🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label People & Society. Show all posts
Showing posts with label People & Society. Show all posts

Bahagian Akhir: Terbanglah Setinggi Mampu, Semoga Ilmu Menjadikanmu Bertakwa

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Sofea (berdiri di tengah) bergambar bersama rakan sekelas
Alhamdulillah, dengan merit tinggi, dia terima tawaran daripada program matrikulasi KPM. Untuk UPU, dapat Diploma Sains Komputer di Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Dia pilih matrikulasi. Katanya nak cepat sambung ijazah, kos pun lebih rendah. 

Sekali lagi, dia berada di persekitaran baru, matrikulasi. Kali ini, tiada langsung kawan dari sekolah lamanya. Hanya seorang, itupun di matrik jauh di sebelah utara Semenanjung. Tak hairanlah dia risau, takut sokmo. Saya cuma kata, “Sabar… nanti bila belajar sini, ramai kawan”.

Cabarannya, dia tidak pernah duduk di asrama. Hanya menempek di rumah sepanjang hidupnya. Semua rutin baharu, semua suasana asing dan jauh dari keluarga. Dia perlu belajar berdikari sepenuhnya. Cabaran kedua pula, majoriti pelajar matrikulasi adalah dari sekolah berasrama penuh yang sudah lama pandai berdikari. Persaingan memang sengit tapi sihat. Sebagai ibu bapa, saya hanya mampu menitipkan kata-kata semangat, lembut tetapi penuh dorongan agar dia terus kuat melalui cabaran tu semua.

Kebanyakan subjek pula diajar dalam Bahasa Inggeris. Bagi anak kampung seperti dia, tiga bulan pertama benar-benar menguji untuk menyesuaikan diri dengan bahasa, suasana dan rentak pembelajaran yang pantas. Namun Alhamdulillah, dengan izin Allah dan usaha yang tidak putus, di akhir semester pertama dia memperoleh CGPA 3.92. Walaupun nilai skor tak dapat 4.00 rata, saya dah bersyukur sebab dia mampu mengikut rentak program ini. Mana taknya, laju macam bullet train!  Kalau lambat, kena tinggal.

Semester kedua matrik pula, cabaran masih ada, tapi dia semakin biasa dengan ritma kelas, tugasan, dan rakan-rakan. Katanya kawan-kawan semua best, tenaga pengajar pun sporting. Tanya apa pun, diorang banyak membantu. Tapi, untuk presentation... dia masih tak yakin.

Dari sekolah rendah sampai ke pra-U dia memang gagap

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT. Hari ini kami menerima khabar gembira apabila dia berjaya memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan PSPM Semester II. Kejayaan ini pastinya hasil daripada usaha yang bersungguh-sungguh, disiplin dalam pembelajaran serta doa dan sokongan daripada keluarga dan para pensyarah.

Buat masa ini, dia sedang bekerja secara sambilan sementara menunggu keputusan permohonan UPU diumumkan. Selain mengisi masa dengan perkara yang bermanfaat, pengalaman bekerja ini juga memberi peluang untuk mengenali dunia pekerjaan, belajar berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta membina sikap bertanggungjawab dan berdikari.

Semoga pengalaman yang diperoleh sepanjang bekerja ini menjadi bekalan yang berharga dalam proses menuju alam dewasa. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan, dikurniakan pilihan yang terbaik untuk menyambung pengajian, dan terus cemerlang dalam setiap langkah kehidupan.

Daripada kisah anak sulung saya, saya belajar satu perkara besar. Setiap anak ada garis masa sendiri. Ada yang mekar awal, ada yang mekar perlahan. Tugas kita bukan memaksa bunga itu cepat kembang. Tugas kita menyiram, membaja, dan mendoakan. Kerana akhirnya, kejayaan sebenar bukan pada berapa banyak A di kertas keputusan. Tetapi pada sejauh mana kita membesarkan mereka dengan sabar, doa, dan hati yang reda.

Mohon doakan agar anak saya terus dikurniakan kejayaan di peringkat ijazah pula. Perjalanannya selepas ini belum kita ketahui, namun kami yakin setiap langkah telah Allah aturkan sebaiknya. Semoga pengalaman di matrikulasi menjadi bekal dan panduan untuk dia melangkah lebih matang, tabah dan berilmu.

Sharhanah

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa


Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akhirnya keluar. Saya dan abahnya sempat menemaninya ke sekolah — walaupun sekejap sahaja kerana abahnya perlu kembali bekerja. Kami datang dengan hati yang tenang, tanpa harapan yang terlalu tinggi.

Alhamdulillah… dia memperoleh 7A 2B. Bagi saya, itu sudah cukup membanggakan, apatah lagi dia bersekolah di luar bandar dengan kemudahan yang sederhana. Saya sudah pun bersyukur.

Tapi Allah beri lebih daripada yang saya bayangkan.

Nama dia dipanggil naik ke pentas. Saya senyum.

Lepas tu dipanggil lagi. Saya pandang abahnya.

Sekali lagi dipanggil. Saya dah terdiam.

Tiga kali dia naik ke pentas menerima anugerah berdasarkan keputusan SPM — Bitara Pencapaian Terbaik, Mata Pelajaran Terbaik Matematik dan Sains Komputer. Saya terpaku di tempat duduk rasa macam tak percaya. Anak yang selalu saya anggap “oklah… biasa-biasa je” rupanya ada sesuatu yang lebih. Dia akhirnya membuktikan bahawa dia mampu — bukan kepada orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.

Alhamdulillah... Sijil-sijil dan terselit duit di situ
Tahu-tahu saja, dia berdiri di depan, di atas pentas sambil memegang sijil-sijil anugerahnya… dan buat hati saya rasa penuh.

Air mata saya bergenang waktu itu. Bukan kerana bilangan A semata-mata, tetapi kerana terbayang seluruh perjalanan kecilnya yang panjang dan penuh makna.

Dari detik dia dilahirkan — saat kami sama-sama ‘menunggu lama’ di koridor labour room, dari fasa lambat masuk prasekolah, alam remaja mengadu sunyi kerana tiada kawan rapat. Sehinggalah usaha-usaha kecil yang dia lakukan diam-diam, tanpa saya sedar betapa besar maknanya. Semua detik itu, setiap tangis, sabar dan perjuangan kecilnya, membentuk dirinya hari ini. Dan saya hanya mampu menunduk syukur, menangis sebak, kerana Allah begitu indah menyusun langkah anak yang kami kira ‘biasa’ ini.

Coretan ini lahir daripada hati saya sebagai seorang ibu yang pernah menyimpan harapan besar. Sejak Tingkatan 1, dia mencuba untuk melangkah ke SBP. Tidak berjaya. Tingkatan 4, dia cuba lagi. Sekali lagi impian itu tidak menjadi kenyataan.

SBP bukan rezekinya. Namun itu bukan bermakna masa depannya gelap. Sekolah harian menjadi medan perjuangan sebenar. Di situlah dia bangun perlahan-lahan, belajar tentang sabar, tentang usaha, tentang tidak pernah menyerah walau berkali-kali diuji.

Hari ini saya sedar, kejayaan bukan ditentukan oleh nama sekolah yang gah, tetapi oleh hati yang tidak pernah putus asa. Selagi ada usaha yang tidak jemu dan doa yang tidak pernah berhenti, kejayaan tetap ada jalannya — walaupun jalannya berbeza daripada orang lain.

Akhirnya... Allah beri apa yang dia nak.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh


Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rezekinya, saya membawa dia menjejak kaki ke bumi Harmain untuk menunaikan umrah ketika dia di Tingkatan Satu. Di tanah suci itu, di hadapan Kaabah dan dalam lautan doa manusia dari seluruh dunia, saya melihat wajahnya yang tenang seolah-olah sedang menyimpan sesuatu yang hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Mungkin di situlah Allah menitipkan sesuatu ke dalam hatinya. Sesuatu yang tidak terus berbunga, tetapi perlahan-lahan berakar. Sesuatu yang tidak nampak pada mata manusia, tetapi tumbuh diam-diam, menunggu waktu untuk menyerlah.

Sebaik sampai di Madinah.

Keputusan UASA Tingkatan 3 yang diterimanya baik. Tidaklah terlalu gemilang, tetapi cukup untuk membuka ruang pilihan.

Masuk Tingkatan 4, dia memilih aliran STEM B — satu keputusan yang memisahkan dia daripada hampir semua kawan rapatnya. Mereka memilih haluan lain. Dia pula memilih jalan yang sunyi dan sukar. Petang itu dia pulang ke rumah dengan wajah yang lain macam. Beg sekolah diletakkan perlahan. Suaranya tidak seceria biasa.

“Mama… tak bestlah kelas tu. Tak ada kawan. Add maths pula susah.”

Itu ayatnya, tetapi berat untuk hati seorang ibu mendengar.

Di sinilah sebenarnya cerita dia bermula.

Bila sunyi mula mengambil tempat dalam hidupnya, dia mula mengisi ruang itu dengan buku dan nota. Kesunyian yang dulu dikeluh, perlahan-lahan bertukar menjadi fokus. Dia mula serius belajar — bukan kerana dipaksa, tetapi kerana dia mahu membuktikan sesuatu kepada dirinya sendiri. 

Saya cuba bantu semampu yang boleh. Saya hantar dia ke tuisyen fizikal. Beberapa bulan kemudian dia mengaku, “Mama, tak fahamlah.” Hati saya sedikit risau, tapi kami cuba lagi. Saya tukarkan ke tuisyen online. Alhamdulillah, kali ini dia kata jelas. Saya nampak perubahan pada caranya mengurus masa, pada wajahnya yang lebih tenang setiap kali ulang kaji.

Sejak itu, nampak jelas dia mula bersungguh-sungguh belajar. Rajin pula ke kelas tambahan yang cikgu adakan di sekolah, ulang kaji sendiri di rumah. Ada kerja kursus yang perlu dihantar, dia buat dengan lebih teratur dan teliti.

