🌿 Let's Be Friends

Bila Time Rajin, Blogger Pula Buat hal

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Haaa… inilah dugaan seorang blogger. 😂

Dah lama tak rajin nak singgah blog orang, hari ni tiba-tiba datang mood rajin pula. Siap semangat nak join giveaway SA. Blogwalking sana sini la kita pagi tadi, nak tinggalkan komen kekonon…

Sekali Blogger buat hal! Tak boleh nak tinggalkan komen.

Dah tu, bila kita dah rajin ni bukannya selalu datang tau. Hari yang malas, boleh pula Blogger elok je. Hari kita tengah berkobar-kobar nak blogwalking, masa tu lah dia nak buat perangai. 

Bukti saya dah join giveaway SA. Tapi takleh tinggalkan komen. Harap SA nampak. Hihihi

Takpe… kita cuba lagi nanti. 

Ada tak yang mengalami nasib sama hari ni?

Sharhanah

Giveaway Wedding Anniversary SA & Suami Yang Ke-3 Tahun

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-3, SA & suami! 💕

Semoga cinta yang ada hari ini terus mekar sampai bila-bila. Semoga tahun-tahun mendatang dipenuhi lebih banyak senyuman, lebih banyak rezeki dan lebih banyak perjalanan indah!

Dan untuk giveaway pula… saya join!

Mana tahu ada rezeki kali ini. Kalau tak menang pun, sekurang-kurangnya dapat memeriahkan hari istimewa SA dan suami. 

Klik gambar untuk join
Sharhanah

Sebab Ada Diaaaa, Jadilah Sebuku Roti!

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Dalam sibuk-sibuk memasak untuk lunch dan sesekali buat keje admin, saya sempat buat sebuku roti. Sebab apa terlebih rajin ni? Sebab kat rumah ada serbuk yis baharu.

Sebelum tu, masa anak sulung nak buat doh pizza... doh tak naik langsung! Rupa yis tu dah lama dan masuk angin. Makan la kami doh yang keras tu.

Anak laki pergi kedai baru-baru ni. Saya suruh la dia beli yis. Semangat sikit nak buat roti kalau yis tu masih baru. Kembang elok la doh roti kali ni.

Doh tanpa malu-malu dia membesar

Kebetulan petang tu, hujan. Auto lapar. Dah la takde apa nak makan. Maka, roti ni la buat cicah dengan teh o. Nikmat....


Bila dah potong-potong.

Saya guna 2 cawan tepung gandum, 1 sudu teh yis, secubit garam, 2 sudu gula je dan letak sikit butter (takde shortening). Beginilah kejadiannya seperti gambar dia atas.

Tapi saya suka sungguh roti benggali macam arwah ayah beli. Cicah kopi dan kari ikan. Mabelesss... sebab dia liat-liat sikit bila tarik. Macam mana eh nak dapat tekstur macam tu??

Sharhanah

Memancing, hobi biasa. Betul ke?

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Dalam keluarga saya, ada satu hobi yang cukup popular, memancing. Bukan saya la, tetapi suami dan anak-anak memang suka.

Kalau suami off day, dia akan ke sungai berdekatan dengan rumah dan kalau nak jauh sikit, dia akan ke empangan. Anak lelaki saya akan follow kalau sebelah petang atau cuti sekolah. Awal-awal dulu saya tak bagi dia join bapaknya. Tapi, kesian pula. Dah la dia sorang je anak laki. Kalau kami balik kampung, akan singgah tepi pantai. Waktu ni la anak-anak perempuan saya pun nak memancing. Tengah-tengah panas pun onnzzz.

Pada saya, memancing ini nampak macam aktiviti yang mudah. Duduk, campak umpan dan tunggu ikan makan. Tapi rupanya bukan semudah itu. 

Kadang-kadang sudah berjam-jam duduk, ikan tak menjenguk pun. Umpan habis, kesabaran pun hampir habis. Mereka tetap seronok dan nak pergi lagi. Pelik.

Apa ntah yang best sangat pasal memancing ni kan... tapi, saya nampak sesuatu...

1. Boleh luangkan masa bersama keluarga

Bagi saya, ini antara perkara yang paling baik. Bila suami dan anak-anak pergi memancing bersama, mereka dapat meluangkan masa tanpa terlalu sibuk dengan telefon atau perkara lain. Boleh berbual, bergurau, makan bersama dan sama-sama tunggu ikan makan.

Kadang-kadang bukan ikan yang banyak pun, tapi masa bersama itulah yang menjadi kenangan.

2. Mengajar anak supaya lebih sabar

Memancing memang perlukan kesabaran. Kena tunggu. Kadang-kadang lama. Tak boleh campak umpan dan mengharapkan ikan terus datang. 😆

Untuk anak-anak, ini sebenarnya satu latihan yang baik. Mereka belajar bahawa bukan semua benda boleh dapat dengan cepat.

3. Dapat menikmati alam

Memancing biasanya dilakukan di tempat yang dekat dengan alam seperti sungai, tasik, kolam atau laut. Dapat la tengok pokok, air, langit dan suasana yang lebih tenang. Daripada duduk di rumah sepanjang masa, sesekali keluar menikmati udara segar pun bagus.

4. Mengurangkan stres

Mungkin sebab itu suami saya suka memancing.

Duduk di tepi air, tengok joran dan tunggu ikan. Tidak perlu fikir tentang kerja buat seketika. Walaupun ikan tak dapat, sekurang-kurangnya fikiran dapat berehat.

Tapi… ada juga kekurangannya.

Biasalah, setiap hobi mesti ada baik dan ada sisi gelap.

1. Boleh tahan juga modalnya

Kalau sekadar memancing sekali-sekala, mungkin tidak terlalu mahal. Tapi bila sudah mula minat, mulalah nak beli joran baru, kekili baru, mata kail, tali, umpan dan macam-macam lagi. Satu barang tak cukup. Nak cuba barang lain pula.

Saya perhati je... jangan terlebih bajet. Kang kacau bajet yang lain-lain.

2. Memerlukan masa

Memancing bukan aktiviti yang boleh dibuat sekejap-sekejap. Kadang-kadang perlu keluar awal pagi dan balik tengah hari. Ada juga yang sanggup memancing sampai malam. Tapi, saya hadkan sebelum Maghrib je.

Jadi, kena pandai bahagikan masa antara hobi, keluarga, kerja dan tanggungjawab lain.

3. Cuaca tidak menentu

Kalau panas, memang panas. Kalau hujan, kena bersedia. Anak laki saya tu, kulit cerah asalnya. Sekarang dah gelap kulit sebab terdedah cahaya matahari. Sanggup betul la.

4. Kadang-kadang balik tangan kosong

Ini mungkin kekurangan paling besar. Sudah keluar awal, sudah duduk lama, sudah tunggu dengan penuh harapan... Balik-balik, ikan tak ada.

Tapi peliknya, masih boleh cakap, “tak dapat ikan hari ni. Esok kita pergi lagi.”

Begitulah orang yang sudah jatuh cinta dengan hobi memancing. 

Anak lelaki saya ketika memancing di empangan

Kesimpulannya...

Memancing bukan sekadar tentang mendapatkan ikan. Ia tentang meluangkan masa, belajar bersabar, menikmati alam dan mencipta kenangan bersama orang yang kita sayang.

Bagi suami dan anak-anak, mungkin memancing adalah cara mereka menghabiskan masa lapang. 

Mana tau, mungkin satu hari nanti, saya pun akan cuba memancing. Dan waktu tu, saya tak perlu kisah nak kemas rumah, tak perlu kisah nak memasak, tak perlu kisah nak melipat baju atau nak kisah apa-apa pasal rumah.

Mungkin. Hahaha

Sharhanah

# Drama Buat Biskut Mazola

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Semalam buat biskut Mazola. Biskut favourite saya neh. Rasanya ada beberapa entri dalam blog ni. Tapi nak post juga.

Resipi dia senang je. Dapatlah dalam 3 balang kecik.

Bakar pula kena 2 kali sebab sekali bakar boleh masuk 2 dulang je.

Masuk batch pertama, tunggu punya tunggu… pasal apa lama sangat tak masak ni? Patutnya dah ada aroma.

Rupa-rupanya oven tak panas. 😂

Patutlah!

Terus naikkan suhu. Sekali bila dah naikkan suhu, terlebih bakar pula. Hahaha.

Nasib baik tak sampai hangus. Cuma telur kuning yang saya sapu atas biskut tu yang hangus sikit. Biskut masih selamat.

Batch kedua, barulah saya dah belajar dari kesilapan. Kali ni tengok biskut elok sikit rupa dia. Warna pun cantik.

Tapi yang paling penting… Sedap!

Hahaha. Chewah, puji diri sendiri pula.



Warna cerah, gelap sikit...

Mangsa... 

yang ni kut helok sikit


Serius, kali ni memang sedap sangat. Gigit je terus cair dalam mulut. Kacang tanah tu pun terasa. Tak manis sangat. Memang jenis yang sekali makan, tangan boleh pergi ambil lagi tanpa sedar.

Kononnya buat biskut untuk simpan. Tapi kalau tiga bekas tu tak bertahan lama, jangan tanya kenapa. 😂

Biasalah, bila buat sendiri ni macam-macam drama dia.

Oven tak panas pun boleh tak perasan.

Dah sedar, naikkan suhu pula sampai hampir terlebih masak.

Tapi akhirnya jadi juga.

Yang penting biskut tak hangus dan boleh makan.

Dan untuk saya, biskut sedap tu dah cukup membahagiakan. Siap anak bawa bekal sampai ke Melaka😆

Sharhanah



Dari Matrikulasi ke Universiti

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, 14 Ogos lalu keputusan UPU dah pun keluar. Sofea dapat pilihan ke-2 iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor. Insya-Allah, Sofea akan menyambung pengajian selama 4 tahun dan pendaftaran dijadualkan pada awal Oktober nanti.

Rasa macam baru semalam hantar Sofea masuk Darjah Satu, tahu-tahu dah sampai masa nak melangkah ke alam universiti pula. 🥹 Masa tengok keputusan tu, lega dan bersyukur sangat. Yang penting, Sofea dapat peluang sambung belajar dalam bidang yang dia pilih.

Nampaknya kami sekeluarga akan turun ke Johor pula. Boleh tahan lama juga saya tak menjejakkan kaki ke sana. Jadi sambil hantar Sofea daftar universiti, bolehlah ambil kesempatan jalan-jalan. Kalau ada yang biasa tinggal atau pernah belajar di kawasan UTM Skudai, bolehlah kongsikan tempat makan yang sedap-sedap. Kalau ada yang makanan Johor yang memang wajib cuba, lagi bagus.

Jadi, warga Johor… apa tempat makan yang wajib kami cuba nanti?  Boleh tinggalkan cadangan di ruangan komen. Mana tahu ada yang boleh jadi panduan untuk kami dan ibu bapa lain yang bakal menghantar anak masuk UTM nanti. 😊

Yang penting, doakan perjalanan Sofea dipermudahkan. Semoga empat tahun di UTM nanti menjadi satu perjalanan yang penuh dengan pengalaman manis, ilmu dan kenangan yang baik-baik. 

Semakan keputusan

Sharhanah

Ulasan Sambal Nyet Bilis: 12 Ogos 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya memang penggemar sambal bilis. Nak buat stok tu, battle juga la malam tu😆. Saya jadikan paste untuk nasi goreng, makan dengan mee goreng pun sedap. Tak ada lauk di rumah? Goreng telur mata, makan dengan sambal ni pun dah cukup okey.

Semalam saya dah rasa sambal ni. Kebetulan ada ulam, jadi kita makan dengan ulamlah. Tapi jujurnya, sambal ni pedas untuk saya! 😂 Berjujuran air mata sementara nak habiskan nasi.

Kalau ikut tahap kepedasan lidah saya, saya bagi 7/10. Taktau lidah orang lain macam mana. Kalau ada pilihan saya nak request 3/10 je. Boleh makan lebih sikit.

Dari segi rasa, semuanya cukup. Cuma untuk saya, mungkin lepas ni kena letak sesudu sahaja. Kesian juga perut ni.

Snap jugalah walaupun tak menang apa-apa. 1 botol saya sedekah pada jiran

Rasa macam pedas lagi daripada Sambal Nyet Berapi. Tapi pelik juga sebab ramai yang kata Sambal Nyet Bilis ni tak pedas sangat.

Ke saya dapat batch kuali yang terlebih cili?

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Romulan kehilangan kening

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kalau baca tajuknya saja dah rasa pelik. Siapa Romulan? Kenapa dia hilang kening?

Cerpen ini sebenarnya bukan sekadar kisah seorang lelaki kaya yang nak beli pulau. Ia cerita tentang kehilangan, dendam, alam yang membalas, dan dosa yang datang dari dalam rumah sendiri.

Romulan – lelaki kaya yang dianggap gila

Romulan tinggal di kawasan elit Villa Rimuan. Orang sekeliling gelar dia “orang gila” sebab dia beria-ia nak beli sebuah pulau terpencil. Pulau besar pula tu. Harga bukan main mahal — RM10 juta.

Tapi sebenarnya, Romulan bukan gila. Dia sedang lari daripada sesuatu. Beberapa minggu sebelum itu, isterinya meninggal dunia. Puncanya? Alahan teruk akibat sengatan lebah semasa mendaki Gunung Somus.

Sejak itu, Romulan simpan dendam pada lebah. Dia benci lebah sedalam-dalamnya. Pada dia, lebah itulah pembunuh isterinya.

Dia juga bernazar sampai sanggup cukur kening. Sebab itu tajuknya “kehilangan kening”. Kening yang hilang itu bukan sekadar fizikal — tapi simbol kehilangan arah, kehilangan kewarasan, dan kehilangan orang tersayang.

Jiran yang kaya, tapi kosong

Bahagian yang pedih dalam cerita ini ialah sikap jiran-jiran Romulan.

Mereka tinggal di kawasan mewah. Semua nampak bergaya. Tapi bila isteri Romulan meninggal dunia, tak ada seorang pun datang melawat atau beri simpati.

Harta banyak, empati kurang.

Penulis seperti mahu sindir — kadang-kadang orang yang nampak elit dan berkelas, sebenarnya miskin nilai kemanusiaan.

Alam mula membalas

Cerita jadi lebih besar bila kita tahu punca sebenar isteri Romulan mati. Lebah menyerang sebab habitat mereka musnah. Hutan Gunung Somus ditebang. Pokok-pokok besar tumbang. Haiwan kehilangan tempat tinggal. Ular masuk rumah orang kaya. Monyet curi pisang. Rusa berkeliaran. Alam seperti bangkit semula menuntut hak.

Dan kemuncaknya — banjir besar dan tanah runtuh berlaku di Gunung Somus. Kayu balak hanyut. Gajah dipaksa bersihkan sisa runtuhan. Semua ini menunjukkan kerakusan manusia terhadap alam.

Plot twist yang paling menyakitkan

Bahagian paling mengejutkan — syarikat yang terlibat dalam penerokaan hutan itu rupanya milik anak Romulan sendiri.

Anak kandungnya.

Isterinya mati bukan sekadar kerana lebah. Tapi kerana kerakusan manusia yang hilang empati. Dan manusia itu… darah dagingnya sendiri. Di sinilah Romulan benar-benar “hilang”.

Lebah bukan musuh sebenar.

Musuh sebenar ialah ketamakan manusia.

Romulan sedar kematian isterinya adalah karma. Dia gagal mendidik anaknya dengan nilai kemanusiaan dan tanggungjawab terhadap alam.

Ayat ini paling kuat maknanya:

“Romulan kehilangan kening gara-gara ulah darah daging sendiri.”

Kening itu simbol maruah. Simbol harga diri. Simbol wajah.

Dia bukan sekadar hilang kening — dia hilang kehormatan sebagai ayah.

Budak lelaki berbaju merah

Ada satu lagi simbol penting — kanak-kanak lelaki berbaju merah yang dilihat Romulan di pulau. Akhirnya kita tahu budak itu sebenarnya mangsa pemerdagangan manusia yang mati lemas di Mediterranean (mengingatkan kepada kisah Aylan Kurdi).

Penulis seperti mahu kaitkan semua tragedi ini:

  • Hutan musnah
  • Haiwan terseksa
  • Kanak-kanak pelarian mati
  • Manusia tamak
  • Orang kaya tak peduli

Semua berpunca daripada satu perkara: manusia yang hilang hati.

Kenapa Romulan mahu beli pulau?

Pada akhirnya, Romulan mahu beli Pulau Mowang untuk jadikan tempat perlindungan. Dia mahu bawa haiwan, pekerja tertindas, alam yang terancam — semua ke sana.

Pulau itu simbol harapan. Simbol dunia baru yang bebas daripada munafik dan tamak. Tapi persoalannya — bolehkah kita lari dari dosa sendiri?

Pengajaran yang boleh kita fikirkan

1. Jangan salahkan alam kalau kita sendiri yang merosakkannya.

2. Kekayaan tanpa empati tak bermakna apa-apa.

3. Dendam kadang-kadang lahir daripada kejahilan kita sendiri.

4. Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak dengan nilai kemanusiaan.

5. Setiap kerakusan ada balasannya.

Kesimpulan

Cerpen ini sarat dengan simbol dan sindiran sosial. Pada awalnya nampak seperti kisah lelaki kaya yang hilang isteri dan nak beli pulau. Tapi sebenarnya ia cerita tentang:

  • Karma
  • Alam yang membalas
  • Manusia yang lupa diri
  • Dan hati yang lambat sedar

Romulan kehilangan kening. Tapi lebih daripada itu — dia kehilangan kebenaran yang selama ini ada di depan mata. Dan mungkin… kita juga sedang berdiri di hadapan lebah yang marah, tanpa sedar siapa sebenarnya yang bersalah.

Sharhanah

Majlis Graduasi KMNS 2025/2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, anak sulung dah tamat program Matrikulasi 10 bulan di bawah KPM dengan CGPA 3.96 

Majlis graduasi telah dijalankan pada 16 sehingga 18 Julai yang lalu. Saya dan suami turut hadir untuk sama-sama meraikannya.

Bersama Tuan Pengarah KMNS

Bersama abah. Dapat juga 4.0 di Sem 2
Sekarang ni dia tengah bekerja sambilan sementara menunggu keputusan UPU yang dijangka akan keluar pada pertengahan Ogos. Sempatlah cari duit lebih. 

Doakan Sofea dimudahkan urusan menyambung ke peringkat ijazah pula dan dapat program dan universiti yang diminatinya. Semoga terus bersemangat menimba ilmu dan cemerlang di dunia dan akhirat.

Sharhanah

Tempat Kumpul Review Filem dan Pengajaran Hidup

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selama ini aku suka tengok filem, tapi selalu juga jadi macam ni... habis tengok, rasa best, dapat macam-macam pengajaran, lepas beberapa minggu terus lupa. Sayang pula kalau semua pengajaran tu hilang macam tu saja.


Sebab itulah aku mula buat satu rekod guna GS khas untuk simpan review filem yang aku tonton. Aku catat tajuk filem, rating, apa yang aku suka, pengajaran yang aku dapat, dan quote menarik untuk rujukan aku pada masa akan datang.

Rupanya, cara ni memang memudahkan. Bila nak cari semula filem yang pernah ditonton atau nak ingat balik mesej yang disampaikan, semuanya ada di satu tempat. Lebih seronok lagi bila dapat tengok balik bagaimana setiap filem memberi perspektif yang berbeza tentang kehidupan.

Bagi aku, filem bukan sekadar hiburan. Kadang-kadang, satu dialog atau satu babak boleh memberi inspirasi dan membuka cara kita melihat sesuatu perkara. Jadi, daripada biarkan ia berlalu begitu saja, lebih baik simpan sebagai koleksi yang boleh dibaca semula pada bila-bila masa.

Kalau korang pun suka tengok filem, mungkin boleh cuba buat Google Sheet sendiri. Ringkas, mudah, dan lama-kelamaan korang akan ada koleksi review serta pengajaran daripada ratusan filem yang pernah ditonton.

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Terpijak wayar merah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerita ini berlaku di sebuah tempat bernama Dewan Suara Negara. Dari luar nampak biasa — bangunan besar, lampu terang, pegawai sibuk buat persiapan. Tapi sebenarnya, suasana dalam dewan itu penuh dengan tekanan yang tak nampak.

Penulis guna banyak simbol untuk tunjuk keadaan sebenar dunia kuasa dan pentadbiran.

Apa sebenarnya “wayar merah” itu?

Dalam cerita ini, semua pegawai takut pada sesuatu yang dipanggil “wayar merah”. Tapi peliknya, wayar itu tak wujud secara fizikal. Tak ada pun kabel merah atas lantai.

Wayar merah itu sebenarnya simbol.

Ia melambangkan batas halus dalam dunia kuasa — perkara yang tak tertulis, tapi semua orang tahu. Kalau tersalah cakap, tersalah langkah, atau terlalu jujur… kerjaya boleh musnah. Walaupun kerja kita bagus.

Maksudnya, dalam dunia itu:

Bukan kerja tak betul yang paling bahaya. Tapi tersalah bahasa kuasa.

Watak Tuan Utama – pemimpin atau pelakon?

Kemunculan Tuan Utama jadi titik utama cerita ini. Dia masuk dewan dengan penuh gaya. Langkah teratur. Senyum terlatih. Nada suara tersusun. Nampak seperti pemimpin yang yakin. Tapi lama-kelamaan, pembaca mula nampak sesuatu yang janggal.

Dia lebih banyak melihat imej dirinya di skrin besar berbanding melihat orang yang hadir. Seolah-olah dia bercakap untuk memuja diri sendiri, bukan untuk rakyat.

Penulis gambarkan Tuan Utama membawa “cermin sakti”.

Cermin itu bukan sekadar untuk tengok rambut atau wajah. Tapi simbol kepada sikap terlalu mementingkan persepsi dan imej. Apa orang nampak. Apa orang fikir. Apa yang buat dia kelihatan hebat.

Sedangkan isi sebenar… mungkin kosong.

Konflik sebenar: Angka yang salah

Bahagian paling mendebarkan ialah apabila satu angka dalam ucapan Tuan Utama sebenarnya tidak tepat.

Hana, pegawai yang tahu perkara itu, sudah cuba membetulkan melalui e-mel. Tapi tak dilayan. Bila angka itu tetap disebut dalam ucapan dan dipuji sebagai “kejayaan”, Hana tahu dia sedang berdiri sangat dekat dengan wayar merah.

Kalau dia bersuara — bahaya.

Kalau dia diam — salah tetap salah.

Pegawai kanan pula hanya berbisik supaya jangan dibangkitkan isu itu. Di sinilah cerita ini benar-benar terasa real. Kadang-kadang dalam dunia kerja, yang salah bukan data. Tapi siapa yang menyebut data itu.

Mesej besar cerpen ini

Cerpen ini sebenarnya sindiran tajam terhadap dunia kepimpinan dan birokrasi.

Beberapa perkara yang boleh kita fikirkan:

  1. Kuasa boleh buat orang lupa diri.
  2. Imej kadang-kadang lebih diutamakan daripada kebenaran.
  3. Orang bawahan selalu jadi mangsa jika berlaku kesilapan di atas.
  4. Sistem yang takut pada kebenaran akan melahirkan budaya bisu.

Penulis juga memberi amaran halus — ramai pemimpin jatuh bukan sebab badai besar, tapi sebab kesilapan kecil yang diabaikan… atau ego sendiri.

Kenapa cerpen ini menarik?

Walaupun ayatnya puitis dan penuh metafora (murai merah, kunang-kunang retorik, cemara upacara), sebenarnya mesejnya sangat dekat dengan realiti.

  • Kita mungkin tak bekerja di dewan besar.
  • Tapi hampir semua orang pernah rasa:
  • Takut tersalah cakap depan bos
  • Terpaksa ikut naratif walaupun tahu ia tak tepat
  • Diam demi keselamatan

Itulah “wayar merah” dalam versi hidup kita.

Kesimpulan

Cerpen ini mengingatkan kita bahawa kepimpinan bukan tentang gaya dan sorotan lampu. Bukan tentang imej di skrin besar.

Kalau terlalu sibuk melihat pantulan sendiri, akhirnya kita akan hilang pandangan terhadap kebenaran.

Dan bila wayar merah itu akhirnya disentuh… biasanya sudah terlambat.

Sharhanah


Bahagian Akhir: Terbanglah Setinggi Mampu, Semoga Ilmu Menjadikanmu Bertakwa

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Sofea (berdiri di tengah) bergambar bersama rakan sekelas
Alhamdulillah, dengan merit tinggi, dia terima tawaran daripada program matrikulasi KPM. Untuk UPU, dapat Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Dia pilih matrikulasi. Katanya nak cepat sambung ijazah, kos pun lebih rendah. 

Sekali lagi, dia berada di persekitaran baru, matrikulasi. Kali ini, tiada langsung kawan dari sekolah lamanya. Hanya seorang, itupun di matrik jauh di sebelah utara Semenanjung. Tak hairanlah dia risau, takut sokmo. Saya cuma kata, “Sabar… nanti bila belajar sini, ramai kawan”.

Cabarannya, dia tidak pernah duduk di asrama. Hanya menempek di rumah sepanjang hidupnya. Semua rutin baharu, semua suasana asing dan jauh dari keluarga. Dia perlu belajar berdikari sepenuhnya. Cabaran kedua pula, majoriti pelajar matrikulasi adalah dari sekolah berasrama penuh yang sudah lama pandai berdikari. Persaingan memang sengit tapi sihat. Sebagai ibu bapa, saya hanya mampu menitipkan kata-kata semangat, lembut tetapi penuh dorongan agar dia terus kuat melalui cabaran tu semua.

Kebanyakan subjek pula diajar dalam Bahasa Inggeris. Bagi anak kampung seperti dia, tiga bulan pertama benar-benar menguji untuk menyesuaikan diri dengan bahasa, suasana dan rentak pembelajaran yang pantas. Namun Alhamdulillah, dengan izin Allah dan usaha yang tidak putus, di akhir semester pertama dia memperoleh CGPA 3.92. Walaupun nilai skor tak dapat 4.00 rata, saya dah bersyukur sebab dia mampu mengikut rentak program ini. Mana taknya, laju macam bullet train!  Kalau lambat, kena tinggal.

Semester kedua matrik pula, cabaran masih ada, tapi dia semakin biasa dengan ritma kelas, tugasan, dan rakan-rakan. Katanya kawan-kawan semua best, tenaga pengajar pun sporting. Tanya apa pun, diorang banyak membantu. Tapi, untuk presentation... dia masih tak yakin.

Dari sekolah rendah sampai ke pra-U dia memang gagap

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Hari ini kami menerima khabar gembira apabila dia berjaya memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan PSPM Semester II. Kejayaan ini pastinya hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh, disiplin dalam pembelajaran serta doa dan sokongan daripada keluarga dan para pensyarah.

Buat masa ini, dia sedang bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan permohonan UPU diumumkan. Selain mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat, pengalaman bekerja ini juga memberi peluang untuk mengenali dunia pekerjaan, belajar berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta membina sikap bertanggungjawab dan berdikari.

Semoga pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja ini menjadi bekalan yang berharga dalam proses menuju alam dewasa. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan, dikurniakan pilihan yang terbaik untuk menyambung pengajian, dan terus cemerlang dalam setiap langkah kehidupan.

Daripada kisah anak sulung saya, saya belajar satu perkara besar. Setiap anak ada garis masa sendiri. Ada yang mekar awal, ada yang mekar perlahan. Tugas kita bukan memaksa bunga itu cepat kembang. Tugas kita menyiram, membaja, dan mendoakan. Kerana akhirnya, kejayaan sebenar bukan pada berapa banyak A di kertas keputusan. Tetapi pada sejauh mana kita membesarkan mereka dengan sabar, doa, dan hati yang reda.

Mohon doakan agar anak saya terus dikurniakan kejayaan di peringkat ijazah pula. Perjalanannya selepas ini belum kita ketahui, namun kami yakin setiap langkah telah Allah aturkan sebaiknya. Semoga pengalaman di matrikulasi menjadi bekal dan panduan untuk dia melangkah lebih matang, tabah dan berilmu.

Sharhanah

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa


Pulau Kapas Trip Keluarga: Sekali Pergi, Terus Rasa Nak Repeat!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sejak kali terakhir bercuti berdua dengan suami ke Pulau Kapas pada tahun 2025, kami dah pasang niat. Kalau ada peluang, memang nak bawa satu keluarga pula merasai pengalaman bercuti di sini. Tahun ini, alhamdulillah menjadi juga rancangan yang dah lama tersimpan dalam "draft" kepala kami.

View depan campsite yang kami menginap

Antara sebab utama pilih Pulau Kapas? Sebab perjalanan bot dia tak sempat pun nak rasa mabuk laut. Lebih kurang 15 minit sahaja dari Jeti Marang dah sampai. Warga emas selesa, budak-budak pun tak sempat merungut bosan. Yang sempat cuma ternganga tengok laut yang jernih.

Sehari sebelum ke pulau, kami bermalam di hotel bajet di Marang. Pagi-pagi dah keluar brisk walking di Pulau Kekabu kononnya nak bakar kalori sebelum ke pulau. Hakikatnya kalori yang dibakar tu tak sampai beberapa jam pun sebab balik singgah pekena roti canai.

Pantai Pulau Kekabu


Pemandangan pagi

Pemandangan dari Marang wave breaker

Lepas sarapan, kami shopping barang dekat pasaraya sebelah hotel kami menginap tu je. Mudah sungguh kerja kami. Tak perlu berpusing satu bandar cari telur, roti, sardin.... Kalau tak, belum sampai pulau dah rasa penat sebab penat cari kedai.

Disebabkan musim cuti sekolah, memang ramai orang berpusu-pusu ke Pulau Kapas. Mujurlah kami dah tempah tapak perkhemahan lebih awal. Bayaran cuma RM20 seorang untuk satu malam dan yang paling best, khemah dah siap tersedia.

Memang sesuai untuk orang macam kami yang suka camping tapi tak suka mengangkat barang camping.

Meninggalkan jeti Marang

Sampai sahaja di pulau sekitar pukul 12 tengah hari, kami terus diberikan sebuah khemah besar. Lega tengok khemah tu. Sekurang-kurangnya malam nanti tak adalah sesi berebut ruang tidur macam ikan sardin dalam tin.

View pantai dari dalam khemah

Lepas letak barang dan tukar pakaian, aktiviti pertama mestilah snorkeling.

Anak-anak memang tak boleh duduk diam. Semua teruja sebab pertama kali snorkeling. Si bongsu pula buat kami kagum. Langsung tak takut air. Macam dah ada lesen menyelam. Terkejut juga dengan dia ni. Pertama kali kot.

Gambar tak banyak. Hanya video dalam air.

Cuma anak nombor dua sedikit struggle.

Setiap kali pakai goggles, setiap kali itulah dia terlupa yang kena bernafas guna mulut.

Pakai... panik.

Cuba lagi... panik.

Cuba lagi sekali... masih panik.

Akhirnya dia pilih untuk menikmati laut dekat dengan pantai. Ya, masih cetek. Itu pun dah cukup seronok.

Kami berjalan waktu petang yang agak redup

Sampai waktu Asar kami bermain air. Lepas mandi dan bersihkan diri, kami berjalan santai sepanjang pantai. Angin petang memang sedap. Jenis yang buat kita rasa semua masalah boleh ditangguhkan sampai minggu depan.

Nak cas phone, boleh masuk ke ruang dapur. Insha-Allah, tak hilang

Balik daripada berjalan, saya dan anak ke-2 bersilat menyediakan makan malam di dapur. Yang lain hilang....

Siapppp... Pinggan tak bawa. Kami makan dalam kertas nasi lemak tu ha. Senang bungkus bawa makan dekat pantai

Sah, lagi 4 orang dekat pantai. Suami pula entah macam mana boleh tersangkut bermain bola tampar pantai dengan sekumpulan mat saleh. Riuh rendah la diorang bermain.

Lepas masak, saya dan anak-anak jadi penonton setia dari tepi pantai sambil makan malam dan layan sunset. Sempat buat time-lapse.

Kalau ikutkan, tak tahu siapa yang lebih seronok. Anak-anak bermain pasir atau suami yang tiba-tiba masuk pasukan antarabangsa.

Tak sabar nak main bola tampar.

Waktu ni masih panas lit-lit. Kami lepak dalam hammock dulu. Terlelap sebab best sangat kena angin pantai dan dengar deruan ombak.

Waktu itu juga kami sempat melihat sekumpulan kelawar keluar mencari makan. Besar-besar belaka sampai anak-anak terdiam sekejap.

Lepas solat Maghrib, kami sebenarnya bercadang nak berjalan ke kawasan hujung pantai untuk tengok fire show.

Tapi bila tengok langit macam nak hujan dan fikir balik jarak berjalan kaki yang boleh tahan jauh, semangat kami mula berkurangan.

Akhirnya satu keluarga sepakat.

"Tak apa, lain kali je."

Padahal sebenarnya masing-masing dah mula malas berjalan.

Malam diteruskan dengan aktiviti memburu ketam. Nampak ketam, semua berlari. Ketam lari kiri, kami ke kiri. Ketam lari kanan, kami ke kanan.

Malam itu juga bulan penuh muncul malu-malu di sebalik awan. Cantik sangat suasananya. Ingatkan nak hujan... huhuhu.

Mama dan abah pula tak mampu bertahan lama. Jam belum berapa malam, dah selamat belayar ke alam mimpi.


Sarapan pagi.... s

Esok paginya kami bangun paling awal. Bila camping dengan keluarga, waktu pagi memang automatik jadi segar.

Menu pagi kami ringkas sahaja. Sandwich sardin, nasi panas dan sambal sardin.

Bila bercuti tepi pantai, makanan sesederhana itu pun rasa macam makan di restoran lima bintang.

Lepas siap memasak dan mengemas barang, kami turun snorkeling buat kali terakhir sebelum pulang.

Malangnya laut agak bergelora pagi itu. Air tak sejernih semalam. Ikan pun macam ambil cuti. Batu karang pun malu nak tunjuk muka.

Tapi anak-anak tetap gembira. Asalkan dapat main air, semuanya dianggap berjaya.


si bongsu dan anak no.3 memang paling lama dekat laut


sementara menunggu bot, anak-anak main dulu.

Selesai bersarapan, kami mengangkat semua beg dan bersedia untuk pulang. Kami terus naik bot tanpa mandi atau tukar pakaian kerana bercadang untuk bersihkan diri di jetI Marang nanti.

Tepat sekitar pukul 11.30 pagi, bot kami bergerak meninggalkan Pulau Kapas.

Dalam perjalanan pulang, masing-masing diam.

Bukan sedih.

Penat.

Tapi dalam diam tu semua setuju satu perkara.

Trip ini memang best.

Cuma kalau datang lagi nanti, kami mungkin akan tambah satu malam.

Dan kalau boleh, biarlah tandas pompuan tu proper sikit. Baru best nak bersihkan diri. Nak tukar baju pun ngeri sebab tutup pakai langsir je.

Apa-apa pun, kenangan bercuti bersama keluarga, melihat anak-anak mencipta pengalaman pertama snorkeling dan bermalam dalam khemah di pulau  selama dua hari satu malam ini memang sesuatu yang sukar dilupakan.

Pulau Kapas, tunggu kami datang lagi. Kali ini mungkin dengan stamina dan duit yang lebih banyak sebab nak rasa stay resort pula. Nak makan je tanpa perlu bawa barang-barang memasak. Mama nak santai-santai tanpa pegang kuali.

Bye!

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Seekor dan sekujur

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini memang berat dan gelap. Tapi sebenarnya mesejnya sangat jelas iaitu tentang manusia yang hilang kemanusiaan.

Pada awal cerita, watak “dia” percaya dirinya ialah binatang. Bukan sekadar rasa macam binatang, tapi betul-betul yakin tubuh dan jiwanya sudah jadi binatang. Kadang dia rasa macam dubuk, ada kuku beruang, hidung macam babi. Dia keliru — sebenarnya dia ini spesis apa?

Bahagian ini bukan tentang binatang sebenar. Ia simbol. Simbol kepada manusia yang sudah terlalu jauh melakukan kejahatan sampai rasa dirinya bukan manusia lagi.

Latar tempat pula bangunan separa roboh, suasana gelap dan sunyi. Semua ini menggambarkan keadaan jiwa watak utama yang kacau, rosak dan tidak tenang.

Siapa gadis kecil itu?

Dalam ingatannya muncul imej seorang gadis kecil dengan wajah berdarah dan cedera. Imej ini sangat mengganggu dia. Setiap kali teringat, dia jadi takut, menggigil dan marah.

Di sinilah pembaca mula faham — watak ini bukan sekadar “rasa” macam binatang. Dia sebenarnya pernah melakukan sesuatu yang sangat kejam. Ada petunjuk jelas:

“Kau rodok tubuh kami dengan peluru…”

“Kau kambus waktu-waktu kami dalam perkuburan raga…”

Ini menunjukkan dia mungkin seorang tentera, atau seseorang yang membunuh kanak-kanak dan orang tidak berdosa dalam peperangan atau keganasan. Gadis kecil itu bukan syaitan. Bukan puaka. Dia adalah lambang dosa dan rasa bersalah.

Kenapa dia rasa jadi binatang?

Sebab dia sendiri sedar perbuatannya tidak berperikemanusiaan.

Bila suara itu berkata:

“Binatang lebih mulia.”

Ayat ini sangat kuat. Maksudnya, walaupun binatang membunuh, ia ikut naluri. Tapi manusia membunuh dengan sedar, dengan pilihan. Jadi bila manusia hilang nilai kemanusiaan, dia lebih hina daripada binatang.

Watak ini cuba salahkan gadis kecil itu. Dia kata dia disumpah. Tapi sebenarnya, tiada sumpahan. Yang ada cuma dosa dan trauma yang tak terpadam.

Kemuncak cerita

Di hujung cerita, suara-suara itu semakin kuat. Dia tidak mampu lari lagi daripada rasa bersalah. Akhirnya dia membenamkan kuku ke dadanya sendiri. Dia membunuh dirinya.

Simboliknya, “seekor lagi iblis kecundang menjadi bangkai” — kejahatan akhirnya memusnahkan diri sendiri.

Tema Cerpen

  • Kehilangan kemanusiaan
  • Dosa dan rasa bersalah
  • Trauma peperangan
  • Hukuman batin yang lebih perit daripada hukuman fizikal

Pengajaran

1. Bila manusia hilang nilai belas kasihan, dia lebih hina daripada binatang.

2. Dosa tidak pernah benar-benar hilang. Ia akan menghantui.

3. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita tak boleh lari daripada hati sendiri.

4. Keganasan hanya akan membawa kemusnahan — termasuk kepada pelakunya.

Kesimpulan Mudah

Cerpen ini bukan cerita seram tentang manusia jadi binatang. Ia cerita tentang manusia yang terlalu banyak dosa sampai jiwanya rosak.

Ia sindiran keras terhadap keganasan dan peperangan. Bahasa yang digunakan memang puitis dan berat, tapi mesejnya jelas:

Manusia yang hilang rasa kemanusiaan sebenarnya lebih buruk daripada binatang.**

Sharhanah

Ulasan Santai Cerpen: Manusia Bukan Sekadar Berburu

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cerpen ini nampak macam cerita pasal memancing. Ada sungai, ada joran, ada umpan. Tapi sebenarnya… ia bukan tentang ikan pun. Ia tentang manusia.

Watak utama, Aman dan Solihin, digambarkan sebagai kaki pancing yang hebat dengan cara masing-masing. Solihin jenis ramah, selalu berjaya dapat ikan. Aman pula jenis tak memilih, asalkan dapat hasil dan untung. Pada awalnya mereka saling kagum, kemudian saling ingin tahu rahsia masing-masing.

Bila mereka mula berkongsi “teknik memancing”, di situlah pembaca mula faham. Ini bukan cerita pasal memancing biasa. Ia sindiran tentang cara manusia mencari keuntungan dalam hidup.

Apa sebenarnya maksud “memancing” dalam cerpen ini?

Memancing di sini boleh ditafsirkan sebagai:

  • Cara mencari rezeki
  • Cara membina nama
  • Cara mendapatkan peluang
  • Malah cara “mengambil kesempatan”

Aman misalnya, menggunakan cara yang licik . Dia beli ikan di pasar, buat orang percaya dia pandai memancing, masuk persatuan untuk dapat kelebihan, dan pandai ambil peluang daripada orang lain. Dia nampak bijak, tapi ada unsur manipulasi.

Solihin pula nampak lebih sederhana. Tekniknya cuma satu iaitu jadi peramah. Mudah didekati. Disenangi orang. Tapi akhirnya dia juga terikut-ikut cara Aman.

Lama-kelamaan orang mula perasan. Kenapa dua-dua makin sama? Kenapa memancing nampak macam satu transaksi, bukan lagi hobi atau usaha jujur?

Di sinilah cerpen ini jadi menarik. Ia menunjukkan bagaimana manusia mudah terpengaruh dengan cara orang lain yang nampak lebih cepat untung. Bila semua mahu cepat berjaya, nilai kejujuran mula longgar.

Bahagian paling simbolik

Dialog ini sangat kuat maknanya:

“Tak ada sebelum ni. Sekarang dah ada.”

“Kaulah buayanya.”

Buaya dalam cerita ini bukan haiwan sebenar. Ia simbol kepada manusia yang licik, oportunis dan pandai mengambil kesempatan.

Dan ayat ini juga sangat mendalam:

“Masih ada ikan orang.”

Maksudnya?

Kalau tak dapat peluang secara jujur, masih ada cara lain untuk ‘memancing’ manusia lain.

Tetapi di akhir cerita, mereka sedar satu perkara penting:

Kalau terlalu lama saling menjeling dan bermain umpan, akhirnya kita sendiri boleh tersangkut pada mata kail.

Tema Cerpen

  • Sindiran terhadap sikap tamak dan oportunis
  • Persaingan dalam dunia mencari keuntungan
  • Manipulasi dan imej palsu
  • Identiti diri yang semakin hilang bila terlalu ikut orang

Pengajaran

1. Jangan terlalu taksub dengan keuntungan sampai hilang nilai jujur.

2. Teknik cepat berjaya tidak semestinya cara yang betul.

3. Bila kita terlalu sibuk “memancing orang”, kita mungkin lupa jadi diri sendiri.

4. Hidup bukan sekadar soal siapa paling banyak dapat hasil, tapi bagaimana cara kita mendapatkannya.

Secara keseluruhan, cerpen ini santai tapi pedas. Bahasa memancing digunakan sebagai simbol kehidupan sebenar. Ia buat kita senyum, tapi dalam masa sama terasa “terkena” pada diri sendiri.

Sharhanah

Hebatnya Didikan Hajar: Membesarkan Anak Tanpa Membenci Ayahnya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ni bukan sekadar cerita tentang pengorbanan semata-mata. Sebenarnya lebih dalam daripada tu. Ia tentang cara sebuah keluarga dibina. Tentang lembutnya hati seorang ayah, kuatnya jiwa seorang ibu, dan hubungan anak yang terikat dengan kasih sayang serta iman yang betul-betul hidup dalam diri.

Ramai orang fokus pada bab sembelihan je. Tapi kalau kita perhati betul-betul, sebelum sampai ke situ, ada proses didikan yang sangat panjang dan penuh makna.

Nabi Ibrahim bukan jenis ayah yang sentiasa ada di sisi anak setiap hari. Baginda tinggalkan Hajar dan Nabi Ismail di tanah yang tandus sebab perintah Allah. Tapi di situlah nampak betapa pentingnya peranan seorang ibu.

Hajar tak besarkan anak dengan rasa marah atau dendam sebab suami tak ada. Dia juga tak tanam rasa “kurang ayah” dalam hati anak. Sebaliknya, dia didik Nabi Ismail dengan iman, adab, dan hormat kepada bapanya.

Ibu yang kuat tak akan rosakkan pandangan anak terhadap ayah, walaupun dia terpaksa tanggung banyak benda seorang diri. Sebab tu bila ayah dan anak jumpa semula, mereka boleh bekerjasama bina Kaabah. Hubungan tu tak kekok, tak dingin. Tetap ada kasih sayang walaupun lama berjauhan.

Dari sini kita boleh nampak, didikan ibu memang besar peranannya dalam menjaga hati anak terhadap ayah.

Bahagian paling menyentuh bila Allah perintahkan Nabi Ibrahim untuk sembelih anaknya sendiri.

Walaupun baginda seorang nabi, baginda tak terus paksa. Tak guna kuasa sebagai ayah. Tak cakap, “Aku ayah, kau kena ikut.”

Sebaliknya, baginda panggil dengan penuh kasih:
“Wahai anak kesayanganku…”

Lembut. Penuh cinta.

Lepas tu baginda tanya pendapat anaknya dulu:
“Macam mana pandangan kamu?”

Di sinilah kita nampak besarnya jiwa seorang ayah.

Walaupun benda tu benar.
Walaupun datang daripada Allah.
Walaupun baginda seorang nabi.

Baginda tetap hormat perasaan anak. Bagi ruang untuk anak faham dan buat pilihan.

Ini ajar kita satu benda penting...  iman bukan automatik turun dari ayah ke anak. Anak kena faham sendiri, kena rela, kena pilih jalan tu dengan hati dia.

Nabi Ibrahim tak tergesa-gesa.
Tak kasar.
Tak paksa.

Semua dengan hikmah dan kasih sayang.

Dan jawapan Nabi Ismail pula memang luar biasa:

“Wahai ayahku…”

Tak membantah.
Tak merungut.
Tak persoal.

Tapi penuh yakin.

Seolah-olah dia kata:
“Kalau itu perintah Allah, buatlah ayah. Saya bersama ayah.”

Hubungan mereka bukan sekadar ayah dan anak... tapi sahabat dalam iman.

Akhirnya, kisah ni ajar kita:

Ayah bukan sekadar cari nafkah, tapi bimbing iman.
Ibu pula jaga jiwa anak, especially bila ayah tak ada di sisi.
Anak yang baik datang dari rumah yang penuh adab, bukan sekadar arahan.
Kasih sayang tak perlu ditunjuk dengan kemewahan... cukup dengan kata-kata yang lembut dan saling hormat.

Dan paling penting…
Taat pada Allah tak pernah hilangkan kelembutan dalam keluarga.

Cinta di Bumi Mina: Pengorbanan Agung

Sumber: Ustaz Syahmi Syazeril Azmi

Realiti Pemilihan Matrikulasi: Bukan Sekadar Straight A

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Saban tahun, kisah yang sama berulang. Anak dapat straight A. Semua orang bangga. Tapi bila keputusan matrikulasi keluar, nama tak tersenarai.

Terus timbul persoalan: “Macam mana boleh jadi macam ni?”

Pentingnya subjek Matematik untuk program ini

Ramai terus salahkan sistem. Kata tak adil. Tapi realitinya, pemilihan matrikulasi bukan semudah kira jumlah A.

Ya, keputusan SPM itu penting. Tapi ia bukan satu-satunya penentu.

Pemilihan oleh pihak seperti Kementerian Pendidikan Malaysia sebenarnya mengambil kira beberapa faktor lain termasuk latar belakang, lokasi, dan keperluan untuk seimbangkan peluang pendidikan.

Yang ramai tak sedar, pakej subjek juga memainkan peranan besar.

Untuk aliran yang popular seperti sains, kombinasi subjek tertentu lebih “menepati” keperluan program. Di sinilah Matematik Tambahan sering jadi pemisah bukan secara terang-terangan, tapi cukup signifikan.

Maksudnya?

Bukan semua straight A adalah “setara” dalam konteks pemilihan. Ada pelajar yang cemerlang, tapi pakej subjeknya kurang selari dengan laluan yang dipohon. Dan dalam persaingan yang sangat tinggi, perkara kecil macam ini boleh jadi penentu.

Tambah pula dengan jumlah tempat yang terhad. Hakikatnya, calon yang layak memang lebih ramai daripada tempat yang tersedia. Akhirnya, ada yang terpaksa tersisih... bukan sebab tak layak, tapi sebab sistem perlu membuat pilihan.

Akhirnya, realiti dia macam ni:

Straight A memang hebat. Tapi ia bukan tiket automatik ke matrikulasi.

Dan kalau tak dapat, itu bukan pengakhiran apa-apa pun. Cuma laluan je yang lain sikit. Yang penting, terus jalan.

Sharhanah.

Catatan Rasa: Bila hidup tak sibuk, rupanya lagi susah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dulu WFH sambil berniaga, hidup memang sibuk. Bangun pagi dah fikir kerja. Malam pun benda sama.

Penat tu memang penat. Tapi at least jelas… tahu nak buat apa setiap hari.

Sekarang bila dah stop berniaga tu, fokus keje admin je... ingatkan hidup akan jadi lagi senang.

Rupanya tak.

Bila tak sibuk, jadi banyak sangat ruang kosong. Dan dalam ruang kosong tu, macam-macam pulak masuk dalam kepala.

Ada masa rasa tenang. Ada masa rasa macam… hilang arah sikit. Benda kecil pun boleh jadi besar bila fikir lama-lama.

Baru perasan, mungkin selama ni aku terlalu lama sibukkan diri. Macam lari dari benda yang aku sendiri tak sedar.

Bila dah slow down, baru nampak apa yang sebenarnya aku rasa.

Tak semua selesa, jujur cakap.

Tapi mungkin ini memang fasa yang kena lalu.

Sekarang ni tak ada plan besar pun. Just buat apa yang mampu hari-hari.

Simple je.

Perlahan-lahan pun tak apa kan?


Sharhanah

Bila Masa Jadi Milik Kami Berdua

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Kalau orang tanya, “20 tahun kahwin buat apa?”

Jawapan kami: lari sekejap dari rutin… pergi pulau 

Pulau Kapas, kami datang... berdua.

Sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-20, kami decide nak buat trip santai. Tak nak kelam-kabut, just go with the flow.

Drive ikut Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dengan hati yang ringan... jenis perjalanan yang dari awal lagi dah rasa “okay, trip ni mesti jadi.” Cuaca pun ngam, tak panas terik, tak mendung suram… just nice untuk mood jalan jauh.

Kami singgah di R&R, solat jamak, kemudian tapau buah potong dan kacang badam kegemaran saya... stok wajib untuk kunyah sepanjang jalan.

Bila travel berdua tanpa anak-anak, lain macam feel dia. Bebas sikit. Boleh pasang lagu jiwang kuat-kuat tanpa kompromi. Maklumlah, salah seorang anak saya memang tak boleh ‘ngam’ dengan muzik... pelik, tapi itulah dia.

Habis 6 jam perjalanan, kami isi dengan karaoke lagu-lagu lama dalam kereta. Suara entah ke laut mana, tapi yang penting… moment tu memang priceless.

Dari lagu cinta zaman mula kenal, sampai lagu yang dulu selalu pasang masa dating. Suara tak sedap mana pun, tapi penuh perasaan 😆

Sesekali kami gelak sendiri sebab lupa lirik, sesekali diam… sebab lagu tu bawa balik memori lama.

Rupa-rupanya, perjalanan tu bukan sekadar nak sampai destinasi... tapi ulang balik kenangan.

Sampai Marang, kami check-in hotel dekat jeti. Tak rushing pun nak ke pulau. Ambil masa explore tempat orang dulu. Maklumlah, first time sampai sini.

Belakang hotel ada Pantai Pulau Kelabu, serius cantik, jenis tak payah filter pun dah nampak lawa. Pantainya panjang, luas, dan tenang… memang susah nak jumpa vibe macam ni di negeri-negeri pantai barat.

Kami pun jalan kaki santai sepanjang pantai, borak benda-benda random... dari kenangan lama sampai ke cerita dan plan masa depan. Angin laut sepoi-sepoi, suasana pula tenang… memang mudah hanyut dalam momen tu.

Sambil jalan, sempat juga saya snap beberapa gambar. Biasalah, itu memang hobi saya... tangkap momen kecil yang rasa besar bila dikenang nanti.

Malam tu, kami lepak dekat wave breaker. Angin laut memang lain macam… sejuk, lembut, dan ada bau yang buat rasa tenang. Atas kepala, penuh bintang. Suami pula… sempat lagi memancing 😂 Katanya, “mana tahu rezeki anniversary.”

Hari kedua... baru betul-betul mula adventure.

Pagi tu, kami ambil pakej day trip ke Pulau Kapas siap lunch sekali. Naik bot dalam 15 minit je. Sekejap sangat sampai rasa macam “eh dah sampai?”

Aktiviti pertama… terus pergi Bukit Singa. Nak ke sana kena naik bot dulu, lepas tu hiking sikit.

Dan ya… panas dia bukan main-main.

Tapi bila sampai atas, terus lupa penat. View dia… MasyaAllah. Dari atas bukit, nampak laut biru terbentang luas. Angin kuat, tapi best. Rasa macam recharge balik jiwa.

Lepas balik daripada aktiviti tersebut, kami terus lunch. Makan biasa je, tapi sebab lapar + view laut, jadi luar biasa sedap. Lepas tu, aktiviti wajib... snorkeling. Last snorkeling masa dekat Pulau Redang. Lama dah.

Berdebar juga nak terjun ke dalam laut. Sebelum tu tabur roti sikit… terus ikan datang macam kenduri 😂

Tak takut manusia pun. Jinak, berwarna-warni, berenang rapat-rapat. Moment simple, tapi buat kita gelak macam budak-budak. Lepas tu baru semangat nak terjun dari bot untuk aktiviti snorkeling.

Lepas snorkeling, kami tunggu bot untuk balik ke jeti Marang. Sampai saja, kami jalan kaki ke hotel. Badan dah mula terasa penat. Sampai hotel, terus bersihkan diri dulu. Baru rasa segar balik. Lepas tu keluar semula untuk cari makan malam. Perut pun dah mula bagi signal minta diisi. Sempat juga saya pakai mask muka, cuba tenangkan kulit yang dah mula sunburn. Biasalah… dah makin berusia ni, kena lebih rajin jaga kulit. 😄

Kami decide drive ke Kuala Terengganu sebab nak tengok Jambatan Angkat Kuala Terengganu. Pertama kali juga ni.

Esoknya, kami check-out agak awal... kami balik menggunakan jalan lama. Dan entah macam mana… boleh ter-sampai Cameron Highlands😂

Kalau rajin, saya sambung cite ke sana.

Apa-apaun, trip yang tak plan sangat, tapi jadi paling memorable. Kalau nak describe trip ni dalam satu ayat:

20 tahun… dan still, dia travel partner terbaik.

Sharhanah

Catatan Rasa: Empat Tahun WFH - Selesa di Luar, Penat di Dalam

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Empat tahun. Lama juga kalau difikirkan.

Empat tahun aku bekerja sebagai assistant admin secara work from home. Kalau orang luar dengar, mesti nampak macam “best gila”... tak perlu bangun awal sangat, tak perlu hadap jem, kerja dalam rumah sendiri, pakai baju santai pun boleh. Memang, aku tak nafikan… ada hari yang rasa selesa. Tenang. Macam hidup dah “secure”.

Tapi benda yang orang tak nampak... realiti dia tak seindah itu setiap masa.

Bila kerja dari rumah, kau sebenarnya banyak bersendirian. Hari-hari hadap laptop, buat kerja, settle task, tapi tak ada interaksi sebenar. Lama-lama, rasa macam terasing. Tak ada teammate untuk sembang ringan, tak ada suasana pejabat yang hidup. Semua komunikasi pun sekadar mesej dan arahan... ringkas, padat, dan kadang-kadang… kosong.

Yang paling penat bukan kerja tu sendiri. Tapi rasa “terkontang-kanting” tu.

Aku buat kerja, ikut arahan, siapkan apa yang perlu. Tapi perancangan dari pihak pengurusan? Hampir tak pernah jelas. Banyak benda jadi last minute. Tiba-tiba sahaja perlu siapkan sesuatu yang “urgent”, padahal kita sendiri tak pernah diberi gambaran awal. Nak plan kerja pun jadi susah. Nak rasa stabil pun jauh sekali.

Dan bila semua tu berlaku berulang kali… burnout tu datang senyap-senyap.

Tak meletup, tak dramatik. Tapi perlahan-lahan makan semangat.

Bangun pagi, buka laptop, buat kerja... tapi hati dah tak rasa apa-apa. Bukan sebab malas, tapi sebab penat yang tak nampak. Penat fikir, penat adapt, penat handle benda yang tak pernah ada arah jelas.

Dalam masa yang sama, realiti kewangan pula mengetuk.

Gaji… jujurnya, tak ke mana. Nak naik gaji pun macam satu benda yang susah nak dicapai. Tak nampak hala tuju. Tak nampak progression. Macam jalan di tempat yang sama, tapi masa tetap bergerak.

Sampai satu tahap, aku mula terfikir... kenapa rasa macam aku kena buat dua kerja untuk hidup selesa?

Satu kerja untuk survive. Satu lagi untuk cuba hidup dengan lebih baik.

Dan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Sebab dari awal, kita diajar... belajar elok, kerja tetap, nanti hidup stabil. Tapi realitinya, tak semua orang dapat jalan cerita yang macam tu. Ada yang kena cari jalan sendiri. Ada yang kena tambah usaha dua kali ganda hanya untuk capai benda yang orang lain anggap biasa.

Aku masih di sini. Masih buat kerja yang sama.

Tapi sekarang, aku lebih sedar... aku tak boleh bergantung pada satu sumber sahaja. Aku kena mula fikir ke depan. Walaupun perlahan, walaupun tak jelas sepenuhnya… tapi sekurang-kurangnya aku tak lagi pejam mata dan harap semuanya akan berubah sendiri.

Kadang-kadang, kita tak perlukan perubahan besar sekaligus.

Cukup dengan kesedaran kecil... yang kita sebenarnya layak untuk sesuatu yang lebih baik.

Sharhanah