🌿 Let's Be Friends

Saya Bongkar Ke Mana Duit Sofea Pergi Sepanjang 2 Semester di Matrikulasi!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sepanjang Sofea belajar di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) selama dua semester (10 bulan), saya minta dia catat perbelanjaan hariannya.

Bukan sebab berkira dengan anak. Bukan juga nak mengawal setiap sen yang dibelanjakan. Saya just nak tau:

Sebenarnya, berapa kos yang diperlukan oleh seorang pelajar matrikulasi untuk menjalani kehidupan sehari-hari?

Dan daripada catatan kecil yang dibuat setiap hari itu, terkumpullah satu rekod kewangan yang agak menarik.

Di matrikulasi, pelajar menerima elaun RM250 sebulan. Kalau difikirkan, RM250 bukanlah jumlah yang besar untuk menampung kehidupan sebulan. Purata untuk makan minum adalah lebih kurang RM8 sehari. Tapi alhamdulillah, ia sangat meringankan bebanan ibu bapa.

Jumlah keseluruhan elaun yang diterima sepanjang dua semester ialah sekitar RM2,500.

Saya biasanya akan berikan tambahan sekitar RM100–RM150 sebulan, bergantung kepada keperluan. Saya tak nak beri banyak sekaligus, selalunya sekali transfer RM50 je.

Bukan kedekut.

Tapi saya nak dia belajar satu perkara yang sangat penting:

Kalau duit ada RM100, jangan berbelanja macam ada RM500. Itulah realiti yang perlu dipelajari bila sudah berjauhan daripada keluarga.

Jadi, Duit Banyak Pergi Ke Mana?

Daripada catatan perbelanjaan harian Sofea, jelas nampak beberapa kategori utama:


Carta pai ikut kategori


Daripada semua kategori, satu perkara memang sudah dijangka. Makan adalah nombor satu!

Di matrikulasi, tiada makanan percuma yang disediakan setiap hari. Jadi, pelajar kena pandai-pandai bajet sendiri.

Nak makan sedap, boleh.

Nak makan mahal, boleh.

Nak beli air setiap kali makan pun boleh.

Tetapi duit yang ada tetap sama.

Sebab itu, bagi saya, cabaran sebenar bukan sekadar belajar subjek di dalam kelas. Tetapi belajar menjawab soalan:

“Hari ini aku nak makan berapa ringgit?”

Kalau setiap hari terlebih bajet, hujung bulan faham-faham je la.

Kalau pandai berjimat, insha-Allah cukup je.

Di sinilah Sofea belajar kehendak dan keperluan iadalah dua benda yang berbeza.

Perbelanjaan kedua terbesar pula datang daripada perkara berkaitan pembelajaran.

Saya fikir:

“Masuk matrik kan belajar sahaja. Tak banyak sangat belanja.”

Rupanya banyak juga duit keluar untuk perkara-perkara kecil.

Contohnya:

  • bahan nota/rujukan
  • kertas dan alat tulis
  • bahan projek
  • baju (sukan, kelas, koko & kelab)
  • yuran MUET
  • yuran kemasukan ke Matrik (one-off)

Satu-satu nampak macam kecil. Tapi bila dikumpulkan selama dua semester, jumlahnya bukan lagi kecil.

Untuk pengangkutan pula, alhamdulillah, Sofea tidak kerap ulang-alik. Biasanya dia balik sebulan sekali. Dia akan turun di KL Sentral, kemudian menaiki MRT untuk pulang ke rumah. Kalau barang banyak, sesekali saya akan pergi ambil dan hantar terus dia pulang ke asrama.

Ada juga hujung minggu kalau takde program, dia keluar ke town bersama kawan-kawan. Sesekali pergi mandi sungai. Bukan 24 jam duduk dalam bilik dengan buku. Mereka perlukan juga masa untuk berehat, berkawan dan menikmati zaman muda. Asalkan tahu bajet dan tidak berlebihan.

Bila saya tengok semula rekod perbelanjaan ini, sebenarnya saya bukan terlalu kisah tentang berapa ringgit yang telah dibelanjakan. Saya lebih tertarik melihat proses Sofea belajar berdikari.

Dulu, mungkin kita sebagai ibu bapa yang tentukan semuanya.

Makan apa.

Nak pergi mana.

Bila nak beli sesuatu.

Tetapi bila anak masuk matrikulasi dan tinggal jauh, sedikit demi sedikit mereka perlu belajar membuat keputusan sendiri.

Bagi saya, kemahiran macam ini sama pentingnya dengan keputusan peperiksaan. Dan yang paling penting, ada pengalaman mengurus wang sendiri.

Saya bersyukur kerana sepanjang dua semester ini, keperluan Sofea dapat ditampung dengan baik.

Kadang-kadang kita perlu beri anak ruang untuk mengurus dirinya sendiri.

Kita hanya boleh bantu.

Tapikan, pengalaman mengurus kehidupan sendiri itu tetap perlu dilalui oleh anak. Macam kemahiran mengurus duit yang Sofea belajar sepanjang berada di KMNS, mudah-mudahan akan kekal menjadi bekalan untuk dia melangkah ke fasa kehidupan yang seterusnya.

Sebab akhirnya…

Duit bukan sekadar untuk dibelanjakan, tetapi perlu diurus dengan bijak.


Sharhanah

No comments:

Post a Comment