๐Ÿช

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rezekinya, saya membawa dia menjejak kaki ke bumi Harmain untuk menunaikan umrah ketika dia di Tingkatan 1. Di tanah suci itu, di hadapan Kaabah dan dalam lautan doa manusia dari seluruh dunia, saya melihat wajahnya yang tenang seolah-olah sedang menyimpan sesuatu yang hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Mungkin di situlah Allah menitipkan sesuatu ke dalam hatinya. Sesuatu yang tidak terus berbunga, tetapi perlahan-lahan berakar. Sesuatu yang tidak nampak pada mata manusia, tetapi tumbuh diam-diam, menunggu waktu untuk menyerlah.

Sebaik sampai di Madinah.

Keputusan UASA Tingkatan 3 yang diterimanya baik. Tidaklah terlalu gemilang, tetapi cukup untuk membuka ruang pilihan.

Masuk Tingkatan 4, dia memilih aliran STEM B — satu keputusan yang memisahkan dia daripada hampir semua kawan rapatnya. Mereka memilih haluan lain. Dia pula memilih jalan yang sunyi dan sukar. Petang itu dia pulang ke rumah dengan wajah yang lain macam. Beg sekolah diletakkan perlahan. Suaranya tidak seceria biasa.

“Mama… tak bestlah kelas tu. Tak ada kawan. Add maths pula susah.”

Itu ayatnya, tetapi berat untuk hati seorang ibu mendengar.

Di sinilah sebenarnya cerita dia bermula.

Bila sunyi mula mengambil tempat dalam hidupnya, dia mula mengisi ruang itu dengan buku dan nota. Kesunyian yang dulu dikeluh, perlahan-lahan bertukar menjadi fokus. Dia mula serius belajar — bukan kerana dipaksa, tetapi kerana dia mahu membuktikan sesuatu kepada dirinya sendiri. 

Saya cuba bantu semampu yang boleh. Saya hantar dia ke tuisyen fizikal. Beberapa bulan kemudian dia mengaku, “Mama, tak fahamlah.” Hati saya sedikit risau, tapi kami cuba lagi. Saya tukarkan ke tuisyen online. Alhamdulillah, kali ini dia kata jelas. Saya nampak perubahan pada caranya mengurus masa, pada wajahnya yang lebih tenang setiap kali ulang kaji.

Sejak itu, nampak jelas dia mula bersungguh-sungguh belajar. Rajin pula ke kelas tambahan yang cikgu adakan di sekolah, ulang kaji sendiri di rumah. Ada kerja kursus yang perlu dihantar, dia buat dengan lebih teratur dan teliti.

"Mama… kawan-kawan tadi suruh Sofea ajar Matematik,” katanya perlahan, senyumnya sederhana tapi jelas teruja.

“Oklah, macam tu… dapat bantu kawan-kawan,” saya jawab sambil tersenyum.

Dalam hati, saya tahu — dia sudah mula ada kawan di kelas itu. Kelas yang dulu dia fikir sunyi, yang dia rasa tiada seorang pun kawan rapat… kini mula dipenuhi kehangatan persahabatan.

Langkahnya ke sekolah pun nampak lebih ringan. Wajahnya lebih ceria. Sunyi yang dulu mengganggu hatinya, kini diganti dengan senyuman yang datang sendiri daripada rakan-rakannya.

Sampai satu hari, saya hadir sesi bicara akademik di sekolah. Saya datang tanpa harapan besar. Saya sudah belajar untuk tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Bagi saya, cukuplah dia jadi anak yang baik. Itu sahaja doa saya setiap hari.

Namun di bilik itu, seorang demi seorang guru menyebut namanya. Mereka bercakap tentang potensinya. Tentang kesungguhannya. Tentang harapan yang mereka sandarkan kepadanya.

Saya agak terkejut. Takut juga. Kerana saya sudah tidak berani berharap terlalu tinggi. Saya cuma mampu berbisik dalam hati,

“Ya Allah… aku serahkan segalanya pada-Mu.”

Bersambung...

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Sharhanah

2 comments:

  1. Subhanallah...semoga allah permudahkan perjalanan pembelajaran Sofea....amin...

    ReplyDelete
  2. Support dari seorang ibu insyaรllah..semoga dipermudahkan segalanya

    ReplyDelete