Genap sebulan 3 hari pengalaman merasai banjir pertama kali dalam hidup. Sekejap masa berlalu tetapi penatnya sampai ke hari ini.
Sebenarnya, memang daerah kami setiap tahun dilanda banjir. Paling terjejas adalah di kawasan rendah seperti Sungai Serai, Nanding, Dusun Tua dan beberapa tempat lagi. Maka, tidak hairanlah kalau penduduk yang sudah pernah merasai pengalaman banjir, sudah biasa dengan situasi ini. Diorang tahu apa perlu buat kalau hujan berterusan. Tak seperti kami yang pertama kali ini.
Kawasan perumahan kami berada di kawasan tinggi walaupun berdekatan dengan sungai. Mungkin tebing sungai yang tinggi membuatkan kami sebagai penduduk taman tidak terfikir langsung tentang banjir. Sehinggalah pada 18 haribulan Disember 2021.
Hujan turun seharian walaupun tak lebat. Purata penerimaan air hujan sangat luar biasa pada hari tersebut. Paras air empangan pula melepasi paras bahaya.
Malam kejadian, lepas Isyak saya terus masuk bilik untuk tidur. Si bongsu menumpang tidur di sebelah sementara abahnya masih dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai keje. Mata tak boleh lelap bila group WhatsApp taman perumahan asyik mengemaskini status trafik. Katanya, jalan Sungai Serai sudah dinaiki air. Jalan akan ditutup bila paras air naik pada paras bahaya.
Sudah. Saya dah mula risau pada suami. Sah-sah dia kena balik melalui jalan bukit untuk sampai ke rumah! Lagi pula, kawasan Nanding juga dinaiki air. Kiri kanan tak boleh lalu. Rumah kami di tengah-tengah. Dah jadi pulau!
Hujan renyai masih mencurah tanpa rasa jemu. Dalam pukul 11 malam, syukur ... Suami selamat sampai di rumah tanpa deruan enjin kereta. Dia terpaksa tinggalkan kereta di sekolah anak (kawasan tinggi) memandangkan jalan dah ditenggelami air.
Saya masih fokus pada group WhatsApp taman. Lorong 1 dah mengadu rumah mereka sudah dinaiki air. Tak lama lepas tu, Lorong 2 pula. Saya dah tak senang hati. Ada jiran sebelah yang dah keluar tengok keadaan longkang. Air dah penuh sangat.
Saya kejutkan anak-anak. Semua bangun kecuali si bongsu yang masih lena diulit intan di atas tilam Coway tu. Semua teruja bila tengok air dah bergenang di depan jalan. Air longkang dah penuh. Rumah depan kami air dah mulai masuk. Saya masih berfikiran positif waktu tu... Air takkan masuk lah ke rumah kami!
Jangkaan saya meleset sama sekali. Saya ke dapur, tengok-tengok air dah menderu masuk melalui pintu belakang dan lubang kumbahan. Keluar semua adik beradik lipas dan lipan. Berlari semua anak-anak saya sebab geli dengan makhluk tersebut.
Waktu tu lah, baru terfikir nak angkat deep freezer (nyawa bisnes kecil ku) ke table top. Waktu tu lah baru nak angkat box unifi, waktu tu baru nak pindahkan kain baju yang berada di aras paling bawah almari ke atas katil. Juga waktu itulah, abahnya pam bot yang sudah lama di dalam stor.
Masih ingat dulu saya menegur suami waktu dia bawa balik bot (dilipat) dengan 2 pedal. Waktu tu kami bekerja di syarikat yang sama. Lama dah kisah ni.
"Abang, buat apa bawak balik bot tu? Nak simpan mana?? Semak dan buat penuh stor je. Dah la rumah kita kecik", bebel saya.
"Mana la tahu, bot ni berguna nanti," jawab suami tanpa kisah bebelan isterinya.
Suami saya ni, kalau mandi sungai dia angkut sekali bot dia tu. Sampai sana, dia pam. Seronoklah si anak-anak bila diletakkan mereka di dalam bot. Gelak tawa tu buat saya mencebik.
"Kang hanyut anak-anak tu! Risau lah!", saya melaung dari tepi tebing.
Itulah saya. Prinsip saya senang, mencegah itu lebih baik. Saya mula la bagi timing waktu untuk mandi akan tamat dalam beberapa minit lagi.
Berbalik kisah banjir, saya sempat ambil semua dokumen penting seperti sijil-sijil dan letakkan ke dalam beg plastik. Saya letak tempat yang paling tinggi. Ya, atas deep freezer di atas tabletop. Ekekeke. Rasa paling tinggi dah.
Air dah mula naik dengan cepat sekali |
Eh, nak ke mana kita ni????
Siap sedia untuk berpindah ke rumah jiran |
Bersambung....
Allahu... moga urusan sis sekeluarga dipermudahkan lepas ni, dan diberi kemurahan rezeki untuk pulih. Sedih saya tgk makin ramai jd mangsa banjir lately ni. Moga kita semua dikurniakan sabar dan sentiasa dilindungi oleh Nya
ReplyDeleteAamiin... Terima kasih.
DeleteAlhamdulillah... dapat merasai sendiri menjadi mangsa banjir. Rupanya terselit hikmah. Moga pengalaman berharga menjadi panduan hidup buat kami sekeluarga. Insha-Allah.