Featured Post

Episod 6: Kedinginan Taif & Lipatan Sirah yang Meruntun Jiwa

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ 

Kembara kami kali ini diteruskan menuju ke Kota Taif, sebuah kota tanah tinggi yang terletak sekitar 90 kilometer dari kota Mekah. Di sebalik kedinginan udaranya yang menyegarkan, kota ini menyimpan lipatan sejarah sirah yang sangat meruntun jiwa iaitu tempat di mana Rasulullah SAW pernah dilempari batu, dihina, dan diusir dengan kejam ketika cuba menyampaikan dakwah Islam. Justeru, lawatan ke Taif ini bukan sekadar untuk menikmati keindahan panorama, tetapi sebuah ziarah wajib untuk kami menyelami sendiri sisa-sisa keperitan perjuangan baginda, sekali gus mendidik hati agar lebih menghargai nikmat iman yang dikecap hari ini.

Perpustakaan Abdullah Bin Abbas

Destinasi pertama kami setibanya di sana adalah Masjid Abdullah bin Abbas. Rupa-rupanya, rezeki kami hari tu bertembung dengan lambakan jemaah yang luar biasa ramainya. Keadaan di perkarangan masjid tersangat padat dengan pelawat sehinggakan kami langsung tak berpeluang untuk melangkah masuk ke dalam. Akur dengan aturan-Nya, kami berdua mengambil keputusan untuk sekadar berehat di luar sambil menikmati aiskrim tempatan bagi menyejukkan tekak.

Kilang bunga ros Al Kamal Taif
Wangiii...

Destinasi kami seterusnya ialah kilang bunga ros Al Kamal Taif. Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, aroma haruman mawar Taif yang begitu eksklusif dan mewah terus menyapa deria bau... menyuntik rasa tenang yang luar biasa, macam membasuh segala lelah. Usai menyaksikan sendiri ketelitian proses penyulingan wangian warisan itu, kami meneruskan kembara menuju ke sebuah rumah rehat. 

Masha-Allah, rumah rehat itu tersangatlah cantik! Di halamannya, tumbuh subur pohon-pohon lavender yang mengeluarkan warna ungu yang lembut. Suasana di situ tersangatlah dingin. Bayangkan, kedinginannya sampaikan ke tahap mahu mengambil wuduk pun dirasakan bagai satu 'perjuangan' yang memerlukan kekuatan mental yang tinggi. Bercinta betul rasanya setiap kali kulit tersentuh air yang sejuk membeku tu!

Rumah Rehat di Taif
Rasa nak duduk lama sikit kat sini. Tenang dan damai

Bunga lavender di Taif
Bunga lavender di sebelah rumah tersebut

Pintu masuk rumah rehat di Taif
View luar pintu dari dalam rumah.

Dalam perjalanan balik dari pergunungan Taif menuju ke kota Makkah, kami disajikan pula dengan pemandangan unik yang jarang sekali dapat dilihat di tanah air. Kami terserempak dengan kawanan kambing gebu yang mempunyai bulu tebal. Comel! 

Kambing di Taif
Jom baliks... 

Sebelum melabuhkan tirai ziarah di kota tanah tinggi ini, kami sempat singgah sekejap di pasar buah tempatan. Suasana pasar begitu meriah, dipenuhi dengan lambakan buah-buahan segar yang ranum, dipetik terus dari bumi Taif yang terkenal dengan kesuburannya. Rambang mata kami dibuatnya melihat kepelbagaian hasil bumi di sini. Satu bungkusan demi bungkusan kami borong sebagai buah tangan manis untuk dibawa pulang buat bekal perjalanan.

Buah-buahan segar di pasar Taif
Segar-segar belaka

Buah limau di Taif
Manis tak?

Buah-buahan segar di pasar Taif
Aaihhh... macam nak beli kesemuanya!

Jarum jam dah pun menghampiri waktu Maghrib masa kami menjejakkan kaki semula dekat hotel penginapan. Tanpa melengah masa, tubuh yang kian longlai ni segera direhatkan sebab satu lagi kembara besar yang bakal menguji ketahanan fizikal dengan mental kami dah pun menanti dekat depan mata pukul 2 pagi esoknya!

Nak tahu destinasi ekstrem kami yang seterusnya? Kenalah tunggu episod akan datang!

Bersambung…

Tertinggal bahagian lepas? Klik pautan INI untuk ke entri sebelumnya.

1 ulasan:

  1. Sama tempat ziarah Taif kita, Masyaa Allah.. Perjalanan ke Taif penuh airmata melihat susahnya Rasulullah saw berjalan kaki menyebarkan Islam namun di sambut dengan kedukaan. Kini Taif sebuah kota yang subur dan penuh keindahan..

    BalasPadam