🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Health. Show all posts
Showing posts with label Health. Show all posts

Ambil Peduli Cuaca Panas - Langkah Melindungi Diri Daripada Kesan Cuaca Panas

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Cuaca panas sekarang memang lain macam lebih-lebih lagi di negeri sebelah utara. Ramai saudara mara saya yang mengeluh, malas nak keluar beraya disebabkan panas. Saya di lembah klang masih ok lagi.

Mana taknya, baru keluar rumah sekejap pun dah rasa letih dan berpeluh. Jadi, eloklah kita kurangkan aktiviti luar yang terdedah terus kepada matahari. Kalau tak ada urusan penting, duduk saja dalam rumah. Pasang kipas atau penyaman udara supaya suasana lebih sejuk dan selesa.

Warna oren tu dah TAHAP 2 (GELOMBANG HABA) 

Bab makan pun kena jaga juga. Elakkan makanan yang terlalu pedas macam cili dan lada sebab boleh buat badan rasa lagi panas. Minuman manis, berkafein atau berkarbonat pun sebaiknya kurangkan. Lebih baik minum air kosong secukupnya  supaya badan kekal segar. Kalau boleh, pilih minuman sejuk berbanding air panas, memang lebih lega.

Pakaian pun memainkan peranan. Jangan pakai yang ketat atau warna gelap macam hitam sebab mudah serap haba. Pilih pakaian longgar dan warna cerah. Kalau kena keluar juga, pakai topi atau guna payung. Sapu krim pelindung matahari supaya kulit tak rosak akibat cahaya matahari.

Kalau kita tak jaga diri, macam-macam masalah boleh jadi. Antaranya ruam panas yang buat kulit pedih dan merah. Ada juga kekejangan haba, bila otot tiba-tiba kejang sebab badan terlalu panas. Selain itu, keletihan haba boleh berlaku bila terlalu lama terdedah pada cuaca panas. Yang paling bahaya ialah strok haba, bila suhu badan naik lebih 40 darjah Celsius dan boleh bawa maut kalau lambat dirawat.

Pendek kata, cuaca panas ni bukan benda kecil. Kena pandai jaga diri, minum air cukup, dan elakkan perkara yang boleh memudaratkan. Simple je, tapi sangat penting.

Sharhanah

Manfaat Mineral Magnesium Untuk Tidur & Anxiety

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika kita mahukan manfaat tidur yang berkualiti dan nyenyak, berikut adalah beberapa sebab mengapa kita perlu memastikan  mendapatkan cukup Magnesium setiap hari.

Tidur Lebih Nyenyak 

Magnesium membantu menggalakkan relaksasi dan mengawal melatonin, hormon tidur semulajadi badan kita.

Kurangkan Kebimbangan

Dengan mengurangkan tahap kortisol, hormon stres, magnesium membantu menenangkan sistem saraf kita dan mengurangkan gejala kebimbangan.

Kekejangan Otot?

Tidak Lagi! Kekurangan magnesium boleh menyebabkan kekejangan otot yang menyakitkan.

Meningkatkan Mood

Magnesium memainkan peranan penting dalam pengeluaran serotonin, neurotransmitter yang mengawal mood kita. 

Sumber Magnesium boleh didapati dalam kekacang, bijirin dan sayur berdauh hijau. Amalkan pemakanan bahan bahan ini untuk manfaat kualiti tidur lebih baik

Sumber: PHM

.


Orang yang lahir antara 80-an dan 90-an adalah generasi yang paling unik

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rindu gila dekat phone tiga tiga sekupang

Orang yang lahir antara 80-an dan 90-an adalah generasi yang paling unik. Nak tahu? Teruskan membaca.

1. Mereka berada di antara dua generasi: satu sebelum internet dan teknologi mengambil alih sepenuhnya. 

2. Mereka adalah generasi yang terdedah dengan pelbagai jenis tradisi dan memilih tradisi mana yang lebih relevan. Generasi sebelum ini tidak berani bertanya. Generasi selepas ini mungkin hanya kenal tradisi di muzium. 

3. Generasi ini merasa kena roti panjang oleh guru dan menerima hanger dari bapa. Generasi baru menyerang guru kerana menggunting rambut anaknya. 

4. Generasi 80-an melihat semuanya: Radio, TV, Mario, Nokia, Nintendo 64, Samsung, iPhone, PS4, video tape , CD, DVD, BlueRay sebelum beralih ke Netflix, Snapchat, Emoji, dan Realiti Maya..

5. Generasi ini merasai membawa duit belanja ke sekolah dengan 50 sen dan boleh membeli nasi lemak dan kuih dengan jumlah itu dan merasai RM50 penuh satu troli. 

6. Mereka melihat bagaimana menu makanan berubah menjadi semakin ekstrim dari saiz menu setalam, cheese leleh dan menerima kesan langsung darinya dari BMI normal ke BMI obese. 

Generasi lahir 80-an dan 90-an adalah jambatan antara zaman industri dan zaman internet. Mereka adalah saksi hidup yang melihat betapa jauh berbeza kehidupan dalam tempoh 30-40 tahun ini.

Sumber: PHM

Menangislah... kerana ia meredakan kesedihan. Ia adalah normal!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Menangis ialah respon semula jadi manusia apabila berhadapan dengan emosi — sama ada sedih, gembira, marah atau takut. Ia bukan tanda kelemahan, tetapi bahasa hati yang cuba melepaskan apa yang terpendam.

Bukan mudah untuk menangis di hadapan orang lain. Namun apabila ia berlaku, tangisan itu sering menjadi tanda kepercayaan. Ia membuka ruang untuk difahami, dan dalam diam, mampu mengeratkan hubungan sesama manusia.

Menangis juga merupakan cara yang sihat untuk melepaskan emosi yang terkumpul, membantu seseorang memahami perasaannya dengan lebih jujur dan mengaturnya dengan lebih baik.

Dan menariknya, selepas tangisan, sering hadir satu rasa lega. Tubuh merangsang pengeluaran endorfin, hormon yang membantu meningkatkan mood. Sebab itu, kadang-kadang selepas menangis, kita mampu tersenyum semula — bukan kerana masalah hilang, tetapi kerana hati sudah sedikit ringan.

Menangis tidak menjadikan kita lemah.

Kadang-kadang, ia cuma cara jiwa meminta untuk didengari.

Adakah kebahagian kita semakin berkurang seiring bertambahnya usia?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Semasa kanak-kanak, kegembiraan kita datang dari perkara-perkara mudah seperti hari yang cerah untuk bermain, dapat Tora dan Dindang, pelukan penuh kasih sayang. Senyuman lebar, mata bercahaya dan penuh gelak ketawa. 

Namun, apabila kita semakin dewasa, kebahagiaan menjadi lebih sukar dicapai. Kita mengejar impian yang lebih besar, hanya untuk menyedari ia tidak memberikan kepuasan yang kita harapkan. 

Kita mengejar dan mengumpul lebih banyak harta, tetapi ia tidak membawa kegembiraan yang pernah kita rasakan daripada perkara-perkara mudah seperti sebelum ini. 

Apabila kita sudah dewasa, kita menjadi lebih berhati-hati, lebih sinis, lebih kritikal. Senyuman kita pudar, jarang ketawa. Kita mula merasakan kebahagiaan adalah satu kemewahan yang tidak lagi mampu kita capai.

Bagaimana jika kita mengejar perkara yang salah? Bagaimana jika kebahagiaan bukan sesuatu yang kita cari, tetapi sesuatu yang kita cipta?

Mari kita temui semula kegembiraan dalam perkara-perkara kecil. 

Mari kita hargai keindahan dalam kesederhanaan. 

Mari kita temui kebahagiaan untuk saat ini, bukan dari zaman lampau atau dari masa depan yang jauh... Kerana kebahagiaan bukan destinasi, tetapi perjalanan itu sendiri adalah KEBAHAGIAAN...

Sumber: PHM

Sumber: FB


Memaafkan Sebelum Tidur Untuk Ketenangan Hati

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya ajar anak-anak sebelum tidur, mereka perlu salam untuk meminta maaf. Dah jadi rutin harian. Sangat betul, memaafkan hati lebih tenang, walhal... siang tadi mak dah jadi singa!

Memaafkan bukanlah tanda kelemahan, tetapi tanda kekuatan. Dengan memaafkan, kita membebaskan diri dari beban emosi dan memberi ruang untuk ketenangan dan kedamaian.

Setiap malam sebelum tidur, ambil masa sejenak untuk memaafkan orang yang mungkin telah menyakiti hati kita hari ini. 

Dengan memaafkan, kita membebaskan diri dari beban emosi dan memberi ruang untuk ketenangan dan kedamaian. Jangan lupa untuk maafkan diri sendiri juga jika ada kesilapan yang dilakukan.

Tidur dengan hati yang tenang juga adalah kunci kepada tidur yang lebih nyenyak dan bangun dengan semangat yang baru untuk menghadapi hari esok!

Saya maafkan awak sebelum saya terlelap.

Sharhanah




Hargai Setiap Saat!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hidup ini terlalu singkat untuk tidak menghargai setiap detik kecil yang membawa kebahagiaan. 

Nikmatlah perkara-perkara kecil dalam hidup,.... kerana suatu hari nanti kita mungkin akan menoleh ke belakang dan menyedari bahawa perkara-perkara tersebut sebenarnya adalah perkara yang besar.

Mari kita hargai setiap senyuman, setiap detik bersama keluarga, dan setiap momen indah yang kita lalui.

Sumber: PHM

Cipta kenangan bersama dengan keluarga kecil kami💙🩵

Downgrade Kehidupan - Jangan Malu Lah!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Downgrade taraf kehidupan bukan bermaksud kita gagal, lemah atau telah tewas… ia bukti kita sudah semakin matang dan tahu membuat keputusan dan mengetahui keutamaan dalam kehidupan.

Menurunkan taraf hidup memang susah, terutama bila kita sudah terbiasa dengan zon selesa. 

Contohnya, individu A telah membeli kereta jenama C untuk keselesaan diri dan demi untuk mendapatkan perhatian keluarga. Kemudian beliau sedar, bayaran bulanan kereta itu sangat membebankan perbelanjaan bulanan

Beliau pun buat keputusan untuk jual kereta tersebut dan membeli kereta jenama tempatan yang ada spek hampir sama. Dengan downgrade kenderaan beliau telah berjimat lebih RM1500 setiap bulan!

Jangan malu untuk ‘downgrade’ kehidupan. Ini beberapa manfaatnya:

Kurang Beban Kewangan: Lebih banyak wang untuk disimpan dan dilaburkan.

Kesihatan Mental Lebih Baik: Kurang tekanan dan kebimbangan.

Fleksibiliti: Lebih mudah menyesuaikan diri dengan perubahan.

Kualiti Hidup: Fokus pada perkara yang benar-benar penting.

Fokus Pendidikan: Lebih banyak sumber untuk belajar dan meningkatkan kemahiran.

Hubungan Keluarga Erat: Masa dan perhatian lebih untuk keluarga bukan untuk membayar hutang!

Bersedia untuk Masa Depan: Simpanan lebih baik, siap hadapi cabaran.

Jangan takut untuk ubah cara hidup demi kebahagiaan jangka panjang!

Sumber: PHM



Bahagia Tanpa Tekanan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dari bangku sekolah hingga ke alam pekerjaan, kita sering kali terperangkap dalam kitaran tekanan dan harapan yang tidak pernah berakhir. 

Harapan untuk mendapatkan gred yang baik, gaji yang memuaskan, dan akhirnya memastikan masa depan keluarga.

Jangan siksa diri sendiri. Ketahui had anda dan buatlah pilihan untuk bahagia. Hidup ini bukan sekadar mengejar kesempurnaan, tetapi juga menikmati perjalanan. 💖

Jangan biarkan tekanan menghancurkan kebahagiaan anda. Pilih untuk bahagia hari ini dan setiap hari.

Sumber: PHM




Jadilah Orang Yang Bersikap Tenang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pernah tengok tak seseorang yang suka meninggikan suara dan menjerit bila marah? Kita pula jadi takut.

Orang yang lebih matang dan bijak biasanya memilih untuk berdiam diri. Mereka memahami bahawa berdebat dengan orang yang marah tidak akan membawa hasil yang baik.

Sikap tenang dan diam menunjukkan kekuatan mental dan kematangan emosi.

