🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Travel. Show all posts
Showing posts with label Travel. Show all posts

Kali Kedua ke Fraser’s Hill - Februari 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Fraser’s Hill. Walaupun sebelum ini saya hampir bersumpah tidak akan kembali akibat perjalanan yang berliku dan mencabar, akhirnya saya akur, ada tarikan yang terlalu kuat untuk ditolak.


Keindahan alam, ketenangan yang mendamaikan jiwa serta suasana sejuk yang menenangkan hati menjadikan destinasi ini bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi panggilan untuk kembali sekali lagi.

Ya, hari biasa. Jaraknya lebih kurang 120km dari rumah. Taklah dekat, tapi cukup untuk rasa macam pergi “healing trip” singkat.

Bezanya kali ini, saya dan suami hanya membawa anak nombor dua — yang kini sedang menunggu penuh debar keputusan SPM 2025. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Dulu, saya pernah datang bersama tiga orang anak, tetapi ketika itu dia tidak dapat ikut kerana tinggal di asrama. Jadi trip kali ini memang khas untuk dia seorang. Yang lain semua di sekolah, jadi terasa lebih eksklusif — macam “mini getaway” khas buat anak yang sedang menanti fasa baru dalam hidupnya.

Kami bertolak seawal 8 pagi, melalui jalan lama Ulu Yam menuju ke Kuala Kubu Bharu. Tapau bihun goreng di gerai makan dan berkelah di Empangan Sungai Selangor. 

Cuaca pagi itu memang cantik, cerah dan nyaman. Angin tasik menyapa lembut, rasa tenang sebelum memulakan perjalanan yang berliku.

Masuk saja jalan mendaki, selekoh demi selekoh buat jantung berdebar. Walaupun tak setakut dulu, tetap juga kecut perut bila fikir kalau ada kereta tiba-tiba muncul di depan. Jalan sempit dan berliku, memang kena fokus betul-betul. Dalam hati tak putus berdoa semoga perjalanan kami selamat sampai ke destinasi.

Semakin tinggi kami mendaki, suhu makin dingin. Telinga pula terasa berdesing sedikit sebab tekanan. Terus saya tutup aircond dan buka tingkap sikit — nikmatnya hirup udara sejuk semula jadi!

Kami tiba di Bukir Fraser sekitar jam 12 tengah hari. Perkara pertama? Lari ke tandas awam dulu! 😄 Lepas tu barulah santai berjalan kaki sekitar pekan Fraser’s Hill. Kami singgah di Menara Jam yang ikonik tu. Di kawasan tu ada balai polis, pejabat pos, klinik kesihatan, kedai runcit, hotel dan restoran. 

Uniknya, di sinilah terletaknya sempadan antara Selangor dan Pahang. Kedai Makan Kheng Yuen Lee berada di bahagian Selangor — tapi percayalah, selangkah saja melangkah ke depan, dah rasmi masuk negeri Pahang! Rasa macam boleh “travel dua negeri dalam satu minit”.

Kami memilih Restoran Cattelya di Puncak Inn (bahagian Pahang) untuk makan tengahari. Ruang makan kemas, bersih dan pemandangan luar memang lawa. Saya order sup cendawan bersama roti bakar, set nasi paprik ikan, Nescafe dan teh O ais 2 gelas. Paprik tu memang sedap! Cuma sup cendawan kurang kena dengan selera saya. Total RM37.50.

Lepas makan, kami nekad kali ini tak mahu jadi “pelancong sekitar menara jam” sahaja. Dulu datang, situ jugalah tempat lepaknya. Rupa-rupanya banyak lagi sudut menarik yang kami tak sempat terokai.

Kami parking kereta di Taman Awam Bukit Fraser — kawasan yang lebih santai dengan food court dan taman permainan. Dari situ, kami berjalan ke view point. Subhanallah… suasana tenang dengan pemandangan hijau terbentang luas. Memang rasa nak duduk lama-lama, tapi biasalah… masa selalu mencemburui. Banyak lagi tempat menunggu untuk diteroka, jadi kami simpan rasa tenang itu dalam hati dan teruskan perjalanan.

Taman Eko Rimba Jeriau 

Destinasi seterusnya — Air Terjun Jeriau. Dalam 4km juga nak sampai. Jalannya dua hala, sempit dan berliku. Ada rasa macam nak patah balik… menyesal pun ada. Hahaha... tapi kami teruskan juga. Sampai sekitar jam 2 petang.

Kami park kereta dan mula berjalan masuk ke kawasan tersebut. Kebetulan ada empat orang sedang rancak berbual di situ. Tak sangka pula, rupa-rupanya suami kenal salah seorang daripada mereka. Memang betul orang kata, dunia ini kecil saja!

Sempatlah mereka bertanya khabar sekejap sebelum memberi sedikit panduan. Kata mereka, kalau nak sampai ke air terjun, kena terus berjalan sampai habis laluan. Jadi tanpa berlengah, kami pun teruskan langkah dengan rasa teruja untuk melihat sendiri keindahan yang menanti di hujung jalan.

Persekitarannya cantik, bersih dan terjaga. Air sungai mengalir jernih, bunyinya menenangkan. Kami menuruni anak-anak tangga… eh, kenapa air terjun di bawah? Selalunya bukan di atas ke? Rupanya air terjun di sini berketinggian antara 10 hingga 30 meter, dengan sungai dan kolam yang jernih.

Kawasan ini dikelilingi Hutan Dipterokarp — ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal dengan pokok tinggi seperti Meranti, Keruing dan Kapur. Memang rasa macam berada dalam dokumentari alam semula jadi.

Antara tarikan di sini:

* Sungai jernih

* Air terjun

* Tapak perkhemahan & berkelah

* Memerhati burung

* Flora hutan

Kemudahan pun lengkap — ada pondok rehat, tandas, surau dan parkir.

Saya sempat cuci muka dengan air sungai. MasyaAllah… sejuk sampai terasa ke tulang, tapi segar!

Masa nak naik semula anak tangga… haaa, baru tahu langit tinggi rendah. Jenuh juga! Anak yang muda pun mengah. Kalau ada baju salin dan masa lebih, memang saya dah mandi sungai. Tambah pula tak ramai orang — masa itu cuma ada sepasang pelancong warga emas dari Barat.

Singgah The Paddock


Sebelum pulang, kami singgah di The Paddock. Kawasannya cantik, dihiasi pokok-pokok conifer yang buat rasa macam di luar negara. Anak saya naik kuda — RM10 untuk satu pusingan. Jadilah, sekadar lepaskan rindu. Kali terakhir dia naik kuda masa umur 3 tahun!

Petang itu kami pulang ikut jalan yang sama. Sempat juga saya berangan nak ikut jalan Raub… tapi tengok jarak, terus fikir dua kali. Kecualilah kalau nak sambung ke Cameron Highlands, kan?

Walaupun penat, perjalanan kali ini penuh rasa syukur. Kadang-kadang bukan tempat itu yang paling penting, tapi siapa yang ada bersama kita sepanjang perjalanan. Untunglah, dia jadi anak tunggal beberapa jam!❤️

Sharhanah

Menginap 1 Malam di Hompton by the Beach, Penang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Baru-baru ni, saya ke Pulau Pinang. Balik kampung ceritanya. Off-day saya setiap hari Rabu. Kebetulan hotel Hompton by the Beach tengah meraikan ulangtahun mereka yang ke-5. Jadinya, dapatlah harga bilik RM290 nett/night termasuk sarapan pagi untuk 2 orang. Saya tempah menerusi website rasmi.

Saya cuba tengok harga di Agoda. Kalau tambah sarapan pagi, dah cecah 3 ratus lebih. Maka, saya tempah terus di website mereka.

Hujung bulan ni tamatlah.

Dari Jambatan Pulau Pinang, kami terus ke hotel yang terletak di Tanjung Tokong. 19 KM juga lah nak sampai. Perjalanannya haruslah melalui kawasan bandar. Syukurlah, saya memilih hari biasa. Takde la jalan sesak.

Hotel ini betul-betul dekat dengan laut. Masa sampai tu, dalam pukul 3.30 petang saya check-in dulu. Tak perlu deposit. Hanya bayar RM3 untuk Fi Hotel. Kemudian, boleh parking kereta di tingkat 2 sehingga 9. Waktu ni, best betul kena angin laut. Rinduuuu. Ya, saya kan orang pulau. Lama tak balik.

Bilik saya di tingkat 19 paling tepi. Tingginya! Dapat pemandangan laut di sebelah kanan dan view kolam renang di sebelah kiri. Bilik bersih, wangi dan luas. Ada banyak kemudahan seperti Wi-Fi, Bathrobes & slippers, Smart TV, Stationery Separate, shower, Electronic safe, Hair dryer, International Direct Dial, Toiletries, Coffee / Tea, Iron & Mini bar fridge.

Malam, boleh lepak di bawah. Cuma, entah kenapa malam tu tak berangin. Dekat sini banyak juga tempat nak cari makan. Saya dah makan nasi waktu balik ke rumah mak. Kiranya, balik ke hotel dah kenyang.

Oh ya, nak habaq... bantal dia best! Tak sakit tengkuk lepas bangun pagi.

Awal pagi esoknya, saya dan suami brisk walk di pantai. Kalau keluar lewat, memang dapat panas je lah. Sekarang ni kan, pukul 9 pagi pun dah panas. Kalau pukul 10 pagi, dah macam rembang. Tak sangguplah!
Pemandangan hotel dari pantai
Lepas puas berjalan di pantai, barulah kami balik ke hotel untuk sarapan pagi di tingkat 11. Banyak jenis juga menu disediakan. Puas makan. Makan pun mengadap pemandangan laut. Mana tak berselera.

Balik ke bilik, lepak-lepak dulu sebelum mengemas. Waktu ni saya dah keje. Saya tak ambil cuti pun disebabkan balik kampung hanyalah 1 malam. Hanya melayan pertanyaan pelanggan thru smartphone. Chromebook pun saya tak bawa. Kalau balik kampung banyak hari, memang saya kena usung juga.

Pukul 11.30 pagi, saya sudah bersiap untuk check-out. Jangan lupa bawa sekali resit parking. Urusan pun mudah dan cepat. Al-maklumlah, hari biasa. Tak ramai orang. 

Walaupun hanya 1 malam menginap, saya rasa sangat selesa menikmati percutian yang tenang sepanjang Pantai Tanjung Tokong yang strategik. Cuma pantai tersebut, di sebelah atasnya ada sampah yang melekat pada akar-akar pokok. Kalaulah takde sampah, rasanya memang lokasi terbaik untuk melepak di bawah pokok rendang sambil menikmati bunyi ombak menghempas ke pantai.

View dari tingkat 2 

Pemandangan daripada tingkap bilik level 19

Dia tengah buat apa tu?

Pagi lagi

Dekat akar-akar pokok ni la, banyak sampah yang melekat

Sempat snap makanan kegemaran saya je

Jubah mandi

Sharhanah

Keadaan Bilik/Rumah Selepas Daftar Keluar/Check-Out Cerminan Peribadi Diri

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya banyak berurusan dengan tetamu yang menginap. Menjadi orang tengah bukanlah mudah yang disangka. Ada tetamu sengaja melengah-lengahkan waktu check-out sehingga menyusahkan tuan rumah/staf untuk membuat persiapan tetamu berikutnya. Hanya kurang 2 jam untuk mereka membersihkan rumah/bilik tersebut. Itu kalau satu rumah atau 1 unit bilik. Kalau ada banyak unit bilik???

Membayar penuh bayaran sewa untuk menginap di hotel/homestay BUKAN bermakna kita boleh tinggalkan rumah/bilik dalam keadaan yang teruk dan tidak tepati masa waktu check-out. Orang yang sudah biasa tinggal dalam rumah yang bersih tidak akan meninggalkan rumah dalam keadaan yang kotor. Orang yang tahu peraturan dan beradab tidak akan merokok dalam rumah apatah lagi membuat semak.

Ini sebenarnya adalah cerminan sikap peribadi. Kita mudahkan urusan orang lain, Allah permudahkan urusan kita.

Psttt... Perkara ini sangat penting kerana sikap buruk akan terbawa sehingga ke tempat lain termasuk luar negara. Jangan sampai host tidak mahu menerima tetamu dari Malaysia kerana sikap pengotor.

Sharhanah

Naik Bas Sepanjang Berada di Turkiye

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Memandangkan mod perjalanan sepanjang berada di Turkiye menggunakan bas persiaran, maka entri ini majoritinya gambar-gambar yang diambil dari atas bas je lah yer. 

Kami tiba di Lapangan Terbang Istanbul (İstanbul Havalimanı) yang berada di bahagian Eropah Istanbul. Kami sampai pun dah malam dan disambut oleh tour leader dari Malaysia (TL) dan tour guide tempatan (TG). Kami berjalan mengekor mereka berdua menuju ke arah bas yang sedang menunggu.

Kebanyakan bas persiaran di Turkiye berwarna putih. Jangan salah naik bas sudah. Kalau boleh ingat muka driver pun okey. Awal-awal saya nak ingat agak sukar, muka TG dan muka driver pun boleh tertukar. Maka, ingatlah nombor perdaftaran bas. Lagi mudah kot.

Saya namakan bas tersebut sebagai EMY, sebab no plat pendaftaran bermula dengan huruf-huruf tersebut. Ya, EMY akan bawa saya dan yang lain menjelajah bumi Turkiye sehinggalah hari ke-7.

Malam tu, EMY bawa kami bermalam di Hotel Golden Way Giyimkent yang masih terletak di bahagian Eropah. Dalam 32 minit juga nak sampai. Pemandangan semasa perjalanan saya tak sempat snap. Al-maklum lah, dengan letih badan duduk berbelas jam di dalam kapal terbang. Mood bergambar ke laut dalam.
Memperkenalkan... EMY besar macam ikan paus
Itu bukan EMY, tetapi kepala bas group lain. Jangan tersalah naik!

Dalam perut EMY. Total kami dalam 42 pax rasanya termasuk kanak-kanak bawah 6 tahun.

Perjalanan dari bahagian Eropah ke Asia Turkiye dalam setengah jam. Jalan agak sesak pagi tu untuk ke Bosphorus Cruise. Layan gambar di bawah untuk lebih feeling!
Ramai pemancing di atas jambatan

Gegar kalau snap dalam bas
Untuk mengelak kesesakan jalan raya di kota Istanbul, pemandu bas kami (lupa nama dia) menggunakan laluan shortcut. Masuk lorong-lorong jalan sehala. Sudahnya, tersilap masuk lorong. Nak reverse tu, dengan saya-saya sekali tekan break. Hahaha. Seram bila bahagian bumbung yang hampir dengan cermin tingkap bas bergesel dengan dinding bangunan sebelah. Bayangkan lah!

Sesak nafas bila masuk ikut lorong kecil. Bahu jalan penuh dengan kenderaan persendirian
Premis perniagaan pun rapat-rapat betul dengan jalan raya.
Pakcik ni membantu pemandu. Saya dalam bas, nampak sipi je kan kereta di sebelah ni?

Bila berjaya undur, semua isi perut EMY bersorak gembira. Mana taknya, memang membuang masa betul bila "terperangkap" di lorong tikus. Kononnya nak elak kesesakan lalu lintas, sekali tersekat. Masa hadap jem sama dengan masa tersekat di lorong🤣. Dekat sini kita dapat hikmah;

Kita rasakan jalan itu jalan pintas yang cepat, namun selepas kita laluinya, ia sebenarnya lagi menyusahkan dan melambatkan perjalanan? Maka, percayalah kepada proses. Kadang-kadang, ikut jalan pintas boleh lagi lambat dan menyusahkan!

Dalam menikmati perjalanan di bumi Turkiye ni kan, "nyawa" yang penting untuk pelancong ialah soket pengecas telefon bimbit. Sekarang dah banyak bas persiaran/ekspress tersedia dengan kemudahan ini di setiap tempat duduk penumpang.

Talian hayat... charger USB suami, tu pun suruh staf hotel belikan. 

Pemandangan bentuk muka bumi akan berubah bila memasuki lebuhraya. Saya sajikan beberapa keping gambar dari dalam bas untuk tatapan pembaca. Cuma ia tidak tersusun mengikut perjalanan asal.
Dapat zoom setakat ini je...
Kincir angin di atas bukit, pemandangan biasa di sepanjang perjalanan kami.
Signboard arah bandar

Plaza tol... perjalanan pulang dari Bolu ke Istanbul
Perjalanan ke Bursa, Turkiye

Bursa, Turkiye

Apartments di Bursa.

 Sport shoe pink… sapa punyalah ni

Masih di Bursa lagi. Pokok pun dah takde daun. Sampai pun waktu musim peralihan luruh ke sejuk

Saya dalam bas, dia di luar bas waktu kami berhenti di R&R area Balıkesir.
Masjid/surau merata-rata di pelusuk tempat
Kediaman di sini kelihatan padat dan rapat

Pamukkale Travertenieri

Suasana pekan

Cappadocia
Semasa bas nak reverse...

Perjalanan waktu malam, memang tak boleh snap apa lah. Tak nampak view luar. Hanya guna mata kasar ni je menikmati lampu-lampu di sepanjang jalan menuju ke hotel. Pukul 6 setengah dah macam pukul 9 malam. Beginilah kalau nak melancong waktu nak masuk winter. Siang pendek bebenor. Nak lelap awal pun sayang sangat nak lepaskan pemandangan malam walaupun terhad. Bukan senang nak sampai lagi.

Pukul 6.34 petang😳
Seminggu perjalanan kami begitu. Sampai di satu-satu hotel, mesti dah malam. Lepas check-in, kami menikmati dinner yang pihak hotel sediakan. Mereka terpaksa menunggu kami. Nak buat macam mana kan, mereka dah biasa menyambut tetamu di musim begini. 

Pernah nak sampai hotel di Kusadasi malam tu, hujan turun selebat-lebatnya. Pemandangan luar tingkap bas memang nampak air hujan dan sedikit cahaya kenderaan lain je. Tapi, kita dah biasa kan dengan hujan lebat ni. Kalau turun salji lebat, memang jakun sekejap kot.

Setakat ini sahaja perkongsian saya. Entri ini dah lama terperap dalam draft. Sayang pula tak publish. Walaupun dah basi, ia kekal relevan bila rindu datang menerpa.

Nah, belanja simit berlatarbelakangkan hujung tayar EMY
Ikuti kisah saya di Turkiye
@sharhanahanafiah #anniversary #turkiye #fishing ♬ original sound - Sharhanah Hanafiah
Sharhanah

Tapak Perkhemahan Di Port Dickson

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pemandangan malam di H&n Campsite

Ada yang suka berkhemah? Atau yang suka sangat dengan pantai dan laut? Kalau suka, saya ada cadangan. Saya dah beberapa kali ke H&n Campsite yang terletak di Jalan Pantai, Batu 4, Port Dickson.

Tapak perkhemahan ni agak unik. Kiri, pemandangan pokok bakau. Kanan, pemandangan pantai dan depan, pemandangan laut. Kiranya, ia berada di kawasan tanjung. Macam kita berkhemah di tengah-tengah laut gitew.

H&n Campsite, dekat dengan Pantai Saujana.

Pertama kali saya pergi berkhemah 2H1M selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu tu tak ramai sangat. Senang nak cari tapak untuk dirikan khemah. Saya bawa sendiri khemah. Pacak betul-betul depan open sea. Angin bayu membawa diri ku... Sepintas lalu ku terkenang kan muuu...🎶 Eh!

Caj tapak yang dikenakan hanyalah RM30 (sekarang dah RM50/tapak). Ada kemudahan seperti sewaan khemah, kabin surau, beberapa buah tandas dan bilik mandi, parkir, kereta sorong (untuk bawa barang ke tapak), genset untuk lampu dan plug point juga disediakan.

Di sini bolehlah buat aktiviti seperti memancing, BBQ, berenang, membina istana pasir, menangkap ketam, mengumpul siput waktu air surut dan menyaksikan matahari terbenam.

Tak bawa bekalan makanan? Jangan susah hati... keluar sedikit ke jalan raya utama, banyak gerai makan sedang menunggu. Cuma buka dan tak buka je la. Berhampiran stesen minyak, ada pasar malam. Boleh lah nak tapau bawa balik ke khemah. Makan tepi laut bertemankan cahaya lampu.

Kadang, saya tidak bermalam disebabkan suami kerja esoknya. Hanya santai-santai dalam khemah dan melayan karenah anak-anak mandi laut. Pernah juga saya buat kerja sambil menikmati deruan ombak. Baca di sini. Bestkan.. tapi, kena pastikan bateri telefon penuh lah.

Cuma yang tak best, waktu puncak, waktu pengunjung ramai. Nak dapat tapak best, memang susah sikit. Baru-baru ni saya ke sana lagi, tepi laut semua dah penuh dengan khemah. Saya dapat pacak di bawah pokok. Kekurangan? Tak privacy sebab laluan pengujung, agak panas sebab terlindung daripada laluan angin dan agak jauh nak ke tebing. Itu yang malas nak melepak dalam khemah. Panasss...

Kalau duduk sebelah kiri, seram pula tengok pokok-pokok bakau. Di bahagian hadapan, kalau air surut... nampak pemandangan bongkah batu. Rasanya tanjung buatan kot (ditambak)... ya, sebelah kanan port paling best. View pantai, laut yang luas… dekat dengan tebing, boleh duduk sambil celup kaki bila air pasang. Tapi, port ni cepat habis...

Lagi satu bab tandas dan bilik mandi. Lagi-lagi dah nak masuk maghrib. Waktu tu la ramai yang nak guna.. waktu puncak, jenuh menunggu. Lepas penat menunggu, waktu giliran kita nak mandi, air pula habis. Hahaha... naya. Kalau subuh tu, kena bangun awal tau.

So far, tempat ni best je. Kalau anak-anak ajak ke pantai, memang ke sinilah kami. Tak bawa khemah, kami bentang tikar melepak di Pantai Saujana. Nampaklah H&N Campsite dari jauh. 

You happy, we happy.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan: Klik SINI

Cahaya matahari menembusi awan

Sedap dia tidooo..
Sharhanah

2H1M di Bandar Temerloh, Pahang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Baru-baru ini, saya ke Temerloh atas satu urusan. Saya pergi bersama suami dan anak lelaki. Jarang kami bermalam di sana. Selalunya balik hari. Kali ini, suami cadangkan agar kami bermalam dan boleh juga berjumpa dengan anak nombor dua yang belajar di sana. Suami malas nak bertolak awal pagi memandangkan dia tak berapa sihat hari sebelumnya. Maka, santai-santai lah perjalanan kami bila bertolak awal sehari.

Dalam pukul 5 petang, kami sampai di Bandar Temerloh untuk daftar masuk di Hotel Merrinton. Saya menempah 4 hari awal di atas talian dengan mendapat harga terendah di Agoda untuk bilik Triple Deluxe. Urusan daftar masuk pun pantas, hanya tunjukkan tempahan yang diterima, tunjuk MyKad dan serahkan wang sekuriti deposit RM50 bersama RM3 (Caj Kelestarian Negeri Pahang). Terima kad kunci terus menuju ke bilik.

Baringkan dia untuk memudahkan urusan mengambil pakaian.

Katil single yang berada di tengah

Keadaan bilik hotel sebaik sahaja kami sampai sangat bersih dan kemas. Ada kemudahan internet, TV satelit/kabel, air botol minuman, kopi 3 dalam 1, almari, peti sejuk, penyangkut baju, tuala mandi, cecair mandian, meja, kerusi, telefon, penyaman udara, hot shower, tisu tandas dan kemudahan CCTV yang membolehkan tetamu memantau kenderaan masing-masing menerusi paparan skrin TV. So far, kemudahan ini dah okey sangat untuk kami berehat sebelum menyelesaikan urusan kami esoknya. 

Saya menunaikan solat Asar terlebih dahulu sebelum mengambil anak perempuan saya di asrama. Selepas mengambil anak, kami menikmati hidangan malam berdekatan dengan hotel tersebut. Rupanya, sangat mudah untuk mencari makan di sini. Kedai makan bersepah. Disebabkan saya teringin nak makan makanan barat, maka kami memilih Warung Acu.

Untuk menempah, isi kod menu di dalam kertas order (pen disediakan). Kod menu, boleh refer pada buku menu. Lepas tu, beri je kertas order kepada pelayan. Tunggu sehingga hidangan sampai.

Masa menunggu dalam 20 minit juga lah. Sebelum tu, kami dihidangkan dengan kerepek yang sedap. Air minuman pun sampai. Saya order air suam, hot chocolate, carrot juice dan minuman koko berais. Minum-minum dulu sambil sembang dengan anak perempuan saya. Sebenarnya dia dalam mood peperiksaan. Seronoklah dia, dapat keluar.

Complimentary kerepek ubi

Anak perempuan saya makan ni je... dia kata dah kenyang makan dekat asrama

Hidangan pilihan saya... lambchop. Lama tak makan. Huhuhu

Pilihan suami... ayam + daging + sosej + makaroni + coleslow

isi kod dan kuantiti... yang jadi 2 tu, anak lelaki saya nak juga tiru maknya.

Alhamdulillah, makanan dan minuman semua sedap. Kenyang betul. Patutlah ramai pelanggan yang datang. Sos lada hitam dia saya puji sebab sedap. Pernah makan di KL, kuah terlampau pekat la pula. Kalau macam ni, memang datang lagi la. Insha-Allah.

Harga dalam RM134 untuk 7 item. Ok tak? Bagi saya.. sesekali ok je. Jarang keluarga saya makan makanan macam ni. Puas makan siap tapau bawa balik bilik. Hahaha.. kami jenis makan tak banyak. Kecuali suami. Rasanya tak boleh nak habis sebab minum air bersusu. Cepat kenyang. Patutnya order air lemon je kan.

Pemandangan sisi Warung Acu.. semoga terus menghidangkan makanan yang sedap

Selepas makan, kami pun balik ke bilik untuk bersihkan diri, solat dan tidur. Suami ke dobi (di bawah hotel) untuk membasuh pakaian. Kebetulan anak saya bawa pakaian yang tak sempat dibasuh. Saya yang sejenis tidur awal, memang belayar dulu lah. 

Cuma nak bagitau, tilam hotel ini tak sesedap tilam Coway di rumah saya. Setiap katil ada 2 biji bantal. Saya tak guna bantal untuk tidur sebab sakit leher. Rasanya, kalau orang lain okey kot. Aircond pun okey je. Takde lah terlampau sejuk.

Oh ya, nak gitau juga... Air di bilik mandi sangat laju. Mandi puas. Bilik air dan tandas bersih. Saya bagi 5 bintang!

Esoknya, selepas subuh... Kami mandi dan mengemas untuk daftar keluar. Sebab apa awal? Urusan di luar bermula pada 8 pagi. Mana nak cari breakfast dulu kan. Saya terus hantar kad kunci. Yang best dekat sini, sentiasa ada staf di kaunter. Wang sekuriti saya dikembalikan. Staf pun baik dan berbudi bahasa. Boleh repeat kalau gaya macam ni. Hihihi

Kami berhenti makan di warung tepi jalan, Makwe. Di situ banyak jenis kuih-muih dan lauk pauk. Ada nasi dagang, nasi lemak dan nasi hujan panas. Fuh! Meriah. Tau saya ambil apa???

Bihun goreng je.

Kuih-muih kat sini lima ploh sen. Saya ambil kuih apam, pau goreng Malaysia dan pau inti kelapa. Saiz comel je. Lupa nak snap. Anak saya kata, popia sira tu sedap. Patutlah habis awal.

Lepas makan, terus ke tempat yang dituju untuk selesaikan urusan. Lepas selesai semua, saya ke Taman Esplanade Temerloh yang terletak di pesisir Sungai Pahang berhampiran Dataran Patin.

Pernah datang 2 kali, tapi kali ini banyak masa untuk menikmati keindahan sekeliling. Anak saya kata, selalunya hujan. Tapi, hari tu....cuaca sangat cantik. Panas pulak tu. Huhuhu

Tempat lepak-lepak sambil bincang masa depan

Tak pasti masih beroperasi ke tidak.

Konon nak naik jambatan gantung, tak jadi sebab panas dan perut tengah kenyang. Di bawah tu, macam bangsal terapung. Mudah para nelayan untuk berlindung daripada panas dan hujan bila menurunkan hasil tangkapan.

Jeti kah?

View terus ke sungai dari daratan.

Sungai dekat Pahang besar dan luas.  Kalau sungai dekat kampung saya (Pulau Pinang), kecil, jernih dan berbatu.

Laluan untuk turunkan perahu/bot.

Pokok jenis rain tree.

Pernah dengar nama Kuala Semantan dalam buku himpunan novel zaman kakak sekolah menengah. Sekitar tahun 80-an. 

Dulu tak pernah terfikir boleh kerap ke sini. Kalau negeri Pahang, pernah sampai Cameron Highlands je.

Lepas pusing-pusing kawasan sini, saya singgah membeli buah. Buah tangan untuk dibawa balik ke rumah dan buah tangan untuk dibawa balik ke asrama anak.

Saya beli sebab buah nampak segar. Tak macam di tempat saya, susah nak dapat yang elok. Huhuhu. Yang ini puas makan, manis pulak tu.

Pelbagai buah-buahan. Saya beli yang anak-anak suka je la.

Jambu air tu geram tengok... Cuma saya tak boleh nak makan sejak berumur ni haaa...

Selepas 2 plastik tapau masuk bonet, kami ke Semantan Walk. Anak nak beli barang sikit. Dia tahu la kawasan sini sebab kerap balik Kl naik bas.

Pemandangan hadapan. Penuh dengan gerai jalan. Konon nak beli churros depan ni, anak kata sedap... Rupanya tutup.

Masuk ke kedai beli selendang la... T-shirt la... Dia paw mak dia betul-betul ni. Lepas tu lintas jalan ke Watson. Beli barang dia juga, kemudian ke Family Mart. Maknya teringin nak makan bagel. Beli la satu, habuan nak merasa. Rupanya memang sedap. Blueberry tu tak manis... Roti tu dah la rangup. Memang kena dengan tu tekak maknya.

Makan satu pun dah kenyang... Alhamdulillah 
Dekat Temerloh ni best pula rasanya... Semua ada. Dekat-dekat pula tu. Kalau ada urusan dekat sini memang senang. Senang juga nak cari.

Jauh-jauh datang, dia cari ni jugak. Katanya, yang dekat rumah kecik saiznya. Ini besar. Murah pulak tu.

Selepas membeli-belah, kami pun dah nak balik. Hantar anak dulu balik ke asrama. Cuaca panas, bikin kami semua mengantuk. Masuk lebuhraya, singgah RnR untuk solat jamak Zohor dan Asar. Lepas tu, lapar la pulak. Keluar lebuhraya cari gerai makan. Dapat la makan nasi ayam penyet. Sedap. Sambal sedap dan ayam goreng pun rangup dan rasa segar. Lupa pula nama gerai ni.

Tauhu dan tempe pun sedap. Selalunya asyik dapat ayam keras la.. Sambal tak sedap la.. Ini memang terbaik! Makan pula tepi anak sungai. Syahdu.

Alhamdulillah, lepas makan... Kami meneruskan perjalanan pulang. Walaupun dua hari 1 malam je di Temerloh, kami tetap enjoy. Kebarangkalian untuk datang lagi sangat tinggi. Nanti nak kena bawa semua anak, belanja makan di Warung Acu.

Tiberrrr......balik ikut jalan lama...condition jalan teruk. Nyesal pula ikut kata hati. Tapi dapat lalu Gombak Utara, seumur hidup tak pernah sampai.

Sharhanah