Pada awal fasa perancangan, terdetik rasa malas untuk menyertai ekspedisi ni. Namun, anak sulung saya bersungguh-sungguh duk mengajak.
"Mama, jomlah. Rugi je datang Mekah tak ke Gua Hira," katanya memberi semangat.
Kata-katanya itu mengetuk pintu kesedaran saya. Benar, peluang ini mungkin datang hanya sekali seumur hidup. Fikiran saya melayang memikirkan masa hadapan; andai ditakdirkan saya dapat kembali ke Tanah Suci pada masa akan datang, belum tentu waktu itu lutut saya masih kuat.
Mungkin ketika itu saya sudah sakit sendi, bertongkat, atau sudah terlalu tua dan ketiadaan kudrat. Terasa rugi yang amat sangat jika peluang keemasan ini dilepaskan macam tu je. Memikirkan gunung-gunung di Semenanjung Malaysia pun boleh saya gagahi untuk panjat sebelum ini, masakan bukit penuh barakah ini mahu saya tolak? Akhirnya, saya kuatkan semangat dan berkata pada diri, "Saya ikut lah!"
Tepat jam 2:00 pagi, kami berkumpul di lobi bawah sebelum menaiki teksi. Perjalanan tidak mengambil masa yang lama. Kurang 7KM kami sudah tiba di kaki Jabal Nur. Cuma sepanjang perjalanan itu, kecut perut juga melihat keadaan jalan rayanya yang sangat berbukit dan curam.
Kami memulakan pendakian. Laluan mendaki ke puncak kini semuanya sudah dilengkapi dengan binaan anak tangga. Melihat tangga-tangga batu yang tersusun itu, fikiran saya mula melayang membayangkan sirah silam.
Dulu, mana ada semua kemudahan tangga ni. Hati saya disengat rasa sayu dan takjub yang teramat sangat. Bagaimanalah sukarnya keadaan Rasulullah SAW mendaki gunung yang gersang dan berbatu tajam ni semata-mata untuk bersunyi diri (tahannuth) mendambakan kedekatan dengan Allah?
Bagaimana pula hebatnya kekuatan fizikal dan cinta agung isteri Baginda, Sayidatina Khadijah R.A., yang sanggup mendaki laluan sukar ini saban hari demi menghantarkan bekalan makanan kepada suami tercinta? Pengorbanan mereka tersangatlah besar.
Saya pula malam itu mendaki dengan memakai jubah. Namun, syukur alhamdulillah, aturan Allah itu maha memudahkan; langkah kaki saya terasa sangat ringan dan mudah menapak. Mujurlah awal-awal lagi saya sudah bersedia memakai seluar panjang di sebelah dalam jubah, jadi pergerakan melangkah anak tangga terasa agak bebas.
Setiap kali terasa lelah, kami akan melakukan take 5 (berhenti sekejap untuk mengumpul nafas) sebelum menyambung semula pendakian. Terdapat gerai kecil di sekitar checkpoint pendakian yang menjual bekalan air mineral, cenderamata dan keperluan asas untuk para pendaki.
Setelah hampir sejam mendaki, kaki kami akhirnya berjaya menjejakkan kaki di kemuncak Jabal Nur. Kelihatan beberapa kumpulan pendaki sudah pun memenuhi ruang menunggu untuk ke Gua Hira!
Untuk memasuki gua bersejarah ni, kami kena menunggu giliran sebab saiznya yang tersangat terhad. Hanya sekitar 3 meter panjang dan 1.3 meter lebar sahaja. Laluan masuknya juga sangat mencabar; pintunya tersangat sempit dan kami perlu menyusup berhati-hati di celah dua batuan besar yang kelebarannya cuma sekitar 60 sentimeter.
Memandangkan jumlah pengunjung yang datang boleh mencecah ribuan orang sehari, sistem giliran yang ketat dilaksanakan. Setiap jemaah terpaksa berbaris panjang dan hanya diberikan masa beberapa minit sahaja di dalam gua bagi memberi peluang adil kepada orang lain.
Dengan izin Allah, kami berpeluang meloloskan diri masuk ke dalam ruang gua yang tersangat sempit itu. Berada di dalam ruang batu tersebut, jiwa saya terasa tersangat dekat dengan sirah Nabi SAW. Di sinilah tempatnya Jibril A.S. memeluk erat tubuh Rasulullah SAW sambil membacakan wahyu pertama: Iqra'! (Bacalah!).
Tidak lama kemudian, kami melangkah keluar dari perut gua, bersedia mencari ruang bersujud memandangkan waktu Subuh hanya berbaki beberapa minit sahaja lagi. Berdiri di atas permatang tinggi dalam cengkaman kedinginan pagi, atmosfera bertukar menjadi sangat syahdu apabila sayup-sayup laungan azan mula berkumandang bersahut-sahutan memecah kesunyian malam dari corong masjid-masjid di lembah bawah.
Dari kejauhan, pancaran cahaya hijau daripada menara jam berdiri megah, membelah fajar dan menjadi saujana pandangan kami yang terpaku. Di atas puncak suci inilah, berbumbungkan langit yang kian memutih, kami menunaikan solat Subuh berjemaah dengan penuh khusyuk, melarutkan segenap rasa kerdil diri di hadapan Penguasa Alam.
Selesai sahaja solat dan membaca doa, kami semua berdiri tegak menantikan satu momen yang paling dinanti-nantikan oleh setiap pendaki iaitu detik matahari terbit. Masha-Allah, apabila cahaya emas mula memecah kegelapan dan menyinari seluruh Kota Makkah dari puncak Jabal Nur, keindahannya tersangatlah magis dan memukau pandangan. Segala lelah dan jerih payah mendaki tadi hilang serta-merta, digantikan dengan rasa syukur yang melangit ke hadrat-Nya.
Kami mula melangkah turun menuruni anak-anak tangga untuk pulang. Perjalanan turun dirasakan jauh lebih mudah dan laju, cuma kalinya ada debaran lain pula yang menguji. Suasana agak cemas apabila laluan kami dipenuhi dengan kehadiran kawanan monyet liar yang agak agresif. Huhuhu! Kami hanya mampu melangkah laju sambil berdoa di dalam hati.
Alhamdulillah, dengan perlindungan dan peliharaan-Nya, kami akhirnya selamat menjejakkan kaki semula di kaki Jabal Nur. Detik santai tadi bertukar rentak apabila kami menyedari waktu sarapan pagi di hotel sudah semakin suntuk.
Di tepi jalan, kami berdiri dengan penuh debaran menanti teksi yang sudi berhenti. Sebaik sahaja sebuah teksi berjaya ditahan, kami terus meluru masuk, mengejar masa untuk pulang ke hotel demi mengisi perut yang mula berkeroncong. Sungguh pun penat, kembara rohani awal pagi menjejaki puncak Jabal Nur itu akan selamanya terpahat sebagai antara memori paling indah dan mahal dalam hidup kami.
Namun, di sebalik kehangatan kegembiraan itu, hati saya tiba-tiba disapa satu rasa sayu yang amat dalam. Langkah kaki kami di kota suci ini sudah semakin terhad. Esok merupakan hari terakhir kami di bumi Makkah, sebelum tiba masanya untuk kami melangkah keluar dan berangkat pulang ke tanah air...Bersambung…
Tertinggal bahagian lepas? Klik pautan INI untuk ke entri sebelumnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan