🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Tazkirah. Show all posts
Showing posts with label Tazkirah. Show all posts

Hebatnya Didikan Hajar: Membesarkan Anak Tanpa Membenci Ayahnya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ni bukan sekadar cerita tentang pengorbanan semata-mata. Sebenarnya lebih dalam daripada tu. Ia tentang cara sebuah keluarga dibina. Tentang lembutnya hati seorang ayah, kuatnya jiwa seorang ibu, dan hubungan anak yang terikat dengan kasih sayang serta iman yang betul-betul hidup dalam diri.

Ramai orang fokus pada bab sembelihan je. Tapi kalau kita perhati betul-betul, sebelum sampai ke situ, ada proses didikan yang sangat panjang dan penuh makna.

Nabi Ibrahim bukan jenis ayah yang sentiasa ada di sisi anak setiap hari. Baginda tinggalkan Hajar dan Nabi Ismail di tanah yang tandus sebab perintah Allah. Tapi di situlah nampak betapa pentingnya peranan seorang ibu.

Hajar tak besarkan anak dengan rasa marah atau dendam sebab suami tak ada. Dia juga tak tanam rasa “kurang ayah” dalam hati anak. Sebaliknya, dia didik Nabi Ismail dengan iman, adab, dan hormat kepada bapanya.

Ibu yang kuat tak akan rosakkan pandangan anak terhadap ayah, walaupun dia terpaksa tanggung banyak benda seorang diri. Sebab tu bila ayah dan anak jumpa semula, mereka boleh bekerjasama bina Kaabah. Hubungan tu tak kekok, tak dingin. Tetap ada kasih sayang walaupun lama berjauhan.

Dari sini kita boleh nampak, didikan ibu memang besar peranannya dalam menjaga hati anak terhadap ayah.

Bahagian paling menyentuh bila Allah perintahkan Nabi Ibrahim untuk sembelih anaknya sendiri.

Walaupun baginda seorang nabi, baginda tak terus paksa. Tak guna kuasa sebagai ayah. Tak cakap, “Aku ayah, kau kena ikut.”

Sebaliknya, baginda panggil dengan penuh kasih:
“Wahai anak kesayanganku…”

Lembut. Penuh cinta.

Lepas tu baginda tanya pendapat anaknya dulu:
“Macam mana pandangan kamu?”

Di sinilah kita nampak besarnya jiwa seorang ayah.

Walaupun benda tu benar.
Walaupun datang daripada Allah.
Walaupun baginda seorang nabi.

Baginda tetap hormat perasaan anak. Bagi ruang untuk anak faham dan buat pilihan.

Ini ajar kita satu benda penting...  iman bukan automatik turun dari ayah ke anak. Anak kena faham sendiri, kena rela, kena pilih jalan tu dengan hati dia.

Nabi Ibrahim tak tergesa-gesa.
Tak kasar.
Tak paksa.

Semua dengan hikmah dan kasih sayang.

Dan jawapan Nabi Ismail pula memang luar biasa:

“Wahai ayahku…”

Tak membantah.
Tak merungut.
Tak persoal.

Tapi penuh yakin.

Seolah-olah dia kata:
“Kalau itu perintah Allah, buatlah ayah. Saya bersama ayah.”

Hubungan mereka bukan sekadar ayah dan anak... tapi sahabat dalam iman.

Akhirnya, kisah ni ajar kita:

Ayah bukan sekadar cari nafkah, tapi bimbing iman.
Ibu pula jaga jiwa anak, especially bila ayah tak ada di sisi.
Anak yang baik datang dari rumah yang penuh adab, bukan sekadar arahan.
Kasih sayang tak perlu ditunjuk dengan kemewahan... cukup dengan kata-kata yang lembut dan saling hormat.

Dan paling penting…
Taat pada Allah tak pernah hilangkan kelembutan dalam keluarga.

Cinta di Bumi Mina: Pengorbanan Agung

Sumber: Ustaz Syahmi Syazeril Azmi

Antara sunah, adab dan adat dalam Aidilfitri

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Aidilfitri ialah hari kemenangan selepas sebulan berpuasa. Tapi hari ini, ramai mula tertanya-tanya... adakah cara kita sambut raya masih ikut sunah dan adab Islam, atau lebih kepada adat semata-mata?

