Cerita Raya 1444H

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada rakan pembaca sekalian. Semoga amalan di bulan Ramadan diterima dan dosa-dosa kita mendapat keampunan oleh Allah.

Raya tahun ini, agak lain ceritanya. 

Pertama, beli baju raya anak-anak pada pagi 27 Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Saya bawa semua anak. Senang nanti nak pilih. Jenuh juga nak mencari ditambah terik matahari yang memancar. Dapat grab 3 pasang baju anak-anak perempuan saya. Ngam-ngam ada 3 helai sahaja. Saiz pula ngam-ngam dengan diorang. Syukur!

Awal-awal, mana ada lapar lagi. Cuma agak letih berjalan. Tinggal baju anak lelaki je yang masih mencari. Nak samakan warna dengan kakak-kakak dan adiknya jer. Berpeluh kami. Si adik, dah berbisik pada saya,"Mama, saya dahaga".

"Baik, lepas dapat baju abang, kita cari air." Jawab saya sambil mata meliar mencari baju si abang.

Jalan punya jalan, kami ke Jakel sahaja. Kena aircond, legaaa. Dalam tu banyak pilihan baju. Cuma, harga tak begitu rahmah walaupun tertera di situ harga rahmah. Baju dah sesuai, dah pula tak sama warna. At last, grab warna hitam premium. Selesai masalah. Harganya, 1 baju anak lelaki bersamaan 3 baju anak-anak perempuan. Nak cari yang murah, memang takde. Redha je la. Lagipun, si abang ni puasa penuh.

Sebelum pukul 12 tengahari kami dah dalam perjalanan balik ke rumah. Si bongsu, mengaku kalah. Dapatlah secawan air sejuk untuknya. Patutlah dia nampak letih sungguh, sahur pagi tadi dia ambil sedikit susu dan bijirin koko sahaja.

"Mama, tahun depan tak nak dah shopping waktu bulan puasa! Beli awal la...", si kakak sulung mencebik dari belakang tempat duduk kereta.

"Yo la.. yo laa... mama sebenarnya prefer online jer. Tapi kalau dah lewat macam ni, maunya raya ke-7 baru baju raya korang sampai" saya menjeling abahnya. Hihihi

Balik rumah, semua pengsan dulu. Malam, baru memperaga dan basuh sebelum dipakai di hari raya nanti.

Kedua, balik kampung pada 29 Ramadan. Seronoklah dengar lagu-lagu raya semasa dalam perjalanan pulang. Jarang benar kami balik sebelum raya. Selalunya, balik malam raya... macam tahun lepas, raya terkejut... balik pada hari raya pertama. Sampai kampung, dah malam. Dah masuk Syawal ke-2. Sedih.

Lagi 5 jam nak sampai kampung, mak telefon bagitau 2 orang anak buah saya kemalangan jalan raya. Sorang maut. Ya, Allah... waktu tu lemah dan hilang keseronokan nak balik kampung. Suasana rasa sepi seketika. Ya, sepupu anak-anak saya. Umurnya baru 18 tahun. Baru habis belajar. Sedihnya....

Waktu berbuka, kami masih belum sampai. Singgah di restoran baru berbuka dan solat jamak sekali. Saya makan pun tak lalu. Order murtabak, tiada rasa langsung. Kami terus menuju ke hospital daerah dimana jenazah diuruskan. Nampak kakak baru lepas pulang dari surau. Kami menunggu di Jabatan Forensik dari proses post-mortem sehingga urusan memandikan jenazah selesai.

Urusan pengebumian pada pagi Jumaat selesai semuanya pada pukul 4 pagi. Barulah saya sekeluarga pulang ke rumah mak. Lagi sejam 2 jam dah nak masuk subuh. Lelap sejam dalam kereta, pukul 5 lebih.. baru saya masuk ke rumah untuk sahur. Letih bukan kepalang ditambah tak cukup tidur sejak packing pakaian nak balik kampung selepas Subuh semalam. Inilah akibatnya, kalau buat kerja disaat akhir. Rehat pun tak cukup.

