🌿 Let's Be Friends

Banjir Pertama Kali

Genap sebulan 3 hari pengalaman merasai banjir pertama kali dalam hidup. Sekejap masa berlalu tetapi penatnya sampai ke hari ini.

Sebenarnya, memang daerah kami setiap tahun dilanda banjir. Paling terjejas adalah di kawasan rendah seperti Sungai Serai, Nanding, Dusun Tua dan beberapa tempat lagi. Maka, tidak hairanlah kalau penduduk yang sudah pernah merasai pengalaman banjir, sudah biasa dengan situasi ini. Diorang tahu apa perlu buat kalau hujan berterusan. Tak seperti kami yang pertama kali ini.

Kawasan perumahan kami berada di kawasan tinggi walaupun berdekatan dengan sungai. Mungkin tebing sungai yang tinggi membuatkan kami sebagai penduduk taman tidak terfikir langsung tentang banjir. Sehinggalah pada 18 haribulan Disember 2021.

Hujan turun seharian walaupun tak lebat. Purata penerimaan air hujan sangat luar biasa pada hari tersebut. Paras air empangan pula melepasi paras bahaya. 

Malam kejadian, lepas Isyak saya terus masuk bilik untuk tidur. Si bongsu menumpang tidur di sebelah sementara abahnya masih dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai keje. Mata tak boleh lelap bila group WhatsApp taman perumahan asyik mengemaskini status trafik. Katanya, jalan Sungai Serai sudah dinaiki air. Jalan akan ditutup bila paras air naik pada paras bahaya.

Sudah. Saya dah mula risau pada suami. Sah-sah dia kena balik melalui jalan bukit untuk sampai ke rumah! Lagi pula, kawasan Nanding  juga dinaiki air. Kiri kanan tak boleh lalu. Rumah kami di tengah-tengah. Dah jadi pulau!

Hujan renyai masih mencurah tanpa rasa jemu. Dalam pukul 11 malam, syukur ... Suami selamat sampai di rumah tanpa deruan enjin kereta. Dia terpaksa tinggalkan kereta di sekolah anak (kawasan tinggi) memandangkan jalan dah ditenggelami air. 

Saya masih fokus pada group WhatsApp taman. Lorong 1 dah mengadu rumah mereka sudah dinaiki air. Tak lama lepas tu, Lorong 2 pula. Saya dah tak senang hati. Ada jiran sebelah yang dah keluar tengok keadaan longkang. Air dah penuh sangat.

Saya kejutkan anak-anak. Semua bangun kecuali si bongsu yang masih lena diulit intan di atas tilam Coway tu. Semua teruja bila tengok air dah bergenang di depan jalan. Air longkang dah penuh. Rumah depan kami air dah mulai masuk. Saya masih berfikiran positif waktu tu... Air takkan masuk lah ke rumah kami!

Jangkaan saya meleset sama sekali. Saya ke dapur, tengok-tengok air dah menderu masuk melalui pintu belakang dan lubang kumbahan. Keluar semua adik beradik lipas dan lipan. Berlari semua anak-anak saya sebab geli dengan makhluk tersebut.

Waktu tu lah, baru terfikir nak angkat deep freezer (nyawa bisnes kecil ku) ke table top. Waktu tu lah baru nak angkat box unifi, waktu tu baru nak pindahkan kain baju yang berada di aras paling bawah almari ke atas katil. Juga waktu itulah, abahnya pam bot yang sudah lama di dalam stor. 

Masih ingat dulu saya menegur suami waktu dia bawa balik bot (dilipat) dengan 2 pedal. Waktu tu kami bekerja di syarikat yang sama. Lama dah kisah ni.

"Abang, buat apa bawak balik bot tu? Nak simpan mana?? Semak dan buat penuh stor je. Dah la rumah kita kecik", bebel saya.

"Mana la tahu, bot ni berguna nanti," jawab suami tanpa kisah bebelan isterinya.

Suami saya ni, kalau mandi sungai dia angkut sekali bot dia tu. Sampai sana, dia pam. Seronoklah si anak-anak bila diletakkan mereka di dalam bot. Gelak tawa tu buat saya mencebik. 

"Kang hanyut anak-anak tu! Risau lah!", saya melaung dari tepi tebing. 

Itulah saya. Prinsip saya senang, mencegah itu lebih baik. Saya mula la bagi timing waktu untuk mandi akan tamat dalam beberapa minit lagi.

Berbalik kisah banjir, saya sempat ambil semua dokumen penting seperti sijil-sijil dan letakkan ke dalam beg plastik. Saya letak tempat yang paling tinggi. Ya, atas deep freezer di atas tabletop. Ekekeke. Rasa paling tinggi dah.

Air dah mula naik dengan cepat sekali

Saya capai backpack... Letakkan charger phone, iPad, tabung hijau dan tuala wanita (kebetulan tengah menstrual). Yang lain memang tak ingat dah. Pakaian ke..toiletries ke...memang tak bawa langsung. Saya galas beg sambil kejut si bongsu yang masih tidur. Pakaian anak-anak lagi la saya tak ingat nak bawa.

Eh, nak ke mana kita ni????

Siap sedia untuk berpindah ke rumah jiran

Bersambung....

Sharhanah

Pengalaman pakai RFID


Duduk Lembah Klang ni, nak keluar je banyak kena lalu tol. Daftar masa RFID mula diperkenalkan 3 tahun lalu. Senang aku nak pi keje. Top up semua dalam Touch n Go e-Wallet. Mudah. 

Waktu tu, tak ramai yang pakai lagi. Kiranya lane RFID tak banyak kenderaan lalu. 1 ja pun laluan dia. Hat lain touch n go dan smart tag. Seronok Saya rasa... lalu lane RFID dengan tenang tanpa nak Q panjang2 mcm lane lain. Saya ada smart tag tapi leceh kalau habis bateri.

Kelemahan RFID awal-awal tu, tak detect... Kena reverse balik. 2, 3 kali gak. Saya sabar sebab masih dalam kajian perintis. Kadang bukan kita, orang depan reverse dengan kita2 sekali kena reverse. Lemah

Sticker RFID kalau dah pi tanggal, memang xleh pakai dah. Sangat manja. Time saya pasang tu..masih percuma.. Kena daftar online, dapat tarikh janji temu dan bawa geran kete untuk mudahkan urusan melekat. Semua depa yang buat. Ni kalau cermin pecah, dengar kata kena beli sendiri dan pelekat sendiri lah.

Saya link kad touch n go aka mykad dengan apps. Senang nak tengok baki. Sampai sekarang saya tak faham, kenapa tak leh nak top up kad touch n go terus pakai apps. Kenapa nak jadi 2 akaun? Dengarnya 2 company berbeza. Jenuh nak top up mykad di kaunter jika nak balik kampung menggunakan Plus Highway. 

Ada highway yang support PayDirect. Baki kad kurang, akan ditolak pada e-wallet. Masih ada lagi highway yang tak support. Tu yang mau tak mau kena top up juga.

Paling lawak, asal nak lalu lane RFID jadi kecut perut takut palang tak terangkat. Malu oiii. Mau kena hon duk terhegeh2 nk reverse 2,3 kali gak la percubaan nak merentas palang. Tak canggih tul. 

Lagi satu, mudah bagi saya nak track balik kete saya tu pi mana... Bila bunyi notifikasi pada apps, satu rumah saya laung, "Abah dah nak sampai!" Kalut la anak-anak kemas apa yang bersepah.

Harap RFID perbaiki dulu kelemahan yang duk ada ni. Mudahkan pengguna. Kot satgi dah semua pakai... Masalah tak settle, lagi duk tambah jem kot ataih.

Ka tak payah tol terussssss

Hehehe

Sekian.

Sharhanah

Kata-kata Motivasi Diri

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani


  • Terimalah hakikat bahawa setiap pilihan yang kita pilih akan datang bersama pakej penat lelah. Tenang sahaja hadapi semuanya.
  • Bila sudah mula berniaga, usah toleh ke belakang lagi. Lihat apa yang ada di depan dengan pandangan luas. Lihat ke belakang hanya menyempitkan usaha dan menyakitkan kepala.
  • Ombak itu tidak besar... hanya perahu yang kecil - Ustaz Pahrol
  • Berlapang dada. Apa pun yang terjadi dalam hidupmu pasti ada pelajaran yang tersembunyi buat diri kita muhasabah.
  • Seburuk apa pun masa lalu mu, mereka telah berlalu. Berusaha yang terbaik saat ini untuk persiapkan masa depan yang lebih baik.
  • Tak usah berlawan-lawan dengan sesiapa. Kita tidak ada pesaing pun. Itu semua persepsi kita sahaja. Orang itu pun tak kenal siapa kita. Lebih baik fokus kepada usaha kita.
  • Tuhan tidak berjanji siapa berniaga akan kaya raya. Tetapi Tuhan berkata, siapa yang bertawakal kepada-Nya pasti dicukupkan keperluannya.
  • Buat sajalah dengan berani. Tidak ada teknik betul atau salah. Cuma ada untung dan rugi. Buat dulu baru tahu.
  • Masa lebih berharga daripada wang. Anda boleh mencari lebih banyak wang tetapi anda tidak dapat mencari lebih banyak masa.
  • Jangan biarkan apa yang berlaku semalam menghantui hidup anda hari ini.
  • Allah adalah KEKUATAN, Untuk mencari KEKUATAN, carilah Allah 
  • Comfort Zone is your worst enemy. Sebab bila kita dalam comfort zone. Kita tiada kemajuan, tak nak membaca, tak nak berubah. Sampai satu masa comfort zone ni akan makan diri kita balik.
  • Meminta maaf tak menjadikan kita hina, memberi maaf tidak menjadikan kita bangga, tapi ia akan menjadikan hidup kita lebih tenang dan bahagia.
  • Gagal adalah guru paling jujur dalam hidup kita. Lebih baik gagal berkali-kali berbanding terus termakan puji. Gagal itu bukan mati. Gagal itu penghidup berkali-kali.
  • Jangan menunggu hari yang terbaik untuk melangkah kerana setiap hari sangatlah berharga.
  • Kehidupan bukanlah berkisar tentang kekalahan anda, tetapi berkisar tentang apa usaha anda untuk bangun semula.
  • Memiki banyak matlamat dalam satu-satu masa tidak membawa anda ke mana-mana.
  • Andai diberi pilihan... Jadilah orang yang paling ikhlas bukan orang yang paling baik sebab orang yang dilihat baik itu belum tentu lagi ikhlas.
  • Menyimpan bila buat untung dan berjimat bila bisnes sedang berkembang. Ramai orang lingkup dalam masa tiga tahun kerana tidak ada tunai di tangan, bukan kerana tidak pandai berjualan.