🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Outdoors. Show all posts
Showing posts with label Outdoors. Show all posts

Kali Kedua ke Fraser’s Hill - Februari 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Fraser’s Hill. Walaupun sebelum ini saya hampir bersumpah tidak akan kembali akibat perjalanan yang berliku dan mencabar, akhirnya saya akur, ada tarikan yang terlalu kuat untuk ditolak.


Keindahan alam, ketenangan yang mendamaikan jiwa serta suasana sejuk yang menenangkan hati menjadikan destinasi ini bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi panggilan untuk kembali sekali lagi.

Ya, hari biasa. Jaraknya lebih kurang 120km dari rumah. Taklah dekat, tapi cukup untuk rasa macam pergi “healing trip” singkat.

Bezanya kali ini, saya dan suami hanya membawa anak nombor dua — yang kini sedang menunggu penuh debar keputusan SPM 2025. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Dulu, saya pernah datang bersama tiga orang anak, tetapi ketika itu dia tidak dapat ikut kerana tinggal di asrama. Jadi trip kali ini memang khas untuk dia seorang. Yang lain semua di sekolah, jadi terasa lebih eksklusif — macam “mini getaway” khas buat anak yang sedang menanti fasa baru dalam hidupnya.

Kami bertolak seawal 8 pagi, melalui jalan lama Ulu Yam menuju ke Kuala Kubu Bharu. Tapau bihun goreng di gerai makan dan berkelah di Empangan Sungai Selangor. 

Cuaca pagi itu memang cantik, cerah dan nyaman. Angin tasik menyapa lembut, rasa tenang sebelum memulakan perjalanan yang berliku.

Masuk saja jalan mendaki, selekoh demi selekoh buat jantung berdebar. Walaupun tak setakut dulu, tetap juga kecut perut bila fikir kalau ada kereta tiba-tiba muncul di depan. Jalan sempit dan berliku, memang kena fokus betul-betul. Dalam hati tak putus berdoa semoga perjalanan kami selamat sampai ke destinasi.

Semakin tinggi kami mendaki, suhu makin dingin. Telinga pula terasa berdesing sedikit sebab tekanan. Terus saya tutup aircond dan buka tingkap sikit — nikmatnya hirup udara sejuk semula jadi!

Kami tiba di Bukir Fraser sekitar jam 12 tengah hari. Perkara pertama? Lari ke tandas awam dulu! 😄 Lepas tu barulah santai berjalan kaki sekitar pekan Fraser’s Hill. Kami singgah di Menara Jam yang ikonik tu. Di kawasan tu ada balai polis, pejabat pos, klinik kesihatan, kedai runcit, hotel dan restoran. 

Uniknya, di sinilah terletaknya sempadan antara Selangor dan Pahang. Kedai Makan Kheng Yuen Lee berada di bahagian Selangor — tapi percayalah, selangkah saja melangkah ke depan, dah rasmi masuk negeri Pahang! Rasa macam boleh “travel dua negeri dalam satu minit”.

Kami memilih Restoran Cattelya di Puncak Inn (bahagian Pahang) untuk makan tengahari. Ruang makan kemas, bersih dan pemandangan luar memang lawa. Saya order sup cendawan bersama roti bakar, set nasi paprik ikan, Nescafe dan teh O ais 2 gelas. Paprik tu memang sedap! Cuma sup cendawan kurang kena dengan selera saya. Total RM37.50.

Lepas makan, kami nekad kali ini tak mahu jadi “pelancong sekitar menara jam” sahaja. Dulu datang, situ jugalah tempat lepaknya. Rupa-rupanya banyak lagi sudut menarik yang kami tak sempat terokai.

Kami parking kereta di Taman Awam Bukit Fraser — kawasan yang lebih santai dengan food court dan taman permainan. Dari situ, kami berjalan ke view point. Subhanallah… suasana tenang dengan pemandangan hijau terbentang luas. Memang rasa nak duduk lama-lama, tapi biasalah… masa selalu mencemburui. Banyak lagi tempat menunggu untuk diteroka, jadi kami simpan rasa tenang itu dalam hati dan teruskan perjalanan.

Taman Eko Rimba Jeriau 

Destinasi seterusnya — Air Terjun Jeriau. Dalam 4km juga nak sampai. Jalannya dua hala, sempit dan berliku. Ada rasa macam nak patah balik… menyesal pun ada. Hahaha... tapi kami teruskan juga. Sampai sekitar jam 2 petang.

Kami park kereta dan mula berjalan masuk ke kawasan tersebut. Kebetulan ada empat orang sedang rancak berbual di situ. Tak sangka pula, rupa-rupanya suami kenal salah seorang daripada mereka. Memang betul orang kata, dunia ini kecil saja!

Sempatlah mereka bertanya khabar sekejap sebelum memberi sedikit panduan. Kata mereka, kalau nak sampai ke air terjun, kena terus berjalan sampai habis laluan. Jadi tanpa berlengah, kami pun teruskan langkah dengan rasa teruja untuk melihat sendiri keindahan yang menanti di hujung jalan.

Persekitarannya cantik, bersih dan terjaga. Air sungai mengalir jernih, bunyinya menenangkan. Kami menuruni anak-anak tangga… eh, kenapa air terjun di bawah? Selalunya bukan di atas ke? Rupanya air terjun di sini berketinggian antara 10 hingga 30 meter, dengan sungai dan kolam yang jernih.

Kawasan ini dikelilingi Hutan Dipterokarp — ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal dengan pokok tinggi seperti Meranti, Keruing dan Kapur. Memang rasa macam berada dalam dokumentari alam semula jadi.

Antara tarikan di sini:

* Sungai jernih

* Air terjun

* Tapak perkhemahan & berkelah

* Memerhati burung

* Flora hutan

Kemudahan pun lengkap — ada pondok rehat, tandas, surau dan parkir.

Saya sempat cuci muka dengan air sungai. MasyaAllah… sejuk sampai terasa ke tulang, tapi segar!

Masa nak naik semula anak tangga… haaa, baru tahu langit tinggi rendah. Jenuh juga! Anak yang muda pun mengah. Kalau ada baju salin dan masa lebih, memang saya dah mandi sungai. Tambah pula tak ramai orang — masa itu cuma ada sepasang pelancong warga emas dari Barat.

Singgah The Paddock


Sebelum pulang, kami singgah di The Paddock. Kawasannya cantik, dihiasi pokok-pokok conifer yang buat rasa macam di luar negara. Anak saya naik kuda — RM10 untuk satu pusingan. Jadilah, sekadar lepaskan rindu. Kali terakhir dia naik kuda masa umur 3 tahun!

Petang itu kami pulang ikut jalan yang sama. Sempat juga saya berangan nak ikut jalan Raub… tapi tengok jarak, terus fikir dua kali. Kecualilah kalau nak sambung ke Cameron Highlands, kan?

Walaupun penat, perjalanan kali ini penuh rasa syukur. Kadang-kadang bukan tempat itu yang paling penting, tapi siapa yang ada bersama kita sepanjang perjalanan. Untunglah, dia jadi anak tunggal beberapa jam!❤️

Sharhanah

Menikmati Keindahan Taman Eko Rimba Sungai Tekala

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dek kepenatan mengharungi bulan April yang padat, suami bawa saya jalan-jalan menghirup udara segar di luar selepas menghantar anak ke sekolah. Walaupun hanya beberapa jam, sudah cukup membuatkan minda saya rasa segar.

Ya, sehingga kini saya masih WFH sambil mengurus rumah tangga. Beban tu sangat berat untuk digalas. Aktiviti yang sama setiap hari. Penyapu, pinggan mangkuk, sudip, dapur, komputer riba, mesin basuh tu lah antara kawan-kawan saya di rumah. Tinggal diorang jap.

Kami ke Taman Eko Rimba Sungai Tekala. Harga tiket masuk untuk seorang dewasa ialah RM2. Manakala untuk seorang kanak-kanak ialah RM1.

Sebenarnya sudah beberapa kali kami ke sini. malangnya ia ditutup sementara selepas dikesan positif wabak Leptospirosis atau kencing tikus.

Saya datang sini bukan nak mandi pun. Tapi sekadar nak merakamkan keindahan alam. Bunyi air terjun, unggas, kehijauan, sangat mendamaikan. Terlupa walhal ada beban di kepala yang ditanggung.

Menangkap gambar memberikan saya suatu kepuasan. Ia merupakan medium untuk saya meluahkan kreativiti dan menghargai alam ciptaan Allah dari sudut pandang yang berbeza.

Jom tengok apa yang saya rakam...

Sebelah bawah, sesuai untuk kanak-kanak. Sungai cetek dan tak banyak batu.

Berdua lebih baik🤭
Mendongak 

Suka tengok tekstur kulit pokok

Jambatan merentangi sungai





Akar-akar pokok


Antara gambar kegemaran saya. Ada cahaya mentari menembusi.


Pagi yang indah... Suasana masih nyaman walaupun sang  mentari telah memancarkan cahayanya di sebalik pokok-pokok.
Korang rasa macam mana bila tengok gambar? Rasa nak datang tak?

Sharhanah

Taman Tasik Titiwangsa - Sesuai Untuk Seisi Keluarga

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kali terakhir saya ke Taman Tasik Titiwangsa entah tahun bila. Tak berapa ingat. Masa anak baru 2 orang, saya kerap ke sini bila suami ada event. Lepas tu, terus tak datang dah. Punyalah lama. Hilang ingatan terus. 

Baru-baru ni, saya datang lagi. Kali ni bawak anak 4 orang. Si bongsu dan abangnya memang tak pernah sampai. Kebetulan si bongsu celik di zaman bapaknya sudah bertukar kerja. Tiada lagi cuti dihujung minggu. Ditambah lagi dia membesar di zaman PKP. Maka, sedikit teruja budak tu.

Saya rasa banyak dah berubah. Nampak lain sangat. Kami brisk walk sepanjang tasik selepas hujan. Sayangnya, nampak banyak sampah sarap dimerata-rata tempat. Sakit mata saya ni hah. View dah cantik, tapi sampah tak boleh blah.

Dengan keluasan 114 ekar, kalau kutip sampah... agak-agak banyak mana yer dapat? 

Eh, lari tajuk.

Kami singgah di taman permainan. Ada Taman Air Kanak-Kanak. Menyesal anak bongsu saya tak bawa baju salin. Merengek dia. Yer la, bukan merancang nak datang pun. Terjah je. Si abangnya, boleh lah melayan permainan mencabar ala-ala obstacle course atau jungle gym tu. Kedua-duanya bersebelahan je pun.

Anak-anak dara saya, pilih lokasi untuk ‘outdoor shooting’ sebab pemandangannya tenang dan cantik dengan berlatar belakangkan bangunan pencakar langit. Dalam kolam pula ada bunga teratai dengan 3 warna (putih, biru dan merah jambu). Memang tukar moodlah.

Waktu ni nyaman sangat sebab kena tempias air pancut.

Closed up gambar bunga teratai. Masya Allah, hebat ciptaan Allah
Kalau boleh nak pusing semua 
Pemandangan tenang berlatarbelakangkan bangunan pencakar langit.
Taman yang disukai anak-anak yang lasak
Lasak? Si bongsu saya ni... Nanti kita panjat pokok plak. Hihihi
Rambu(t) Rambu(t) Temple of Togetherness 2023... Dari jauh nampak macam rumah nanas, rupanya penyapu lidi.
Cantik pokok ni.
Pokok nyiur
Pemandangan tasik. Ada pengunjung yang berkayak dan menaiki sampan kayuh. Kalau anak-anak yang besar ni ajak naik, saya okey je. Masalahnya, diorang tak suka aktiviti yang berisiko😑

Cuma suami je la, kalau bawa joran pasti dia memancing. Cuma sekarang ni tak tahu pula boleh memancing ke tak. Sebab dulu-dulu memang dibenarkan memancing. Kerap ada pertandingan memancing di sini.

Dekat sini juga boleh berkayak dan berbasikal. Kalau kereta muat, saya dah bawa basikal dari rumah. Terpaksalah menyewa dengan harga RM10 untuk 1 basikal. Nak berkelah pun best ni. Kalau musim hujan memang tak sesuai nak feeling-feeling makan atas tikar di bawah pohon rendang. Mampu duduk bawah pondok je. Hehehe

Kami juga melayan Kanopi Banjaran Titiwangsa dan Laman Kerawang (Taman Maze). Seronok juga. Sampai berpeluh-peluh. Syukur ada air kosong dari rumah. Masih sejuk dalam termos. Saya dah praktikkan bawa air kosong sejuk ke mana-mana saja kalau saya outing. Minum air manis tak puas, nak air kosong jugak.

Selepas basikal sewa dipulangkan pada pukul 6.45 petang, kami pun berangkat untuk pulang ke rumah. Rasa macam nak datang lagi je, tapi waktu pagi lah. Insha-Allah. Tapi, bila fikir keadaan sampah dan jarak 24KM nak sampai ke sini dari rumah, jadi terus malas. Baik ke taman tasik yang berdekatan je.

Psttt... patutnya snap sampah-sarap kan... asyik highlight yang indah-indah je😌

Sharhanah

Mengurus Masa

Cikgu saya kata: “Semua orang ada 24 jam yang sama. Kenapa ada yang kaya ada yang tak. Ada yang boleh urus 20 bisnes ada yang sekadar kerja 1 bidang sahaja. Semuanya tentang pengurusan masa. Manusia yang paling bijak ialah dia susun dan rancang segala kerja dia. Sampai dia tak sedar dia dah kaya.” - KHM

Hampir dua bulan saya fokus kepada tugasan baharu. Menjadikan saya lebih sibuk daripada biasa di rumah.

Ya, saya masih berniaga. Cuma saya kurangkan menu. Saya fokus pada 3 sahaja. Yang simple dan mudah disediakan. Memandangkan saya sudah ada tugasan hakiki (dibayar gaji secara bulanan), maka bisnes saya dah jatuh nombor 2.

Sebenarnya, bos lama saya panggil saya bekerja semula. Saya terima sebab saya tak perlu ke tempat kerja. Hanya jaga sistem dan layan inquiry. Saya bebas bekerja ikut waktu yang saya nak.  Menarik bukan???

Zero cost untuk petrol, tak perlu pening fikir baju apa nak pakai setiap hari, dapat urus makan dan pakai buat suami dan anak-anak. Itu antara kelebihan yang saya dapat. 

Tapi, bukan semudah yang disangka. Saya perlu urus masa sebaik-baiknya. Sesekali waktu sibuk menerjah, mana nak ke dapur, mana nak reply mesej yang urgent, memang tak terkejar. 

Kadang, kepala ni penuh dengan to-do-list. Sesekali perlu menghela nafas yang panjang untuk melegakan sesak di dada. Saya ada masalah kerisauan jika tak dapat selesaikan satu-satu perkara. Itu kekurangan saya.

Di situ saya belajar utamakan perkara yang paling penting. Contohnya, tengah melayan pertanyaan pelanggan thru WhatsApp. Dalam masa yang sama, ada order masuk di platform. Saya perlu selesaikan order yang masuk dahulu. Maka, berlari anak lah saya ke dapur siapkan tempahan. Habis je, sambung menjawab pertanyaan pelanggan. Begitulah. 

Kadang satu hari takde langsung order. Saya akan fokus 100% kepada kerja yang bergaji tu. At least, saya ada pendapatan tetap. Dalam keadaan ekonomi sekarang, saya tak boleh nak harap pada bisnes kecil saya ni. Lepas duit poket sekolah anak-anak pun dah rasa bersyukur. 

Suami ajak berjalan pun saya tak kisah. Selagi ada talian internet, di mana-mana pun saya boleh buat kerja. Baru-baru ni, kami anak beranak pergi berkhemah di tepi pantai. Lega rasanya melihat lautan luas terbentang, bunyi ombak menghempas ke pantai sambil buat keje sambil mengadap pantai. Eh! 

Nature lover,

Sharhanah