"Mama… kawan-kawan tadi suruh Sofea ajar Matematik,” katanya perlahan, senyumnya sederhana tapi jelas teruja.

“Oklah, macam tu… dapat bantu kawan-kawan,” saya jawab sambil tersenyum.

Dalam hati, saya tahu — dia sudah mula ada kawan di kelas itu. Kelas yang dulu dia fikir sunyi, yang dia rasa tiada seorang pun kawan rapat… kini mula dipenuhi kehangatan persahabatan.

Langkahnya ke sekolah pun nampak lebih ringan. Wajahnya lebih ceria. Sunyi yang dulu mengganggu hatinya, kini diganti dengan senyuman yang datang sendiri daripada rakan-rakannya.

Sampai satu hari, saya hadir sesi bicara akademik di sekolah. Saya datang tanpa harapan besar. Saya sudah belajar untuk tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Bagi saya, cukuplah dia jadi anak yang baik. Itu sahaja doa saya setiap hari.

Namun di bilik itu, seorang demi seorang guru menyebut namanya. Mereka bercakap tentang potensinya. Tentang kesungguhannya. Tentang harapan yang mereka sandarkan kepadanya.

Saya agak terkejut. Takut juga. Kerana saya sudah tidak berani berharap terlalu tinggi. Saya cuma mampu berbisik dalam hati,

“Ya Allah… aku serahkan segalanya pada-Mu.”

Bersambung...

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Sharhanah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selepas detik kelahiran itu, perjalanan anak sulung saya, Sofea bermula perlahan. Dia mula sekolah prasekolah pada umur enam tahun — agak lewat berbanding adik-adiknya yang seawal empat tahun sudah menjejak kaki ke kelas. Permohonan pertama saya ke prasekolah gagal dan memohon sekali lagi tahun berikutnya. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya ditempatkan di sekolah yang sama dengan adiknya, cuma kelas berbeza.

Dia lewat setahun, bukan kerana dia tidak mampu, tetapi kerana kami memilih untuk menunggu adiknya cukup umur supaya mereka dapat bersekolah bersama. Ia memudahkan urusan saya sebagai ibu. Namun tipulah jika saya kata saya tidak pernah rasa bersalah. Dia membesar di rumah pengasuh, tidak melalui tadika seperti adik nombor tiga dan empat — sedangkan yuran yang mahal itu tetap saya sanggup keluarkan untuk yang lain.

Kadang-kadang hati kecil berbisik, “Adilkah aku?” Saya cuba memujuk diri bahawa setiap anak punya jalan yang berbeza. Kasih sayang tidak pernah berkurang, cuma cara dan peluang yang hadir dalam hidup mereka tidak selalu sama.

Tapi Allah itu Maha Adil.
Tamat prasekolah
Dia memang minat belajar. Mungkin kerana memulakan sekolah agak lambat, setiap buku, setiap angka, setiap perkataan baru seolah-olah membuka dunia yang menakjubkan baginya. Mata yang bersinar, hati yang teruja. Belajar baginya bukan sekadar kewajipan, tetapi petualangan kecil yang setiap hari mahu dijelajahi.

Masuk Tahun 1 dan 2, dia di kelas A. Darjah 3 jatuh ke kelas B. Mungkin masa tu dia leka. Namun kadang-kadang, jatuh itu bukan hukuman — tapi wake-up call. Tahun berikutnya dia bangkit semula. Dia dilantik menjadi Pengawas Briged Siber sekolah. Bukan pelajar paling cemerlang yang setiap tahun naik pentas dan bukan juga atlet sekolah. Dia pelajar biasa. Jarang naik ke pentas.
Sofea Darjah 1
Kalau ada pun, anugerah kedatangan cemerlang. Ya,  dia sangat suka pergi sekolah! Pernah sekali tu, dia masuk persembahan, saya di bawah berdebar sebab tahu, bila dia bercakap… pasti ada gagapnya. Tapi dia tetap berdiri. Tetap cuba. Dari sinilah saya belajar satu perkara besar: keberanian kecil itu… jauh lebih hebat daripada kejayaan yang disorak ramai.

Sekolah rendahnya berlalu begitu sahaja. Dia memperoleh 2A dalam UPSR dimana peperiksaan besar itu dimansuhkan pada tahun berikutnya. UPKK 6A dan PSRA Jayyid Jidan (Sangat Baik). Sejak itu, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma mahu dia jadi anak yang baik. Dan saya tak tahu… itulah permulaan perubahan yang sebenar.

Kerana apabila tiba waktunya, anak yang pernah saya fikir “biasa-biasa” ini akan menunjukkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Sesuatu yang akan membuat saya tersedar bahawa kadang-kadang, kita sebagai ibu terlalu cepat menilai. Dan kadang-kadang, anak yang diam, yang sederhana… sedang Allah siapkan untuk luar biasa.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian Pertama: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya pernah diam-diam berhenti berharap pada anak sulung saya.

Bukan kerana dia nakal.

Bukan kerana dia gagal.

Tetapi kerana dia terlalu… terlalu biasa.

Kisah perjalanan anak sulung saya bermula di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Tahun 2007, pada tarikh yang kononnya “cantik”, rupanya penuh sesak dengan tangisan pertama para bayi yang berebut melihat dunia. Ibu-ibu berbaju pink bersilih ganti masuk ke labour room. Wad penuh. Katil tiada. Saya dan bayi kecil saya “menetap” hampir tiga jam di tepi koridor labour room menunggu katil di wad kosong. Di situ, saya kaku. Anak sulung. Saya langsung tak tahu cara menyusukannya dengan betul.  saya pandang wajah kecil itu lama-lama. Dalam hati berbisik, “Maafkan mama… mama belum pandai.”

Saya tidak tahu waktu itu, Allah sedang menulis kisahnya dengan cara yang tidak tergesa-gesa. 

Dia bukan anak yang selalu disebut-sebut namanya di sekolah rendah. Bukan yang aktif bersukan. Bukan yang petah bercakap di hadapan orang. Malah sering gagap ketika pembentangan. Dia bukan yang paling menyerlah. Dia cuma hadir. Diam. Sederhana.

Dia pernah jatuh kelas, permohonan ke sekolah impian gagal, ada waktunya ketika dia pulang dari sekolah menengah lalu berkata, “Tak bestlah sekolah. Tak ada kawan.” 

Dan ada waktunya… saya sebagai ibu belajar menelan rasa bersalah. Membandingkan. Mempersoalkan. Menyalahkan diri sendiri. Sampailah satu hari, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma berdoa satu perkara:

“Ya Allah, jadikan dia anak yang solehah. Itu sudah cukup.”

Saya tak sangka, apabila saya lepaskan harapan besar itu dan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih indah.

Ini bukan kisah anak genius.

Ini bukan kisah kejayaan yang sempurna tanpa cacat.

Ini kisah anak yang membesar perlahan-lahan.

Dan ibu yang belajar erti sabar, tawakal dan reda — satu bab demi satu bab.

Bersambung...

Sofea, baby batch #07


Sharhanah

Apa Itu Bahagia Sebenar?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

1. Selama ini mungkin kita salah faham mengenai bagaimana otak kita berfungsi. Memori indah itu bukan tercipta dengan berapa banyaknya wang yang kita ada.

2. Sebenarnya, kita tidak perlu pun tempat yang grand, hadiah yang mahal, makanan mewah untuk cipta kenangan. Cukup dengan gelak tawa gembira, ada orang orang yang kita sayang & rapat ada bersama dengan kita.

3. Zaman kita dahulu... main pondok-pondok pakai kulit kerang buat beli 'ikan & sayur' dah rasa seronok.

#CoreMemory

#KenanganTercipta

#GengZamanToraDatangLagi

Kebahagiaan itu sebenarnya terletak pada diri sendiri dan hati kerana hanya diri yang dapat menentukan hala tuju kehidupan sama untuk mengecapi kebahagiaan atau kemewahan

Sharhanah

Biskut Raya Yang Terakhir...

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Syawal dah lama tinggalkan kita. Rumah siapa yang masih ada biskut raya? Sila komen sikit kat bawah.

Biskut Bangkit Cheese Perisa Koko.
Tu, tinggal 5 ketoi je lagi tak habis-habis. Tanya anak, kenapa tak habiskan? Diorang jawab, rasa macam makan tepung😅.

Yang perisa original dah lama arwah. Tak sempat hujung Syawal. Ramai tetamu yang suka. Termasuk saya. Tapi, yang ini... Slow melow jenuh nak habiskan.

Biskut ni antara biskut yang diberi oleh majikan saya. Ada 4 balang pelbagai jenis. Semuanya sedap. Yang satu ni je kurang sambutan. Ikut-ikut banyak ketoi lagi yang tinggal. Masa mak ada di rumah saya, mak yang rajin makan. Seketoi-seketoi mak ambil setiap hari. Tapi, mak dah balik.

Ni kalau tak habis juga, boleh bawa ke Raya Haji.

Sharhanah

Keadaan Bilik/Rumah Selepas Daftar Keluar/Check-Out Cerminan Peribadi Diri

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya banyak berurusan dengan tetamu yang menginap. Menjadi orang tengah bukanlah mudah yang disangka. Ada tetamu sengaja melengah-lengahkan waktu check-out sehingga menyusahkan tuan rumah/staf untuk membuat persiapan tetamu berikutnya. Hanya kurang 2 jam untuk mereka membersihkan rumah/bilik tersebut. Itu kalau satu rumah atau 1 unit bilik. Kalau ada banyak unit bilik???

Membayar penuh bayaran sewa untuk menginap di hotel/homestay BUKAN bermakna kita boleh tinggalkan rumah/bilik dalam keadaan yang teruk dan tidak tepati masa waktu check-out. Orang yang sudah biasa tinggal dalam rumah yang bersih tidak akan meninggalkan rumah dalam keadaan yang kotor. Orang yang tahu peraturan dan beradab tidak akan merokok dalam rumah apatah lagi membuat semak.

Ini sebenarnya adalah cerminan sikap peribadi. Kita mudahkan urusan orang lain, Allah permudahkan urusan kita.

Psttt... Perkara ini sangat penting kerana sikap buruk akan terbawa sehingga ke tempat lain termasuk luar negara. Jangan sampai host tidak mahu menerima tetamu dari Malaysia kerana sikap pengotor.

Sharhanah

Raya 1445H: Tahun Ni Tak Balik Kampung

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tahun lepas, saya beraya di kampung. Tahun ni, suami kena keje. Maka, berayalah kami di rumah. Anak bongsulah yang paling sedih tak dapat balik kampung. Tahun ini adalah tahun pertama dia berjaya puasa penuh. Dia bukan faham situasi pun. Saya sebagai ibu, kenalah cipta suasana agar kemeriahan Hari Raya tetap terasa.

Malam terakhir solat sunat tarawih, saya dan anak-anak bersolat di surau. Orang taman perumahan kami ramai yang dah balik kampung. Mungkin nak merasa suasana last berpuasa di sana. Sempatlah bagi duit raya pada anak-anak jiran sebelah sebelum mereka bertolak balik.

Sunyi je taman kami. Anak-anak saya mati kutu sebab takde kawan nak main😅

Malam raya

Anak sulung saya, Sofea... tugasnya seterika semua pakaian raya. Kalau dekat kampung, waktu macam ni... saya dan adik-beradik yang lain dah sibuk tukar langsir, tukar sarung kusyen dah.

Anak ke-2, Arissa excited pula nak buat biskut raya. Biarlah dia bizi-bizi di dapur. Saya dah tak kuasa nak melayan biskut. Mata dah ngantuk. 

1 Syawal 

Saya bangun awal, sebab dah biasa siapkan sahur kan. Keluarkan rendang dalam freezer (buat sehari awal) dan panaskan, kukus ketupat palas dan rebus ketupat nasi. Masukkan biskut raya ke dalam beberapa balang dan susun di atas dulang khas. Saya kejutkan semua anak-anak untuk mandi dan niat mandi sunat Aidilfitri. Sorang-sorang bangun. Lepas tu solat subuh.

TV channel Al-Hijrah saya buka awal. Baru suasana hidup. Takde la sunyi sepi dalam rumah macam tanah perkuburan.

Masing-masing bersiap untuk ke masjid yang berdekatan dengan rumah. Anak-anaklah paling teruja dapat mengenakan baju raya baharu. Setahun sekali je dapat. Anak-anak dara paling lama duk adjust tudung. Geram pula mak dia. Hahaha. 

Sunat memakai wangi-wangian dan kami bersarapan dulu sebelum bertolak ke masjid. Ambil wudhu siap-siap dan kami berenam menaiki kereta untuk ke masjid. 7.45 pagi kami dah sampai.

Saya dan 3 orang anak perempuan, masuk ke ruang solat muslimat yang masih ada 60% ruang kosong waktu kami sampai. Kami mengenakan telekung dan duduk dalam saf. Takbir Raya pun bermula. Bergema di seluruh ruang. Bersahut-sahutan memecah sunyi memuji Ilahi.

Allah Maha besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,

Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar,

Allah Maha Besar dan segala puji hanya milik Allah.

Ruang solat sudah mulai penuh. 8.30 pagi, imam masjid beri sedikit taklimat dan memulakan solat sunat Aidilfitri. Selepas tu, ada Khutbah Solat Aidilfitri. Selesai semuanya, kami bersalam-salaman. Anak bongsu saya, Zahra seronok dapat duit raya daripada salah seorang jemaah yang hampir dengan kami.

Kami balik ke rumah dalam pukul 9.15 pagi. Nak balik rumah ikut jalan lain, terlalu jauh la pula memandangkan suami saya masuk kerja pada pukul 2 petang (bawa siap-siap baju kerja). Kami sampai rumah, sambung makan dan kemas-kemas untuk beraya di rumah mak saudara di Kampung Pandan pula. Bawa sedikit buah tangan dan memulakan perjalanan. Alhamdulillah, jalan raya sangat lancar dan terasa jalan raya sendiri punya😂

Sampai di rumah mak saudara suami, kami dijamu dengan kuih raya, lontong dan lauk-pauk. Jamah la sedikit walaupun perut masih kenyang. Borak-borak kejap, dah nak dekat pukul 1 tengahari. Kami minta diri sebab nak hantar abahnya ke tempat kerja. Bersalam-salaman minta maaf zahir dan batin sebelum balik. Macam tu lah kalau beraya kalau ada orang kena keje. Beraya pun sekejap je😂

Tahun ni, adalah tahun pertama beraya tanpa arwah ayah. Tanpa redah jem dan tanpa saya perlu apply cuti raya. Balik kampung hanya ada mak. Mak nak datang ke rumah saya pada 2 Syawal. Hehehehe, sebab tu saya okey je tahun ni tak balik kampung.

Pagi 1 Syawal 1445... Keluarga kecil saya

Ikuti kisah Raya Aidilfitri 1444H

Sharhanah

◦Berapa Ramai Kawan-kawan Yang Korang Kerap Berhubung Sekarang?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dalam senarai kawan Facebook (FB) yang terdiri daripada kawan kampung, kawan masa belajar, kawan masa kerja, keluarga terdekat dan jauh, hampir mencecah ribuan. Sekarang saya sudah merasakan bilangan kawan-kawan yang selalu berhubung atau berjumpa menurun secara konsisten sepanjang meningkat dewasa.

Mungkin, inilah yang dikatakan kehidupan. Lingkungan semakin mengecil disebabkan masing-masing sudah ada tuntutan dan tanggungjawab masing-masing. Keutamaan kita sudah berubah arah. Dulu kecik-kecik, berjanji beria dengan kawan BFF nak sekolah menengah sama, universiti sama, membesar sama-sama. Heeee

Zaman belajar, di mana kita terlalu banyak kawan. Beratus kawan kot time ni.

Sewaktu belajar.

Zaman pekerjaan,  berpuluh kawan.  Hanya yang satu kepala je yang boleh masuk. Yang lain, boleh la sembang-sembang setakat kerja.

Geng sekepala masa kerja

Zaman berumahtangga, kurang 10 kawan. Ada beberapa kerat je yang kadang-kadang berjumpa. Kadang-kadang ada la sebulan sekali, setahun sekali. Tapi, masih boleh berjumpa.

Kawan-kawan saya sekarang ni ialah.... Arissa, Zahra, Hariz dan Sofea😋

Bukan apa, sekarang ni terasa nak hidup tenang-tenang je sambil membesarkan anak-anak. Tak perlu nak jaga hati kawan-kawan. Orang tak ajak, kita diam je. Kita hidup tanpa ambil hati dengan siapa-siapa. Suka hati lah orang lain nak buat apa pada kita. Nak mengata? Kita dapat pahala percuma. Kita teruskan hidup kita dengan bahagia cara kita. Tanpa perlu nak sentap.

Kawan yang ada sekarang... walau sedikit, kita jaga dan hargai satu sama lain. Jadilah kawan yang baik, jujur dan ikhlas.  Hidup ini singkat, tidak mengapa kalau kawan kita cuma sedikit asalkan bermanfaat di dunia hingga akhirat.

Kelak di alam kubur, "kawan sejati" yang sentiasa menemani kita hanyalah amalan kebaikan kita di dunia sahaja.
Sharhanah

Kemaskini Senarai Peserta: Pencarian Bloglist Untuk Blog Sharhanah Sepanjang 2024

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jom semak blogger yang menyertai segmen "Pencarian bloglist Blog Sharhanah Sepanjang 2024". Kalau ada yang tercicir, boleh inform ya.

Senarai blogger setakat 29/2/2024

Kepada yang nak join, masih ada masa lagi tau. Tarikh tutup penyertaan pada 3 Mac 2024. Kalau rezeki, penyertaan disaat akhir pun boleh tersenarai menjadi pemenang.
Klik banner untuk join.
Sharhanah

Pengalaman Berjaya Membeli Dendeng Nyet Berapi Di TikTok Live Shop Khairulamingbrand

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dah perasan dalam sosial media Khairul Aming (KA) akan lancarkan produk terbaharu beliau, Dendeng Nyet Berapi pada 2/2/2024 (9 malam). Produk sebelum ni, Sambal Nyet saya tak beli disebabkan baca review, rata-rata katanya pedas. Bukan tak nak support, tapi saya ada gastrik. Tak berani. Pedih perut kang kalau saya makan. Support hanya sebagai follower.

Kali ini betul-betul saya support anak muda ni disebabkan saya penggemar dendeng. Pertama kali juga saya beli di TikTok Live. Sebelum ni pernah beli 2 kali di TikTok Shop sahaja. Itu pun anak nak beli wireless earbuds RM1. Ingatkan scammer ke hape kan, sekali sampai memang barang tu berkualiti. Saya tak minat sangat layan TT ni, mungkin saya datang dari generasi Y.

Order placed.

Saya masuk lewat 1 minit. Ingatkan dah terlambat. Rupanya, KA baru nak mula masukkan unit ke dalam sistem. Dia nak masukkan nilai lapan puluh ribu pun, dia suruh Kemey tengokkan. Takut dia pi letak terlebih "0" jenuh nak cover. Sebab stok batch pertama tersedia hanya 80K unit.

Lepas tu KA siap buat countdown lagi tu bila boleh mula beli. Saya pula yang berdebar. Macam nak berlawan dalam perebutan besar-besaran. Hahaha. 

Bila start je, beg kuning muncul. Cepat-cepat tekan beg tersebut. Saya tekan banyak kali. Beberapa kali juga percubaan saya gagal. Asyik keluar error. Huhuhu, macam gagal je sebab katanya system error. Banyak orang komen macam tu.

Stok rebound ke dalam sistem bila ada pembeli amatur yang tak lepas pembayaran atau yang terpaksa batalkan pesanan. Apa lagi, saya stay la menunggu sambil tengok KA. Dia pun nervous. Hihihi. Saya klik je beg kuning tu berkali-kali sehingga sampai ke proses pembayaran.

Bila nak bayar, keluar pula mesej seperti di bawah;

Lahai...jenuh nak menunggu

Awal pembelian tu, saya guna pembayaran menggunakan TNG e-Wallet. Duit dah tolak, tapi belum dapat pengesahan pembelian. Saya cuba tukar kaedah pembayaran menggunakan Maybank. Laju berdesup. Kemain naaaa...

Alhamdulillah, barulah pembelian saya disahkan. Dapat beli 1 paket je. Ada yang gigih nak beli 6 pek... kang tengah duk tambah bilangan unit, sekali habis stok daaaa...(Jangan tamak, kan dah tak dapat).

Apa cerita dengan TNG e-Wallet? Duit dah ditolak dalam akaun saya. Syukur, tak lama je duit itu dikembalikan semula ke akaun. Ingatkan akan jadi 2 pembelian. Rupanya tidak😅. Dekat sini, saya lupa nak claim shipping coupon RM5. Itulah kalut sangatkan.. kalau tak, boleh dapat murah lagi.

Dalam 3 minit lebih je, dendeng SOLD OUT! 80K unit habis terjual. Hasil jualan malam tu bernilai RM1,199,200. Cuma tunggu payment masuk untuk dapatkan total tersebut. Saya tak tunggu live sampai habis. Orang jenis tidur awal kan, dapat beli 1... saya masuk tidur lah. Hihihi

Fuh! satu pengalaman membeli yang sangat mendebarkan. Tahniah anak muda. Berjaya menjadi usahawan bijak yang berpengaruh. Sebab itulah ilmu itu penting. Kena pesan dekat anak, jangan sekolah pun tak habis, dah berangan nak jadi content creator.

Semoga terus maju dan berjaya KA!

KA menunjukkan hasil jualan sudah mencecah RM1 juta! Baru setengah jam okey...dah cecah figure macam tu.
 
Tunggu barang sampai. Nanti saya buat review pula ya😉

Sharhanah

Anak Adalah Perhiasan Kehidupan Dunia

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Masa berlalu dengan pantas sekali. Sekejap je, masing-masing (anak-anak dalam gambar) dah bersekolah dan tidak lama lagi akan punyai kehidupan sendiri. Saya redha melepaskan mereka selepas selesai tanggungjawab saya sebagai ibu. (Mod menaip pun berlaku waktu rumah sunyi ketika semua anak-anak ke sekolah).

2018: Anak-anak saya mengadap Laut Selat Melaka dengan cuaca sebelah petang yang agak suram.

Dah macam melepaskan anak-anak penyu ke laut je. Pandai-pandailah berdikari. Apa yang diajar dan dibentuk dari rumah sejak kecil moga membantu dalam kehidupan mereka nanti. Selalu saya pesan, jaga solat dan lakukan banyak kebaikan dan meninggalkan segala kemungkaran.

Sebagai ibu, buat masa sekarang saya ingin mencipta saat-saat indah dengan mereka. Ya, anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia. Ada mereka, rumah tak sunyi dengan gurau senda, hilai tawa dan tangisan. Bergaduh adalah perkara biasa, yang penting bagaimana mereka berbaik semula. Semua proses pembelajaran berlaku tanpa sedar.

Mungkin, 20 tahun lagi saya akan baca semula posting ini.

Sharhanah

Cerita Raya 1444H

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan SELAMAT HARI RAYA kepada rakan pembaca sekalian. Semoga amalan di bulan Ramadan diterima dan dosa-dosa kita mendapat keampunan oleh Allah.

Raya tahun ini, agak lain ceritanya. 

Pertama, beli baju raya anak-anak pada pagi 27 Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR). Saya bawa semua anak. Senang nanti nak pilih. Jenuh juga nak mencari ditambah terik matahari yang memancar. Dapat grab 3 pasang baju anak-anak perempuan saya. Ngam-ngam ada 3 helai sahaja. Saiz pula ngam-ngam dengan diorang. Syukur!

Awal-awal, mana ada lapar lagi. Cuma agak letih berjalan. Tinggal baju anak lelaki je yang masih mencari. Nak samakan warna dengan kakak-kakak dan adiknya jer. Berpeluh kami. Si adik, dah berbisik pada saya,"Mama, saya dahaga".

"Baik, lepas dapat baju abang, kita cari air." Jawab saya sambil mata meliar mencari baju si abang.

