🌿 Let's Be Friends

Nak Keluarkan Duit Tabung Haji? Jangan Terlepas Pandang Caj & Tempoh Pindahan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ada kalanya kita perlu mengeluarkan wang daripada akaun Tabung Haji (Tabung Am), bila ada keperluan terdesak. Terdapat perbezaan caj bergantung kepada kaedah yang digunakan. Kalau dari Tabung Istito'ah, perlu pindah ke Tabung Am terlebih dahulu. Proses pindahan mengambil masa selama 10 hari bekerja. Lepas tu baru boleh pindah ke akaun bank pengdeposit. Ya, ia sangat mengambil masa.

THiJARI atau MAE?

Kalau guna laman web atau aplikasi THiJARI untuk membuat pindahan wang Tabung Haji (Tabung Am) ke akaun bank, caj sebanyak RM2 dikenakan bagi setiap transaksi.

Manakala, jika pindahan dibuat melalui MAE, caj yang dikenakan ialah RM1.

Kalau jumlahnya kecil, beza RM1 mungkin nampak tidak begitu besar. Tetapi kalau sudah tahu ada pilihan yang lebih murah, mestilah kita akan pilih caj yang paling rendah, kan? 

Bagi saya, RM1 tetap RM1. Kalau boleh jimat, kenapa perlu bayar lebih?

Satu lagi perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah tempoh pemindahan wang.

Jika pindahan dibuat melalui MAE, wang biasanya dikreditkan ke akaun Maybank pada hari yang sama. Kalau pindahan melalui THiJARI mengambil masa sehingga 3 hari bekerja dan hari permohonan dibuat tidak dikira sebagai hari pertama.

Contohnya, jika kita membuat permohonan pindahan pada hari Jumaat, jangan terus mengharapkan wang masuk pada hari Isnin.

Dengan mengambil kira hari bekerja, wang tersebut boleh dikreditkan ke akaun bank selewat-lewatnya sekitar hari Rabu, tertakluk kepada proses dan waktu pemprosesan pihak berkaitan.

Sebab itu, jangan buat permohonan pada saat-saat akhir kalau guna THiJARI.

Caj RM2... Untuk maklumat lanjut sila ke pautan website rasmi Tabung Haji

Pindahan guna MAE. Caj RM1 dikenakan dan duit masuk pada hari yang sama

Rancang kewangan dengan baik

Kalau memang dah tahu perlukan wang daripada Tabung Haji, buatlah perancangan lebih awal. Jangan tunggu sehingga duit diperlukan hari ini, baru hendak buat pindahan. Memang masaklah!

Kesimpulannya, sebelum membuat pengeluaran atau pindahan wang Tabung Haji, semak dahulu:

  • Kaedah pindahan yang hendak digunakan.
  • Caj yang dikenakan.
  • Tempoh pemprosesan.
  • Tarikh wang diperlukan.
  • Baki simpanan selepas pengeluaran

Apa yang paling penting, pastikan setiap pengeluaran dibuat dengan perancangan yang baik dan mengikut keperluan, supaya matlamat utama menyimpan di Tabung Haji tidak terjejas.

Bagi saya, merancang kewangan bukan sekadar tentang berapa banyak duit yang kita ada, tetapi berapa kos yang perlu kita tanggung untuk mendapatkannya.

Jadi, kalau sesiapa yang ada keperluan kewangan... silalah rancang lebih awal, jangan lupa ambil kira tempoh 3 hari bekerja tersebut ya.

Rancang awal, elakkan panik kemudian.

- Sharhanah

1 comment: