πŸͺ

Ulasan Santai Cerpen: Biarkan Burung-Burung Menyanyi

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini membawa kita masuk ke dunia rumah panjang masyarakat di Sarawak yang masih kuat berpegang pada adat dan kepercayaan turun-temurun. Seawal cerita, bunyi burung papau sudah menjadi simbol penting. Ia bukan sekadar bunyi alam, tetapi petanda yang membawa makna.

Kisah ini berpusat pada Munan, seorang yang berani — atau mungkin terlalu berani. Ketika seluruh penghuni rumah panjang patuh kepada pantang larang sebelum upacara mangkung tiang dimulakan, Munan memilih untuk melawan arus. Katanya, “Bukan burung memutuskan hidup aku.” Ayat ini ringkas, tetapi cukup menggambarkan konflik utama cerpen — antara kepercayaan tradisi dan keberanian mencabar takdir.

Namun, keberanian Munan membawa akibat. Jeritannya di hutan, tubuhnya menggigil seperti dirasuk, dan akhirnya kematian Tuk Ibau — tokoh adat yang selama ini menjadi pelindung komuniti — menjadikan suasana cerita semakin tegang dan sarat dengan simbolisme.

Tema & Persoalan

Cerpen ini jelas mengangkat tema:

  • Pertentangan antara adat dan kebebasan individu
  • Kepercayaan terhadap alam dan roh
  • Akibat melanggar pantang larang
  • Takdir yang tidak mampu dielakkan

Pengarang tidak menyatakan secara langsung sama ada benar roh hutan marah, atau semua itu sekadar kebetulan. Tetapi suasana yang dibina — bunyi burung, angin yang berubah, langit yang kelabu — membuatkan pembaca sendiri merasa seolah-olah alam benar-benar sedang “berbicara”.

Simbol Burung Papau

  • Burung papau dalam cerpen ini bukan sekadar haiwan. Ia menjadi lambang:
  • Amaran alam
  • Suara tradisi
  • Petanda takdir

Menariknya, di penghujung cerita, apabila seorang tua berkata, “Biarkan burung-burung menyanyi,” ayat itu seakan membawa makna yang lebih dalam. Mungkin ia bermaksud:

Biarkan alam menjalankan peranannya.

Manusia tidak mampu mengawal segala-galanya.

Ada perkara yang harus diterima, bukan dilawan.

Pengajaran Cerpen

Cerpen ini mengingatkan kita bahawa dalam kehidupan bermasyarakat, adat dan kepercayaan bukan sekadar ritual kosong. Ia adalah identiti, warisan dan sistem nilai yang membentuk keharmonian komuniti.

Namun, cerpen ini juga mengajak kita berfikir — adakah semua kepercayaan itu harus diterima tanpa persoalan? Atau ada ruang untuk perubahan?

Kematian Tuk Ibau di akhir cerita seakan menjadi tamparan besar. Yang degil tidak mati. Yang menjaga adat pula pergi. Di sinilah letaknya kekuatan cerpen ini — ia tidak memberi jawapan mudah.

Kesimpulan

Biarkan Burung-Burung Menyanyi bukan sekadar kisah mistik tentang roh hutan. Ia adalah refleksi tentang manusia, kepercayaan dan takdir. Cerpen ini membuatkan kita tertanya-tanya:

Kadang-kadang, adakah kita terlalu yakin dengan pilihan sendiri sehingga lupa mendengar “suara alam” di sekeliling?

Dan mungkin, seperti kata orang tua dalam cerita itu — ada masanya kita hanya perlu… biarkan burung-burung menyanyi.

Sharhanah

Tukar bateri telefon

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tahun ni, genap 6 tahun saya pakai telefon ni. Walaupun masih ok lagi, satu je masalah... bateri cepat habis. Setiap hari, saya kena cas dalam 3 kali... pagi, tengahari, dan malam. Saya ni jenis tak suka serabut, jadi bila telefon asyik habis bateri, agak mengganggu juga la. Nak buat kerja pun rasa tak tenang.

Bila saya cek health, terkejut jugak tengok hanya tinggal 73%. Bila bateri dah bawah 80%, memang prestasi telefon tu akan menurun. Jadi, saya pun buat keputusan untuk tukar bateri. Saya buat appointment kat pusat servis yang berdekatan. Sampai je sana, saya diberitahu yang mereka cuma boleh buat diagnosis sahaja, dan stok bateri pula habis. Jadi, telefon saya kena tinggal dulu. Bila fikir-fikir balik, "Eh, macam mana ni? Semua urusan saya dalam telefon!"

Mereka pun cadangkan saya ke pusat servis yang terbesar kat TRX, sebab kat sana stok bateri sentiasa ada. Saya terus setuju, walaupun jauh sikit dari tempat saya. Sampai kat TRX, saya kena tunggu ikut giliran (sistem SMS). Tak boleh terus tukar, jadi saya pun ambil keputusan untuk makan dulu sementara tunggu SMS yang ke-3.

jenuh menunggu... sebab ramai orang

Setelah beberapa jam, akhirnya dapat juga panggilan. Saya kembali ke pusat servis dan telefon saya sekali lagi melalui proses diagnosis. Hasilnya? Semua ok kecuali bateri. Memang saya datang pun nak tukar bateri! Bila saya setuju untuk proceed, mereka beri tahu telefon saya perlu ditinggalkan beberapa jam untuk proses penggantian. Untuk keselamatan dan perlindungan data peribadi, saya perlu tandatangan, log keluar dari akaun, dan matikan lokasi sebelum telefon dihantar untuk servis. Pukul 5 petang baru boleh ambil.

Tanpa Telefon Memang Susah!

Nak cakap pasal cabaran tanpa telefon tu, memang terasa betul... Semua urusan saya bergantung pada telefon. Kenalan, kerja, nota, semuanya ada dalam tu. Syukur saya bawa cash dan kad debit, sebab rasa lebih selamat kalau tiba-tiba perlu buat bayaran.

Daripada menunggu terlalu lama, saya balik dulu ke rumah, mandi, makan, dan baru saya pergi semula ke pusat servis.

Akhirnya Telefon Siap, Selesai Urusan!

Sampai kat pusat servis, saya serahkan myKad untuk verifikasi. Dalam beberapa minit, telefon saya pun kembali ke tangan. Lega sangat bila telefon dah berfungsi macam biasa dan bateri pun tak lagi cepat habis. Saya bayar untuk kos penggantian bateri dan terus balik ke rumah. Oh ya, ada warranti selama 90 hari.

Walaupun telefon dah berusia 6 tahun, kalau yang bermasalah cuma bateri, tak salah untuk bagi telefon lama ni peluang kedua. Tukar je bateri, jimat banyak! Tak perlu bazirkan duit untuk beli telefon baru kalau masih boleh selesa dengan yang lama. Semoga telefon ni terus berbakti dengan lancar. Beli telefon baru? Malas lah... buat apa buang duit kalau masih boleh ‘guna’ yang lama, kan?

Google Pixelbook ofis pun dah berjangkit ni. Bos kata, plugged in.

Sharhanah


Antara sunah, adab dan adat dalam Aidilfitri

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Aidilfitri ialah hari kemenangan selepas sebulan berpuasa. Tapi hari ini, ramai mula tertanya-tanya... adakah cara kita sambut raya masih ikut sunah dan adab Islam, atau lebih kepada adat semata-mata?

Sebenarnya, Aidilfitri bukan sekadar hari bergembira. Ia adalah hari kembali kepada fitrah... jiwa yang bersih selepas dididik sepanjang Ramadan. Islam benarkan kita bergembira, tapi tetap dalam batas dan tidak lupa nilai ibadah.

Banyak sunah yang dianjurkan pada hari raya: mandi sunat, pakai pakaian terbaik, bertakbir, makan sebelum solat dan menunaikan solat Aidilfitri. Ini menunjukkan raya bukan sekadar makan dan ziarah, tapi bermula dengan ibadah.

Dalam masa sama, adat seperti beraya, beri duit raya dan sediakan juadah bukanlah salah. Malah ia boleh jadi baik, asalkan tidak berlebihan dan tidak melanggar syariat. Masalahnya bila pembaziran, bermegah-megah dan terlalu fokus pada luaran sampai lupa tujuan sebenar raya.

Aidilfitri juga ajar kita tentang adab... antaranya bermaaf-maafan dan eratkan silaturahim. Raya sepatutnya jadi peluang untuk bersihkan hati, bukan sekadar rutin tahunan.

Paling penting, Aidilfitri bukan penamat ibadah. Apa yang kita belajar dalam Ramadan... sabar, disiplin, sedekah... perlu diteruskan. Termasuk juga amalan seperti puasa enam Syawal sebagai tanda istiqamah.

Ringkasnya, raya bukan sekadar meriah di luar. Yang lebih penting, apa kesan pada hati dan kehidupan kita selepas itu.

Sharhanah

Catatan Rasa: Kenangan Yang Tak Pandai Pergi

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Aku tak pasti kenapa, selepas 20 tahun berlalu, kenangan itu masih datang tanpa diundang. Ia hanya sekejap, tapi cukup untuk buat hati aku bergetar macam dulu. Kadang-kadang pula, ia datang lama… duduk diam dalam fikiran, tak mahu pergi. Haishh

Aku pernah ada satu fasa dalam hidup yang sangat indah. Zaman aku bujang. Zaman aku percaya pada cinta. Aku kenal seseorang yang hadir, tapi mampu buat hidup aku terasa lengkap. Suara dia, cara dia faham aku.... semuanya masih jelas dalam ingatan aku, walaupun masa dah berlalu begitu lama.

Tapi, cerita itu tak berakhir seperti yang aku harapkan. Ia kekal tergantung.

Cinta itu dusta. Dan dia… hilang macam tu saja. Tiada penutup, tiada jawapan yang betul-betul memuaskan hati. Kami teruskan hidup masing-masing. Bina jalan sendiri. Seolah-olah cerita itu tak pernah wujud.

Namun hakikatnya, ia meninggalkan kesan.

Yang buat aku keliru, kenapa sekarang? Kenapa selepas dua dekad, aku tiba-tiba teringat balik semua itu? Mungkin sebab aku kerap ke negerinya. Tempat yang pernah banyak kali dia sebut. Setiap sudut macam ada bayangan.

Dan aku… masih terperangkap di situ.

Aku cuba pujuk diri sendiri. Ini cuma kenangan. Ini cuma masa lalu. Tapi hati aku kadang-kadang degil. Ia suka kembali kepada perkara yang pernah buat aku bahagia, walaupun bahagia itu dah lama hilang.

Mungkin ini sifat aku. Atau mungkin ini sifat ramai perempuan yang mudah menyimpan rasa, mudah mengingati yang indah, walaupun ia datang bersama luka.

Aku tak mahu terus begini.

Aku tahu aku tak boleh padam kenangan itu sepenuhnya. Tapi mungkin aku boleh belajar untuk meletakkannya di tempat yang sepatutnya. Ya, di masa lalu, bukan di hati yang masih hidup dalam sekarang.

Aku kena terima hakikat:
Dia bukan lagi sebahagian daripada hidup aku.
Dan aku juga bukan lagi sebahagian daripada hidup dia.

Apa yang aku rasa ini bukan cinta yang masih hidup. Ini cuma kenangan yang belum aku lepaskan sepenuhnya.

Dan mungkin, cara untuk aku sembuh bukan dengan melupakan dia… Tapi dengan menerima bahawa cerita itu sudah tamat.

Perlahan-lahan, aku kena ajar hati aku:
Tak semua yang indah itu perlu dimiliki selamanya.
Dan tak semua kenangan perlu dibawa ke masa depan.

Cukup sekadar ia pernah wujud.
Cukup sekadar aku pernah rasa bahagia.

Dan sekarang… aku berhak bahagia bersama suami dan anak-anak tanpa cerita lama yang tak akan pernah bersambung lagi. 

Sharhanah

Ambil Peduli Cuaca Panas - Langkah Melindungi Diri Daripada Kesan Cuaca Panas

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cuaca panas sekarang memang lain macam lebih-lebih lagi di negeri sebelah utara. Ramai saudara mara saya yang mengeluh, malas nak keluar beraya disebabkan panas. Saya di lembah klang masih ok lagi.

Mana taknya, baru keluar rumah sekejap pun dah rasa letih dan berpeluh. Jadi, eloklah kita kurangkan aktiviti luar yang terdedah terus kepada matahari. Kalau tak ada urusan penting, duduk saja dalam rumah. Pasang kipas atau penyaman udara supaya suasana lebih sejuk dan selesa.

Warna oren tu dah TAHAP 2 (GELOMBANG HABA) 

Bab makan pun kena jaga juga. Elakkan makanan yang terlalu pedas macam cili dan lada sebab boleh buat badan rasa lagi panas. Minuman manis, berkafein atau berkarbonat pun sebaiknya kurangkan. Lebih baik minum air kosong secukupnya  supaya badan kekal segar. Kalau boleh, pilih minuman sejuk berbanding air panas, memang lebih lega.

Pakaian pun memainkan peranan. Jangan pakai yang ketat atau warna gelap macam hitam sebab mudah serap haba. Pilih pakaian longgar dan warna cerah. Kalau kena keluar juga, pakai topi atau guna payung. Sapu krim pelindung matahari supaya kulit tak rosak akibat cahaya matahari.

Kalau kita tak jaga diri, macam-macam masalah boleh jadi. Antaranya ruam panas yang buat kulit pedih dan merah. Ada juga kekejangan haba, bila otot tiba-tiba kejang sebab badan terlalu panas. Selain itu, keletihan haba boleh berlaku bila terlalu lama terdedah pada cuaca panas. Yang paling bahaya ialah strok haba, bila suhu badan naik lebih 40 darjah Celsius dan boleh bawa maut kalau lambat dirawat.

Pendek kata, cuaca panas ni bukan benda kecil. Kena pandai jaga diri, minum air cukup, dan elakkan perkara yang boleh memudaratkan. Simple je, tapi sangat penting.

Sharhanah

Pengalaman Saya Menggunakan Cawan Haid (Menstrual Cup)

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lagi dua bulan, genaplah setahun saya menggunakan cawan haid atau lebih dikenali sebagai menstrual cup (MC). Kalau diimbas kembali, permulaan saya mencuba produk ini sebenarnya agak spontan. Ia bermula ketika saya merancang percutian ke Pulau Kapas untuk aktiviti snorkeling tahun lepas. Pada waktu itulah saya terfikir, “Macam mana kalau haid datang masa bercuti?” Dari situlah bermulanya pencarian saya. Ia boleh diguna sehingga 10 tahun!

Sumber: Google

Saya mula membaca pelbagai maklumat tentang MC dan mendengar pengalaman orang lain. Dalam hati terdetik, kalau orang lain boleh guna, kenapa tidak saya? Tanpa berfikir panjang, saya pun membeli satu dengan harga RM79.20. Apabila barang sampai, saya hanya mampu membaca arahan penggunaan berkali-kali. Nak cuba, memang belum ada keberanian lagi.

Akhirnya, saya memberanikan diri untuk mencuba. Sebelum penggunaan pertama, saya sterilkan cawan tersebut menggunakan air panas. Sepanjang tempoh haid, saya hanya mencuci dengan sabun selepas setiap penggunaan. Selepas haid tamat, saya simpan kembali dalam pouch. Untuk kitaran seterusnya, barulah saya sterilkan semula.

Sejujurnya, perasaan pertama saya memang takut. Saya risau kalau-kalau tak boleh keluarkan macam mana? Namun, apabila dimasukkan, semuanya terasa mudah dan langsung tidak sakit. Malah, saya tidak rasa apa-apa pun! Perasaan takut bertukar menjadi teruja. Bila dah pakai, rasa macam tak period pula. Nak tidur melasak pun takde masalah.

Cabaran sebenar adalah ketika hendak mengeluarkannya. Pada mulanya, saya panik. Tetapi selepas memahami teknik yang betul. Tarik stem dan picit di bahagian bawah cawan dan tarik perlahan. Rupanya sangat mudah. Lama-kelamaan, saya semakin mahir.

Kekurangan...tidur agak terganggu sebab nak kena bangun kosongkan MC bila aliran banyak. 

Kalau dalam perjalanan jauh, nak kosongkan MC kena bawa sabun sendiri. Takkan nak keluar ambil sabun di luar. Sekali tekan, sabun dah habis. Naya.

Perlu hati-hati keluarkan MC. Risau jatuh ke dalam mangkuk tandas je. Pengalaman sangatttt ni πŸ˜…

Terbaca pula Menstrual disc (MD). Macam MC juga. Tapi kapasiti tampungannya lebih banyak. Katanya, lebih mudah dan best daripada MC. Huhuhu.

Saya sering tertanya-tanya kenapa saya tidak mencuba dari dulu lagi? Pengalaman menggunakan cawan haid ini memang sangat memuaskan. Ia tidak memberi sebarang kesan negatif kepada saya, malah sangat menjimatkan dalam jangka masa panjang.

Apa pun, bagi saya, ini adalah satu pengalaman yang membuka mata. Ia bukan sahaja dari segi keselesaan, tetapi juga dari segi keyakinan diri dalam menguruskan haid dengan lebih bijak.

Sharhanah

Catatan Rasa: Intro

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selama ni aku banyak kongsi benda ringan-ringan je, kan? Contohnya resepi, tips, travel… benda senang-senang ja. Kali ni aku nak tulis sikit benda dalam hati. Aku dah siap letak label “Catatan Rasa” dalam blog, senang nak cari. Kalau hang rasa lain, takpa… anggap ja aku sembang sorang-sorang.

Aku rasa letih. Bukan letih badan, tapi letih dengan perasaan sendiri. Banyak benda nak kena fikir, nak jaga semua orang… tapi rasa macam sorang-sorang ja yang dok fikir. 

Tapi aku tahu, ramai orang lain pun rasa benda sama. Penat tapi cuba kuat. Jadi aku tulis ja… nak lega kepala sendiri. Kalau hang baca dan rasa benda sama, kira geng la kita.

Takpa la… jalan pelan-pelan ja. Hari ni buat yang mampu dulu, esok fikir lain. Tak perlu sempurna, janji teruskan je.

Sharhanah


Misi Pakaian Raya Anak-Anak: Dari Kedai Depan Rumah Sampai Checkout Shopee!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tahun ni memang terasa santai betul. Hari-hari berjalan macam biasa, langsung tak terasa masa berlalu. Dalam hati asyik fikir, “Alah, raya lambat lagi.” Sampai satu hari, baru terdetik nak periksa pakaian raya anak-anak.

Bila buka almari, maknya dengan penuh yakin cakap, “Pakai je yang mana elok lagi.”

Anak-anak pun angguk je.

Sekali anak bujang cuba seluar… seluar dah singkat.

Anak bongsu pula cuba baju… zip pun tak boleh tutup!

Terus maknya terdiam sekejap.

“Eh… bila masa kamu semua besar ni?”

Terus jadi gelabah. Anak-anak membesar depan mata pun tak perasan!

Semalam lepas Zohor, dengan panas lit-lit, saya gagahkan juga pergi kedai pakaian depan rumah. Harapnya dapatlah selesaikan misi beli baju raya dengan cepat. Tapi bila tengok harga, mak aih… agak mahal pula. Pilihan pun tak banyak. Pusing-pusing kedai beberapa kali, pegang baju, letak balik… pegang lagi, letak balik.

Akhirnya keluar kedai dengan tangan kosong.

Dalam perjalanan balik, saya pun fikir, “Baik beli online je lah.”

Selepas subuh buka telefon, mula mencari. Pilih punya pilih, jumpa juga yang berkenan di hati anak-anak. Tanpa fikir panjang, terus tekan instant option dan pilih 2-Day Delivery. Maklumlah, raya dah makin dekat.

Lepas tekan butang “Place Order”, barulah maknya tarik nafas lega.

Sekarang tinggal satu je harapan… Semoga baju sampai sebelum raya  dan yang paling penting, semoga saiz yang dipilih tu betul-betul muat! πŸ˜†



Tak pernah membeli sebanyak ini🫣
Sharhanah

Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 Akan Diumumkan Pada 31 Mac 2026 (Selasa)

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang




Eh, 2 tahun berturut-turut saya rasa debar dengan SPM neh. 

Sharhanah

Peristiwa Nuzul al-Quran

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sumber: TheInspirasi

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, iaitu ketika wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira, kira-kira 6 km dari Makkah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun. Wahyu pertama yang disampaikan ialah perintah “Iqra’” (bacalah). Al-Quran kemudian diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi seluruh manusia. Ayat Surah Al-Quran, Al-Baqarah:185 menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk yang jelas bagi manusia.

Semoga kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.

Salam Nuzul al-Quran.

Sharhanah

Ramadan Kali Ini Kami Pilih Untuk Perlahan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ramadan kali ini datang dengan rentak yang sedikit berbeza. Tidak ada kelam-kabut membuat persediaan raya seperti tahun-tahun sebelumnya. Suami pula dijadualkan bekerja pada 1 Syawal, jadi suasana raya akan terasa biasa dari awal lagi.

Setakat ini, biskut raya pun belum dibeli, apatah lagi baju raya anak-anak. Tema warna keluarga? Langsung belum dibincangkan.Terasa Ramadan kali ini mengajak kami memperlahankan langkah, menjalani hari-hari dengan lebih tenang tanpa terlalu memikirkan Syawal.

Pejam celik, Ramadan sudah separuh jalan, tapi kaki ini masih belum menjejak bazar Ramadan. Bukan apa, pengalaman sebelum ini mengajar bahawa membeli kuih-muih di bazar kadang-kadang lebih kepada pembaziran. Rasa tak menepati selera, kualiti pula kadang-kadang mengecewakan. Akhirnya banyak yang tak habis.

Jadi tahun ini saya memilih jalan yang lebih simple iaitu memasak sendiri setiap hari untuk kami berlima. Kadang-kadang bila anak sulung pulang bercuti, bertambahlah seorang lagi di meja makan, jadilah enam orang.

Menu pula tidaklah istimewa mana. Sangat sederhana, tetapi cukup mengenyangkan dan menenangkan hati. Biasanya nasi, satu lauk, sejenis sayur atau ulam, kadang-kadang ada buah, kadang-kadang tidak. Pencuci mulut pula ikut apa yang ada — sekali-sekala buat yang ringkas, dan minuman pula sekadar air kordial, atau jika ada buah dan rajin sikit, jus tembikai atau mangga.

Begitulah rutin yang berulang hampir setiap minggu. Sayurnya pun yang sama sahaja — kangkung, pakchoy, kailan, atau lobak merah. Tidak mewah, tidak pelbagai, tetapi cukup untuk kami sekeluarga berbuka dengan rasa syukur.

Selain itu, saya cuba juga untuk menghidupkan Ramadan dengan rutin kecil yang konsisten. Selepas setiap solat fardhu, saya cuba mengaji sekurang-kurangnya satu muka surat al-Quran. Tidak banyak, tetapi kalau istiqamah setiap waktu, terasa juga perjalanan itu.

Malam pula kami sekeluarga jalan kaki ke surau berdekatan untuk solat Isyak berjemaah kemudian diteruskan dengan solat tarawih dan witir. Tidak panjang, tidak sempurna mana, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha untuk menghidupkan malam Ramadan.

Tentang baju raya anak-anak, nampaknya pilihan paling realistik tahun ini mungkin hanya membeli secara dalam talian. Keluar berjalan mencari baju raya di pusat membeli-belah? Rasanya memang tak lah.

Mungkin Ramadan kali ini tidak dipenuhi dengan kemeriahan persediaan raya. Tetapi dalam kesederhanaan ini, ada ruang untuk menikmati masa bersama keluarga dengan lebih tenang. Kadang-kadang, Ramadan yang paling sederhana itulah yang paling memberi makna.

Sharhanah

Happy Birthday Anak Ke-3!



Hadiah hari jadi saya, dia bagi "contraction" je. Dia keluar beberapa jam berikutnya.



 

Ramai Keliru Tentang MiGA-i… Sebenarnya Mudah Je Nak Redeem!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ramai sebenarnya masih tertanya-tanya… MiGA-i ni susah ke nak redeem? Jawapan jujur — tak susah pun.

Kalau cukup simpanan, boleh tebus dan ambil sendiri jongkong emas fizikal. Pilihan biasanya dalam denominasi 1 gram, 5 gram, 10 gram, 50 gram atau 100 gram, tapi tertakluk kepada stok emas di cawangan. Contohnya untuk Lembah Klang, boleh rujuk gambar di bawah; atau untuk negeri-negeri lain sila ke pautan INI.

Kalau banyak gram, call dulu bank. Takut takde stok. Penat pergi je.

Sampai sana, terus cakap dekat kaunter nak redeem MiGA-i. Lepas tu ambil nombor giliran dan tunggu sekejap macam urusan bank biasa.

Bila nombor dipanggil, pergi semula ke kaunter dan sahkan nak tebus emas. Siap sediakan MyKad dan cap jari untuk pengesahan.

Staf akan tanya — nak redeem berapa gram. Ingat ya, ada caj RM25 untuk setiap gram bagi penukaran emas fizikal. Caj ni akan ditolak terus dari akaun simpanan. Cap jari sekali lagi diperlukan untuk sahkan transaksi.

Lepas semua urusan, duduk dulu dan tunggu panggilan seterusnya. Biasanya dalam ±20 minit, nombor akan dipanggil dan kita akan dibawa ke bilik keselamatan khas untuk ambil emas.

Waktu ni, staf akan bagi gold bar fizikal (lebih kurang macam kad keras). Jangan lupa semak nombor siri. Pastikan sama dengan rekod sistem.

Kalau dah betul, tandatangan dan ambil salinan resit. Simpan resit ni elok-elok! Kalau nak jual balik emas nanti, resit asal memang diperlukan. Nak backup? Buat je salinan resit. Senang cerita.

Proses redeem MiGA-i ni sebenarnya cepat. Kalau tak ramai orang, mungkin tak sampai satu jam pun dah selesai.

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Doa yang Tidak Terungkap

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini bukan sekadar cerita mendaki gunung. Ia cerita tentang hati yang mendaki — perlahan, lelah, tapi penuh makna.

Latar tempatnya di Jabal Musa, bumi Sinai. Tempat yang sarat sejarah Nabi Musa A.S. Penulis tak sekadar bercerita tentang pendakian, tetapi membawa kita menyelami suasana musim sejuk yang menggigit tulang, lima lapis pakaian yang perlu disarung, nafas yang berasap, dan lampu-lampu pendaki seperti kelip-kelip di malam hari. Visualnya sangat hidup — pembaca boleh rasa sejuknya, boleh bayang batu-batu terjal yang dipijak.

Watak “saya” pula bukan pendaki biasa. Dia ada penyakit lelah. Dia bukan yang paling laju. Bukan juga yang paling kuat. Tapi dia tetap mendaki. Di situ sudah ada mesej besar — hidup ini bukan tentang siapa paling pantas sampai ke puncak, tapi siapa yang tak berhenti melangkah.

Suhaila, sahabatnya, menjadi lambang persahabatan sejati. Walaupun boleh sahaja tinggalkan rakannya yang perlahan, dia tetap memilih untuk berjalan bersama. Kadang-kadang kita fikir kawan itu yang gelak sama-sama. Tapi sebenarnya kawan itu yang sanggup perlahan bila kita tak mampu laju.

Kemunculan Akram Dmitri pula memberi warna berbeza dalam cerita ini. Dia bukan sekadar watak lelaki asing yang menarik perhatian. Dia membawa perbualan tentang “batu hidup” — Lithops — dan mengaitkannya dengan kebesaran Tuhan. Dari situ, cerita ini berubah daripada kisah pendakian fizikal kepada perjalanan rohani.

Yang paling menyentuh hati adalah bahagian akhir di puncak Jabal Musa. Saat watak utama melihat Akram sujud syukur. Saat dia sendiri berjalan ke tempat munajat Nabi Musa. Di situlah terasa — doa yang tidak terungkap itu bukan tentang rasa kepada manusia, tetapi tentang kerinduan kepada Tuhan.

Ayat penutupnya sangat puitis dan mendalam. Ia seolah-olah memberitahu kita:

Kadang-kadang Allah temukan kita dengan seseorang, bukan untuk kita miliki… tetapi untuk menyedarkan kita tentang Dia.

Apa yang saya belajar daripada cerpen ini?

  • Jangan malu jika langkah kita perlahan. Yang penting kita tetap berjalan.
  • Persahabatan sejati itu hadir saat kita lemah.
  • Alam ini bukan sekadar cantik, tetapi penuh tanda kebesaran Allah.
  • Tidak semua rasa perlu diluahkan. Ada doa yang cukup disimpan dalam hati.

Kesimpulannya, Doa yang Tidak Terungkap ialah cerpen yang lembut, puitis dan sarat refleksi. Ia membuatkan kita rasa kecil di hadapan gunung, dan lebih kecil lagi di hadapan Tuhan — tetapi dalam masa yang sama, terasa sangat dekat dengan-Nya.

Sharhanah



Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akhirnya keluar. Saya dan abahnya sempat menemaninya ke sekolah — walaupun sekejap sahaja kerana abahnya perlu kembali bekerja. Kami datang dengan hati yang tenang, tanpa harapan yang terlalu tinggi.

Alhamdulillah… dia memperoleh 7A 2B. Bagi saya, itu sudah cukup membanggakan, apatah lagi dia bersekolah di luar bandar dengan kemudahan yang sederhana. Saya sudah pun bersyukur.

Tapi Allah beri lebih daripada yang saya bayangkan.

Nama dia dipanggil naik ke pentas. Saya senyum.

Lepas tu dipanggil lagi. Saya pandang abahnya.

Sekali lagi dipanggil. Saya dah terdiam.

Tiga kali dia naik ke pentas menerima anugerah berdasarkan keputusan SPM — Bitara Pencapaian Terbaik, Mata Pelajaran Terbaik Matematik dan Sains Komputer. Saya terpaku di tempat duduk rasa macam tak percaya. Anak yang selalu saya anggap “oklah… biasa-biasa je” rupanya ada sesuatu yang lebih. Dia akhirnya membuktikan bahawa dia mampu — bukan kepada orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.

Alhamdulillah... Sijil-sijil dan terselit duit di situ
Tahu-tahu saja, dia berdiri di depan, di atas pentas sambil memegang sijil-sijil anugerahnya… dan buat hati saya rasa penuh.

Air mata saya bergenang waktu itu. Bukan kerana bilangan A semata-mata, tetapi kerana terbayang seluruh perjalanan kecilnya yang panjang dan penuh makna.

Dari detik dia dilahirkan — saat kami sama-sama ‘menunggu lama’ di koridor labour room, dari fasa lambat masuk prasekolah, alam remaja mengadu sunyi kerana tiada kawan rapat. Sehinggalah usaha-usaha kecil yang dia lakukan diam-diam, tanpa saya sedar betapa besar maknanya. Semua detik itu, setiap tangis, sabar dan perjuangan kecilnya, membentuk dirinya hari ini. Dan saya hanya mampu menunduk syukur, menangis sebak, kerana Allah begitu indah menyusun langkah anak yang kami kira ‘biasa’ ini.

Coretan ini lahir daripada hati saya sebagai seorang ibu yang pernah menyimpan harapan besar. Sejak Tingkatan 1, dia mencuba untuk melangkah ke SBP. Tidak berjaya. Tingkatan 4, dia cuba lagi. Sekali lagi impian itu tidak menjadi kenyataan.

SBP bukan rezekinya. Namun itu bukan bermakna masa depannya gelap. Sekolah harian menjadi medan perjuangan sebenar. Di situlah dia bangun perlahan-lahan, belajar tentang sabar, tentang usaha, tentang tidak pernah menyerah walau berkali-kali diuji.

Hari ini saya sedar, kejayaan bukan ditentukan oleh nama sekolah yang gah, tetapi oleh hati yang tidak pernah putus asa. Selagi ada usaha yang tidak jemu dan doa yang tidak pernah berhenti, kejayaan tetap ada jalannya — walaupun jalannya berbeza daripada orang lain.

Akhirnya... Allah beri apa yang dia nak.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh


Potongan Gaji Yang Selalu Kita Keluh, Rupanya Penyelamat Hari Tua

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, KWSP umumkan dividen tahun 2025 sebanyak 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan juga Shariah. Berita ni memang buat ramai pencarum tarik nafas lega.

Jumlah agihan pula bukan biasa-biasa ya. RM79.6 bilion keseluruhan! Pendapatan boleh agih meningkat 9.5% berbanding tahun lepas, dan aset pelaburan KWSP kini mencecah RM1.409 trilion. Angka ini menunjukkan simpanan rakyat Malaysia diurus dengan sangat kukuh dan berstrategi.

Walaupun dunia berdepan isu geopolitik, tekanan tarif dan perubahan dasar perdagangan, KWSP masih mampu beri pulangan yang stabil. Ini bukti pelaburan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio mereka memang menjadi.

Apa Maksud 6.15% Itu Sebenarnya?

Ramai nampak 6.15% dan fikir, “Alah, enam peratus je pun.”

Tapi cuba tengok contoh mudah ini:

Kalau simpanan anda ada RM50,000, dividen 6.15% bermaksud anda dapat lebih kurang RM3,075 untuk tahun itu sahaja.

Kalau simpanan RM100,000, dividen yang diterima sekitar RM6,150.

Itu belum campur caruman baru setiap bulan. Bila dibiarkan bertahun-tahun, kesan compounding (dividen atas dividen) akan buat jumlah simpanan makin membesar tanpa kita sedar.

Kenapa Wang KWSP Ini Penting?

  • Tabung hari tua – Inilah duit yang akan bantu kita bila dah tak bekerja nanti.
  • Pulangan konsisten – Setiap tahun ada dividen, dan biasanya lebih stabil berbanding simpan sendiri tanpa pelaburan.
  • Risiko lebih terkawal – Diurus oleh institusi besar dengan strategi pelaburan yang pelbagai.
  • Patuh syariah (untuk Akaun Shariah) – Bagi yang pentingkan aspek ini, boleh mencarum dengan lebih tenang.

Hakikatnya, potongan KWSP setiap bulan mungkin nampak kecil dan kadang-kadang rasa “rugi” sebab gaji berkurang. Tapi sebenarnya, itulah simpanan yang paling kita tak perasan sedang membesar.

Jangan Pandang Ringan Simpanan Sendiri

KWSP bukan sekadar potongan wajib. Ia adalah sistem perlindungan masa depan. Lagi lama kita bekerja dan mencarum, lagi besar hasilnya nanti.

Cuma satu perkara penting, JANGAN terlalu bergantung pada KWSP sahaja. Kalau ada lebihan, tambah simpanan sendiri atau buat pelaburan lain. KWSP adalah asas, bukan satu-satunya sumber.

Dividen 6.15% ini bukan sekadar angka. Ia tanda bahawa disiplin mencarum itu berbaloi.

Sudah semak i-Akaun anda hari ini? πŸ˜‰

Saya? masih menunggu giliran....


Sharhanah

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rezekinya, saya membawa dia menjejak kaki ke bumi Harmain untuk menunaikan umrah ketika dia di Tingkatan Satu. Di tanah suci itu, di hadapan Kaabah dan dalam lautan doa manusia dari seluruh dunia, saya melihat wajahnya yang tenang seolah-olah sedang menyimpan sesuatu yang hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Mungkin di situlah Allah menitipkan sesuatu ke dalam hatinya. Sesuatu yang tidak terus berbunga, tetapi perlahan-lahan berakar. Sesuatu yang tidak nampak pada mata manusia, tetapi tumbuh diam-diam, menunggu waktu untuk menyerlah.

Sebaik sampai di Madinah.

Keputusan UASA Tingkatan 3 yang diterimanya baik. Tidaklah terlalu gemilang, tetapi cukup untuk membuka ruang pilihan.

Masuk Tingkatan 4, dia memilih aliran STEM B — satu keputusan yang memisahkan dia daripada hampir semua kawan rapatnya. Mereka memilih haluan lain. Dia pula memilih jalan yang sunyi dan sukar. Petang itu dia pulang ke rumah dengan wajah yang lain macam. Beg sekolah diletakkan perlahan. Suaranya tidak seceria biasa.

“Mama… tak bestlah kelas tu. Tak ada kawan. Add maths pula susah.”

Itu ayatnya, tetapi berat untuk hati seorang ibu mendengar.

Di sinilah sebenarnya cerita dia bermula.

Bila sunyi mula mengambil tempat dalam hidupnya, dia mula mengisi ruang itu dengan buku dan nota. Kesunyian yang dulu dikeluh, perlahan-lahan bertukar menjadi fokus. Dia mula serius belajar — bukan kerana dipaksa, tetapi kerana dia mahu membuktikan sesuatu kepada dirinya sendiri. 

Saya cuba bantu semampu yang boleh. Saya hantar dia ke tuisyen fizikal. Beberapa bulan kemudian dia mengaku, “Mama, tak fahamlah.” Hati saya sedikit risau, tapi kami cuba lagi. Saya tukarkan ke tuisyen online. Alhamdulillah, kali ini dia kata jelas. Saya nampak perubahan pada caranya mengurus masa, pada wajahnya yang lebih tenang setiap kali ulang kaji.

Sejak itu, nampak jelas dia mula bersungguh-sungguh belajar. Rajin pula ke kelas tambahan yang cikgu adakan di sekolah, ulang kaji sendiri di rumah. Ada kerja kursus yang perlu dihantar, dia buat dengan lebih teratur dan teliti.

"Mama… kawan-kawan tadi suruh Sofea ajar Matematik,” katanya perlahan, senyumnya sederhana tapi jelas teruja.

“Oklah, macam tu… dapat bantu kawan-kawan,” saya jawab sambil tersenyum.

Dalam hati, saya tahu — dia sudah mula ada kawan di kelas itu. Kelas yang dulu dia fikir sunyi, yang dia rasa tiada seorang pun kawan rapat… kini mula dipenuhi kehangatan persahabatan.

Langkahnya ke sekolah pun nampak lebih ringan. Wajahnya lebih ceria. Sunyi yang dulu mengganggu hatinya, kini diganti dengan senyuman yang datang sendiri daripada rakan-rakannya.

