Seminggu Sofea Bergelar Mahasiswi: Cerita Hari Pendaftaran

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, Sofea dah seminggu berada di alam universiti.

Perasaan? Agak teruja tengok dia melangkah ke alam universiti, tapi dalam masa yang sama, terfikir juga dapat ke sesuaikan diri dengan suasana baharu?  

Sehari Sebelum Hantar, Kami Dah Ronda Dulu

Urusan menghantar Sofea minggu lepas berjalan lancar. Salah satu sebabnya, sehari sebelum hari pendaftaran, kami dah ambil peluang untuk meronda kawasan universiti.

Dari tempat penginapan, fakulti, masjid sampailah ke tempat makan, semuanya kami cuba tengok dulu. Sekurang-kurangnya, bila tiba hari pendaftaran, taklah tercari-cari arah dan kelam-kabut sangat.

Maklumlah, kawasan universiti bukannya kecil. Kalau pertama kali datang, memang boleh jadi sedikit keliru. Jadi, bagi saya, elok juga kalau dapat luangkan masa sehari lebih awal untuk kenal kawasan sekeliling.

Urusan Pendaftaran Pun Mudah

Pihak universiti dah maklumkan supaya kami mencetak nama kolej kediaman dan meletakkannya di bahagian hadapan cermin kereta.

Jadi, bila sampai di kawasan universiti, mudahlah pihak bertugas mengenal pasti kolej kediaman pelajar. Sepanjang perjalanan masuk, ada krew dan staf dari balai keselamatan universiti yang membantu menunjukkan arah.

Sampai ke tempat pendaftaran, proses mengambil kunci bilik pun sekejap sahaja, asalkan tiada masalah dengan sistem e-Daftar.

Bab Roommate, Kena Tunggu Kawan!

Ada satu perkara tentang Sofea yang memang kami dah tahu awal-awal.

Dia nak sebilik dengan kawan matrikulasi yang pernah belajar sekelas dengannya dulu. Jadi, terpaksalah menunggu kawan sampai supaya mereka boleh mendaftar bersama-sama. Tapi, program mereka tak sama. Fakulti je sama. Sekurang-kurangnya, ada juga kawan kan. 

Alhamdulillah, rezeki mereka. Memang dapat sebilik!

Bagi saya, bagus juga kalau ada kawan yang sudah dikenali untuk memulakan kehidupan di tempat baharu. Taklah rasa terlalu asing pada hari-hari pertama. Tapi dalam masa yang sama, harapnya mereka dapat juga berkenalan dengan lebih ramai kawan baharu sepanjang berada di universiti nanti.

Angkut Barang Beramai-ramai

Selesai mengambil kunci, kami terus bergerak ke kolej kediaman untuk menghantar barang-barang Sofea.

Haa, bab inilah baru terasa penatnya! 

Tempat parkir agak terhad, jadi kami terpaksa menapak agak jauh dari tempat kereta ke kolej kediaman. Barang pula bukannya sedikit. Maka, berangkutlah kami sekeluarga mengangkat barang Sofea.

Beg pakaian, barang keperluan harian dan macam-macam lagi. Biasalah, bila anak nak duduk jauh dari rumah, macam-macam mak fikir perlu dibawa. Takut nanti ada yang tertinggal atau tak cukup. Nak kena beli pula.

Sampai di bilik, kami terus kemas mana yang patut. Sapu lantai, lap meja, lap almari dan susun barang-barang supaya bilik nampak lebih bersih dan selesa.

Sekurang-kurangnya, selesailah sedikit urusan sebelum kami meninggalkan Sofea untuk memulakan rutin hariannya sebagai seorang mahasiswi. Biarlah permulaannya dalam keadaan yang kemas dan selesa.

Tak Rancang Pun Nak Singgah Jumpa Arissa

Selesai urusan Sofea, saya dan yang lain pun bersiap untuk bergerak pulang.

Sebenarnya, kami tak merancang pun nak singgah berjumpa anak kedua, Arissa. Tapi bila dah berada di kawasan sana, rasa macam elok juga singgah sekejap.

Jadi, kami belikan sedikit barang untuk Arissa sebelum meneruskan perjalanan pulang.

Tak boleh lama-lama sangat. Adik-adik mereka pula perlu ke sekolah keesokan harinya. Maknanya, kehidupan di rumah tetap perlu berjalan seperti biasa walaupun kakak-kakak dah mula membawa haluan masing-masing.

Begitulah rutin seorang mak. Urusan anak yang seorang selesai, teringat pula anak yang seorang lagi. Semua ada keperluan dan cerita masing-masing.

Pelik, Tak Rasa Sedih Sangat Pun!

Kalau orang tanya, sedih tak hantar anak masuk universiti? Sejujurnya, saya tak rasa sedih pun. Reda. Mungkin sebab kakak-kakak dah besar dan saya sendiri tahu mereka sedang melalui fasa kehidupan yang memang sepatutnya mereka lalui. 

Tapi itulah kehidupan. Anak-anak membesar, dan tugas kita sebagai ibu bapa adalah menyediakan mereka untuk menghadapi dunia di luar sana.

Doa seorang mak, semoga anak-anak sentiasa dalam lindungan Allah, dipermudahkan segala urusan pengajian, ditemukan dengan kawan-kawan yang baik, yang bukan sekadar menemani suka dan duka, tetapi juga saling mengingatkan tentang solat dan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. 

Semoga perjalanan menuntut ilmu ini menjadi pengalaman yang indah dan penuh makna buat Sofea dan Arissa juga. 

- Sharhanah

No comments:

Post a Comment