IKAN CENCARU SAMBAL CILI

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Ikan cencaru masih ada di dalam freezer. Apalah sangat yang boleh dimasak dengan ikan ni kan... Apa-apapun, saya suka masak berasaskan cili ikan jenis ni.


IKAN CENCARU SAMBAL CILI

Saiz Hidangan: 4

BAHAN (A) : BAHAN UTAMA

4 ekor ikan cencaru
2 sudu makan marjerin

BAHAN (B) : DIKISAR HALUS

4 batang serai
8 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 biji buah keras
1 sudu kecil gula
½ inci halia
1 sudu kecil udang kering
1 sudu kecil garam
4 biji limau kasturi (air perahan)
1 cawan air

CARA PENYEDIAAN :

Sumbat bahan (dikisar halus) ke dalam ikan yang telah dibersihkan
Tambahkan majerin pada bahan
Balut ikan dengan daun pisang
Bakar ikan hingga masak
Sedia untuk dihidang bersama nasi putih dan sayur-sayuran kegemaran
Sedia untuk dihidang

KANDUNGAN NUTRIEN :

1 HIDANGAN : 1 EKOR IKAN
625 mg sodium / hidangan
Kalori (kcal) : 120
Karbohidrat (g) : 6
Protein (g) : 19
Lemak (g) : 2

Sumber: KKM

Sharhanah

Adab Sebelum Dan Selepas Tidur

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Nak tidur pun perlu ada adab tau. Disenaraikan adab-adab sebelum tidur;

  • Memberus gigi sebelum tidur
  • Mengambil wudhu
  • Memohon maaf

Saya mendidik anak-anak dari kecil untuk memohon maaf kepada ibu bapa setiap malam sebelum mereka masuk tidur. Saya juga minta maaf pada mereka. Kosong-kosong!

  • Berpakaian bersih
  • Membaca doa

ุจِุณْู…ِูƒَ ุงู„ู„ّٰู‡ُู…َّ ุงَุญْูŠَุง ูˆَุงَู…ُูˆْุชُ

"Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku hidup dan aku mati”


Adab-adab selepas bangun tidur

  • Membaca doa bangun tidur
ุงَู„ْุญَู…ْุฏُ ِู„ู„ู‡ِ ุงู„َّุฐِู‰ْ ุงَุญْูŠَุงู†َุง ุจَุนْุฏَู…َุข ุงَู…َุงุชَู†َุง ูˆَุงِู„َูŠْู‡ِ ุงู„ู†ُّุดُูˆْุฑُ
“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”
  • Kemaskan bilik tidur
  • Mandi dan bersuci
  • Berpakaian bersih dan kemas

Fadhilat Mengamalkan Adab-Adab Sebelum Dan Selepas Bangun Tidur

  • Dapat mengamalkan sunah-sunah Nabi Muhammad SAW
  • Dapat menjaga kesihatan tubuh badan
  • Melatih supaya sentiasa berdisiplin
  • Tidak rasa mengantuk dan letih
  • Fikiran sentiasa cerdas dan fizikal cergas
  • Disayangi oleh keluarga

Surah Al-'Ankabuut 29:69

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.


(Al-'Ankabuut 29:69) 

ADAB TERHADAP ORANG SAKIT DAN KURANG UPAYA

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Dalil Naqli:

Ziarahlah orang yang sakit, berikan makanan kepada orang yang lapar dan bebaskan tawanan [Riwayat Al-Bukhari]

Adab Terhadap Orang Sakit

Ibadah

Mendoakan kesihatan mereka dan membantu mereka yang ingin melakukan ibadah.

Emosi

Memberikan semangat dan memotivasikan agar mereka sabar dan redha. Tidak melakukan sesuatu yang boleh mengganggu ketenteraman  mereka dengan bunyi bising dan ziarah yang lama.

Fizikal

Memastikan tempat dan tubuh badan pesakit sentiasa bersih. Menyediakan keperluan dan kemudahan asas untuk pesakit.

Hikmah Beradab Kepada Orang Sakit

Mengembirakan pesakit agar hatinya tenang dalam menempuh ujian Allah SWT.

Mengeratkan ukhwah sesama anggota masyarakat agar hidup diberkati Allah SWT.

Melahirkan keinsafan kerana diberikan nikmat kesihatan setelah melihat penderitaan pesakit.

Amalan: Doa ketika menziarahi orang sakit

Maksud: Aku bermohon kepada Allah yang memiliki Arsy yang tinggi semoga kamu diberi kesembuhan dan kesihatan. Hanya Allah yang menyembuhkan dari penyakit itu.

Adab Terhadap Orang Kurang Upaya

Dalil Naqli:

Seorang wanita yang mempunyai kekurangan pada akalnya berkata,"Wahai Rasulullah, saya memerlukan pertolongan dalam sesuatu urusan". Rasulullah bersabda,"Wahai ibu, bagaimana caranya untuk aku membantu mu?". Lalu Rasulullah meluangkan masanya sehingga wanita itu dapat menyelesaikan urusannya. [Riwayat Muslim]

Ibadah

Menyediakan kemudahan kepada mereka untuk melakukan ibadah dengan selesa dan membantu mereka dengan memberikan tunjuk ajar mengenai urusan ibadah.

Emosi

Memberikan layanan dengan penuh kasih dan sayang dan tidak mengejek serta menghina mereka.

Fizikal

Memastikan kemudahan asas yang yang disediakan untuk mereka tidak disalahgunakan. Menyediakan ruang dan memberikan ruang dan peluang kepada mereka sesuai dengan keperluan mereka.

Hikmah Beradab Terhadap Orang Yang Kurang Upaya

Menimbulkan rasa dihargai dalam diri orang kurang upaya kerana mendapat perhatian dan keistimewaan.

Memupuk sifat kebersamaan terhadap semua golongan masyarakat agar perpaduan dapat diwujudkan.

Melahirkan rasa syukur kerana diberikan fizikal dan mental yang sempurna.

Memudahkan orang kurang upaya melakukan urusan harian.




Transaksi Tidak Berjaya di MAE, Tetapi Wang Ditolak Di Dalam Akaun Tabung Haji

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Baru-baru ini, saya cuba mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji melalui MAE. Proses macam biasa. Tetapi dapat notifikasi  "unsuccessful". Dua kali saya ulang. Dua-dua dapat notifikasi yang sama.

Selalunya, contoh kalau saya bayar bil ke, ... dapat notifikasi sebegitu, tetapi akan dapat SMS yang pembayaran saya berjaya.

Saya ke website TH. Semak akaun, rupanya saving saya berkurangan. Duit tak masuk pula ke akaun Maybank. Tapi, transaksi berjaya. Apo???

Terus saya private mesej ke page FB Maybank masalah yang berlaku. Saya menerima jawapan seperti di bawah;


Buat transaksi hujung minggu, memang kena menunggulah. Lepas ni, apa-apapun, buat pada hari biasa je๐Ÿ˜”.

Kemaskini: Alhamdulillah, sudah dikembalikan duit ke akaun TH semula pada hari Isnin. Tengahari macam tu.

Sharhanah

Pengalaman Tukar Postpaid Ke Prepaid Unifi Mobile - Umpama Kena Talak Tiga!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Bila sudah bekerja dan ada duit sendiri baru saya memiliki telefon bimbit. Awal-awal tu, saya beli telefon terpakai je. Nokia, lepas tu Motorola.

Dah banyak pengalaman pakai postpaid dan prepaid. TMnet, Celcom, Maxis, Onexox, Digi dan Unifi Mobile. Waktu darah muda, suka sangat tukar-tukar nombor telefon (dulu senang). Akhirnya, saya kekalkan satu nombor sampai sekarang. Alasan, renyah bila dah tukar. Lagi-lagi nak kena kemaskini maklumat perbankan.

Cukup setahun memakai postpaid Unifi Mobile 99 unlimited plan tanpa kontrak (bulanan RM59 + fees), saya beralih semula kepada Unifi Mobile prepaid.

So far, sangat okey guna postpaid. Tapi, bila tengok penggunaan harian, sangat sedikit saya menggunakan perkhidmatannya. Tak luak-luak. 

Buat kerja pun pakai WiFi rumah. Jarang keluar pulak tu. Macam mana nak luak data postpaid? Membazir...

Baru-baru ini saya ke TMpoint. Ingatkan mudah nak terminate postpaid dan tukar ke prepaid mereka untuk kekalkan nombor.

Pergi je daftar online atau ke telco yg nak tukar terus (if nak guna nombor yang sama). Tak perlu terminate pun. Nanti terima SMS pengesahan utk port out dari unifi. Perlu balas 'YES'.. Pastikan tiada tunggakkan dan bukan dalam tempoh kontrak. - valid untuk yang nak tukar telco

Saya ke TMpoint lah sebab nak tukar ke prepaid mereka kan. Rupanya tak boleh, ada syarat. Unifi tu talak saya tiga terus! (Mungkin 1 akaun yang sama kot).

Apa yang perlu saya buat?

Saya perlu ke telco lain dulu. Beli simkad. Port-in makan masa sehari. Syukurlah, Digi Store berdekatan dengan TMpoint. Kalau tak, jenuh…akan semakin renyah urusan saya ni.๐Ÿฅน

Kalau prepaid nak ke postpaid yang sama telco, memang mudah. Patutlah suami tukar, dia rileks je. Ntah kenapa postpaid ke prepaid kemain leceh nawww

Esoknya, bila lambang unifi dah hilang dekat network telefon tu, baru saya masukkan simkad Digi. Sekejap je dah boleh guna. Saya cuba call suami, terlupa pula simkad tu tiada “isi”. Call guna Whatsapp je la. Salah satu kelemahan prepaid.๐Ÿ’”

Nak kena top up. Saya tak top up pun sebab nak tukar ke unifi Mobile kan. Saya ada masa 5 hari je. Dalam tempoh tu jugalah saya perlu port-out. Kalau tak, saya perlu top up untuk kekal aktif atau saya kehilangan nombor telefon tu.

Saya install Unifi Mobile prepaid apps di telefon. Perlu beli simkad di situ. Pengesahan menggunakan MyKad dan muka. Akhirnya, dapatlah beli satu dengan nombor yang sama.

Dah talak 3, kena la kahwin dengan cina buta. Jom berinspirasi dengan Digi dulu.

Sekarang tengah menunggu simkad unifi mobile prepaid sampai di rumah. Sebelum tu saya dah buat perbandingan untuk dua-dua telco ni. Nampak gayanya unifi mobile prepaid menang! Tawarannya lebih berbaloi. Lagipun liputan Digi belum okey lagi di kawasan saya. (1-2 bar je ni haa).

Hahaha. Renyah juga ya. Menyesal pula tukar. Tapi saya tak sanggup nak membazir duit membayar bulan-bulan benda yang saya tak guna sepenuhnya.

Duit lebihan tu nanti, saya plan nak beli emas. Serendah RM10 je. Sikit-sikit lama-lama jadi seketul emas jugak kan, daripada membazir, baik fikir masa depan. Emas lagi terjamin daripada duit kertas yang ada inflasi tu๐Ÿ˜’

Sharhanah

Peti Sejuk Tahan Lama? - 17 Tahun Sudah Berkhidmat.

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Ce teka jenama apa?

Akhirnya, tamatlah perkhidmatannya sebagai peti sejuk. Sebab? Kompresor dah rosak, rak-rak plastik dalam peti sejuk tu pun dah mereput. Melendut hampir patah dua bila letak makanan. Sebab tengah-tengah dah terbelah sedikit.

Mesti ada yang tanya, kenapa tak perbaiki saja?

Sebenarnya, umur peti sejuk ni dah 17 tahun. Angkut masa pindah dari KL (tingkat 4 turun tangga) ke rumah baharu 13 tahun lalu. Lepas tu adalah 2 kali pernah rosak. Habis beratus jugak modalnya.

2 tahun lalu, kena banjir teruk di Selangor. Rumah saya tak terkecuali. Walhal, tak pernah kena banjir sejak berpindah.

Tengah buat kira-kira nak beli baru sebab sekarang rumah saya tengah takde chiller. Freezer tu takpe, ada dua biji beli untuk EBM (2015) dan satu lagi untuk bisnes kecil saya sekarang.

Sekarang ni dah takde chiller. Tak boleh nak beli stok sayur. Mana nak simpan??? Boleh ke buat alasan tak nak masak?๐Ÿคญ

Ikuti kisahnya di SINI

Sharhanah

Psttt... Terpaksa keluarkan duit simpanan lagi. Huhuhu...dalam keadaan ekonomi macam ni. Perit.๐Ÿ˜ต

AQIQAH - TANDA SYUKUR KEPADA ALLAH

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Maksud Aqiqah ialah *binatang ternak (Al-An'am) yang disembelih sempena kelahiran bayi. Hukumnya adalah sunat muakad dan wajib jika bernazar.

Dalil Naqli Aqiqah

Daripada Samurah bin Jundub meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya;

Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya, maka pada hari ketujuh disembelih haiwan, diberi nama dan dicukur rambutnya (Riwayat At-Tirmizi)

Binatang ternak yang disyaratkan aqiqah:

  • Unta
  • Kambing
  • Kerbau
  • Biri-biri
  • Lembu

Syarat Sah Aqiqah

  • Berniat Aqiqah

            Berniat Aqiqah ketika binatang disembelih.

  • Masa Perlaksanaan

            Setelah bayi dilahirkan.

  • Cukup Umur

            Unta: 5 tahun dan ke atas.

            Lembu atau kerbau atau kambing: 2 tahun dan ke atas.

            Biri-biri: 1 tahun atau sudah bersalin gigi hadapan setelah berumur 6 bulan.

  • Sifat Al-An'am
            Bebas daripada penyakit dan kecacatan. Contohnya cacat yang teruk pada satu matanya, berpenyakit yang teruk, tempang                atau kurus yang melampau.

Perkara Sunat Aqiqah

  1. Berdoa semasa hendak menyembelih (Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada Mu. Ini aqiqah ....nama anak)
  2. Menyembelih ketika matahri sedang naik.
  3. Melakukan pada hari ke-7 selepas kelahiran.
  4. Tidak dipatah-patah tulang binatang semasa memotong daging kecuali mengikut sendi-sendinya.
  5. Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan. Memberikan nama yang baik kepada bayi.
  6. Bersedekah dengan emas atau perak seberat rambut bayi yang telah dicukur.
Tempoh Perlaksanaan Aqiqah
Sunat - Setelah sempurna kelahiran sehingga bayi itu baliqh.
Sunat Muakad - Pada hari ke-7 kelahiran bayi.

Pembahagian Daging Aqiqah
  1. Sunat dimasak dengan masakan manis dan disedekahkan sesudah dimasak.
  2. Masakan itu afdhal disedekahkan kepada orang miskin.
  3. Masakan itu juga sunat dimakan oleh orang yang beraqiqah.
Hikmah Aqiqah
  1. Menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas kurniaan cahaya mata.
  2. Menghebahkan berita kelahiran supaya tidak timbul prasangka.
  3. Menyuburkan sifat pemurah dan menjauhi sifat bakhil.




Sharhanah

Sumber: KSSM

Video - Trip Hijau (Naik Keretapi Elektrik & Kayuh Basikal)



Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Sebahagian klip pendek semasa percutian yang dijadikan video dengan menggunakan aplikasi CapCut.

Sharhanah
@sharhanahanafiah #CapCut ♬ original sound - Sharhanah Hanafiah

Empangan Timah Tasoh - Petang Yang Mengasyikkan!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dari homestay ke Dataran Empangan Timah Tasoh sejauh 11.3 kilometer yang mengambil masa selama 13 minit. Kami sampai pun tak ramai orang. Mungkin sebab hari Isnin kan. Lagipun dah pukul 6.45 petang. Ya, misi nak layan sunset.

Untuk kawasan parkir, tiada bayaran khas diminta. Cuma ikutlah nak bagi berapa. Ada tabung disediakan berdekatan dengan tempat tersebut.

Kami terus berjalan menuju ke gigi air. Sepanjang perjalanan tu, ada perkhidmatan sewa bot dan ATV. Untuk yang berminat, boleh lah mencuba. Lupa pula nak catit harga.

Cuaca hari ini memang asyik mendung aje. Payah rasanya nak dapat tengok matahari disebabkan keadaan langit yang penuh dengan awan.

Sekali dapat tengok dua fenomena dalam satu masa. Hujan di sebelah kanan dan sebelah kiri tiada hujan. 

Dua fenomena dalam 1 gambar
Anak-anak saya yang sekolah rendah sibuk main air. Yang dua orang remaja pula, sibuk berswafoto. Saya? melepak dia atas buaian sambil melayan pemandangan indah. Encik suami pula sibuk mencari tempat yang banyak ikan. Eh!

Ada juga beberapa group sedang asyik mengambil gambar. Memang indah kejadian gambar tu nanti. Tengok dengan kepala mata sendiri, lagilah... betapa hebatnya ciptaan Allah. Subhanallah!

Saya juga mengambil peluang untuk mengambil gambar. Untuk sampai lagi, entah bila la.

Zoom sket. Sapa nak main hujan, sila ke kanan.

Pemandangan empangan pada pukul 7:09 petang

...demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.(Al-Baqarah 2:164)

Awan kelabu
Kajian mendapati mereka yang suka dan menghargai nature atau alam semula jadi ini adalah seorang yang mempunyai sifat gembira, lebih sihat dan lebih kreatif.

Ada betulnya. Sebab, saya jumpa ada orang tak suka langsung alam semula jadi. Baginya, biasa sangat dan membuang masa. Patutlah hidupnya payah nak nampak gembira. Serius memanjang.

Lonely tree... awak keseorangan yer? Meh saya temankan

Peace no war
Kami melepak tak lama pun. Si bongsu dah mengadu lapar. Dia memang macam tu. Pergi mana pun. Dalam kepala saya ni, dekat mana la nak cari makan. Nak ke Kangar, macam jauh la pulak. Dah nak masuk Maghrib.

Sambil berjalan ke parkir, dari jauh nampak gerai makan yang masih beroperasi. Apa lagi, saya pilih gerai makan ini je la. Duduk dan order. Masing-masing kebulur nampak gayanya.

Kami order 6 pinggan nasi goreng pelbagai citarasa. Portion banyak, bila makan, Alhamdulillah... sedapnya...  memang payah nak dapat dekat lembah klang rasa macam ni. Licin semuanya. Tak sakit mata bila tengok semua nasi goreng habis.

Empangan Timah Tasoh waktu sampai

Selepas membayar, kami pulang terus ke homestay. Ada pula kisah yang berlaku... nak tau??? tunggu next entry ya.

Klik untuk baca entry percutian kami di Perlis:

Sharhanah

Kampung Padang Melangit, Beseri, Perlis - Percutian Santai

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya memilih untuk menginap di kawasan yang berdekatan dengan sawah padi. Dua bulan saya mencari homestay yang betul-betul memenuhi citarasa saya sekeluarga.

Akhirnya, dapat rezeki menginap di Kampung Padang Melangit, Beseri. Rumah inap ini berdekatan dengan jalan raya utama. Sangat mudah nak cari. Sesampai di sini, kami disambut dengan hujan lebat. 

Waktu ni, saya dah rasa aktiviti berbasikal sambil meronda di kawasan bendang akan bertukar ke aktiviti tidur (konon nak berehat setelah 5 jam di dalam ETS). Ditambah pula, cuaca yang tak cantik petang ni. Punah harapan untuk melakukan sesi fotografi. Sedihnya ๐Ÿ˜”

Kami menginap selama 3 hari 2 malam dan mendapat tawaran harga yang menarik daripada tuan rumah. Siap dapat pinjam 2 buah basikal untuk memudahkankan kami bergerak di dalam kampung. Anak-anaklah paling teruja.

Selepas hujan lebat berhenti, kami santai-santai meronda di dalam kampung. Anak-anak bergilir-gilir mengayuh basikal. Pemandangan tersangatlah cantik untuk kami yang asalnya tinggal jauh dari kawasan bendang ni haa.

Damai, tenang, dan kehijauan sedikit sebanyak dapat melupakan masalah seketika. Waktu inilah, masa yang sangat sesuai saya dan suami menghabiskan masa berkualiti dengan anak-anak.

Cuaca agak mendung petang tu, lepas sedikit hujan... dan keluarlah pelangi. Macam kehidupan kita juga kan?

Kami sekeluarga main hujan. Biar basah bersama. Anak-anak kemain seronok! Lagi pula, tak ramai pun penduduk kampung yang keluar di kala hujan turun. Eh, gila ke hapa anak beranak main hujan? Ekekeke

Eh, sapa cakap pemandangan lepas hujan tak cantik? Siap dapat pakej pelangi lagi tau.

Sayangnya, waktu ni tiada musim mempelam harum manis. Nampak pokok je la. Buahnya tiada. Waktu ni juga, pokok padi sedang menghijau. Memang target saya pun.

Si bongsu dan si sulung... waktu ni baru keluar rumah selepas hujan reda.
Sawah padi yang menghijau

Bunga raya berwarna jingga masih dalam kebasahan hujan.

Hai, pelangi

Antara bunga liar yang banyak terdapat di tepi jalan kampung

Pokok bunga ni pun banyak tumbuh.
Kami meronda mengikut jalan kampung. Ntah mana-mana. Tapi, tak sesat pun. Rumah kampung dekat sini semua besar-besar. Mana taknya, tanah semua luas-luas. Best kan? Beranganlah dengan suami... mana nak duduk tua-tua nanti? Perlis, ok tak? Hehehehe.

Kami berjalan pulang semula ke rumah inap untuk mandi. Yerla, pakat habis basah kena hujan. Pukul 6 lebih nanti, kami akan ke Tasik Timah Tasoh untuk menikmati suasana sunset pula. Memang healing sungguh.

Nantikan entry seterusnya.

Baca juga;

Sharhanah

MALAYSIA THAILAND HALAL FESTIVAL FOOD - 13 ~ 22 OKTOBER 2023 @ LOTUS'S CHERAS

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Saya jenis bukan kaki makan. Banyak jenis makanan yang saya belum pernah rasa. Saya ni, sejenis makan makanan yang sama je. Mungkin masalah perut. Asal silap makan sikit, memang berangin dan sakit urat-urat semua. 

Semalam saya ambil anak balik asrama. Dah petang, perut pun lapar. Tak tahu nak makan apa. Tapi tekak meronta-ronta nak sesuatu macam mi.

Sudahnya, suami bawa terus ke festival. Hahaha. Pilih la nak makan apa. Saya ni agak memilih bab makan. Tengok keadaan gerai dulu, pastu tengok tukang masak, pastu baru fikir nak beli ke tidak.


Pencuci mulut lah sangat kan

Suami yang nak air ni.

Pertama kali makan mi celup. Tapi saya pilih megi. Pelik betul saya ni.

Kami melepak makan di kerusi meja yang telah disediakan. Anak saya, bila tanya nak makan apa, dia jawab dah kenyang. Saya kongsi juga dengan dia mi celup ni.

Kami beli coconut shake juga. Suami memilih untuk merasa char koew teow sotong (lupa snap rupanya macam mana). Tak pernah saya makan. Rasa sikit, sedap. Cuma saya tak suka sotong gelang-gelang tu la.

Selesai makan, beli sedikit makanan untuk anak-anak yang ada di rumah. Ntah nama apa saya beli. 3 cucuk RM10. Lepas tu anak nak crepe. Crepe ni saya merasa di rumah. Tak minat. Macam makan ising cake je. Huhuhu.

Pembayaran, saya banyak gunakan pembayaran melalui QRPAY. Sebab, saya tak bawa tunai. Tu la lah, dulu tak bawak duit... memang tak dapat beli la. Sekarang ni tak bawa telefon pintar. Memang jenuh. Pintar sangat, hampir RM50 duit saya habis hanya di situ.

Apa-apapun, memang best festival macam ni. Macam-macam pilihan duk ada. Harga pun boleh diterima. Cuma nak membeli sakan, tidaklah saya.

Saya kaki suka berjalan, bukan kaki makan.

Sharhanah

Bersikap Benar Menjauhkan Kemunafikan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Maksud bersikap benar daripada sudut istilah ialah tidak berdusta dari segi perkataan, perkhabaran dan perbuatan.

Dalil Naqli: Surah Al-Ahzaab: Ayat 70

Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara).

Tuntutan Bersikap Benar

Hukumnya adalah wajib.

Benar dalam tutur kata

Tidak berbohong apabila berkata-kata dalam semua keadaan. Pelihara diri daripada mengeluarkan lafaz yang jelas mendatangkan dosa dan mengelirukan.

Benar dalam niat dan kemahuan

Berniat ikhlas kerana Allah SWT. Berniat untuk membuat kebaikan semata-mata.

Benar dalam keazaman dan cita-cita

Beretika mencapai apa-apa yang dicita-citakan. Tindakan yang dilakukan seiring dengan keazaman untuk mencapai matlamat.

Benar dalam menepati janji

Berjanji dengan apa-apa yang mampu ditunaikan. Menunaikan apa-apa yang telah dijanjikan dan melaksanakannya tepat dengan sesuatu yang telah dijanjikan.

Benar dalam tugasan

Melakukan tugasan tanpa mengharapkan balasan dan melakukan dengan cara terbaik.

Contoh 1

Rasulullah  SAW Bersikap Benar

Rasulullah SAW menyampaikan wahyu Allah SWT kepada umat manusia dengan bersifat benar. Baginda tidak menokok tambah ayat yang disampaikan. Ajaran Islam yang disebarkan juga tidak mengikut kehendak dan pendapat peribadi baginda kerana setiap tutur katanya bedasarkan wahyu Allah. Hal ini dibuktikan dengan firman Allah;

Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakan itu tidak lain hanyalah wahyu yang diturunkan kepadanya. (Surah An-Najm: Ayat 3-4)

Contoh 2

Terdapat sebilangan orang yang suka bergurau tetapi tidak berkata benar. Mereka berasa seronok bergurau dengan cerita-cerita palsu. Rasulullah SAW juga pernah bergurau, namun baginda sentiasa bersikap benar walaupun ketika sedang bergurau.

Alhasan RA menceritakan bahawa seorang perempuan tua telah datang berjumpa Rasulullah SAW supaya baginda mendoakannya masuk ke dalam syurga. Lalu baginda memberitahunya bahawa orang tua tidak akan masuk ke dalam syurga. Wanita tua itu terus berlalu pergi sambil menangis. Lalu Rasulullah SAW bersabda,

Kamu beritahulah kepadanya bahawa sesungguhnya tidak akan masuk syurga dalam keadaan tua. Sesungguhnya Allah Taala berfirman: Sesungguhnya kami ciptakan wanita-wanita penduduk syurga itu secara langsung, dimana kami menjadikan mereka gadis-gadis yang penuh dengan cinta (kepada suami masing-masing) dan sebaya umurnya. (Riwayat At-Tirmizi)

Hikmah Bersikap Benar

Terpelihara daripada sifat munafik yang dibenci oleh Allah SWT.

Menenangkan hati kerana tidak melakukan dosa.

Saling berkerjasama kerana wujud perasaan saling mempercayai.

Menjadi contoh teladan kepada orang lain kerana maruahnya dipandang tinggi.

Berkata benarlah walaupun pahit.

Sharhanah

Sumber: KSSM

Sambal Hitam - Mudah Tapi Renyah Kemain!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Bahan-bahan dan sambal hitam yang dah siap

Sebenarnya, saya tak pernah buat sambal hitam walaupun pokok belimbing buluh berlambak-lambak berbuah. Selalunya, saya akan beri pada jiran.

Ntah mengapa hari ini, saya terlebih rajin. Mungkin banyak masa di dapur dan kerja opis pula tak banyak. Kebetulan pula suruh si bongsu ambil 4 biji buah belimbing untuk dimasukkan ke dalam masak lemak cili padi kerang. Dia ambil, satu plastik weh!

Nak tak nak, buat juga la sambal hitam. Kebetulan pula ikan bilis ada. Apa lagi, saya mulakan dengan mencuci buah belimbing satu per satu.

Bahan-bahan nak buat tu sangat senang nak cari. Just anggarkan je nak masuk banyak mana.

Cili padi

Cili hijau

Ikan bilis

Bawang besar hanya potong kecil sebab nak kisarkan

Saya kisar semua. Cuma buah belimbing buluh tu saya kisar sikit-sikit (tak perlu letak air banyak, saya kisar dan tuang ke dalam bekas. Tinggalkan sedikit dalam blender, masukkan buah belimbing ulang-ulang). Sebab banyak sangat. Lepas tu tapis.

Cara memasak,

Tumis ikan bilis + cili padi + cili hijau + bawang sampai naik minyak. Lepas tu masukkan belimbing buluh yang dah dikisar. Nak tunggu air kering memang makan masa dan perlu bersabar. Bila dah hampir pekat, perlu kacau untuk elak berkerak atau hangus. 

Masukkan gula dan garam. Perasakan dengan apa yang anda suka. Saya baca dalam website, ada yang suruh masukkan kicap, sos tiram la... hentam saja la.

Hampir nak masuk Asar baru lah siap. Hampir 8 jam duk di dapur melayan dia saja. Itu pun saya suruh anak sulung kacau kejap sementara saya nak solat Zohor.

Bila siap, dapatlah dalam 4 bekas. Masa mula masak, hampir penuh 1 periuk besar. Patutlah harga sambal ni boleh tahan jugak la kan. Saya setuju harga berapa pun, penat ooo nak membuatnya. Melainkan kalau ada bantuan mesin macam kat kilang tu kan.

Selepas kemas dapur, cuci periuk segala... saya bersuara kat anak... cukuplah sekali mama masak. Kalau teringin, kita beli je la...

Sharhanah

Kemulian Berdikari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Jika seseorang daripada kamu mengumpul kayu api dan menanggungnya di atas belakangnya (untuk dijual), pasti lebih baik daripada dia meminta-minta kepada seseorang, lalu orang itu memberi kepadanya atau menolaknya. (Riwayat Al-Bukhari)


Konsep Berdikari

Berdikari bermaksud berusaha sendiri dan tidak bergantung pada bantuan orang lain.

Menggunakan potensi diri yang dikurniakan oleh Allah SWT seperti kekuatan tubuh badan dan kecerdikan akal untuk perkara yang bermanfaat.

Membiasakan diri daripada bergantung pada pihak lain demi memelihara maruah dan kemuliaan diri.

Meyakini kemampuan diri untuk melaksanakan sesuatu tugasan.

Berazam dengan hemah yang tinggi untuk meningkatkan kualiti diri, masyarakat dan negara.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyara kehidupan.

Tidak memakan seseorang sesuatu makanan yang lebih baik daripada hasil kerja tangannya sendiri dan sesungguhnya, Nabi Allah Daud makan daripada hasil kerja baginda sendiri (Riwayat Al-Bukhari)


Kelebihan Berdikari

Agama - Menjadikan Islam dipandang tinggi kerana umatnya rajin berusaha.

Ekonomi - Mendapat sumber pendapatan yang diyakini halal.

Pendidikan - Melahirkan modal ihsan yang berkepakaran tinggi melalui penerokaan ilmu dan kemahiran.

Kemasyarakatan - Memperkasakan daya saing masyarakat untuk mempertingkat taraf kehidupan.

Sebagai umat Islam, kita hendaklah; 

Memandang mulia kepada pekerjaan yang halal walaupun hasilnya sedikit.

Menghindari perbuatan meminta-minta dan bergantung pada orang lain demi memelihara kemuliaan dan maruah diri.

Mencari ilmu dan kemahiran untuk mendapatkan pendapatan yang baik.

Membantu orang yang memerlukan pertolongan mengikut kemampuan agar hidup dirahmati.


Islam memandang tinggi umatnya rajin berusaha.

Sharhanah

Sumber: KSSM

Adab Berkenderaan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 


Adab-adab Ketika Menaiki Kenderaan

  • Kenderaan yang digunakan adalah selamat dan sempurna
  • Melangkah masuk ke dalam kenderaan dengan kaki kanan
  • Beratur dan mendahulukan yang lebih tua dan uzur
  • Membaca doa memulakan perjalanan ุณُุจْุญَู†َ ุงู„َّุฐِู‰ ุณَุฎَّุฑَ ู„َู†َุง ู‡َุฐَุง ูˆَู…َุง ูƒُู†َّุง ู„َู‡ُ ู…ُู‚ْุฑِู†ِูŠู†َ ูˆَุฅِู†َّุง ุฅِู„َู‰ ุฑَุจَّู†َุง ู„َู…ُู†ู‚َู„ِุจُูˆู†َ
Maha Suci (Allah) yang menundukkan semua ini bagi kami, padahal kami sebelum ini tidak mampu. Dan sesungguhnya kami akan kembali kepada Tuhan kami.
  • Tidak bergurau secara melampau ketika di dalam kenderaan
  • Mematuhi peraturan jalan raya

Pemandangan di dalam salah satu gerabak keretapi

Sharhanah

Pengalaman Pertama Kali Naik ETS, Perkhidmatan Tren Laju Antara Bandar

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pada cuti sekolah yang lalu, saya bersama suami dan anak-anak telah menaiki ETS. Ini adalah pengalaman kali pertama buat kami semua. (Eh, nada Upin Ipin).

Santai betul dia.

Trip kami dari Stesen KL Sentral ke Stesen Arau yang mengambil masa 5 jam 15 minit dengan menaiki ETS Platinum.

Untuk pengalaman pertama kami, saya memilih untuk merasai koc kelas perniagaan.

Antara kelebihan koc ini ialah penumpang dapat menikmati dua kali hidangan di dalam kabin, ada kemudahan skrin video, sambungan WiFi (sangat perlahan), port pengecasan USB dan tempat duduk berbaring 45 darjah serta kit perjalanan (tak dapat la pula. Maka, layan skrin bisu nampak gayanya).

Baru setengah jam perjalanan, kami disajikan dengan welcome refreshment.

Ada sandwiches dan air kopi panas. Jom tengok apa ada dalam kotak tu... 

Apa ada dalam kotak? Air kotak + Kit Kat + Kacang

Oh ya, untuk menaiki ETS di KL Sentral, perlulah ke Tingkat 1. Baratur dan perlu melepasi laluan dengan mengimbas kod. Saya dah cetak siap-siap. Mudah sangat. Kalau pakai apps pun okey. Cuma risau kang bateri telefon habis macam mana???

Ramai ooo yang menunggu nak naik ETS  menghala ke Padang Besar.

Selepas mengimbas kod, kami perlu turun ke tingkat bawah menggunakan escalator. Ya, penumpang agak ramai memandangkan cuti sekolah kan.

Jumpa geng oren daaaa

Kami berjalan menuju ke koc A, gerabak paling belakang sekali. Masuk je dah jumpa tempat duduk kami. 1+2, susunan seat di dalam koc A.

Tempat duduk kami paling depan dekat pula dengan pintu dan mudah ke tandas. Cuma yang tak bestnya, takde privasi. Kejap-kejap ada je orang lalu.

Ada ruang, longgok je. Untung juga duduk seat paling hadapan.

Memanglah luas bahagian di hadapan, siap boleh letak beg. Cuma, kaki saya yang panjang tak tau nak letak mana.

Tempat duduk sedap, sebab besar dan boleh baringkan. Tapi segan betul nak tidur. Tempat laluan utama kot. 

Selesa... Ruang kaki yang luas.

Seat sedap pun, si bongsu nak menempel juga atas riba bapaknya. Berjalan ke sana ke sini. Seronoklah melawat koc sehingga ke hujung. Tandas di koc B, surau koc D manakala cafe di koc C.

Tandas bersih cuma tisu tinggal hujung-hujung je. Kalau letak pewangi rasanya, lagi selesa lah.

Stesen berikutnya.... Sungai Buloh. Kelajuan dikurangkan.

Kalau train berhenti mengambil penumpang, saya keluar sekejap ambil angin di luar. Turun sekejap di Stesen Ipoh. Bunyi wisel, baru masuk semula ke dalam perut train.

Pemandangan yang sempat dirakam di Stesen Ipoh.

Jemu juga anak-anak kalau asyik duduk je. Sudahlah skrin video hanya boleh layan YouTube. Poor connection pula tu. Maka, jadi ceritanya... Anak-anak saya asyik tak lekat di tempat duduk masing-masing. 

Waktu makan tengahari dalam pukul 1 tengahari macam tu, pramugari menyajikan makanan. Barulah anak-anak reti duduk di tempat masing-masing.

Menu tengahari : Nasi Putih +Ayam Kung Pow + Sayur Kubis

Rasanya agak masin dan saya tak dapat nak habiskan. Tapi alhamdulillah, kenyang walaupun makan sedikit. Selepas makan, kami ke koc D untuk menunaikan solat.
Jenuh juga berjalan melalui koc B dan koc C sambil keretapi bergerak laju. Kelajuan paling laju mencecah 142km/j. Majoriti koc penuh dengan penumpang.

Nak masuk pun kena tunggu giliran memandangkan ruang solat yang sangat terhad. Pertama kali solat dalam ETS. So far, okey dan selesa je kalau berdua. Saya masuk dengan anak-anak. Agak sempitlah.

View dari atas. Agak sempit untuk bertiga. Berdua lebih baik, just nice.

Pemandangan luar tingkap. Dekat Perak rasanya ni.

Selepas solat jamak takdim zohor, sempatlah melepak di ruang-ruang antara koc. Nampak juga penumpang yang sedang menunggu untuk guna surau, ada yang menunggu untuk membeli makanan dan ada yang sengaja merenggangkan badan. Boring juga kalau asyik duduk je.

Kemudian kami kembali ke tempat duduk. Waktu ni anak-anak dah mula mengantuk. Ada yang tertidur. Hehehe. Lega rasanya. Mana taknya, si bongsu suka sangat main pintu. Sekejap di koc A, sekejap nak ke koc B. Aduiii.

Bersih je stesen ni.

Bila perjalanan menggunakan ETS, pemandangan pun berbeza daripada menggunakan lebuhraya. Nampak lebih dekat rumah-rumah, deretan kedai, kilang dan kawasan yang sedang dimajukan.

At least, lain sikitkan perjalanan kali ni. Sebab tu tak nak ambil train malam. Tak nampak apa. Next time, boleh la cuba sebelah malam untuk menjimatkan kos penginapan.

Kakak paling happy. Tak perlu duduk dengan siapa-siapa.


My nyawa. Al-maklumlah, dah berusia telefon ni pun.

Awal-awal je tu. Pastu ke laut dalam.

Oh ya, ada juga pengumuman dibuat jika ada masalah. Kelajuan diperlahankan sehingga 30km/j. Saya risau sampai lambat je disebabkan saya dah tempah kereta sewa di Arau.

Walaupun dijangka tiba lewat tapi Alhamdulillah, kami sampai mengikut jadual. Memang terbaiklah ETS! Orang kata first move untuk repeat. 

Rumusan, ETS sangat praktikal untuk ke destinasi antara negeri. Kemudahan Wi-Fi dan paparan video agak mengecewakan. Hidangan makanan okey, cuma rasa untuk tekak saya terlalu masin. Rasanya saya sesuai di koc biasa. Lebih murah dan berbaloi.

Kami

Setakat ini cerita saya merasai pengalaman naik ETS bersama keluarga. Banyak lagi pengalaman yang akan dikongsikan. Nantikan!

Sharhanah

Pengalaman Menggunakan Kereta Sewa Daripada TREVO

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ini adalah pengalaman pertama saya menggunakan perkhidmatan TREVO.

Kenapa saya memilih TREVO?

Sebenarnya saya adalah pengguna tegar SOCAR. Bila merancang ke Pulau Langkawi baru-baru ni, rupanya tiada perkhidmatan SOCAR di sana. 

SOCAR menyarankan saya untuk menggunakan perkhidmatan rakan niaga mereka, TREVO.

Maka, saya pun memuat turun aplikasi Trevo menerusi AppleStore (iOS) atau PlayStore untuk pengguna Android.

Daftar sebagai pelanggan baharu dengan mengemukakan lesen memandu atau pasport (jika ada).

Lepas tu, boleh pilih lokasi dan tarikh perjalanan untuk dapatkan senarai pilihan kereta.

Buat tempahan (pemilik akan mengesahkan tempahan dalam masa 24 jam). Bayaran adalah penuh ye. 

Selepas kereta disahkan, tetapkan masa penghantaran atau pengambilan kereta. Waktu ni saya tengah mengira-ngira waktu sampai di Jeti Kuah.

Awalnya saya memilih pukul 12 tengahari. Tiket feri saya pada pukul 8 pagi. Macam lewat sangat kereta nak diterima. Saya batalkan dan menempah semula dan memilih pada pukul 10 pagi. Jangan risau, wang dikembalikan semula.

Saya menempah sebulan awal. Seharusnya perancangan perlulah dengan teliti, memandangkan pergerakan perjalanan saya semua menggunakan pengangkutan awam dan kereta sewa.

Pada hari yang dirancang, saya tiba di Jeti Kuah dan menerima mesej WhatsApp daripada dasher Trevo (wanita) yang akan menghantar kereta di hadapan 7-Eleven.

Saya menunggu di tempat yang dijanjikan dan kereta dihantar tepat pada masanya.

Perkara pertama yang perlu dibuat adalah memeriksa kondisi kenderaan dengan mengambil gambar 4 sisi kenderaan tersebut. Jangan lupa gambar odometer ya.

Bila semua siap, kunci diserahkan kepada saya. Memandangkan minyak ranap, terpaksalah mencari stesen minyak terdekat.

Proses pemulangan pun sama. Cuma saya pilih tempat pick up di hotel yang saya menginap. Caj penghantaran pun ada yer. Dasher TREVO yang sama datang ambil kereta tersebut. Selesa kan?

So far, ok juga pakai TREVO ni. Cuma yang tak best, petrol tak boleh claim macam Socar. Caj sewaan pun murah termasuk insurans. Sehari saya dapat RM88/day untuk New Avanza. Campur semua dalam RM130 je untuk sehari sewaan.

Apa itu TREVO?

Trevo menawarkan platform yang menghubungkan pengguna (tetamu) dengan hos yang membolehkan tetamu menempah mana-mana kereta yang memenuhi keperluan mobiliti mereka.

Buka aplikasi TREVO semasa menerima kenderaan 


Gambar Odometer pun kena snap ya. Lepas tu isi di ruang yang telah disediakan.


Waktu nak pulangkan pun sama kena perlu snap dan isi

Kereta sewa saya

Kadar harga sewa paling tidak masuk akal di pasaran! Murah dan berbaloi.

Khidmat penghantaran kereta disediakan. (Ada caj)

Aplikasi mesra pengguna. Tiada penetapan waktu. Pengguna boleh pilih hari dan waktu mengikut kemahuan. 

Keselamatan pengguna terjamin. Insurans disediakan. Takde la rasa macam takut je nak guna kereta sewa ni kan.

Pelbagai tawaran untuk dinikmati. Disebabkan saya pengguna baharu, saya dapat diskaun!

Semoga membantu kalian yang travel tanpa memandu kereta sendiri.

Sharhanah


⚠️๐ƒ๐ข๐ฌ๐œ๐ฅ๐š๐ข๐ฆ๐ž๐ซ Semua komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url yang mencurigakan, mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun tidak akan disiarkan. Harap maklum, terima kasih.

Featured Post ๐Ÿฅ•

Cantiknya Turkiye!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang Hampir 2 bulan trip ke Turkiye menjadi kenangan. Saya masih tidak dapat menghabiskan ...