Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
![]() |
| Sofea (berdiri di tengah) bergambar bersama rakan sekelas |
Sekali lagi, dia berada di persekitaran baru, matrikulasi. Kali ini, tiada langsung kawan dari sekolah lamanya. Hanya seorang, itupun di matrik jauh di sebelah utara Semenanjung. Tak hairanlah dia risau, takut sokmo. Saya cuma kata, “Sabar… nanti bila belajar sini, ramai kawan”.
Cabarannya, dia tidak pernah duduk di asrama. Hanya menempek di rumah sepanjang hidupnya. Semua rutin baharu, semua suasana asing dan jauh dari keluarga. Dia perlu belajar berdikari sepenuhnya. Cabaran kedua pula, majoriti pelajar matrikulasi adalah dari sekolah berasrama penuh yang sudah lama pandai berdikari. Persaingan memang sengit tapi sihat. Sebagai ibu bapa, saya hanya mampu menitipkan kata-kata semangat, lembut tetapi penuh dorongan agar dia terus kuat melalui cabaran tu semua.
Kebanyakan subjek pula diajar dalam Bahasa Inggeris. Bagi anak kampung seperti dia, tiga bulan pertama benar-benar menguji untuk menyesuaikan diri dengan bahasa, suasana dan rentak pembelajaran yang pantas. Namun Alhamdulillah, dengan izin Allah dan usaha yang tidak putus, di akhir semester pertama dia memperoleh CGPA 3.92. Walaupun nilai skor tak dapat 4.00 rata, saya dah bersyukur sebab dia mampu mengikut rentak program ini. Mana taknya, laju macam bullet train! Kalau lambat, kena tinggal.
Semester kedua matrik pula, cabaran masih ada, tapi dia semakin biasa dengan ritma kelas, tugasan, dan rakan-rakan. Katanya kawan-kawan semua best, tenaga pengajar pun sporting. Tanya apa pun, diorang banyak membantu. Tapi, untuk presentation... dia masih tak yakin.
![]() |
| Dari sekolah rendah sampai ke pra-U dia memang gagap |
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Hari ini kami menerima khabar gembira apabila dia berjaya memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan PSPM Semester II. Kejayaan ini pastinya hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh, disiplin dalam pembelajaran serta doa dan sokongan daripada keluarga dan para pensyarah.
Buat masa ini, dia sedang bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan permohonan UPU diumumkan. Selain mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat, pengalaman bekerja ini juga memberi peluang untuk mengenali dunia pekerjaan, belajar berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta membina sikap bertanggungjawab dan berdikari.
Semoga pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja ini menjadi bekalan yang berharga dalam proses menuju alam dewasa. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan, dikurniakan pilihan yang terbaik untuk menyambung pengajian, dan terus cemerlang dalam setiap langkah kehidupan.
Daripada kisah anak sulung saya, saya belajar satu perkara besar. Setiap anak ada garis masa sendiri. Ada yang mekar awal, ada yang mekar perlahan. Tugas kita bukan memaksa bunga itu cepat kembang. Tugas kita menyiram, membaja, dan mendoakan. Kerana akhirnya, kejayaan sebenar bukan pada berapa banyak A di kertas keputusan. Tetapi pada sejauh mana kita membesarkan mereka dengan sabar, doa, dan hati yang reda.
Mohon doakan agar anak saya terus dikurniakan kejayaan di peringkat ijazah pula. Perjalanannya selepas ini belum kita ketahui, namun kami yakin setiap langkah telah Allah aturkan sebaiknya. Semoga pengalaman di matrikulasi menjadi bekal dan panduan untuk dia melangkah lebih matang, tabah dan berilmu.
Sharhanah
Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah
Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran
Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh
Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa


No comments:
Post a Comment