun mestilah murah daripada orang yang menghasilkan biskut premium tu kan. So, hati-hatilah membeli.

Biskut by Arissa. Disebabkan dia excited nak buat biskut ni, saya terpaksa beli oven baharu.

Biskut Arissa, pakai mentega Butterfly. Coklat chips ntah brand apa dia beli. Rasa coklat tu kureng sikit la. Panas lit-lit dia ke kedai untuk beli bahan-bahannya. Walhal, waktu tu mana ada oven. NAK BUAT BISKUT, OVEN TAK ADA... HAHAHAHA. Nak tak nak, beli juga oven pada hari kejadian. 

Oven mur-mur. Beli di kedai depan rumah. Oven hadiah kawin dah uzur bebenor (dah buang). Dah setahun lebih rumah saya takde oven😌. Sebab musabab saya tak minat buat biskut atau kek. Tak minat ke tak reti??? ekekeke

Kisah biskut saya, kacang tanah telebih goreng. Terlebih minyak jagung juga.  Minyak pun orang bagi free. Rasanya tahun lepas. Jenama pun tak terkenal. Gula pun pakai gula kastor bukan gula icing. Aishhh... agak-agak? Hahaha.

Huduh bebenor biskut mazola saya ni. Tak sedap pulak tu. Tapi makan juga, sebab tak nak bazir.

Hasilnya tak sedap. Kalau pakai minyak Mazola, mesti rasa dah ok. Ini tak, rasa macam mana ntah... lepas telan rasa macam kelat-kelat, ntah nak gambarkan macam mana.

Tidak hairanlah, menggunakan bahan-bahan yang premium dan berkualiti tinggi menghasilkan biskut yang sedap dan kalau membeli, biarlah ngam rasa dengan harga.

Saya tetap malas nak cipta biskut,

Sharhanah

⚠️πƒπ’π¬πœπ₯𝐚𝐒𝐦𝐞𝐫 Semua komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url yang mencurigakan, mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun tidak akan disiarkan. Harap maklum, terima kasih.

Featured Post πŸ₯•

Cantiknya Turkiye!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang Hampir 2 bulan trip ke Turkiye menjadi kenangan. Saya masih tidak dapat menghabiskan ...