🌿 Let's Be Friends

Kenapa Saya Masih Bekerja Walaupun Anak-Anak Dah Besar?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ada orang pernah tanya saya,

“Anak-anak dah besar kan? Kenapa masih nak kerja?”

Saya cuma senyum.

Soalan nampak mudah, tapi sebenarnya jawapannya panjang.

Ya, anak-anak saya dah besar. Mereka dah boleh buat banyak perkara sendiri. Tak perlu lagi saya suapkan makan, pakaikan baju atau temankan setiap masa macam dulu.

Dulu, banyak juga belanja pada susu, lampin dan barang-barang bayi.

Sekarang lain pula ceritanya.

Anak semua dah besar, keperluan pun makin berubah. Makan minum pun makin banyak. Keperluan pendidikan bertambah. Ada aktiviti, pengangkutan, barang keperluan sendiri dan macam-macam lagi lah.

Bila anak-anak dah makin besar, kita pun mula terfikir juga tentang masa depan mereka.

Jadi saya fikir...

Kalau saya masih boleh bekerja, kenapa tidak?

Bukan sebab pendapatan suami tak cukup.

Bukan juga sebab saya nak hidup mewah.

Saya cuma rasa, kalau saya boleh bantu tambah sedikit pendapatan keluarga, kenapa tidak?

Ada lebih sedikit untuk disimpan.

Ada lebih sedikit untuk urus keperluan rumah.

Sesekali boleh makan sedap bersama-sama.

Kalau ada rezeki lebih, bolehlah jalan-jalan pula.

Dan paling penting, saya rasa lebih tenang bila ada sedikit ruang untuk perkara yang tak dijangka.

Saya bekerja dari rumah.

Memang ada orang kata,

“Untunglah kerja dari rumah.”

Betul. Saya pun bersyukur dapat bekerja dari rumah.

Tapi WFH bukan bermaksud duduk rumah, kemudian duit masuk sendiri. 

Kerja belum siap, deadline pula dah dekat. Tengah khusyuk depan laptop, tiba-tiba otak dah fikir pasal dapur. 

“Nak masak apa hari ni?”

Anak-anak nak balik sekolah, suami pula nak pergi kerja mesti nak makan dulu. Begitulah hidup ibu yang WFH. Badan duduk depan laptop, tapi fikiran boleh berada di dapur, depan pintu dan macam-macam tempat dalam satu masa.

Belum lagi fikir pasal barang dapur, bil, anak-anak dan macam-macam benda kecil yang biasanya ibu memang akan kena fikir.

Kadang-kadang penat juga.

Ada hari rasa macam banyak sangat benda nak kena buat.

Tapi lama-lama saya belajar untuk terima bahawa kerja ini bukan semata-mata satu beban.

Ini salah satu cara saya membantu keluarga.

Dan dalam masa yang sama, saya sedar yang saya perlukan sesuatu untuk diri sendiri.

Bukan bermaksud saya kurang sayang pada keluarga.

Cuma saya rasa, sebagai seorang ibu dan isteri, saya juga mahu ada sesuatu yang saya usahakan sendiri.

Tak besar mana pun.

Pendapatannya pun bukanlah banyak sangat.

Tapi sedikit-sedikit, lama-lama jadi juga.

Boleh simpan.

Boleh bantu mana yang patut.

Dan bila sesekali dapat guna hasil usaha sendiri untuk belanja keluarga, ada rasa puas kat situ.

Saya sebenarnya tak mengejar kehidupan yang mewah.

Saya cuma nak hidup yang cukup.

Cukup untuk keperluan.

Cukup untuk simpan sedikit.

Cukup untuk sesekali makan sedap.

Cukup untuk bawa anak-anak berjalan bila ada kesempatan.

Sebab bagi saya, hidup ini bukan tentang berjimat sampai kita lupa nak menikmati apa yang kita ada.

Kalau ada rezeki, kita simpan.

Kalau ada lebih, kita nikmati.

Kalau tak banyak, kita sesuaikan dengan apa yang ada.

Yang penting, kita jangan sampai hidup setiap hari dalam keadaan terlalu risau tentang duit.

Akhirnya saya sedar...

Bekerja bukan semata-mata tentang berapa banyak duit yang kita dapat.

Kadang-kadang, pendapatan tambahan yang kecil pun boleh beri kita sedikit ruang.

Ruang untuk menyimpan.

Ruang untuk membantu keluarga.

Ruang untuk buat pilihan.

Dan ruang untuk sesekali berkata,

“Tak apa... kali ini kita makan sedap sikit.” 

Anak-anak memang dah besar.

Tapi bagi saya, peranan sebagai ibu tak pernah betul-betul berhenti.

Cuma cara kita menjaga mereka berubah mengikut usia.

Dulu kita pegang tangan mereka waktu melintas jalan.

Sekarang kita lebih banyak pegang pada doa untuk perjalanan hidup mereka.

Dan mungkin...

kerja yang saya lakukan hari ini juga adalah salah satu cara bagaimana saya menyayangi keluarga.

- Sharhanah

No comments:

Post a Comment