Sebenarnya, Aidilfitri bukan sekadar hari bergembira. Ia adalah hari kembali kepada fitrah... jiwa yang bersih selepas dididik sepanjang Ramadan. Islam benarkan kita bergembira, tapi tetap dalam batas dan tidak lupa nilai ibadah.

Banyak sunah yang dianjurkan pada hari raya: mandi sunat, pakai pakaian terbaik, bertakbir, makan sebelum solat dan menunaikan solat Aidilfitri. Ini menunjukkan raya bukan sekadar makan dan ziarah, tapi bermula dengan ibadah.

Dalam masa sama, adat seperti beraya, beri duit raya dan sediakan juadah bukanlah salah. Malah ia boleh jadi baik, asalkan tidak berlebihan dan tidak melanggar syariat. Masalahnya bila pembaziran, bermegah-megah dan terlalu fokus pada luaran sampai lupa tujuan sebenar raya.

Aidilfitri juga ajar kita tentang adab... antaranya bermaaf-maafan dan eratkan silaturahim. Raya sepatutnya jadi peluang untuk bersihkan hati, bukan sekadar rutin tahunan.

Paling penting, Aidilfitri bukan penamat ibadah. Apa yang kita belajar dalam Ramadan... sabar, disiplin, sedekah... perlu diteruskan. Termasuk juga amalan seperti puasa enam Syawal sebagai tanda istiqamah.

Ringkasnya, raya bukan sekadar meriah di luar. Yang lebih penting, apa kesan pada hati dan kehidupan kita selepas itu.

Sharhanah

Peristiwa Nuzul al-Quran

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sumber: TheInspirasi

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, iaitu ketika wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira, kira-kira 6 km dari Makkah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun. Wahyu pertama yang disampaikan ialah perintah “Iqra’” (bacalah). Al-Quran kemudian diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi seluruh manusia. Ayat Surah Al-Quran, Al-Baqarah:185 menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk yang jelas bagi manusia.

Semoga kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.

Salam Nuzul al-Quran.

Sharhanah

Bukan Sekadar Tahan Lapar: Puasa Sedang Membentuk Siapa Diri Kita

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setiap tahun kita puasa. Menahan lapar, dahaga, dan kawal diri sendiri dari terbit hingga terbenamnya matahari. Tapi percayalah, puasa bukan sekadar soal perut; ia latihan kekuatan jiwa.

1. Kita Tidak Selemah Yang Kita Sangka

Sebelum Subuh, kita fikir: “Macam mana nak tahan sampai Maghrib?” Tapi kita tetap survive. Puasa ajar kita: banyak had yang kita fikir wujud cuma mental block.

2. Tidak Semua Keinginan Perlu Ditunaikan

Makanan depan mata, air dekat sangat — tapi kita pilih tak ambil. Puasa ajar kita kawal nafsu dan fokus pada yang lebih penting. Orang yang berjaya dalam hidup selalunya bukan yang paling berbakat, tetapi yang paling mampu mengawal diri.



3. Sabar Itu Aktif, Bukan Pasif

Sabar bukan tunggu je. Sabar aktif — jaga lidah, kawal emosi, tahan marah. Hidup pun sama, kita tak boleh kawal semua benda, tapi kita boleh kawal respon kita.

4. Kita Lebih Bersyukur Bila Pernah Kekurangan

Air kosong pun terasa nikmat bila berbuka. Kenapa?

Kerana kita merasai ketiadaan sebelum mendapatnya. Puasa mengajar nilai syukur melalui rasa kehilangan sementara.

Dalam hidup, kita selalu menghargai sesuatu selepas ia hilang. Puasa melatih kita menghargai sebelum kehilangan itu menjadi kekal.

Kesihatan.

Masa bersama keluarga.

Rezeki.

Ketenangan.

Semua itu lebih terasa nilainya ketika kita pernah “dikurangkan”.

5. Hidup Ini Bukan Tentang Diri Kita Sahaja

Apabila lapar, kita lebih mudah memahami orang yang hidup dalam kekurangan.

Puasa membina empati. Ia membuat kita lebih peka terhadap:

  • Orang miskin
  • Orang yang diuji
  • Orang yang bergelut secara diam-diam

Puasa bukan sekadar hubungan dengan Tuhan. Ia juga membentuk hubungan dengan manusia. Hati yang pernah merasa susah, lebih mudah menjadi lembut. Dan dunia hari ini lebih perlukan hati yang lembut, daripada suara yang keras.

6. Disiplin Rohani Membina Kekuatan Dalaman

Puasa ada waktu mula dan habisnya. Ada peraturan, ada batas, ada garis yang tak boleh dilanggar.

Disiplin ini sebenarnya latihan integriti. Kita buat yang betul walau tiada siapa tengok. Bayangkan, tiada siapa tahu kalau kita minum seteguk air secara sembunyi — tapi kita tetap tahan.

Kenapa? Sebab kita sedar Allah sedang melihat.

Orang yang hidup dengan kesedaran macam ni, tak perlukan pengawasan orang lain. Integriti bukan soal siapa nampak kita; integriti adalah siapa kita bila tiada siapa melihat.

Dan puasa… ia melatih jiwa kita untuk jadi begitu.

Soalan penting: Apa yang berubah dalam diri kita selepas sebulan berpuasa? Kalau kita lebih sabar, lebih bersyukur, lebih empati — puasa benar-benar mengajar sesuatu.

Lapar sementara. Tapi karakter yang terbina, boleh kekal seumur hidup.

Sharhanah

Akhlak Seorang Mukmin

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kita rasa agama itu berat. Banyak hukum, banyak perintah. Tetapi dalam ayat ini, Allah ringkaskan agama dalam perkara yang sangat dekat dengan hidup kita.

Allah mulakan dengan tauhid. Seolah-olah Allah berkata:

"Betulkan hubungan dengan-Ku dahulu."

Kemudian Allah sebut ibu bapa.
Kenapa selepas tauhid terus ibu bapa?
Kerana syurga itu dekat dengan redha mereka.
Sudahkah kita benar-benar berlembut dengan ibu dan ayah?
Atau suara kita lebih tinggi daripada doa mereka?

Allah sebut anak yatim dan orang miskin.
Ini ujian hati — adakah kita hanya peduli diri sendiri, atau kita peka pada kesusahan orang lain?

Dan Allah pesan:
“Katakanlah yang baik kepada manusia.”

Bukan kepada orang yang baik dengan kita sahaja.
Bukan kepada orang yang sefahaman sahaja.
Tetapi kepada manusia.

Kadang kita jaga solat, tapi lidah melukakan.
Kadang kita tunaikan zakat, tapi hati masih keras.

Ayat ini seperti cermin. Ia bertanya perlahan kepada jiwa kita:

* Adakah aku benar-benar mentauhidkan Allah?
* Adakah aku sudah berbakti kepada ibu bapaku?
* Adakah tutur kataku membawa rahmat atau luka?

Islam itu bukan sekadar ritual. Ia adalah kasih sayang yang hidup dalam setiap tindakan.

Semoga Allah lembutkan hati kita, jernihkan niat kita, dan jadikan kita hamba yang menunaikan janji kepada-Nya.

Sharhanah

Mustajabnya Doa Ini…

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Maksudnya:

“Dan ingatkah kisah Nabi Ayyub as ketika ia menyeru Tuhannya,  “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang. (Surah Al-Anbiya’:83)

Pelajaran daripada doa Nabi Ayyub

  1. Mengadulah kepada Allah: Anni massaniyaddur - “Ya Allah, sesungguhnya aku sedang diuji dengan kesusahan/penyakit”.
  2. Pujian Allah: wa anta arhamurroohimin - “sedangkan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Kasihan Belas Lagi Maha Penyayang”.
Dalam kesusahan? Inilah penawarnya

Maksudnya: “Ya Allah rahmat Mu aku dambakan, jangan Engkau biarkan aku bersendirian menguruskan urusan diriku (tanpa pertolongan Mu) dan baikilah untukku urusan hidupku semuanya, tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah.”

Sharhanah

9 Sebab Kenapa Allah Bagi Kita Sakit

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allah SWT berfirman: Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiya: 35)

Adapun hikmah disebalik musibah sakit dan penyakit adalah:

  1. Allah sedang menguji manusia agar lebih bersabar dalam menghadapi ujian berupa penderitaan penyakit.
  2. Sebagai kifarah dosa dan kesalahan yang dilakukan manusia pada masa yang lalu.
  3. Dilipat gandakan kebaikan dalam hidup manusia yang ditimpa sakit atau penyakit. Hakikatnya Allah ingin menambah kebaikan kepada hamba-Nya dengan ujian sakit dan penyakit.
  4. Untuk mengangkat darjat manusia disisi Allah Azza Wa Jalla, kerana sakit dan penyakit adalah ujian kepada hamba-Nya agar bertambah darjat kemuliaan di akhirat.
  5. Untuk menyelamatkan manusia dari azab Allah. Dengan memberi sakit dan penyakit kepada manusia di dunia, semoga terselamat di akhirat kelak.
  6. Sebagai tanda ingatan, kerana manusia selalunya akan sedar saat sakit atau penyakit tersebut menimpa dirinya.
  7. Membersihkan dan mensucikan hati dan jiwa dari pelbagai penyakit rohani, seperti penyakit sombong, riak, ujung dan sebagainya.
  8. Untuk mengingatkan manusia atas nikmat Allah SWT yang diperolehinya dalam hidup. Kadangkala kita kurang mensyukuri semasa kita sihat dan kuat lagi.
  9. Untuk menyedarkan dan menginsafkan manusia di atas kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.
Dapat disimpulkan, bersangka baik kepada Allah Yang Maha Baik, tiada yang terjadi melainkan ada kebaikan di dalamnya dan berdamailah dengan irodahNya; Ucaplah Innalillah wa inna Ilahi rooji’un jua puji lah DIA di semua tempat setiap masa.

Ya Allah berilah kami kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi apa jua permasalahan dalam hidup kami, dan berilah kebaikan kepada kami dari musibah sakit dan penyakit yang Engkau timpakan kepada kami. Mudah-mudahan kami menjadi hamba Mu yang soleh. Aamiinn

Sharhanah


Takutnya! BILA KITA SOLAT 5 WAKTU TETAPI SOLAT KITA TAK SAH PUN

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang terfikir samada solat kita setiap hari diterima Allah atau tak. Sah ke? Kita mungkin tak sedar ada 8 kesalahan asas ketika mendirikan solat.

1. TIDAK BERDIRI TEGAK

Berdiri lurus bagi yang berkemampuan. Itu rukun solat paling asas. Jika sakit, seharusnya sebelum terus duduk, kita berdiri dulu atas tikar sejadah, kemudian duduk.


2. TAKBIRATUL IHRAM

Lafaz Takbiratul Ihram adalah RUKUN QAULI. la wajib dilafazkan dengan jelas tanpa meninggalkan satu hurufpun di dalam kalimah, Allahu Akbar!


Melafazkan tanpa didengari oleh telinga sendiri, boleh membatalkan solat. Ini yang kita kena belajar ni.


3. BACAAN AL-FATIHAH YANG TIDAK BETUL

Al-Fatihah adalam RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% dengan makhraj dan tajwid yang betul.


Baca di dalam hati atau tidak didengari oleh telinga sendiri, boleh membatalkan solat.


4. TIDAK BERHENTI SEKETIKA (THOMAKNINAH) DALAM RUKUK DAN SUJUD

Bila nak rukuk/sujud, jeda (tempoh) antara perbuatan tu kena jaga, dalam kadar lafaz "subhanallah".


5. SUJUD YANG TAK SEMPURNA.

Ketika sujud, ada 7 anggota yang wajib kena lantai sujud:

  • Muka (termasuk dahu dan hidung).
  • Kedua-dua tapak tangan.
  • Kedua-dua lutut.
  • Penghujung 2 tapak kaki (ibu jari)

6. TANGAN BERAYUN KETIKA I'TIDAL

Pergerakan anggota besar yang dilakukan 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Nak I'tidal, angkatlah tangan penuh tertib.


7. DADA BERPALING DARI KIBLAT

Kadangkala, sejadah kita dah letak elok menghadap kiblat, tetapi sedar tak, kadangkala dada kita tak tepat menghadap kiblat. Kalau kiblat menyerong, dada pun ikut menyerong juga.


8. MEMEJAMKAN MATA KETIKA SOLAT

Makruh sebenarnya kita memejamkan mata tanpa keperluan:


Jika kita memejamkan mata sebagai contoh untuk elak gangguan di sekitar kita dan dengan cara menutup mata untuk menambah kekhusyukan, maka ia dibolehkan.


Kawan-kawan,

Kita kena peka bab ini bersama-sama ya. Kadang kita tak sedar, solat kita sendiri jadi tak sah.


Bayangkanlah macam manalah kiraan solat-solat yang lepas kalau kita solat sambil lewa. Adakah ibadah kita itu diterima Allah atau sebaliknya?


Sama-sama kita perbaiki solat kita. Perbaiki solat, maka kita sedang perbaiki kehidupan kita.


Sharing is caring!

Sharhanah

Bangunlah Untuk Bersahur

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cuba tanya kepada diri sendiri, mengapakah sunnah mengalakkan kita bersahur? Kalau tak sahur pun tak ada salahnya kan? Cuma kita rugi untuk menikmati rahmat, nikmat dan barakah waktu itu. Jika kita tidak mahu menjamah makanan, setidak-tidaknya kita minum seteguk air.

Daripada Amru bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ada yang sahur pukul 12 tengah malam. Lepas tu tidur sampai subuh. Itu bukan sahur, tetapi supper. Terlepas keberkatan waktu sahur, dimana waktu ini adalah antara waktu paling mustajab untuk berdoa. Bangun awal juga dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajud dan amalkan zikir dan doa seperti di bawah;

Banyakkan istighfar;

Minta ampun kepada Allah;

Mohon hajat semasa di dunia (kebahagiaan rumahtangga, anak-anak yang soleh dan solehah, etc);

Minta urusan kematian kita dalam keadaan baik dan mudah (meninggal ketika solat, etc);

Minta lapangkan dan mudahkan kita di alam kubur sana. Jauhi fitnah kubur;

Minta urusan kita dimudahkan di akhirat (masuk syurga tanpa dihisab); dan 

Minta urusan orang lain dimudahkan (rakyat Palestin, saudara-mara & sahabat)

Allah berfirman:

“Siapakah yang berdoa kepadaKu, pasti Aku memperkenankan doanya. Siapa yang meminta daripadaKu, pasti Aku akan berikannya. Dan siapakah yang beristighfar memohon ampun padaKu, pasti Aku ampuni dia." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu juga, bersahur juga dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Jelaslah di sini, maka beruntungnya orang yang bersahur. Kita pilih yang mana??

Selamat menjalani ibadah puasa buat semua!

Sharhanah

Roh Yang Sihat

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon  yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Belajarlah menerima satu bebanan kesakitan itu dengan sebaiknya. Allah mendatangkan kesakitan itu bukan sebagai satu beban, pasti kita boleh bertahan kerana Allah tahu kita mampu hadapi kesakitan itu dan juga kerana Allah sayang akan hamba-hamba-Nya.

Setiap kesakitan yang kita hadapi akan mengkifarahkan dosa kita. Cuba kita perhatikan kehidupan Firaun, yang mana dia tidak pernah sakit. Allah memberikannya nikmat kesihatan, bersin pun tak pernah. Orang lain selalu sakit, Firaun tidak, sehinggakan dia menjadi angkuh dan mengaku diri sendiri tuhan. Dengan nikmat sihat itulah, Allah membinasakannya.

Kadang-kadang kesakitan yang Allah bagi adalah untuk meningkatkan martabat kita disisi-Nya.

Cuba kita perhatikan kisah Nabi Ayub a.s yang mana diberikan ujian kesakitan dan baginda tetap sabar menghadapi ujian tersebut. Dalam keadaan dirinya yang sakit ditambah pula dengan isteri dan anak-anaknya menjauhinya. Baginda tetap sabar menempuh kesakitan tersebut sehingga Allah menyembuhkannya dan meninggikan kedudukan Nabi Ayub disisi-Nya.

Kepada sahabat-sahabat yang sedang sakit, perbanyakkan selawat syifa’

“Ya Allah , berilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat berselawat ke atas baginda, akan menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakan juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda”.

Biar susah sedikit kerana Allah, untuk menghindar kesusahan yang besar…

Sharhanah

Amalan Doa Untuk Anak

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Amalan doa untuk anak

Anak-anak telah mula bersekolah hari ini. Selepas solat subuh, Sofea sudah siap sedia untuk ke sekolah. Zahra pula teruja dengan beg dan kasut baharu untuk ke sekolah agama. Tahun inilah, dia baru dapat beg baharu yang lebih berkualiti. Semalam, hantar Arissa dan Hariz balik ke asrama. Berjauhan beratus kilometer. Rindu tapi itulah.... Tetiba rasa sunyi dan kosong rumah ni.

Ya Allah, Yang Maha Pengasih permudah dan lancarkan urusan anak-anak di sekolah. Lindungilah mereka demi mendalami ilmu. Ya Allah, sesungguhnya kepada-Mu saya bertawakal dan berserah.
Sharhanah

Rezeki Orang Sakit

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Selagi ketentuan Allah bagi sakit itu belum menepati qadar Allah iaitu sembuh maka kekallah sakit itu biar pun pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan. Maka usaha kita itu dikira ibadah dan berbaik sangkalah kepada Allah dalam semua hal.

Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit, Allah akan utuskan 4 malaikat;

  1. Malaikat pertama akan mengambil selera makannya
  2. Malaikat kedua akan mengambil rezekinya
  3. Malaikat ketiga akan mengambil kecantikan. Wajahnya pucat.
  4. Malaikat keempat akan mengambil dosanya
Apabila sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hamba-Nya kembali sihat, Allah akan menyuruh malaikat pertama, kedua dan ketiga memberi balik apa yang telah diambil oleh mereka. Akan tetapi Allah tidak menyuruh malaikat keempat memberi balik dosa hamba-Nya. Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah kifarah dosa dan itulah sebesar rezeki dibawa pulang bertemu Allah. 

“Sakit itu kifarah dosa. Allah nak hapuskan dosa kita yang ada untuk digantikan dengan pahala sebab Allah sayang hamba-Nya”.

Sharhanah

Adab Ketika Berziarah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Hak kewajipan Muslim kepada Muslim yang lain ada lima; menjawab salam, menziarahi orang sakit, menghantar jenazahnya, memenuhi undangannya, menjawab ketika bersin (jika mengucap "Alhamdulillah" maka jawablah dengan "Yarhamukallah")". - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Adab Ketika Berziarah

  • Waris dan sahabat bersedekah bagi pihak pesakit.
  • Lunaskan hutang sesama manusia dan hutang dengan Allah seperti hutang nazar, zakat dan fidyah mahupun kafarah yang belum sempat ditunaikan.
  • Saling bermaaf-maafan dan berlapang dada dengan pesakit serta mendoakan.
  • Elakkan bergambar sedangkan pesakit dalam keadaan mengaibkan.
  • Santuni pesakit-pesakit lain dan waris mereka.
  • Nyatakan penghargaan kepada kakitangan hospital yang banyak membantu.
  • Lakukan ziarah pada waktu sesuai dan janganlah terlalu lama.
  • Bawa hadiah yang boleh membantu dan menggembirakan pesakit.
  • Nyatakan harapan sembuh dan pahala besar di sisi Allah apabila sabar dan tabah juga berbaik sangka kepadaNya.
  • Niat lah ziarah ku ini lillah kerana kasih sayang dan ukhwah kerana-Nya.
  • Berdoalah di sisi pesakit

Sharhanah

Sirah: Pembentukan Negara Madinah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pertama kali menjejaki ke bumi Madinah pada awal tahun 2020, sangat mengujakan. Perasaan yang sangat damai dan tenang di sini sehingga anak sulung saya terkeluar perkataan "tak nak balik" selepas kami mengerjakan solat Subuh berjemaah pertama di Masjid al-Nabawi.

Jom ikuti sirah tanah suci ini dengan lebih santai.

Peta Madinah


Madinah terletak di Semenanjung tanah Arab, iaitu di utara Mekah. Nama asalnya ialah Yathrib.

Penduduk Madinah terdiri daripada berbilang bangsa, qabilah dan agama. bidang perniagaan seperti perniagan tamar dan bijirin menjadi salah satu sumber ekonomi mereka. Peperangan dan persengketaan sering tercetus antara qabilah. Qabilah yang paling berpengaruh di Madinah adalah;

dalam kalangan orang Arab - Aus dan Khawarij

dalam kalangam orang Yahudi - Bani Qainuqa, Bani Nadhir, Bani Quraizah.

Asas Pembentukan Negara Madinah

Madinah ialah negara Islam yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad SAW. Setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda telah meletakkan tiga asas penting dalam pembentukan negara Madinah.

Asas pertama

Pembinaan Masjid al-Nabawi di tapak tanah dua anak yatim Bani Najar. Baginda dan para sahabat berganding bahu dalam pembinaan masjid ini. Baginda menjadikan masjid tempat kaum muslimin berhimpun dan melakukan pelbagai aktiviti.

Nabi Muhammad SAW menjadikan masjid berperanan sebagai:

  1. Pusat ibadah bagi mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT.
  2. Pusat pembelajaran Agama Islam dan perkembangan ilmu serta dakwah.
  3. Pusat pertemuan dan perhimpunan umat Islam untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Pusat pemerintahan yang menjadi tempat perbincangan Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat sebelum membuat sesuatu keputusan.

Asas kedua

Mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan Ansar

Kaum Muhajirin ialah para sahabat yang berhijrah bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.

Kaum Ansar pula ialah penduduk asal Madinah yang memeluk Islam dan banyak membantu baginda dalam penyebaran Islam. 

Contoh persaudaraan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW:

  • Abu Bakar as-Siddiq r.a dengan Kharrijah bin Zuhair r.a
  • Umar bin al-Qhatab r.a dengan 'Itban bin Malik r.a
  • Jaafar bin Abi Talib r.a dengan Muaz bin Jabal r.a

Akhlak yang diamalkan kaum Ansar untuk mengukuhkah silaturahim dengan kaum Muhajirin:

  1. Memberikan perlindungan
  2. Membantu menyediakan keperluan
  3. Berkongsi harta dan keuntungan

Persaudaraan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW berjaya menghapuskan perkauman jahiliyah yang mementingkan keturunan dan harta benda. Seterusnya, persaudaraan berjaya membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Asas ketiga

Pembinaan negara Madinah: Mewujudkan Piagam Madinah

Piagam Madinah ialah satu perjanjian bertulis yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Perjanjian itu mengandungi aturan kehidupan bersama-sama dengan golongan Muslimin dan bukan Islam, iaitu golongan Yahudi yang tinggal di Madinah. Perjanjian ini bertujuan menjaga keselamatan dan keamanan negara Madinah.

Isi kandungan Piagam Madinah

Antaranya termasuklah:

Kewajipan umat Islam saling melindungi, bantu-membantu dalam kebajikan, menentang kezaliman, pergaduhan dan perbuatan dosa.

Kedudukan kaum Yahudi dan orang bukan Islam.

Diberi kebebasan mengamalkan agama mereka dan mempunyai hak dalam beragama serta melakukan kebaikan.

Tanggungjawab semua penduduk Madinah

Memperakui Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara.

Memberikan sumbangan kepada negara, hidup bersatu padu dan berkerjasama mempertahankan Madinah daripada pemberontak dan segala bahaya kepada negara.

Setiap perbalahan diadili mengikut ajaran Islam.

Iktibar daripada peristiwa pembentukan negara Madinah

Masjid mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Kita hendaklah mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ibadah dan kemasyarakatan.

Memelihara dan mengeratkan silaturahim dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam.

Sikap hormat-menghormati dan toleransi dengan pelbagai kaum dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Kepimpinan Nabi Muhammad SAW  ialah contoh terbaik untuk dicontohi.

Bersikap adil, tegas dan mengutamakan kesejahteraan orang yang dipimpin.


Yang merindui,

Sharhanah