Jalan punya jalan, kami ke Jakel sahaja. Kena aircond, legaaa. Dalam tu banyak pilihan baju. Cuma, harga tak begitu rahmah walaupun tertera di situ harga rahmah. Baju dah sesuai, dah pula tak sama warna. At last, grab warna hitam premium. Selesai masalah. Harganya, 1 baju anak lelaki bersamaan 3 baju anak-anak perempuan. Nak cari yang murah, memang takde. Redha je la. Lagipun, si abang ni puasa penuh.

Sebelum pukul 12 tengahari kami dah dalam perjalanan balik ke rumah. Si bongsu, mengaku kalah. Dapatlah secawan air sejuk untuknya. Patutlah dia nampak letih sungguh, sahur pagi tadi dia ambil sedikit susu dan bijirin koko sahaja.

"Mama, tahun depan tak nak dah shopping waktu bulan puasa! Beli awal la...", si kakak sulung mencebik dari belakang tempat duduk kereta.

"Yo la.. yo laa... mama sebenarnya prefer online jer. Tapi kalau dah lewat macam ni, maunya raya ke-7 baru baju raya korang sampai" saya menjeling abahnya. Hihihi

Balik rumah, semua pengsan dulu. Malam, baru memperaga dan basuh sebelum dipakai di hari raya nanti.

Kedua, balik kampung pada 29 Ramadan. Seronoklah dengar lagu-lagu raya semasa dalam perjalanan pulang. Jarang benar kami balik sebelum raya. Selalunya, balik malam raya... macam tahun lepas, raya terkejut... balik pada hari raya pertama. Sampai kampung, dah malam. Dah masuk Syawal ke-2. Sedih.

Lagi 5 jam nak sampai kampung, mak telefon bagitau 2 orang anak buah saya kemalangan jalan raya. Sorang maut. Ya, Allah... waktu tu lemah dan hilang keseronokan nak balik kampung. Suasana rasa sepi seketika. Ya, sepupu anak-anak saya. Umurnya baru 18 tahun. Baru habis belajar. Sedihnya....

Waktu berbuka, kami masih belum sampai. Singgah di restoran baru berbuka dan solat jamak sekali. Saya makan pun tak lalu. Order murtabak, tiada rasa langsung. Kami terus menuju ke hospital daerah dimana jenazah diuruskan. Nampak kakak baru lepas pulang dari surau. Kami menunggu di Jabatan Forensik dari proses post-mortem sehingga urusan memandikan jenazah selesai.

Urusan pengebumian pada pagi Jumaat selesai semuanya pada pukul 4 pagi. Barulah saya sekeluarga pulang ke rumah mak. Lagi sejam 2 jam dah nak masuk subuh. Lelap sejam dalam kereta, pukul 5 lebih.. baru saya masuk ke rumah untuk sahur. Letih bukan kepalang ditambah tak cukup tidur sejak packing pakaian nak balik kampung selepas Subuh semalam. Inilah akibatnya, kalau buat kerja disaat akhir. Rehat pun tak cukup.

Syukur juga raya hari Sabtu. Kalau jatuh hari Jumaat... agak-agaknya, pagi raya kami masih berdengkur.

Ketiga, kami dapat tol percuma pergi dan balik bernilai hampir RM80! Waktu balik tu, saya ingat tak dapat sebab masuk lebuhraya pada 23hb. Rupanya percuma bila sampai di tol duta pada 24hb! Kami sampai di laluan tol pada pukul 12.02 tengah malam. Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah dan selamat juga poket.

Oh ya, raya kali ni... dapat berkumpul 5 daripada 7 orang adik beradik. Abang dah meninggal 2013 lalu, manakala lagi sorang tu, tak muncul tiba walaupun rumahnya di sebelah. Meriah walaupun kami saja. Itu belum campur 4 orang kakak yang berlainan mak. Lagi lah meriah! Anak, cucu.. cicit ayah... memang tak muat rumah. Petang pula, beraya ke rumah-rumah mak dan bapa saudara. Lengkap!

Walaupun masing-masing masih terkejut dan sedih, tetapi semua redha. Ada hikmahnya. Anak buah yang sorang lagi hanya cedera ringan dan masih fobia untuk keluar beraya. Moga dia kuat semangat hendaknya untuk meneruskan kehidupan. Ayah saya, raya pertama baru nampak air matanya. Sedih, kehilangan cucu yang selalu ada.

Saya dan suami, pakai baju yang masih elok. Anak-anak sahaja yang berbaju baharu. Kemain seronok depa. Begitulah saya pun, masa kecik... mak ayah bertungkus lumus dapatkan kami baju raya baharu setiap tahun, siap kasut raya. Malam tak boleh tidur sebab tak sabar nak pakai esoknya. Nak beraya dengan kawan-kawan keliling kampung. Ah, mengimbau kenangan betul.

Moga, diberi kesempatan oleh Allah... tahun depan dapat berpuasa di bulan Ramadan dan dapat lagi berhari raya bersama sanak saudara. Insha-Allah.

Semak di sebelah bendang... Umur semakin kurang hari demi hari...

Sharhanah