πŸͺ

Pengalaman Saya Menggunakan Cawan Haid (Menstrual Cup)

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lagi dua bulan, genaplah setahun saya menggunakan cawan haid atau lebih dikenali sebagai menstrual cup (MC). Kalau diimbas kembali, permulaan saya mencuba produk ini sebenarnya agak spontan. Ia bermula ketika saya merancang percutian ke Pulau Kapas untuk aktiviti snorkeling tahun lepas. Pada waktu itulah saya terfikir, “Macam mana kalau haid datang masa bercuti?” Dari situlah bermulanya pencarian saya. Ia boleh diguna sehingga 10 tahun!

Sumber: Google

Saya mula membaca pelbagai maklumat tentang MC dan mendengar pengalaman orang lain. Dalam hati terdetik, kalau orang lain boleh guna, kenapa tidak saya? Tanpa berfikir panjang, saya pun membeli satu dengan harga RM79.20. Apabila barang sampai, saya hanya mampu membaca arahan penggunaan berkali-kali. Nak cuba, memang belum ada keberanian lagi.

Akhirnya, saya memberanikan diri untuk mencuba. Sebelum penggunaan pertama, saya sterilkan cawan tersebut menggunakan air panas. Sepanjang tempoh haid, saya hanya mencuci dengan sabun selepas setiap penggunaan. Selepas haid tamat, saya simpan kembali dalam pouch. Untuk kitaran seterusnya, barulah saya sterilkan semula.

Sejujurnya, perasaan pertama saya memang takut. Saya risau kalau-kalau tak boleh keluarkan macam mana? Namun, apabila dimasukkan, semuanya terasa mudah dan langsung tidak sakit. Malah, saya tidak rasa apa-apa pun! Perasaan takut bertukar menjadi teruja.

Cabaran sebenar adalah ketika hendak mengeluarkannya. Pada mulanya, saya panik. Tetapi selepas memahami teknik yang betul. Picit bahagian bawah cawan dan tarik perlahan melalui stem — rupanya sangat mudah. Lama-kelamaan, saya semakin mahir.

Cuma, tidur agak terganggu sebab nak kena bangun kosongkan MC bila aliran banyak. 

Terbaca pula Menstrual disc (MD). Macam MC juga. Tapi kapasiti tampungannya lebih banyak. Katanya, lebih mudah dan best daripada MC. Huhuhu.

Sejujurnya, saya sering tertanya-tanya kenapa saya tidak mencuba dari dulu lagi? Pengalaman menggunakan cawan haid ini memang sangat memuaskan. Ia tidak memberi sebarang kesan negatif kepada saya, malah sangat menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Apa pun, bagi saya, ini adalah satu pengalaman yang membuka mata. Ia bukan sahaja dari segi keselesaan, tetapi juga dari segi keyakinan diri dalam menguruskan haid dengan lebih bijak.

Sharhanah

No comments:

Post a Comment