πŸͺ

Catatan Rasa: Empat Tahun WFH - Selesa di Luar, Penat di Dalam

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Empat tahun. Lama juga kalau difikirkan.

Empat tahun aku bekerja sebagai assistant admin secara work from home. Kalau orang luar dengar, mesti nampak macam “best gila”... tak perlu bangun awal sangat, tak perlu hadap jem, kerja dalam rumah sendiri, pakai baju santai pun boleh. Memang, aku tak nafikan… ada hari yang rasa selesa. Tenang. Macam hidup dah “secure”.

Tapi benda yang orang tak nampak... realiti dia tak seindah itu setiap masa.

Bila kerja dari rumah, kau sebenarnya banyak bersendirian. Hari-hari hadap laptop, buat kerja, settle task, tapi tak ada interaksi sebenar. Lama-lama, rasa macam terasing. Tak ada teammate untuk sembang ringan, tak ada suasana pejabat yang hidup. Semua komunikasi pun sekadar mesej dan arahan... ringkas, padat, dan kadang-kadang… kosong.

Yang paling penat bukan kerja tu sendiri. Tapi rasa “terkontang-kanting” tu.

Aku buat kerja, ikut arahan, siapkan apa yang perlu. Tapi perancangan dari pihak pengurusan? Hampir tak pernah jelas. Banyak benda jadi last minute. Tiba-tiba sahaja perlu siapkan sesuatu yang “urgent”, padahal kita sendiri tak pernah diberi gambaran awal. Nak plan kerja pun jadi susah. Nak rasa stabil pun jauh sekali.

Dan bila semua tu berlaku berulang kali… burnout tu datang senyap-senyap.

Tak meletup, tak dramatik. Tapi perlahan-lahan makan semangat.

Bangun pagi, buka laptop, buat kerja... tapi hati dah tak rasa apa-apa. Bukan sebab malas, tapi sebab penat yang tak nampak. Penat fikir, penat adapt, penat handle benda yang tak pernah ada arah jelas.

Dalam masa yang sama, realiti kewangan pula mengetuk.

Gaji… jujurnya, tak ke mana. Nak naik gaji pun macam satu benda yang susah nak dicapai. Tak nampak hala tuju. Tak nampak progression. Macam jalan di tempat yang sama, tapi masa tetap bergerak.

Sampai satu tahap, aku mula terfikir... kenapa rasa macam aku kena buat dua kerja untuk hidup selesa?

Satu kerja untuk survive. Satu lagi untuk cuba hidup dengan lebih baik.

Dan itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Sebab dari awal, kita diajar... belajar elok, kerja tetap, nanti hidup stabil. Tapi realitinya, tak semua orang dapat jalan cerita yang macam tu. Ada yang kena cari jalan sendiri. Ada yang kena tambah usaha dua kali ganda hanya untuk capai benda yang orang lain anggap biasa.

Aku masih di sini. Masih buat kerja yang sama.

Tapi sekarang, aku lebih sedar... aku tak boleh bergantung pada satu sumber sahaja. Aku kena mula fikir ke depan. Walaupun perlahan, walaupun tak jelas sepenuhnya… tapi sekurang-kurangnya aku tak lagi pejam mata dan harap semuanya akan berubah sendiri.

Kadang-kadang, kita tak perlukan perubahan besar sekaligus.

Cukup dengan kesedaran kecil... yang kita sebenarnya layak untuk sesuatu yang lebih baik.

Sharhanah

No comments:

Post a Comment