Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Pernah tak rasa rungsing setiap kali nak gabungkan (merge) dokumen peribadi menjadi satu fail PDF? Lagi-lagi bila dokumen tu mengandungi maklumat sensitif seperti kad pengenalan, slip gaji, atau penyata bank.
Ramai orang ambil jalan mudah dengan guna laman web pihak ketiga secara online. Tapi tahu tak, perbuatan memuat naik dokumen ke laman web tak dikenali sebenarnya sangat berbahaya? Kita tak tahu di mana maklumat peribadi tu disimpan atau siapa yang boleh akses. Entah mana-mana pergilah data penting kita tu nanti!
Jangan risau, ada cara yang jauh lebih selamat, mudah, dan percuma. Kita hanya perlukan Google Docs sahaja. Semua proses dibuat dalam akaun Google sendiri, jadi privasi kekal terjaga.
Langkah Demi Langkah Gabung Fail Guna Google Docs:
1. Buka Dokumen Kosong di Google Docs
Log masuk ke akaun Google, pergi ke laman utama Google Docs dan buka satu dokumen kosong (Blank Document). Berikan nama fail siap-siap untuk mudahkan urusan.
2. Masukkan Fail atau Gambar Dokumen
Jika dokumen asal dalam bentuk gambar (JPEG/PNG) hasil scan atau gambar daripada telefon, pergi ke menu atas: Insert > Image > Upload from computer. Pilih semua gambar dokumen yang mahu digabungkan mengikut urutan yang betul.
3. Susun dan Kemaskan Halaman
Sebaik sahaja gambar dimasukkan, laras saiz gambar agar muat dengan saiz halaman kertas. Sambil-sambil tu, kita boleh taip nota atau teks tambahan jika perlu. Gunakan fungsi 'Page Break' (Insert > Break > Page break) kalau nak setiap dokumen bermula pada muka surat baharu yang kemas.
4. Download ke Format PDF (Selesai!)
Ini langkah terakhir paling magis. Selepas semua dokumen tersusun rapi, klik pada menu: File > Download > PDF Document (.pdf). Google Docs akan terus menukarkan keseluruhan dokumen menjadi satu fail PDF tunggal dalam beberapa saat!
Kenapa Cara Ini Jauh Lebih Baik?
- Data 100% Selamat: Tiada risiko dokumen peribadi kita "diintai" atau disimpan oleh pihak ketiga.
- Gambar Kekal Jelas: Google Docs mengekalkan kualiti asal gambar tanpa mengurangkan resolusi sehingga pecah atau kabur.
- Boleh Ditukar Bila-bila Masa: Kalau tersilap susun, buka balik fail Google Docs tadi, betulkan kedudukan, dan download semula fail PDF baharu. Mudah sangat!
Selesai! Sekarang fail PDF dah sedia untuk diupload.
Selamat mencuba!
- Sharhanah



No comments:
Post a Comment