Episod 5: Gema Doa di Baitullah & Makan Malam di Bumi Arafah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 

Pakej umrah kami didatangkan sekali bersama dengan sarapan pagi di hotel. Seawal pagi, dewan makan sudah dipenuhi dengan pelbagai jenis hidangan yang menyelerakan… daripada menu tempatan Arab sehinggalah menu antarabangsa. Namun, anak sulung saya tetap dengan selera Malaysia dan budak-budaknya. Dia hanya mengambil susu dan bijirin (cereal) sahaja. Katanya, dia tak pandai nak makan menu yang lain. Biarlah, asalkan perutnya terisi dan dia bertenaga untuk meneruskan ibadah pada hari itu.
Tangan memegang kiswah kaabah

jag susu segar
Susu wajib minum

menu hidangan nasi di hotel Mekah
Pinggan mak dia

Kata orang, jemaah biasanya agak menyusut dan tak terlalu ramai lepas waktu sarapan pagi. Memikirkan peluang keemasan tu, kami berdua segera turun mengatur langkah menuju ke Masjidil Haram.

Agak berdebar apabila memikirkan saya mengambil keputusan nekad untuk turun berdua sahaja dengan anak tanpa telefon. Saat tu, kami benar-benar berjalan berdua berbekalkan sekaut tawakal... berserah diri bulat-bulat di bawah jagaan dan peliharaan-Nya.

senaskah al-quran dengan pemandangan kaabah dari bilik hotel
View kaabah dari bilik

Allah memberikan rezeki yang sangat besar buat kami dapat peluang merapatkan diri ke dinding Baitullah. Air mata tumpah jua apabila jemari kami akhirnya dapat menyentuh kain Kiswah (kelambu hitam Kaabah) yang tersangat harum itu. Di situ, kami berdiri erat, menunaikan solat sunat, dan menumpahkan segala doa serta hajat yang terbuku di dalam hati. Sukar digambarkan perasaan hamba yang kerdil ni bila berada begitu dekat dengan rumah-Nya.

Di sebalik rezeki tu, ada satu kisah. Sewaktu di Madinah, saya ada membeli sepasang selipar baharu, namun saiznya agak besar dan longgar sedikit apabila dipakai.

Waktu nak balik, kami berpusing-pusing mencari rak tempat kami menyimpan uncang selipar. Kalau bawa telefon boleh ambil gambar nombor rak atau nombor tiang berdekatan. Selepas puas mencari, akhirnya rak tersebut ditemui. Namun, ada sesuatu yang pelik berlaku apabila saya menyarungkan semula selipar saya.

Eh, kenapa saiznya tiba-tiba terasa begitu ngam dan muat elok di kaki?

Ikut logik akal, mustahil selipar itu tertukar dengan jemaah lain. Selipar itu elok sahaja diletakkan dalam uncang bersama selipar anak saya  Malah, rekaannya juga serupa, cuma saiznya sahaja yang tiba-tiba berubah menjadi begitu sempurna untuk kaki saya. Entah tertukar dengan jemaah lain atau bagaimana, saya pun kurang pasti. Akhirnya, saya reda dan pakai sajalah selipar tu untuk berjalan pulang ke hotel. Tak kan nak berkaki ayam pula.

Bila malam mula melabuhkan tirainya, kembara kami bertukar rentak. Tirai kesibukan kota Mekah kami tinggalkan seketika demi memenuhi jemputan malam yang sangat istimewa. Kami dibawa membelah keheningan malam menuju ke luar kota sebab nak merasai pengalaman unik menikmati makan malam di bawah langit terbuka Padang Arafah, sebuah tempat berhimpunnya jutaan jemaah haji dari seluruh pelosok dunia.

makan malam di padang arafah
Sedikit persiapan

bergambar dengan background jabal rahmah
Kami... Berlatarbelakangkan Jabal Rahmah

Hidangan nasi arab dalam talam di padang arafah
1 talam 4 orang

Pengalamannya tersangatlah unik dan santai. Kami duduk bersila beramai-ramai di atas tikar yang dibentang terus di atas bumi Arafah yang bersejarah. Menu malam tu adalah nasi Arab yang dihidangkan dalam talam, dimakan bersama-sama di bawah langit malam yang tenang. Apa yang membuatkan suasana malam itu begitu terpesona adalah Jabal Rahmah iaitu bukit kasih sayang tempat pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawa. Makan malam yang sederhana itu terasa begitu nikmat di bumi yang penuh barakah.

Malam semakin larut, dan esok, kembara kami akan diteruskan ke sebuah kota tanah tinggi yang terkenal dengan kedinginan dan kisah sirah tauladan Rasulullah SAW... 

Bersambung…

Tertinggal bahagian lepas? Klik pautan INI untuk ke entri sebelumnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan