🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Attractions. Show all posts
Showing posts with label Attractions. Show all posts

Kali Kedua ke Fraser’s Hill - Februari 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Fraser’s Hill. Walaupun sebelum ini saya hampir bersumpah tidak akan kembali akibat perjalanan yang berliku dan mencabar, akhirnya saya akur, ada tarikan yang terlalu kuat untuk ditolak.


Keindahan alam, ketenangan yang mendamaikan jiwa serta suasana sejuk yang menenangkan hati menjadikan destinasi ini bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi panggilan untuk kembali sekali lagi.

Ya, hari biasa. Jaraknya lebih kurang 120km dari rumah. Taklah dekat, tapi cukup untuk rasa macam pergi “healing trip” singkat.

Bezanya kali ini, saya dan suami hanya membawa anak nombor dua — yang kini sedang menunggu penuh debar keputusan SPM 2025. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Dulu, saya pernah datang bersama tiga orang anak, tetapi ketika itu dia tidak dapat ikut kerana tinggal di asrama. Jadi trip kali ini memang khas untuk dia seorang. Yang lain semua di sekolah, jadi terasa lebih eksklusif — macam “mini getaway” khas buat anak yang sedang menanti fasa baru dalam hidupnya.

Kami bertolak seawal 8 pagi, melalui jalan lama Ulu Yam menuju ke Kuala Kubu Bharu. Tapau bihun goreng di gerai makan dan berkelah di Empangan Sungai Selangor. 

Cuaca pagi itu memang cantik, cerah dan nyaman. Angin tasik menyapa lembut, rasa tenang sebelum memulakan perjalanan yang berliku.

Masuk saja jalan mendaki, selekoh demi selekoh buat jantung berdebar. Walaupun tak setakut dulu, tetap juga kecut perut bila fikir kalau ada kereta tiba-tiba muncul di depan. Jalan sempit dan berliku, memang kena fokus betul-betul. Dalam hati tak putus berdoa semoga perjalanan kami selamat sampai ke destinasi.

Semakin tinggi kami mendaki, suhu makin dingin. Telinga pula terasa berdesing sedikit sebab tekanan. Terus saya tutup aircond dan buka tingkap sikit — nikmatnya hirup udara sejuk semula jadi!

Kami tiba di Bukir Fraser sekitar jam 12 tengah hari. Perkara pertama? Lari ke tandas awam dulu! 😄 Lepas tu barulah santai berjalan kaki sekitar pekan Fraser’s Hill. Kami singgah di Menara Jam yang ikonik tu. Di kawasan tu ada balai polis, pejabat pos, klinik kesihatan, kedai runcit, hotel dan restoran. 

Uniknya, di sinilah terletaknya sempadan antara Selangor dan Pahang. Kedai Makan Kheng Yuen Lee berada di bahagian Selangor — tapi percayalah, selangkah saja melangkah ke depan, dah rasmi masuk negeri Pahang! Rasa macam boleh “travel dua negeri dalam satu minit”.

Kami memilih Restoran Cattelya di Puncak Inn (bahagian Pahang) untuk makan tengahari. Ruang makan kemas, bersih dan pemandangan luar memang lawa. Saya order sup cendawan bersama roti bakar, set nasi paprik ikan, Nescafe dan teh O ais 2 gelas. Paprik tu memang sedap! Cuma sup cendawan kurang kena dengan selera saya. Total RM37.50.

Lepas makan, kami nekad kali ini tak mahu jadi “pelancong sekitar menara jam” sahaja. Dulu datang, situ jugalah tempat lepaknya. Rupa-rupanya banyak lagi sudut menarik yang kami tak sempat terokai.

Kami parking kereta di Taman Awam Bukit Fraser — kawasan yang lebih santai dengan food court dan taman permainan. Dari situ, kami berjalan ke view point. Subhanallah… suasana tenang dengan pemandangan hijau terbentang luas. Memang rasa nak duduk lama-lama, tapi biasalah… masa selalu mencemburui. Banyak lagi tempat menunggu untuk diteroka, jadi kami simpan rasa tenang itu dalam hati dan teruskan perjalanan.

Taman Eko Rimba Jeriau 

Destinasi seterusnya — Air Terjun Jeriau. Dalam 4km juga nak sampai. Jalannya dua hala, sempit dan berliku. Ada rasa macam nak patah balik… menyesal pun ada. Hahaha... tapi kami teruskan juga. Sampai sekitar jam 2 petang.

Kami park kereta dan mula berjalan masuk ke kawasan tersebut. Kebetulan ada empat orang sedang rancak berbual di situ. Tak sangka pula, rupa-rupanya suami kenal salah seorang daripada mereka. Memang betul orang kata, dunia ini kecil saja!

Sempatlah mereka bertanya khabar sekejap sebelum memberi sedikit panduan. Kata mereka, kalau nak sampai ke air terjun, kena terus berjalan sampai habis laluan. Jadi tanpa berlengah, kami pun teruskan langkah dengan rasa teruja untuk melihat sendiri keindahan yang menanti di hujung jalan.

Persekitarannya cantik, bersih dan terjaga. Air sungai mengalir jernih, bunyinya menenangkan. Kami menuruni anak-anak tangga… eh, kenapa air terjun di bawah? Selalunya bukan di atas ke? Rupanya air terjun di sini berketinggian antara 10 hingga 30 meter, dengan sungai dan kolam yang jernih.

Kawasan ini dikelilingi Hutan Dipterokarp — ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal dengan pokok tinggi seperti Meranti, Keruing dan Kapur. Memang rasa macam berada dalam dokumentari alam semula jadi.

Antara tarikan di sini:

* Sungai jernih

* Air terjun

* Tapak perkhemahan & berkelah

* Memerhati burung

* Flora hutan

Kemudahan pun lengkap — ada pondok rehat, tandas, surau dan parkir.

Saya sempat cuci muka dengan air sungai. MasyaAllah… sejuk sampai terasa ke tulang, tapi segar!

Masa nak naik semula anak tangga… haaa, baru tahu langit tinggi rendah. Jenuh juga! Anak yang muda pun mengah. Kalau ada baju salin dan masa lebih, memang saya dah mandi sungai. Tambah pula tak ramai orang — masa itu cuma ada sepasang pelancong warga emas dari Barat.

Singgah The Paddock


Sebelum pulang, kami singgah di The Paddock. Kawasannya cantik, dihiasi pokok-pokok conifer yang buat rasa macam di luar negara. Anak saya naik kuda — RM10 untuk satu pusingan. Jadilah, sekadar lepaskan rindu. Kali terakhir dia naik kuda masa umur 3 tahun!

Petang itu kami pulang ikut jalan yang sama. Sempat juga saya berangan nak ikut jalan Raub… tapi tengok jarak, terus fikir dua kali. Kecualilah kalau nak sambung ke Cameron Highlands, kan?

Walaupun penat, perjalanan kali ini penuh rasa syukur. Kadang-kadang bukan tempat itu yang paling penting, tapi siapa yang ada bersama kita sepanjang perjalanan. Untunglah, dia jadi anak tunggal beberapa jam!❤️

Sharhanah

Ke Tempat Yang Tidak Dirancang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari itu bermula tanpa sebarang pelan besar. Kebetulan saya off day, dan entah dari mana datangnya keinginan spontan untuk menikmati sarapan pagi di luar bersama suami — sekadar mahu memenuhi ruang waktu, tanpa tergesa-gesa.

Hidangan saya bersama air suam

Pinggan suami

Hidangan terhidang sederhana tetapi sarat dengan rasa: nasi putih, rebung masak lemak, terung dan bendi masak cili, serta kari kambing. Makanan kampung yang tidak cuba memikat mata, namun cukup kuat membuatkan hati terasa pulang — tenang, akrab, dan jujur. Total RM15.

Selesai makan, kami saling berpandangan.

Tiada destinasi disebut, tiada jadual dirujuk.

Namun tanpa dirancang, stereng diputar dan kereta mula meluncur perlahan ke arah Kuala Klawang, kira-kira 58 kilometer dari tempat kami bermula.

Jalan Yang Bercerita

Perjalanan ke sana tidak pernah lurus. Jalan yang bengkang-bengkok dan berliku mengajak kami bergerak perlahan, dengan bukit-bukau di sebelah kiri berdiri setia, seolah-olah menjadi saksi bisu setiap detik perjalanan.

Kenderaan yang berselisih atau mengekori dari belakang amat sedikit, menjadikan jalan ini terasa lebih sunyi seperti dikhaskan hanya untuk kami sambil alam yang menemani.

Ada yang mencuri perhatian saya ialah burung-burung layang-layang yang terbang rendah, bermain-main di atas jalan raya seolah-olah  tahu tiada bahaya hari itu.

Suasana sepanjang perjalanan terasa redup dan sejuk, dilindungi pohon-pohon hutan dan dihiasi pokok-pokok paku pakis yang tumbuh subur di tepi laluan melengkapkan kehijauan yang mendamaikan mata dan jiwa.

Kampung Esok, esok la kita pergi

Berhenti, Bukan Untuk Bergegas

Sekitar jam 11 pagi, kami tiba di pekan Kuala Klawang.

Berhampiran Masjid Jamek Kuala Klawang, ada sebuah bukit kecil bernama Bukit Tajali. Terus terang, saya tidak tahu apa istimewanya tempat ini. Malas juga hendak mencari jawapan di Google — lagipun saya ke sini bukan kerana kerja, bukan juga untuk memburu harta karun.

Saya datang tanpa misi.

Jadi saya pilih cara paling jujur: panjat dahulu. Biar kaki yang letih ini mengenalinya dulu. Nanti, bila sampai ke atas, mungkin tempat ini sendiri akan memperkenalkan dirinya — tanpa perlu soalan, tanpa perlu jawapan segera.

Bukit Tajali (dahulu dikenali sebagai Bukit Undang

Terik matahari mula terasa dan anak-anak tangga Jelebu History Trail mula menguji kudrat — penatnya terasa lebih cepat, mungkin kerana usia yang tidak lagi muda.


Namun di puncak, angin bertiup kuat. Bukan angin yang mengganggu, tetapi angin yang menenangkan menghapuskan lelah yang tertinggal di tangga tadi.

Dari atas sana, pekan Kuala Klawang kelihatan kecil, sunyi dan damai, mengajar kami bahawa hidup ini tidak selalu perlu dikejar.

Pemandangan pekan Kuala Klawang dari Bukit Tajali

Ok... rupanya, di atas bukit ini, tersimpan dua tinggalan sejarah yang diam tetapi sarat makna.

Yang pertama ialah Batu Peringatan Inggeris, diasaskan secara bergotong-royong pada Jun 1897 sebagai lambang kesetiaan penduduk Jelebu terhadap pemerintahan Ratu Great Britain pada ketika itu. Batu ini bukan sekadar penanda masa, tetapi cerminan sebuah era dan perpaduan masyarakat pelbagai latar yang pernah bersatu.

Yang kedua ialah tangki air lama, dibina pada tahun 1928, yang suatu ketika dahulu menjadi sumber bekalan air penting untuk penduduk sekitar. Ia berdiri sebagai saksi bisu keperluan asas kehidupan — air, yang menyatukan manusia tanpa mengira zaman.

Di puncak bukit ini, sejarah dan alam seakan berjalan seiring, mengingatkan kita bahawa setiap tempat punya ceritanya sendiri, jika kita sudi berhenti dan mendengar.

Kolam tadahan atau tangki air lama ini pernah menjadi nadi kehidupan penduduk setempat. 


Pulang Dengan Rasa Yang Berbeza

Kami pulang melalui jalan yang sama. Laluan tidak berubah, walaupun pada awalnya ada juga terlintas untuk pulang melalui Lebuhraya LEKAS. Namun jalan itu sudah terlalu biasa.

Anehnya, meskipun laluan tetap sama, rasa di dalam diri entah mengapa berbeza. Perjalanan pulang terasa lebih singkat, seolah-olah masa bergerak lebih pantas apabila hati sudah terisi.

Kami selamat sampai di rumah hampir waktu Zohor.

Pengajaran Dari Perjalanan Pendek

Perjalanan ini tidak dirancang. Tiada senarai tempat, tiada gambar sempurna yang dikejar.

Namun, ia mengajar sesuatu yang sederhana tetapi bermakna. Kadang-kadang, yang kita perlukan bukan percutian jauh, tetapi keberanian untuk berhenti sekejap dan menikmati apa yang ada.

Hari cuti itu mungkin tidak memberi cerita luar biasa, tetapi ia menghadiahkan ketenangan yang jarang singgah bersama suami tersayang.

Dan mungkin, itu sudah lebih daripada cukup.

Sharhanah

Tapak Perkhemahan Di Port Dickson

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pemandangan malam di H&n Campsite

Ada yang suka berkhemah? Atau yang suka sangat dengan pantai dan laut? Kalau suka, saya ada cadangan. Saya dah beberapa kali ke H&n Campsite yang terletak di Jalan Pantai, Batu 4, Port Dickson.

Tapak perkhemahan ni agak unik. Kiri, pemandangan pokok bakau. Kanan, pemandangan pantai dan depan, pemandangan laut. Kiranya, ia berada di kawasan tanjung. Macam kita berkhemah di tengah-tengah laut gitew.

H&n Campsite, dekat dengan Pantai Saujana.

Pertama kali saya pergi berkhemah 2H1M selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu tu tak ramai sangat. Senang nak cari tapak untuk dirikan khemah. Saya bawa sendiri khemah. Pacak betul-betul depan open sea. Angin bayu membawa diri ku... Sepintas lalu ku terkenang kan muuu...🎶 Eh!

Caj tapak yang dikenakan hanyalah RM30 (sekarang dah RM50/tapak). Ada kemudahan seperti sewaan khemah, kabin surau, beberapa buah tandas dan bilik mandi, parkir, kereta sorong (untuk bawa barang ke tapak), genset untuk lampu dan plug point juga disediakan.

Di sini bolehlah buat aktiviti seperti memancing, BBQ, berenang, membina istana pasir, menangkap ketam, mengumpul siput waktu air surut dan menyaksikan matahari terbenam.

Tak bawa bekalan makanan? Jangan susah hati... keluar sedikit ke jalan raya utama, banyak gerai makan sedang menunggu. Cuma buka dan tak buka je la. Berhampiran stesen minyak, ada pasar malam. Boleh lah nak tapau bawa balik ke khemah. Makan tepi laut bertemankan cahaya lampu.

Kadang, saya tidak bermalam disebabkan suami kerja esoknya. Hanya santai-santai dalam khemah dan melayan karenah anak-anak mandi laut. Pernah juga saya buat kerja sambil menikmati deruan ombak. Baca di sini. Bestkan.. tapi, kena pastikan bateri telefon penuh lah.

Cuma yang tak best, waktu puncak, waktu pengunjung ramai. Nak dapat tapak best, memang susah sikit. Baru-baru ni saya ke sana lagi, tepi laut semua dah penuh dengan khemah. Saya dapat pacak di bawah pokok. Kekurangan? Tak privacy sebab laluan pengujung, agak panas sebab terlindung daripada laluan angin dan agak jauh nak ke tebing. Itu yang malas nak melepak dalam khemah. Panasss...

Kalau duduk sebelah kiri, seram pula tengok pokok-pokok bakau. Di bahagian hadapan, kalau air surut... nampak pemandangan bongkah batu. Rasanya tanjung buatan kot (ditambak)... ya, sebelah kanan port paling best. View pantai, laut yang luas… dekat dengan tebing, boleh duduk sambil celup kaki bila air pasang. Tapi, port ni cepat habis...

Lagi satu bab tandas dan bilik mandi. Lagi-lagi dah nak masuk maghrib. Waktu tu la ramai yang nak guna.. waktu puncak, jenuh menunggu. Lepas penat menunggu, waktu giliran kita nak mandi, air pula habis. Hahaha... naya. Kalau subuh tu, kena bangun awal tau.

So far, tempat ni best je. Kalau anak-anak ajak ke pantai, memang ke sinilah kami. Tak bawa khemah, kami bentang tikar melepak di Pantai Saujana. Nampaklah H&N Campsite dari jauh. 

You happy, we happy.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan: Klik SINI

Cahaya matahari menembusi awan

Sedap dia tidooo..
Sharhanah

2H1M di Bandar Temerloh, Pahang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Baru-baru ini, saya ke Temerloh atas satu urusan. Saya pergi bersama suami dan anak lelaki. Jarang kami bermalam di sana. Selalunya balik hari. Kali ini, suami cadangkan agar kami bermalam dan boleh juga berjumpa dengan anak nombor dua yang belajar di sana. Suami malas nak bertolak awal pagi memandangkan dia tak berapa sihat hari sebelumnya. Maka, santai-santai lah perjalanan kami bila bertolak awal sehari.

Dalam pukul 5 petang, kami sampai di Bandar Temerloh untuk daftar masuk di Hotel Merrinton. Saya menempah 4 hari awal di atas talian dengan mendapat harga terendah di Agoda untuk bilik Triple Deluxe. Urusan daftar masuk pun pantas, hanya tunjukkan tempahan yang diterima, tunjuk MyKad dan serahkan wang sekuriti deposit RM50 bersama RM3 (Caj Kelestarian Negeri Pahang). Terima kad kunci terus menuju ke bilik.

Baringkan dia untuk memudahkan urusan mengambil pakaian.

Katil single yang berada di tengah

Keadaan bilik hotel sebaik sahaja kami sampai sangat bersih dan kemas. Ada kemudahan internet, TV satelit/kabel, air botol minuman, kopi 3 dalam 1, almari, peti sejuk, penyangkut baju, tuala mandi, cecair mandian, meja, kerusi, telefon, penyaman udara, hot shower, tisu tandas dan kemudahan CCTV yang membolehkan tetamu memantau kenderaan masing-masing menerusi paparan skrin TV. So far, kemudahan ini dah okey sangat untuk kami berehat sebelum menyelesaikan urusan kami esoknya. 

Saya menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum mengambil anak perempuan saya di asrama. Selepas mengambil anak, kami menikmati hidangan malam berdekatan dengan hotel tersebut. Rupanya, sangat mudah untuk mencari makan di sini. Kedai makan bersepah. Disebabkan saya teringin nak makan makanan barat, maka kami memilih Warung Acu.

Untuk menempah, isi kod menu di dalam kertas order (pen disediakan). Kod menu, boleh refer pada buku menu. Lepas tu, beri je kertas order kepada pelayan. Tunggu sehingga hidangan sampai.

Masa menunggu dalam 20 minit juga lah. Sebelum tu, kami dihidangkan dengan kerepek yang sedap. Air minuman pun sampai. Saya order air suam, hot chocolate, carrot juice dan minuman koko berais. Minum-minum dulu sambil sembang dengan anak perempuan saya. Sebenarnya dia dalam mood peperiksaan. Seronoklah dia, dapat keluar.

Complimentary kerepek ubi

Anak perempuan saya makan ni je... dia kata dah kenyang makan dekat asrama

Hidangan pilihan saya... lambchop. Lama tak makan. Huhuhu

Pilihan suami... ayam + daging + sosej + makaroni + coleslow

isi kod dan kuantiti... yang jadi 2 tu, anak lelaki saya nak juga tiru maknya.

Alhamdulillah, makanan dan minuman semua sedap. Kenyang betul. Patutlah ramai pelanggan yang datang. Sos lada hitam dia saya puji sebab sedap. Pernah makan di KL, kuah terlampau pekat la pula. Kalau macam ni, memang datang lagi la. Insha-Allah.

Harga dalam RM134 untuk 7 item. Ok tak? Bagi saya.. sesekali ok je. Jarang keluarga saya makan makanan macam ni. Puas makan siap tapau bawa balik bilik. Hahaha.. kami jenis makan tak banyak. Kecuali suami. Rasanya tak boleh nak habis sebab minum air bersusu. Cepat kenyang. Patutnya order air lemon je kan.

Pemandangan sisi Warung Acu.. semoga terus menghidangkan makanan yang sedap

Selepas makan, kami pun balik ke bilik untuk bersihkan diri, solat dan tidur. Suami ke dobi (di bawah hotel) untuk membasuh pakaian. Kebetulan anak saya bawa pakaian yang tak sempat dibasuh. Saya yang sejenis tidur awal, memang belayar dulu lah. 

Cuma nak bagitau, tilam hotel ini tak sesedap tilam Coway di rumah saya. Setiap katil ada 2 biji bantal. Saya tak guna bantal untuk tidur sebab sakit leher. Rasanya, kalau orang lain okey kot. Aircond pun okey je. Takde lah terlampau sejuk.

Oh ya, nak gitau juga... Air di bilik mandi sangat laju. Mandi puas. Bilik air dan tandas bersih. Saya bagi 5 bintang!

Esoknya, selepas subuh... Kami mandi dan mengemas untuk daftar keluar. Sebab apa awal? Urusan di luar bermula pada 8 pagi. Mana nak cari breakfast dulu kan. Saya terus hantar kad kunci. Yang best dekat sini, sentiasa ada staf di kaunter. Wang sekuriti saya dikembalikan. Staf pun baik dan berbudi bahasa. Boleh repeat kalau gaya macam ni. Hihihi

Kami berhenti makan di warung tepi jalan, Makwe. Di situ banyak jenis kuih-muih dan lauk pauk. Ada nasi dagang, nasi lemak dan nasi hujan panas. Fuh! Meriah. Tau saya ambil apa???

Bihun goreng je.

Kuih-muih kat sini lima ploh sen. Saya ambil kuih apam, pau goreng Malaysia dan pau inti kelapa. Saiz comel je. Lupa nak snap. Anak saya kata, popia sira tu sedap. Patutlah habis awal.

Lepas makan, terus ke tempat yang dituju untuk selesaikan urusan. Lepas selesai semua, saya ke Taman Esplanade Temerloh yang terletak di pesisir Sungai Pahang berhampiran Dataran Patin.

Pernah datang 2 kali, tapi kali ini banyak masa untuk menikmati keindahan sekeliling. Anak saya kata, selalunya hujan. Tapi, hari tu....cuaca sangat cantik. Panas pulak tu. Huhuhu

Tempat lepak-lepak sambil bincang masa depan

Tak pasti masih beroperasi ke tidak.

Konon nak naik jambatan gantung, tak jadi sebab panas dan perut tengah kenyang. Di bawah tu, macam bangsal terapung. Mudah para nelayan untuk berlindung daripada panas dan hujan bila menurunkan hasil tangkapan.

Jeti kah?

View terus ke sungai dari daratan.

Sungai dekat Pahang besar dan luas.  Kalau sungai dekat kampung saya (Pulau Pinang), kecil, jernih dan berbatu.

Laluan untuk turunkan perahu/bot.

Pokok jenis rain tree.

Pernah dengar nama Kuala Semantan dalam buku himpunan novel zaman kakak sekolah menengah. Sekitar tahun 80-an. 

Dulu tak pernah terfikir boleh kerap ke sini. Kalau negeri Pahang, pernah sampai Cameron Highlands je.

Lepas pusing-pusing kawasan sini, saya singgah membeli buah. Buah tangan untuk dibawa balik ke rumah dan buah tangan untuk dibawa balik ke asrama anak.

Saya beli sebab buah nampak segar. Tak macam di tempat saya, susah nak dapat yang elok. Huhuhu. Yang ini puas makan, manis pulak tu.

Pelbagai buah-buahan. Saya beli yang anak-anak suka je la.

Jambu air tu geram tengok... Cuma saya tak boleh nak makan sejak berumur ni haaa...

Selepas 2 plastik tapau masuk bonet, kami ke Semantan Walk. Anak nak beli barang sikit. Dia tahu la kawasan sini sebab kerap balik Kl naik bas.

Pemandangan hadapan. Penuh dengan gerai jalan. Konon nak beli churros depan ni, anak kata sedap... Rupanya tutup.

Masuk ke kedai beli selendang la... T-shirt la... Dia paw mak dia betul-betul ni. Lepas tu lintas jalan ke Watson. Beli barang dia juga, kemudian ke Family Mart. Maknya teringin nak makan bagel. Beli la satu, habuan nak merasa. Rupanya memang sedap. Blueberry tu tak manis... Roti tu dah la rangup. Memang kena dengan tu tekak maknya.

Makan satu pun dah kenyang... Alhamdulillah 
Dekat Temerloh ni best pula rasanya... Semua ada. Dekat-dekat pula tu. Kalau ada urusan dekat sini memang senang. Senang juga nak cari.

Jauh-jauh datang, dia cari ni jugak. Katanya, yang dekat rumah kecik saiznya. Ini besar. Murah pulak tu.

Selepas membeli-belah, kami pun dah nak balik. Hantar anak dulu balik ke asrama. Cuaca panas, bikin kami semua mengantuk. Masuk lebuhraya, singgah RnR untuk solat jamak Zohor dan Asar. Lepas tu, lapar la pulak. Keluar lebuhraya cari gerai makan. Dapat la makan nasi ayam penyet. Sedap. Sambal sedap dan ayam goreng pun rangup dan rasa segar. Lupa pula nama gerai ni.

Tauhu dan tempe pun sedap. Selalunya asyik dapat ayam keras la.. Sambal tak sedap la.. Ini memang terbaik! Makan pula tepi anak sungai. Syahdu.

Alhamdulillah, lepas makan... Kami meneruskan perjalanan pulang. Walaupun dua hari 1 malam je di Temerloh, kami tetap enjoy. Kebarangkalian untuk datang lagi sangat tinggi. Nanti nak kena bawa semua anak, belanja makan di Warung Acu.

Tiberrrr......balik ikut jalan lama...condition jalan teruk. Nyesal pula ikut kata hati. Tapi dapat lalu Gombak Utara, seumur hidup tak pernah sampai.

Sharhanah 

Empangan Timah Tasoh - Petang Yang Mengasyikkan!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dari homestay ke Dataran Empangan Timah Tasoh sejauh 11.3 kilometer yang mengambil masa selama 13 minit. Kami sampai pun tak ramai orang. Mungkin sebab hari Isnin kan. Lagipun dah pukul 6.45 petang. Ya, misi nak layan sunset.

Untuk kawasan parkir, tiada bayaran khas diminta. Cuma ikutlah nak bagi berapa. Ada tabung disediakan berdekatan dengan tempat tersebut.

Kami terus berjalan menuju ke gigi air. Sepanjang perjalanan tu, ada perkhidmatan sewa bot dan ATV. Untuk yang berminat, boleh lah mencuba. Lupa pula nak catit harga.

Cuaca hari ini memang asyik mendung aje. Payah rasanya nak dapat tengok matahari disebabkan keadaan langit yang penuh dengan awan.

Sekali dapat tengok dua fenomena dalam satu masa. Hujan di sebelah kanan dan sebelah kiri tiada hujan. 

Dua fenomena dalam 1 gambar
Anak-anak saya yang sekolah rendah sibuk main air. Yang dua orang remaja pula, sibuk berswafoto. Saya? melepak dia atas buaian sambil melayan pemandangan indah. Encik suami pula sibuk mencari tempat yang banyak ikan. Eh!

Ada juga beberapa group sedang asyik mengambil gambar. Memang indah kejadian gambar tu nanti. Tengok dengan kepala mata sendiri, lagilah... betapa hebatnya ciptaan Allah. Subhanallah!

Saya juga mengambil peluang untuk mengambil gambar. Untuk sampai lagi, entah bila la.

Zoom sket. Sapa nak main hujan, sila ke kanan.

Pemandangan empangan pada pukul 7:09 petang

...demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah kekuasaanNya, kebijaksanaanNya, dan keluasan rahmatNya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran.(Al-Baqarah 2:164)

Awan kelabu
Kajian mendapati mereka yang suka dan menghargai nature atau alam semula jadi ini adalah seorang yang mempunyai sifat gembira, lebih sihat dan lebih kreatif.

Ada betulnya. Sebab, saya jumpa ada orang tak suka langsung alam semula jadi. Baginya, biasa sangat dan membuang masa. Patutlah hidupnya payah nak nampak gembira. Serius memanjang.

Lonely tree... awak keseorangan yer? Meh saya temankan

Peace no war
Kami melepak tak lama pun. Si bongsu dah mengadu lapar. Dia memang macam tu. Pergi mana pun. Dalam kepala saya ni, dekat mana la nak cari makan. Nak ke Kangar, macam jauh la pulak. Dah nak masuk Maghrib.

Sambil berjalan ke parkir, dari jauh nampak gerai makan yang masih beroperasi. Apa lagi, saya pilih gerai makan ini je la. Duduk dan order. Masing-masing kebulur nampak gayanya.

Kami order 6 pinggan nasi goreng pelbagai citarasa. Portion banyak, bila makan, Alhamdulillah... sedapnya...  memang payah nak dapat dekat lembah klang rasa macam ni. Licin semuanya. Tak sakit mata bila tengok semua nasi goreng habis.

Empangan Timah Tasoh waktu sampai

Selepas membayar, kami pulang terus ke homestay. Ada pula kisah yang berlaku... nak tau??? tunggu next entry ya.

Klik untuk baca entry percutian kami di Perlis:

Sharhanah