Syukur juga raya hari Sabtu. Kalau jatuh hari Jumaat... agak-agaknya, pagi raya kami masih berdengkur.

Ketiga, kami dapat tol percuma pergi dan balik bernilai hampir RM80! Waktu balik tu, saya ingat tak dapat sebab masuk lebuhraya pada 23hb. Rupanya percuma bila sampai di tol duta pada 24hb! Kami sampai di laluan tol pada pukul 12.02 tengah malam. Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah dan selamat juga poket.

Oh ya, raya kali ni... dapat berkumpul 5 daripada 7 orang adik beradik. Abang dah meninggal 2013 lalu, manakala lagi sorang tu, tak muncul tiba walaupun rumahnya di sebelah. Meriah walaupun kami saja. Itu belum campur 4 orang kakak yang berlainan mak. Lagi lah meriah! Anak, cucu.. cicit ayah... memang tak muat rumah. Petang pula, beraya ke rumah-rumah mak dan bapa saudara. Lengkap!

Walaupun masing-masing masih terkejut dan sedih, tetapi semua redha. Ada hikmahnya. Anak buah yang sorang lagi hanya cedera ringan dan masih fobia untuk keluar beraya. Moga dia kuat semangat hendaknya untuk meneruskan kehidupan. Ayah saya, raya pertama baru nampak air matanya. Sedih, kehilangan cucu yang selalu ada.

Saya dan suami, pakai baju yang masih elok. Anak-anak sahaja yang berbaju baharu. Kemain seronok depa. Begitulah saya pun, masa kecik... mak ayah bertungkus lumus dapatkan kami baju raya baharu setiap tahun, siap kasut raya. Malam tak boleh tidur sebab tak sabar nak pakai esoknya. Nak beraya dengan kawan-kawan keliling kampung. Ah, mengimbau kenangan betul.

Moga, diberi kesempatan oleh Allah... tahun depan dapat berpuasa di bulan Ramadan dan dapat lagi berhari raya bersama sanak saudara. Insha-Allah.

Semak di sebelah bendang... Umur semakin kurang hari demi hari...

Sharhanah

6 comments:

  1. Salam takziah. Selamat hari raya. Hari raya bagi orang dewasa ialah kemeriahan bersama kaum keluarga. Yang penting dapat berkumpul bersama sanak saudara mengeratkan silaturahim sesama keluarga.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas ucapan.
    Benar sangat, meriah dapat berkumpul setahun sekali.

    ReplyDelete
  3. salam takziah...memang mengejutkan sgt la yer.. al fatihah buat arwah..moga dicucuri rahmat & ditempatkan dikalangan org2 yg beriman..aamiin..
    selamat hari raya di sini..salam kenal!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas ucapan dan doanya.

      Salam kenal mummy_ayu 😊

      Delete
  4. Salam ziarah, Salam kenal dan Salam takziah buat puan sekeluarga. Mudah-mudahan Allah tempatkan arwah di kalangan para solihin aamiin 🀲

    Dapat bayangkan kepenatandan kesedihan tu, sbb kami juga pernah diuji kehilangan org tersayang, dapat berita di pertengahan musafir :( Apapun kita redha dgn takdir-Nya.

    ReplyDelete
  5. Aamiin... Terima kasih atas ucapan dan doanya.

    Pertama kali merasai pengalaman dapat berita sedih ketika bermusafir. Perasaan bercampur baur.

    ReplyDelete

⚠️πƒπ’π¬πœπ₯𝐚𝐒𝐦𝐞𝐫 Semua komen yang telah disiarkan adalah tanggungjawab sepenuhnya ke atas penulis itu sendiri. Pemilik blog tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang permasalahan berkaitan dengan komen yang disiarkan. Mana-mana komen yang berbentuk iklan, mengandungi link/url yang mencurigakan, mengandungi kata-kata kesat dan maki hamun tidak akan disiarkan. Harap maklum, terima kasih.

Featured Post πŸ₯•

Cantiknya Turkiye!

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang Hampir 2 bulan trip ke Turkiye menjadi kenangan. Saya masih tidak dapat menghabiskan ...