πŸͺ

Pulau Kapas Trip Keluarga: Sekali Pergi, Terus Rasa Nak Repeat!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sejak kali terakhir bercuti berdua dengan suami ke Pulau Kapas pada tahun 2025, kami dah pasang niat. Kalau ada peluang, memang nak bawa satu keluarga pula merasai pengalaman bercuti di sini. Tahun ini, alhamdulillah menjadi juga rancangan yang dah lama tersimpan dalam "draft" kepala kami.

View depan campsite yang kami menginap

Antara sebab utama pilih Pulau Kapas? Sebab perjalanan bot dia tak sempat pun nak rasa mabuk laut. Lebih kurang 15 minit sahaja dari Jeti Marang dah sampai. Warga emas selesa, budak-budak pun tak sempat merungut bosan. Yang sempat cuma ternganga tengok laut yang jernih.

Sehari sebelum ke pulau, kami bermalam di hotel bajet di Marang. Pagi-pagi dah keluar brisk walking di Pulau Kekabu kononnya nak bakar kalori sebelum ke pulau. Hakikatnya kalori yang dibakar tu tak sampai beberapa jam pun sebab balik singgah pekena roti canai.

Pantai Pulau Kekabu


Pemandangan pagi

Pemandangan dari Marang wave breaker

Lepas sarapan, kami shopping barang dekat pasaraya sebelah hotel kami menginap tu je. Mudah sungguh kerja kami. Tak perlu berpusing satu bandar cari telur, roti, sardin.... Kalau tak, belum sampai pulau dah rasa penat sebab penat cari kedai.

Disebabkan musim cuti sekolah, memang ramai orang berpusu-pusu ke Pulau Kapas. Mujurlah kami dah tempah tapak perkhemahan lebih awal. Bayaran cuma RM20 seorang untuk satu malam dan yang paling best, khemah dah siap tersedia.

Memang sesuai untuk orang macam kami yang suka camping tapi tak suka mengangkat barang camping.

Meninggalkan jeti Marang

Sampai sahaja di pulau sekitar pukul 12 tengah hari, kami terus diberikan sebuah khemah besar. Lega tengok khemah tu. Sekurang-kurangnya malam nanti tak adalah sesi berebut ruang tidur macam ikan sardin dalam tin.

View pantai dari dalam khemah

Lepas letak barang dan tukar pakaian, aktiviti pertama mestilah snorkeling.

Anak-anak memang tak boleh duduk diam. Semua teruja sebab pertama kali snorkeling. Si bongsu pula buat kami kagum. Langsung tak takut air. Macam dah ada lesen menyelam. Terkejut juga dengan dia ni. Pertama kali kot.

Gambar tak banyak. Hanya video dalam air.

Cuma anak nombor dua sedikit struggle.

Setiap kali pakai goggles, setiap kali itulah dia terlupa yang kena bernafas guna mulut.

Pakai... panik.

Cuba lagi... panik.

Cuba lagi sekali... masih panik.

Akhirnya dia pilih untuk menikmati laut dekat dengan pantai. Ya, masih cetek. Itu pun dah cukup seronok.

Kami berjalan waktu petang yang agak redup

Sampai waktu Asar kami bermain air. Lepas mandi dan bersihkan diri, kami berjalan santai sepanjang pantai. Angin petang memang sedap. Jenis yang buat kita rasa semua masalah boleh ditangguhkan sampai minggu depan.

Nak cas phone, boleh masuk ke ruang dapur. Insha-Allah, tak hilang

Balik daripada berjalan, saya dan anak ke-2 bersilat menyediakan makan malam di dapur. Yang lain hilang....

Siapppp... Pinggan tak bawa. Kami makan dalam kertas nasi lemak tu ha. Senang bungkus bawa makan dekat pantai

Sah, lagi 4 orang dekat pantai. Suami pula entah macam mana boleh tersangkut bermain bola tampar pantai dengan sekumpulan mat saleh. Riuh rendah la diorang bermain.

Lepas masak, saya dan anak-anak jadi penonton setia dari tepi pantai sambil makan malam dan layan sunset. Sempat buat time-lapse.

Kalau ikutkan, tak tahu siapa yang lebih seronok. Anak-anak bermain pasir atau suami yang tiba-tiba masuk pasukan antarabangsa.

Tak sabar nak main bola tampar.

Waktu ni masih panas lit-lit. Kami lepak dalam hammock dulu. Terlelap sebab best sangat kena angin pantai dan dengar deruan ombak.

Waktu itu juga kami sempat melihat sekumpulan kelawar keluar mencari makan. Besar-besar belaka sampai anak-anak terdiam sekejap.

Lepas solat Maghrib, kami sebenarnya bercadang nak berjalan ke kawasan hujung pantai untuk tengok fire show.

Tapi bila tengok langit macam nak hujan dan fikir balik jarak berjalan kaki yang boleh tahan jauh, semangat kami mula berkurangan.

Akhirnya satu keluarga sepakat.

"Tak apa, lain kali je."

Padahal sebenarnya masing-masing dah mula malas berjalan.

Malam diteruskan dengan aktiviti memburu ketam. Nampak ketam, semua berlari. Ketam lari kiri, kami ke kiri. Ketam lari kanan, kami ke kanan.

Malam itu juga bulan penuh muncul malu-malu di sebalik awan. Cantik sangat suasananya. Ingatkan nak hujan... huhuhu.

Mama dan abah pula tak mampu bertahan lama. Jam belum berapa malam, dah selamat belayar ke alam mimpi.


Sarapan pagi.... s

Esok paginya kami bangun paling awal. Bila camping dengan keluarga, waktu pagi memang automatik jadi segar.

Menu pagi kami ringkas sahaja. Sandwich sardin, nasi panas dan sambal sardin.

Bila bercuti tepi pantai, makanan sesederhana itu pun rasa macam makan di restoran lima bintang.

Lepas siap memasak dan mengemas barang, kami turun snorkeling buat kali terakhir sebelum pulang.

Malangnya laut agak bergelora pagi itu. Air tak sejernih semalam. Ikan pun macam ambil cuti. Batu karang pun malu nak tunjuk muka.

Tapi anak-anak tetap gembira. Asalkan dapat main air, semuanya dianggap berjaya.


si bongsu dan anak no.3 memang paling lama dekat laut


sementara menunggu bot, anak-anak main dulu.

Selesai bersarapan, kami mengangkat semua beg dan bersedia untuk pulang. Kami terus naik bot tanpa mandi atau tukar pakaian kerana bercadang untuk bersihkan diri di jetI Marang nanti.

Tepat sekitar pukul 11.30 pagi, bot kami bergerak meninggalkan Pulau Kapas.

Dalam perjalanan pulang, masing-masing diam.

Bukan sedih.

Penat.

Tapi dalam diam tu semua setuju satu perkara.

Trip ini memang best.

Cuma kalau datang lagi nanti, kami mungkin akan tambah satu malam.

Dan kalau boleh, biarlah tandas pompuan tu proper sikit. Baru best nak bersihkan diri. Nak tukar baju pun ngeri sebab tutup pakai langsir je.

Apa-apa pun, kenangan bercuti bersama keluarga, melihat anak-anak mencipta pengalaman pertama snorkeling dan bermalam dalam khemah di pulau  selama dua hari satu malam ini memang sesuatu yang sukar dilupakan.

Pulau Kapas, tunggu kami datang lagi. Kali ini mungkin dengan stamina dan duit yang lebih banyak sebab nak rasa stay resort pula. Nak makan je tanpa perlu bawa barang-barang memasak. Mama nak santai-santai tanpa pegang kuali.

Bye!

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Seekor dan sekujur

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini memang berat dan gelap. Tapi sebenarnya mesejnya sangat jelas iaitu tentang manusia yang hilang kemanusiaan.

Pada awal cerita, watak “dia” percaya dirinya ialah binatang. Bukan sekadar rasa macam binatang, tapi betul-betul yakin tubuh dan jiwanya sudah jadi binatang. Kadang dia rasa macam dubuk, ada kuku beruang, hidung macam babi. Dia keliru — sebenarnya dia ini spesis apa?

Bahagian ini bukan tentang binatang sebenar. Ia simbol. Simbol kepada manusia yang sudah terlalu jauh melakukan kejahatan sampai rasa dirinya bukan manusia lagi.

Latar tempat pula bangunan separa roboh, suasana gelap dan sunyi. Semua ini menggambarkan keadaan jiwa watak utama yang kacau, rosak dan tidak tenang.

Siapa gadis kecil itu?

Dalam ingatannya muncul imej seorang gadis kecil dengan wajah berdarah dan cedera. Imej ini sangat mengganggu dia. Setiap kali teringat, dia jadi takut, menggigil dan marah.

Di sinilah pembaca mula faham — watak ini bukan sekadar “rasa” macam binatang. Dia sebenarnya pernah melakukan sesuatu yang sangat kejam. Ada petunjuk jelas:

“Kau rodok tubuh kami dengan peluru…”

“Kau kambus waktu-waktu kami dalam perkuburan raga…”

Ini menunjukkan dia mungkin seorang tentera, atau seseorang yang membunuh kanak-kanak dan orang tidak berdosa dalam peperangan atau keganasan. Gadis kecil itu bukan syaitan. Bukan puaka. Dia adalah lambang dosa dan rasa bersalah.

Kenapa dia rasa jadi binatang?

Sebab dia sendiri sedar perbuatannya tidak berperikemanusiaan.

Bila suara itu berkata:

“Binatang lebih mulia.”

Ayat ini sangat kuat. Maksudnya, walaupun binatang membunuh, ia ikut naluri. Tapi manusia membunuh dengan sedar, dengan pilihan. Jadi bila manusia hilang nilai kemanusiaan, dia lebih hina daripada binatang.

Watak ini cuba salahkan gadis kecil itu. Dia kata dia disumpah. Tapi sebenarnya, tiada sumpahan. Yang ada cuma dosa dan trauma yang tak terpadam.

Kemuncak cerita

Di hujung cerita, suara-suara itu semakin kuat. Dia tidak mampu lari lagi daripada rasa bersalah. Akhirnya dia membenamkan kuku ke dadanya sendiri. Dia membunuh dirinya.

Simboliknya, “seekor lagi iblis kecundang menjadi bangkai” — kejahatan akhirnya memusnahkan diri sendiri.

Tema Cerpen

  • Kehilangan kemanusiaan
  • Dosa dan rasa bersalah
  • Trauma peperangan
  • Hukuman batin yang lebih perit daripada hukuman fizikal

Pengajaran

1. Bila manusia hilang nilai belas kasihan, dia lebih hina daripada binatang.

2. Dosa tidak pernah benar-benar hilang. Ia akan menghantui.

3. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita tak boleh lari daripada hati sendiri.

4. Keganasan hanya akan membawa kemusnahan — termasuk kepada pelakunya.

Kesimpulan Mudah

Cerpen ini bukan cerita seram tentang manusia jadi binatang. Ia cerita tentang manusia yang terlalu banyak dosa sampai jiwanya rosak.

Ia sindiran keras terhadap keganasan dan peperangan. Bahasa yang digunakan memang puitis dan berat, tapi mesejnya jelas:

Manusia yang hilang rasa kemanusiaan sebenarnya lebih buruk daripada binatang.**

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Manusia Bukan Sekadar Berburu

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini nampak macam cerita pasal memancing. Ada sungai, ada joran, ada umpan. Tapi sebenarnya… ia bukan tentang ikan pun. Ia tentang manusia.

Watak utama, Aman dan Solihin, digambarkan sebagai kaki pancing yang hebat dengan cara masing-masing. Solihin jenis ramah, selalu berjaya dapat ikan. Aman pula jenis tak memilih, asalkan dapat hasil dan untung. Pada awalnya mereka saling kagum, kemudian saling ingin tahu rahsia masing-masing.

Bila mereka mula berkongsi “teknik memancing”, di situlah pembaca mula faham. Ini bukan cerita pasal memancing biasa. Ia sindiran tentang cara manusia mencari keuntungan dalam hidup.

Apa sebenarnya maksud “memancing” dalam cerpen ini?

Memancing di sini boleh ditafsirkan sebagai:

  • Cara mencari rezeki
  • Cara membina nama
  • Cara mendapatkan peluang
  • Malah cara “mengambil kesempatan”

Aman misalnya, menggunakan cara yang licik . Dia beli ikan di pasar, buat orang percaya dia pandai memancing, masuk persatuan untuk dapat kelebihan, dan pandai ambil peluang daripada orang lain. Dia nampak bijak, tapi ada unsur manipulasi.

Solihin pula nampak lebih sederhana. Tekniknya cuma satu iaitu jadi peramah. Mudah didekati. Disenangi orang. Tapi akhirnya dia juga terikut-ikut cara Aman.

Lama-kelamaan orang mula perasan. Kenapa dua-dua makin sama? Kenapa memancing nampak macam satu transaksi, bukan lagi hobi atau usaha jujur?

Di sinilah cerpen ini jadi menarik. Ia menunjukkan bagaimana manusia mudah terpengaruh dengan cara orang lain yang nampak lebih cepat untung. Bila semua mahu cepat berjaya, nilai kejujuran mula longgar.

Bahagian paling simbolik

Dialog ini sangat kuat maknanya:

“Tak ada sebelum ni. Sekarang dah ada.”

“Kaulah buayanya.”

Buaya dalam cerita ini bukan haiwan sebenar. Ia simbol kepada manusia yang licik, oportunis dan pandai mengambil kesempatan.

Dan ayat ini juga sangat mendalam:

“Masih ada ikan orang.”

Maksudnya?

Kalau tak dapat peluang secara jujur, masih ada cara lain untuk ‘memancing’ manusia lain.

Tetapi di akhir cerita, mereka sedar satu perkara penting:

Kalau terlalu lama saling menjeling dan bermain umpan, akhirnya kita sendiri boleh tersangkut pada mata kail.

Tema Cerpen

  • Sindiran terhadap sikap tamak dan oportunis
  • Persaingan dalam dunia mencari keuntungan
  • Manipulasi dan imej palsu
  • Identiti diri yang semakin hilang bila terlalu ikut orang

Pengajaran

1. Jangan terlalu taksub dengan keuntungan sampai hilang nilai jujur.

2. Teknik cepat berjaya tidak semestinya cara yang betul.

3. Bila kita terlalu sibuk “memancing orang”, kita mungkin lupa jadi diri sendiri.

4. Hidup bukan sekadar soal siapa paling banyak dapat hasil, tapi bagaimana cara kita mendapatkannya.

Secara keseluruhan, cerpen ini santai tapi pedas. Bahasa memancing digunakan sebagai simbol kehidupan sebenar. Ia buat kita senyum, tapi dalam masa sama terasa “terkena” pada diri sendiri.

Sharhanah