Hari sebelum berangkat pulang ke tanah air, masa diisi dengan aktiviti santai dengan bersiar-siar di sekitar hotel penginapan. Memandangkan niat asal saya adalah fokus kepada kembara ibadah dan baki duit belanja sudah kekeringan, saya memutuskan untuk tak meluangkan masa dengan membeli-belah.
Mujurlah, anak saya seorang yang sangat memahami. Dia langsung tak merengek meminta beli itu dan ini, malah nampak dia cukup happy dan tenang melangkah di sisi saya. Saya sekadar membeli sehelai jubah sahaja buat kenang-kenangan, manakala selebihnya waktu yang berbaki kami gunakan bersama-sama untuk menghayati dan merakam sedalam-dalamnya setiap detik terakhir di bumi barakah ni.
Keesokan paginya, emosi sayu mula menyelubungi tangkai hati. Usai menunaikan solat Subuh berjemaah, kami melangkah hiba melaksanakan Tawaf Wada’(tawaf selamat tinggal) yang bakal memisahkan jasad kami dengan Baitullah.
Setiap langkah mengelilingi Kaabah ketika tu rasa sangat berat, malah kaki ini benar-benar enggan beranjak. Hati dirundung sebak dan dada terasa begitu sesak menahan tangis bila memikirkan entah bilakah masanya lagi Allah akan memilih dan menjemput kami untuk kembali menjadi tetamu-Nya di sini.
Sepanjang detik sayu itu, anak saya juga lebih banyak mendiamkan diri. Mungkin tubuhnya sudah terlalu letih setelah berhari-hari menempuh kembara yang panjang. Namun di sebalik bungkamnya itu, saya tahu emosinya turut tersentuh. Matanya terpaku memandang sayu ke arah Kaabah, menzahirkan isyarat rindu yang sama berkibar di dalam dada.
![]() |
| Bas dah sampai |
Namun masa berlalu begitu pantas. Kira-kira jam 8:00 pagi, bas jemaah sudah pun sedia menunggu di pekarangan hotel untuk membawa kami menuju ke lapangan terbang bagi urusan penerbangan pulang... ia bakal meninggalkan sejuta rindu yang tertinggal di bumi Mekah sebentar lagi.
Sebalik rasa sedih nak tinggalkan kota Mekah, terselit juga gelombang rindu yang amat sarat buat suami dengan tiga orang lagi anak yang ditinggalkan dekat Malaysia. Tapi kan, dalam syahdu-syahdu tu, ada satu perasaan yang kelakar pulak... tekak saya tiba-tiba diserang rindu yang luar biasa dekat laksa! Hahaha. Entah kenapa, masa dalam perjalanan nak ke lapangan terbang tu, bayangan semangkuk laksa yang masam-masam pedas begitu tebal bermain dekat minda, buatkan saya tersangat mengidam gila.
Rupa-rupanya, sejauh mana pun kaki melangkah, jiwa dan selera tetap kembali ke tanah tumpahnya darah sendiri.
![]() |
| Beg saya dan anak |
Perjalanan pulang merentas awan berjalan lancar dan setibanya di KLIA, suami sudah sedia menunggu untuk membawa kami pulang. Namun, sebaik menjejakkan kaki ke bumi Malaysia, saya mengalami jet lag yang agak teruk sehingga mengambil masa tiga hingga empat hari untuk kembali bertenaga.
Di sebalik ketenangan dan limpahan rahmat sepanjang berada di Tanah Suci, rupa-rupanya tersimpan beberapa pengalaman misteri yang sukar saya lupakan, malah di luar jangkaan akal. Apakah yang sebenarnya berlaku? Insya-Allah, saya akan kongsikan kisah penuh dalam entri seterusnya.
Kini, kembara suci itu sudah pun melabuhkan tirai sejarahnya. Namun, rindu yang mendalam pada Madinah yang mendamaikan, serta debaran syahdu pada Mekah yang sentiasa hidup, tidak akan pernah padam daripada tangkai hati. Terima kasih Ya Allah atas jemputan agung yang begitu menyentuh jiwa ini. Moga setiap khilaf kami diampunkan, dan semoga kami kembali terpilih lagi untuk menjadi Duyufurrahman-Mu pada masa akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.
-Tamat-
![]() |
| Inilah barisan jemaah yang menjadi 'keluarga besar' kami sepanjang berada di Tanah Suci. Jutaan terima kasih juga buat pihak agensi pelancongan, MIMM TRAVEL & TOURS SDN BHD Tertinggal episod lepas? Klik pautan INI untuk ke entri sebelumnya. |
Nota Penafian: Segala perkongsian dalam kisah ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi, ingatan, dan apa yang saya lalui sepanjang kembara umrah 2020. Catatan sirah yang diselitkan pula adalah sekadar perkongsian santai hasil pembacaan awam dan rujukan asas kami sebagai ziarah sejarah. Jika ada sebarang kesilapan fakta sirah, susunan tempat, atau kecacatan maklumat, ia datang daripada kelemahan ingatan saya sendiri. Untuk rujukan hukum-hakam ibadah atau fakta sirah yang lebih tepat, amat digalakkan untuk merujuk kepada para asatizah atau mutawwif yang bertauliah.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan