Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Ramadan kali ini datang dengan rentak yang sedikit berbeza. Tidak ada kelam-kabut membuat persediaan raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Suami pula dijadualkan bekerja pada 1 Syawal, jadi suasana raya akan terasa biasa dari awal lagi.
Setakat ini, biskut raya pun belum dibeli, apatah lagi baju raya anak-anak. Tema warna keluarga? Langsung belum dibincangkan.Terasa Ramadan kali ini mengajak kami memperlahankan langkah, menjalani hari-hari dengan lebih tenang tanpa terlalu memikirkan Syawal.
Pejam celik, Ramadan sudah separuh jalan, tapi kaki ini masih belum menjejak bazar Ramadan. Bukan apa, pengalaman sebelum ini mengajar bahawa membeli kuih-muih di bazar kadang-kadang lebih kepada pembaziran. Rasa tak menepati selera, kualiti pula kadang-kadang mengecewakan. Akhirnya banyak yang tak habis.
Jadi tahun ini saya memilih jalan yang lebih simple iaitu memasak sendiri setiap hari untuk kami berlima. Kadang-kadang bila anak sulung pulang bercuti, bertambahlah seorang lagi di meja makan, jadilah enam orang.
Menu pula tidaklah istimewa mana. Sangat sederhana, tetapi cukup mengenyangkan dan menenangkan hati. Biasanya nasi, satu lauk, sejenis sayur atau ulam, kadang-kadang ada buah, kadang-kadang tidak. Pencuci mulut pula ikut apa yang ada — sekali-sekala buat yang ringkas, dan minuman pula sekadar air kordial, atau jika ada buah dan rajin sikit, jus tembikai atau mangga.
Begitulah rutin yang berulang hampir setiap minggu. Sayurnya pun yang sama sahaja — kangkung, pakchoy, kailan, atau lobak merah. Tidak mewah, tidak pelbagai, tetapi cukup untuk kami sekeluarga berbuka dengan rasa syukur.
Selain itu, saya cuba juga untuk menghidupkan Ramadan dengan rutin kecil yang konsisten. Selepas setiap solat fardhu, saya cuba mengaji sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran. Tidak banyak, tetapi kalau istiqamah setiap waktu, terasa juga perjalanan itu.
Malam pula kami sekeluarga jalan kaki ke surau berdekatan untuk solat Isyak berjemaah kemudian diteruskan dengan solat tarawih dan witir. Tidak panjang, tidak sempurna mana, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha untuk menghidupkan malam Ramadan.
Tentang baju raya anak-anak, nampaknya pilihan paling realistik tahun ini mungkin hanya membeli secara dalam talian. Keluar berjalan mencari baju raya di pusat membeli-belah? Rasanya memang tak lah.
Mungkin Ramadan kali ini tidak dipenuhi dengan kemeriahan persediaan raya. Tetapi dalam kesederhanaan ini, ada ruang untuk menikmati masa bersama keluarga dengan lebih tenang. Kadang-kadang, Ramadan yang paling sederhana itulah yang paling memberi makna.
Sharhanah

No comments:
Post a Comment