Tentang Saya


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيم

Dalam alam maya, saya lebih suka dikenali dengan nama Sharhanah. Saya anak tengah daripada tujuh beradik, seorang isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata.

Lahir dan membesar berteman angin pulau di utara Semenanjung, malah di sana jugalah tempat menimba ilmu. Jiwa memang 'Utagha sangat'! Namun takdir membawa langkah menapak di Selangor, hingga kini hampir dua dekad lamanya.

Saya berkelulusan dalam bidang Pengajian Perniagaan. Berbelas tahun bekerja dalam bidang pengurusan maklumat, khususnya dalam industri media. Akhirnya, saya berhenti kerja di penghujung usia 30-an.

Kini, saya bekerja dari rumah (WFH) sebagai pembantu tadbir, di samping menguruskan perniagaan dalam talian secara kecil-kecilan.

Kalau nak tahu, saya minat fotografi, mengembara dan berekreasi. Bagi saya, semua itu adalah cara untuk berehat seketika daripada rutin harian.

Tahun 2007~2015 saya aktif berblog dengan pengikut hampir cecah 300 orang. Saya terus menyepi pada tahun berikutnya. Waktu tu, sebab sibuk mengurus anak-anak yang masih kecil dengan bekerja ulang-alik dari rumah, letih. Mungkin juga penangan media sosial seperti FB, Instagram lagi best kot. Saya terus tinggalkan blog. Blog saya mula bersawang.

Tahun 2021, saya kembali menulis blog. Kali ini dengan akaun blog yang baharu dan mungkin sedikit lebih matang. Bukan untuk mengejar apa-apa, tetapi sekadar mahu berkongsi cerita dan mencatat pengalaman apa yang saya lalui.

Harapnya, setiap perkongsian ada sesuatu yang boleh dibawa pulang oleh pembaca. Walaupun kecil, biarlah ada manfaatnya. Kerana akhirnya, saya cuma mahu menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Mana tahu, perkongsian kecil ini boleh menjadi salah satu bekalan untuk akhirat sana. 

Jadi, salam kenal semua! 

Sharhanah