🌿 Let's Be Friends

Off Day Seorang Mak? Ada ke?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari ini saya off day. Yeayyy!

Sebagai orang yang WFH, ada satu benda yang saya paling suka bila off day. Tak perlu usung smartphone ofis tu ke mana-mana. Ia adalah satu kelegaan yang amat sangat. Bayangkan 6 hari berturut-turut perlu usung dia, belek dia untuk reply setiap inquiry pelanggan.

Hari ini saya tinggalkan dia di rumah. Rasa macam turunkan satu beban besar yang selama ini saya galas ke mana-mana. Saya gunakan off day untuk ke sekolah menengah. Ada 3 urusan. Fuh!

Pertamanya ada Hari Bicara Prestasi anak yang ke-3, Hariz. Jadi elok benar saya hadir untuk duduk dan dengar sendiri perkembangan anak daripada mulut cikgu kelas dia. 


Jenuh juga cari kelas. Saya salah info. Hariz bagitau, kelas dia sebelah koperasi sekolah. Saya pula cari kelas sebelah kedai buku. Ingatkan koperasi dan kedai buku adalah sama. Rupanya, tak. Bangunan berbeza. Menapak pula selang 2 bangunan. Penat mak hang.

Dah jumpa, kena Q sebab ada dalam empat orang parents juga yang menunggu sebelum sampai giliran saya. Anak saya tersengih-sengih dari jauh, malu-malu la pula. Tunggu jap!

Tiba giliran saya. Cikgu kelas tunjukkan sekali keputusan penilaian tahun lepas. Haa… patutlah anak saya jatuh kelas. Subjek teras pun ke laut dalam. Daripada banyak-banyak subjek, tiga saja yang nampak okey.

Cikgu cakap, anak saya minat belajar, rajin ke sekolah cuma dia belum nampak menyerlah mungkin belum sampai masanya. Saya risau ayat cikgu "belum sampai masanya" tu sebenarnya... lagi 2 tahun dah nak SPM. Cikgu suruh saya sebagai ibu, banyak-banyakkanlah berdoa. 

Erm... tapi sekurang-kurangnya sekarang ni saya tahu mana nak mula. Bukan untuk marah dia, tapi untuk bantu dia. Cuma sedikit kecewa, hantar tuisyen pun dia masih lemah.

Selesai sesi bicara prestasi anak, saya ke pejabat pula untuk urusan ke-2. Ya, pasal urusan dokumen si kakak untuk persediaan masuk universiti. Cop pengesahan dan saksi oleh pengetua diperlukan.

Pengetua pula sedang meeting online. Menunggulah saya di luar pejabat. Lama juga sampai saya ambil keputusan untuk selesaikan urusan ke-3. Nak tukar duit kecil untuk belanja sebulan dua orang anak yang masih bersekolah. Begitulah… sambil menunggu pengetua, kita selesaikan urusan satu-satu.

Nak balik dulu tak berbaloi. Jalan sesak, parking jauh. Dari pukul 11 pagi hampir ke pukul 2 petang masa saya dihabiskan di sekolah. Huhuhuhu. Syukur, semua urusan selesai jua akhirnya. Berpeluh juga dengan panas dan berjerebu.

Selesai semua urusan di sekolah, ingatkan boleh terus balik rumah. Rupanya… belum lagi. Sempat singgah collection point ambil parcel. Hasil shopping online masa dapat gaji tempoh hari. Hahaha!

Lepas tu singgah pula beli lauk. Memang tak sempat nak masak hari ni. Sebelum ke sekolah sempat la buat breakfast dan masak nasik. Anak bongsu pula baru balik sekolah kebangsaan, dah kena bersiap untuk ke sekolah agama.

Penat aih hari ini. Kalau tengok dari luaran, semua ni macam benda kecik je kan? Tapi saya berjaya dengar prestasi Hariz, dapat urus dokumen Sofea dan dapat tukar duit kecik!

Selesai semua urusan anak-anak, terasa macam berjaya dalam satu misi. Off day daripada kerja, tapi sebenarnya… seorang ibu tak pernah ada off day pun.

Cuma hari ini, hati saya rasa puas sebab satu demi satu amanah dah selesai. 

Sharhanah

No comments:

Post a Comment