πŸͺ

Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya pernah diam-diam berhenti berharap pada anak sulung saya.

Bukan kerana dia nakal.

Bukan kerana dia gagal.

Tetapi kerana dia terlalu… terlalu biasa.

Kisah perjalanan anak sulung saya bermula di Hospital Kuala Lumpur. Tahun 2007, pada tarikh yang kononnya “cantik”, rupanya penuh sesak dengan tangisan pertama para bayi yang berebut melihat dunia. Ibu-ibu berbaju pink bersilih ganti masuk ke labour room. Wad penuh. Katil tiada. Saya dan bayi kecil saya “menetap” hampir tiga jam di tepi koridor labour room menunggu katil di wad kosong. Di situ, saya kaku. Anak sulung. Saya langsung tak tahu cara menyusukannya dengan betul.  saya pandang wajah kecil itu lama-lama. Dalam hati berbisik, “Maafkan ibu… ibu belum pandai.”

Saya tidak tahu waktu itu, Allah sedang menulis kisahnya dengan cara yang tidak tergesa-gesa. 

Dia bukan anak yang selalu disebut-sebut namanya di sekolah rendah. Bukan yang aktif bersukan. Bukan yang petah bercakap di hadapan orang. Malah sering gagap ketika pembentangan. Dia bukan yang paling menyerlah. Dia cuma hadir. Diam. Sederhana.

Ada waktunya dia jatuh kelas. Ada waktunya permohonan sekolah impian tak berjaya. Ada waktunya ketika dia pulang dari sekolah menengah lalu berkata, “Tak bestlah sekolah. Tak ada kawan.” 

Dan ada waktunya… saya sebagai ibu belajar menelan rasa bersalah. Membandingkan. Mempersoalkan. Menyalahkan diri sendiri. Sampailah satu hari, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma berdoa satu perkara:

“Ya Allah, jadikan dia anak yang baik. Itu sudah cukup.”

Saya tak sangka, apabila saya lepaskan harapan besar itu dan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih indah.

Ini bukan kisah anak genius.

Ini bukan kisah kejayaan yang sempurna tanpa cacat.

Ini kisah anak yang membesar perlahan-lahan.

Dan ibu yang belajar erti sabar, tawakal dan reda — satu bab demi satu bab.

Bersambung...

Sofea, baby batch #07


Sharhanah

No comments:

Post a Comment