Sampai satu hari, saya hadir sesi bicara akademik di sekolah. Saya datang tanpa harapan besar. Saya sudah belajar untuk tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Bagi saya, cukuplah dia jadi anak yang baik. Itu sahaja doa saya setiap hari.

Namun di bilik itu, seorang demi seorang guru menyebut namanya. Mereka bercakap tentang potensinya. Tentang kesungguhannya. Tentang harapan yang mereka sandarkan kepadanya.

Saya agak terkejut. Takut juga. Kerana saya sudah tidak berani berharap terlalu tinggi. Saya cuma mampu berbisik dalam hati,

“Ya Allah… aku serahkan segalanya pada-Mu.”

Bersambung...

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Sharhanah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selepas detik kelahiran itu, perjalanan anak sulung saya, Sofea bermula perlahan. Dia mula sekolah prasekolah pada umur enam tahun — agak lewat berbanding adik-adiknya yang seawal empat tahun sudah menjejak kaki ke kelas. Permohonan pertama saya ke prasekolah gagal dan memohon sekali lagi tahun berikutnya. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya ditempatkan di sekolah yang sama dengan adiknya, cuma kelas berbeza.

Dia lewat setahun, bukan kerana dia tidak mampu, tetapi kerana kami memilih untuk menunggu adiknya cukup umur supaya mereka dapat bersekolah bersama. Ia memudahkan urusan saya sebagai ibu. Namun tipulah jika saya kata saya tidak pernah rasa bersalah. Dia membesar di rumah pengasuh, tidak melalui tadika seperti adik nombor tiga dan empat — sedangkan yuran yang mahal itu tetap saya sanggup keluarkan untuk yang lain.

Kadang-kadang hati kecil berbisik, “Adilkah aku?” Saya cuba memujuk diri bahawa setiap anak punya jalan yang berbeza. Kasih sayang tidak pernah berkurang, cuma cara dan peluang yang hadir dalam hidup mereka tidak selalu sama.

Tapi Allah itu Maha Adil.
Tamat prasekolah
Dia memang minat belajar. Mungkin kerana memulakan sekolah agak lambat, setiap buku, setiap angka, setiap perkataan baru seolah-olah membuka dunia yang menakjubkan baginya. Mata yang bersinar, hati yang teruja. Belajar baginya bukan sekadar kewajipan, tetapi petualangan kecil yang setiap hari mahu dijelajahi.

Masuk Tahun 1 dan 2, dia di kelas A. Darjah 3 jatuh ke kelas B. Mungkin masa tu dia leka. Namun kadang-kadang, jatuh itu bukan hukuman — tapi wake-up call. Tahun berikutnya dia bangkit semula. Dia dilantik menjadi Pengawas Briged Siber sekolah. Bukan pelajar paling cemerlang yang setiap tahun naik pentas dan bukan juga atlet sekolah. Dia pelajar biasa. Jarang naik ke pentas.
Sofea Darjah 1
Kalau ada pun, anugerah kedatangan cemerlang. Ya,  dia sangat suka pergi sekolah! Pernah sekali tu, dia masuk persembahan, saya di bawah berdebar sebab tahu, bila dia bercakap… pasti ada gagapnya. Tapi dia tetap berdiri. Tetap cuba. Dari sinilah saya belajar satu perkara besar: keberanian kecil itu… jauh lebih hebat daripada kejayaan yang disorak ramai.

Sekolah rendahnya berlalu begitu sahaja. Dia memperoleh 2A dalam UPSR dimana peperiksaan besar itu dimansuhkan pada tahun berikutnya. UPKK 6A dan PSRA Jayyid Jidan (Sangat Baik). Sejak itu, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma mahu dia jadi anak yang baik. Dan saya tak tahu… itulah permulaan perubahan yang sebenar.

Kerana apabila tiba waktunya, anak yang pernah saya fikir “biasa-biasa” ini akan menunjukkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Sesuatu yang akan membuat saya tersedar bahawa kadang-kadang, kita sebagai ibu terlalu cepat menilai. Dan kadang-kadang, anak yang diam, yang sederhana… sedang Allah siapkan untuk luar biasa.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian Pertama: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya pernah diam-diam berhenti berharap pada anak sulung saya.

Bukan kerana dia nakal.

Bukan kerana dia gagal.

Tetapi kerana dia terlalu… terlalu biasa.

Kisah perjalanan anak sulung saya bermula di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Tahun 2007, pada tarikh yang kononnya “cantik”, rupanya penuh sesak dengan tangisan pertama para bayi yang berebut melihat dunia. Ibu-ibu berbaju pink bersilih ganti masuk ke labour room. Wad penuh. Katil tiada. Saya dan bayi kecil saya “menetap” hampir tiga jam di tepi koridor labour room menunggu katil di wad kosong. Di situ, saya kaku. Anak sulung. Saya langsung tak tahu cara menyusukannya dengan betul.  saya pandang wajah kecil itu lama-lama. Dalam hati berbisik, “Maafkan mama… mama belum pandai.”

Saya tidak tahu waktu itu, Allah sedang menulis kisahnya dengan cara yang tidak tergesa-gesa. 

Dia bukan anak yang selalu disebut-sebut namanya di sekolah rendah. Bukan yang aktif bersukan. Bukan yang petah bercakap di hadapan orang. Malah sering gagap ketika pembentangan. Dia bukan yang paling menyerlah. Dia cuma hadir. Diam. Sederhana.

Dia pernah jatuh kelas, permohonan ke sekolah impian gagal, ada waktunya ketika dia pulang dari sekolah menengah lalu berkata, “Tak bestlah sekolah. Tak ada kawan.” 

Dan ada waktunya… saya sebagai ibu belajar menelan rasa bersalah. Membandingkan. Mempersoalkan. Menyalahkan diri sendiri. Sampailah satu hari, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma berdoa satu perkara:

“Ya Allah, jadikan dia anak yang solehah. Itu sudah cukup.”

Saya tak sangka, apabila saya lepaskan harapan besar itu dan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih indah.

Ini bukan kisah anak genius.

Ini bukan kisah kejayaan yang sempurna tanpa cacat.

Ini kisah anak yang membesar perlahan-lahan.

Dan ibu yang belajar erti sabar, tawakal dan reda — satu bab demi satu bab.

Bersambung...

Sofea, baby batch #07


Sharhanah

Belajar Melepaskan: Rahsia Rumah Lebih Tenang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang-kadang kita rasa rumah semak, kepala pun ikut serabut. Sebenarnya dalam Islam, rumah yang terlalu penuh barang memang tak selari dengan konsep kesederhanaan dan ketenangan jiwa.

Islam suka gaya sederhana iaitu tak berlebih-lebihan. Simpan barang sampai tak guna bertahun-tahun pun boleh jadi satu bentuk “israf”. Bukan membazir duit, tapi membazir ruang… dan tenaga emosi.

Rumah pula sepatutnya jadi tempat sakinah — tempat rehat, tenang, isi semula jiwa. Kalau barang sampai susah nak bergerak, nak solat pun rasa sempit, memang hilang fungsi asal rumah tu.

Kebersihan dalam Islam bukan sekadar tak ada kotoran. Rumah tak berselerak, tak bertimbun benda tak perlu — itu pun sebahagian daripada iman.

Bab rezeki pula, ada pandangan ulama sebut rumah terlalu padat boleh ganggu cahaya, udara dan juga emosi. Kadang-kadang bukan rezeki tak cukup… tapi hati yang takut melepaskan.

Sedangkan Islam ajar kita yakin. Apa yang disedekahkan tak pernah mengurangkan rezeki. Barang elok yang kita lepaskan boleh jadi pahala berjalan.

Kadang-kadang yang berat tu bukan barang. Tapi rasa “sayang”, rasa “nanti kalau perlu”, rasa takut tak cukup. Padahal bila rumah lapang, hati pun rasa ringan.

Kalau sekarang rasa semak kepala, mungkin bukan rumah saja yang perlukan ruang — jiwa pun sama.

Gambar sekadar hiasan

Sharhanah

Disiplin Hidup Bermula Dari Satu Perkara Yang Kita Buat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Kita selalu cakap tentang disiplin — bangun awal, kerja tepat masa, konsisten buat tugas. Tapi tanpa sedar, setiap hari kita sudah ada sistem disiplin yang tersusun: waktu solat. Lima kali sehari, setiap hari.

Waktu solat membahagikan hari kita. Subuh mula hari, Zohor hentikan sibuk, Asar ingatkan tenaga menurun, Maghrib pisahkan siang dan malam, Isyak tutup hari. Ia jadi “checkpoint” yang susun hidup kita supaya lebih teratur.

Solat ajar kita buat walaupun tak ada mood. Masuk waktu, kita bangun dan tunaikan. Itulah disiplin — bukan ikut rasa, tapi ikut tanggungjawab.

Waktu tak pernah tunggu. Masuk, berjalan, tamat. Begitu juga hidup. Solat latih kita hargai masa dan jangan tangguh perkara penting.

Di tengah sibuk, kita berhenti. Ambil wuduk. Berdiri. Tenang. Berhenti bukan lemah — ia reset supaya kita tak hilang arah.

Akhirnya, setiap kali masuk waktu, kita pilih: teruskan urusan atau dahulukan yang utama. Bila kita utamakan solat, kita sedang latih diri memimpin hidup, bukan dipimpin oleh dunia.

Soalnya bukan sekadar “cukup tak solat hari ini?”
Tetapi, “adakah solat membentuk cara aku hidup setiap hari?”

Sharhanah

Bukan Sekadar Tahan Lapar: Puasa Sedang Membentuk Siapa Diri Kita

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setiap tahun kita puasa. Menahan lapar, dahaga, dan kawal diri sendiri dari terbit hingga terbenamnya matahari. Tapi percayalah, puasa bukan sekadar soal perut; ia latihan kekuatan jiwa.

1. Kita Tidak Selemah Yang Kita Sangka

Sebelum Subuh, kita fikir: “Macam mana nak tahan sampai Maghrib?” Tapi kita tetap survive. Puasa ajar kita: banyak had yang kita fikir wujud cuma mental block.

2. Tidak Semua Keinginan Perlu Ditunaikan

Makanan depan mata, air dekat sangat — tapi kita pilih tak ambil. Puasa ajar kita kawal nafsu dan fokus pada yang lebih penting. Orang yang berjaya dalam hidup selalunya bukan yang paling berbakat, tetapi yang paling mampu mengawal diri.



3. Sabar Itu Aktif, Bukan Pasif

Sabar bukan tunggu je. Sabar aktif — jaga lidah, kawal emosi, tahan marah. Hidup pun sama, kita tak boleh kawal semua benda, tapi kita boleh kawal respon kita.

4. Kita Lebih Bersyukur Bila Pernah Kekurangan

Air kosong pun terasa nikmat bila berbuka. Kenapa?

Kerana kita merasai ketiadaan sebelum mendapatnya. Puasa mengajar nilai syukur melalui rasa kehilangan sementara.

Dalam hidup, kita selalu menghargai sesuatu selepas ia hilang. Puasa melatih kita menghargai sebelum kehilangan itu menjadi kekal.

Kesihatan.

Masa bersama keluarga.

Rezeki.

Ketenangan.

Semua itu lebih terasa nilainya ketika kita pernah “dikurangkan”.

5. Hidup Ini Bukan Tentang Diri Kita Sahaja

Apabila lapar, kita lebih mudah memahami orang yang hidup dalam kekurangan.

Puasa membina empati. Ia membuat kita lebih peka terhadap:

  • Orang miskin
  • Orang yang diuji
  • Orang yang bergelut secara diam-diam

Puasa bukan sekadar hubungan dengan Tuhan. Ia juga membentuk hubungan dengan manusia. Hati yang pernah merasa susah, lebih mudah menjadi lembut. Dan dunia hari ini lebih perlukan hati yang lembut, daripada suara yang keras.

6. Disiplin Rohani Membina Kekuatan Dalaman

Puasa ada waktu mula dan habisnya. Ada peraturan, ada batas, ada garis yang tak boleh dilanggar.

Disiplin ini sebenarnya latihan integriti. Kita buat yang betul walau tiada siapa tengok. Bayangkan, tiada siapa tahu kalau kita minum seteguk air secara sembunyi — tapi kita tetap tahan.

Kenapa? Sebab kita sedar Allah sedang melihat.

Orang yang hidup dengan kesedaran macam ni, tak perlukan pengawasan orang lain. Integriti bukan soal siapa nampak kita; integriti adalah siapa kita bila tiada siapa melihat.

Dan puasa… ia melatih jiwa kita untuk jadi begitu.

Soalan penting: Apa yang berubah dalam diri kita selepas sebulan berpuasa? Kalau kita lebih sabar, lebih bersyukur, lebih empati — puasa benar-benar mengajar sesuatu.

Lapar sementara. Tapi karakter yang terbina, boleh kekal seumur hidup.

Sharhanah

Susah-Susah Dahulu: Rahsia Masak Cepat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sekarang ini, saya agak sibuk di dapur menyediakan pelbagai pes asas untuk memudahkan kerja memasak sepanjang bulan puasa. Memang bukan kerja lima minit tau — mengupas bawang, mengisar cili, menyangai rempah… memang ada sesi air mata dan pedih mata yang tak dapat dielakkan. Dapur pun penuh aroma bawang dan rempah! Tapi saya tahu, semua ini sangat berbaloi.

Pes halia dalam bentuk kiub

Pes lengkuas dah lama simpan

Antara pes yang saya sediakan ialah pes sambal, pes tomyam, pes kari, pes sambal hijau, pes masak lemak dan juga pes ikan bakar. Bila semuanya sudah siap dimasak dan cukup rasa, saya biarkan sejuk sebelum dibahagikan ke dalam bekas ketul ais — siap portion sekali masak lagi. Kemudian terus simpan dalam peti sejuk beku. Bila dah beku keras, saya keluarkan dan simpan pula dalam bekas kedap udara. Masuk balik ke dalam peti sejuk beku. Boleh tahan sehingga tiga bulan!

Seronok tengok deretan pes yang tersusun rapi — rasa macam ada “stok rahsia” di dapur sendiri. Bila nak memasak, tak perlu lagi kisar itu ini. Hanya keluarkan beberapa ketul, campak ke dalam kuali, dan masakan pun siap dengan lebih cepat.

Memang betul kata orang, susah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kini kerja memasak jadi lebih pantas, teratur dan menjimatkan masa.

Sharhanah

Kali Kedua ke Fraser’s Hill - Februari 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Fraser’s Hill. Walaupun sebelum ini saya hampir bersumpah tidak akan kembali akibat perjalanan yang berliku dan mencabar, akhirnya saya akur, ada tarikan yang terlalu kuat untuk ditolak.


Keindahan alam, ketenangan yang mendamaikan jiwa serta suasana sejuk yang menenangkan hati menjadikan destinasi ini bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi panggilan untuk kembali sekali lagi.

Ya, hari biasa. Jaraknya lebih kurang 120km dari rumah. Taklah dekat, tapi cukup untuk rasa macam pergi “healing trip” singkat.

Bezanya kali ini, saya dan suami hanya membawa anak nombor dua — yang kini sedang menunggu penuh debar keputusan SPM 2025. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Dulu, saya pernah datang bersama tiga orang anak, tetapi ketika itu dia tidak dapat ikut kerana tinggal di asrama. Jadi trip kali ini memang khas untuk dia seorang. Yang lain semua di sekolah, jadi terasa lebih eksklusif — macam “mini getaway” khas buat anak yang sedang menanti fasa baru dalam hidupnya.

Kami bertolak seawal 8 pagi, melalui jalan lama Ulu Yam menuju ke Kuala Kubu Bharu. Tapau bihun goreng di gerai makan dan berkelah di Empangan Sungai Selangor. 

Cuaca pagi itu memang cantik, cerah dan nyaman. Angin tasik menyapa lembut, rasa tenang sebelum memulakan perjalanan yang berliku.

Masuk saja jalan mendaki, selekoh demi selekoh buat jantung berdebar. Walaupun tak setakut dulu, tetap juga kecut perut bila fikir kalau ada kereta tiba-tiba muncul di depan. Jalan sempit dan berliku, memang kena fokus betul-betul. Dalam hati tak putus berdoa semoga perjalanan kami selamat sampai ke destinasi.

Semakin tinggi kami mendaki, suhu makin dingin. Telinga pula terasa berdesing sedikit sebab tekanan. Terus saya tutup aircond dan buka tingkap sikit — nikmatnya hirup udara sejuk semula jadi!

Kami tiba di Bukir Fraser sekitar jam 12 tengah hari. Perkara pertama? Lari ke tandas awam dulu! πŸ˜„ Lepas tu barulah santai berjalan kaki sekitar pekan Fraser’s Hill. Kami singgah di Menara Jam yang ikonik tu. Di kawasan tu ada balai polis, pejabat pos, klinik kesihatan, kedai runcit, hotel dan restoran. 

Uniknya, di sinilah terletaknya sempadan antara Selangor dan Pahang. Kedai Makan Kheng Yuen Lee berada di bahagian Selangor — tapi percayalah, selangkah saja melangkah ke depan, dah rasmi masuk negeri Pahang! Rasa macam boleh “travel dua negeri dalam satu minit”.

Kami memilih Restoran Cattelya di Puncak Inn (bahagian Pahang) untuk makan tengahari. Ruang makan kemas, bersih dan pemandangan luar memang lawa. Saya order sup cendawan bersama roti bakar, set nasi paprik ikan, Nescafe dan teh O ais 2 gelas. Paprik tu memang sedap! Cuma sup cendawan kurang kena dengan selera saya. Total RM37.50.

Lepas makan, kami nekad kali ini tak mahu jadi “pelancong sekitar menara jam” sahaja. Dulu datang, situ jugalah tempat lepaknya. Rupa-rupanya banyak lagi sudut menarik yang kami tak sempat terokai.

Kami parking kereta di Taman Awam Bukit Fraser — kawasan yang lebih santai dengan food court dan taman permainan. Dari situ, kami berjalan ke view point. Subhanallah… suasana tenang dengan pemandangan hijau terbentang luas. Memang rasa nak duduk lama-lama, tapi biasalah… masa selalu mencemburui. Banyak lagi tempat menunggu untuk diteroka, jadi kami simpan rasa tenang itu dalam hati dan teruskan perjalanan.

Taman Eko Rimba Jeriau 

Destinasi seterusnya — Air Terjun Jeriau. Dalam 4km juga nak sampai. Jalannya dua hala, sempit dan berliku. Ada rasa macam nak patah balik… menyesal pun ada. Hahaha... tapi kami teruskan juga. Sampai sekitar jam 2 petang.

Kami park kereta dan mula berjalan masuk ke kawasan tersebut. Kebetulan ada empat orang sedang rancak berbual di situ. Tak sangka pula, rupa-rupanya suami kenal salah seorang daripada mereka. Memang betul orang kata, dunia ini kecil saja!

Sempatlah mereka bertanya khabar sekejap sebelum memberi sedikit panduan. Kata mereka, kalau nak sampai ke air terjun, kena terus berjalan sampai habis laluan. Jadi tanpa berlengah, kami pun teruskan langkah dengan rasa teruja untuk melihat sendiri keindahan yang menanti di hujung jalan.

Persekitarannya cantik, bersih dan terjaga. Air sungai mengalir jernih, bunyinya menenangkan. Kami menuruni anak-anak tangga… eh, kenapa air terjun di bawah? Selalunya bukan di atas ke? Rupanya air terjun di sini berketinggian antara 10 hingga 30 meter, dengan sungai dan kolam yang jernih.

Kawasan ini dikelilingi Hutan Dipterokarp — ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal dengan pokok tinggi seperti Meranti, Keruing dan Kapur. Memang rasa macam berada dalam dokumentari alam semula jadi.

Antara tarikan di sini:

* Sungai jernih

* Air terjun

* Tapak perkhemahan & berkelah

* Memerhati burung

* Flora hutan

Kemudahan pun lengkap — ada pondok rehat, tandas, surau dan parkir.

Saya sempat cuci muka dengan air sungai. MasyaAllah… sejuk sampai terasa ke tulang, tapi segar!

Masa nak naik semula anak tangga… haaa, baru tahu langit tinggi rendah. Jenuh juga! Anak yang muda pun mengah. Kalau ada baju salin dan masa lebih, memang saya dah mandi sungai. Tambah pula tak ramai orang — masa itu cuma ada sepasang pelancong warga emas dari Barat.

Singgah The Paddock


Sebelum pulang, kami singgah di The Paddock. Kawasannya cantik, dihiasi pokok-pokok conifer yang buat rasa macam di luar negara. Anak saya naik kuda — RM10 untuk satu pusingan. Jadilah, sekadar lepaskan rindu. Kali terakhir dia naik kuda masa umur 3 tahun!

Petang itu kami pulang ikut jalan yang sama. Sempat juga saya berangan nak ikut jalan Raub… tapi tengok jarak, terus fikir dua kali. Kecualilah kalau nak sambung ke Cameron Highlands, kan?

Walaupun penat, perjalanan kali ini penuh rasa syukur. Kadang-kadang bukan tempat itu yang paling penting, tapi siapa yang ada bersama kita sepanjang perjalanan. Untunglah, dia jadi anak tunggal beberapa jam!❤️

Sharhanah

Akhlak Seorang Mukmin

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kita rasa agama itu berat. Banyak hukum, banyak perintah. Tetapi dalam ayat ini, Allah ringkaskan agama dalam perkara yang sangat dekat dengan hidup kita.

Allah mulakan dengan tauhid. Seolah-olah Allah berkata:

"Betulkan hubungan dengan-Ku dahulu."

Kemudian Allah sebut ibu bapa.
Kenapa selepas tauhid terus ibu bapa?
Kerana syurga itu dekat dengan redha mereka.
Sudahkah kita benar-benar berlembut dengan ibu dan ayah?
Atau suara kita lebih tinggi daripada doa mereka?

Allah sebut anak yatim dan orang miskin.
Ini ujian hati — adakah kita hanya peduli diri sendiri, atau kita peka pada kesusahan orang lain?

Dan Allah pesan:
“Katakanlah yang baik kepada manusia.”

Bukan kepada orang yang baik dengan kita sahaja.
Bukan kepada orang yang sefahaman sahaja.
Tetapi kepada manusia.

Kadang kita jaga solat, tapi lidah melukakan.
Kadang kita tunaikan zakat, tapi hati masih keras.

Ayat ini seperti cermin. Ia bertanya perlahan kepada jiwa kita:

* Adakah aku benar-benar mentauhidkan Allah?
* Adakah aku sudah berbakti kepada ibu bapaku?
* Adakah tutur kataku membawa rahmat atau luka?

Islam itu bukan sekadar ritual. Ia adalah kasih sayang yang hidup dalam setiap tindakan.

Semoga Allah lembutkan hati kita, jernihkan niat kita, dan jadikan kita hamba yang menunaikan janji kepada-Nya.

Sharhanah