Latih Diri untuk Tenang

Apabila berdepan dengan provokasi, tarik nafas dalam-dalam dan berfikir sebelum bertindak.

Fokus pada Penyelesaian

Alihkan perhatian kepada penyelesaian masalah daripada bertengkar.

Berdiam Diri Bila Perlu

Kadang-kadang, berdiam diri adalah respon terbaik.

Sumber: PHM

Diam itu bukan sekadar diam. Diam itu ada makna dan tujuan ;)


Ramai Simpati Tapi Kurang Empati?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rasa kasihan itu adalah simpati.  Rasa empati pula apabila rasa itu disusuli dengan keinginan membantu dan menyelesaikan masalah yang dihadapi orang berkenaan.

Perasaan simpati dan empati itulah adalah asas kepada perkembangan moral dan akhlak individu. Tanpa simpati dan empati, kita akan berbuat sesuka hati.

Eh, apa tu empati?

Empati adalah kemampuan untuk memahami apa yang dirasakan orang lain, melihat sesuatu dari sudut pandang orang lain, dan juga membayangkan diri sendiri berada di posisi orang tersebut.

Tips untuk Menimbulkan Rasa Empati

  • Bergaul dengan orang yang memiliki latar-belakang berbeza
  • Perhatikanlah bahasa tubuh, misalnya mimik muka, saat berkomunikasi dengan orang lain.
  • Berusahalah untuk mendengarkan cerita orang lain sebaik mungkin tanpa mencelah atau memberi pendapat.
  • Mendengar tanpa menghukum
  • Meletakkan diri kita dalam situasi pengadu
  • Berkata seperti... 

"Terima kasih sebab share dengan aku.."

"Aku ada je kat sini kalau apa apa hal".

"Anything roger"

Sifat empati ini harus dipupuk dalam diri sejak zaman kanak-kanak

Sumber: PHM

Part 2: Pengalaman Ambil Keputusan Ujian Darah - Program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan Atau National Health Screening Initiative (NHSI)

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Yang tertera di aplikasi MySejahtera


Alhamdulillah, 24 Jun yang lalu, keputusan ujian darah dah keluar. Meh baca sampai habis.

Janji temu saya sebelah pagi. Tapi tak dapat hadir atas urusan yang sangat memenatkan di hospital bersama anak lelaki saya. Maka, saya ke Klinik Kesihatan di sebelah petang. Ramai juga umat manusia. Ingatkan sebelah petang tak sama macam sebelah pagi. Rupanya, jangkaan saya salah sama sekali. 

Sampai kaunter, macam biasalah... hulur MyKad dan kad kuning (kad temujanji) untuk dapatkan slip nombor panggilan. Lepas tu duduk dulu sementara nombor naik. 

Nombor panggilan saya naik dan perlu ke kaunter 1 untuk bayaran RM1. Lepas tu diberitahu perlu tunggu di kaunter 3 paling hujung. Tunggu dekat sini lama juga, rupanya kaunter 2 (depan pintu masuk) yang panggil nama saya. Jururawat di kaunter 2 panggil pula nama tak penuh.

"Sharifahhh", panggil jururawat menggunakan microphone.

Sharifah je...Sharifah apa??? terlepas lah pula 1 giliran. Saya terus ke kaunter 2 dan mention nama saya. Jururawat kata akan panggil sebentar lagi selepas memeriksa tekanan darah pesakit lain dulu.

Selesai, baru nama saya dipanggil. Kaunter 3, ada je jururawat panggil nama...tapi dia sebut penuh. 

"Sharifah Salwaaaaa, sila ke kaunter 3".

Sah la itu bukan saya. Nampak seorang kakak berjalan menuju ke kaunter 3. Kakak sulung saya namanya Sharifah Salwa juga. Tetiba rindu dia pula. Heeee.

Kedengaran jururawat kaunter 2 panggil nama saya. Segera saya bangun berjalan ke arah kaunter tersebut.

Bacaan tekanan darah saya diambil. Alhamdulillah, bacaan normal. Lepas tu saya diberi kad laporan kesihatan untuk dimasukkan ke dalam bakul pintu nombor 6. Perlu tunggu lagi.

Lama juga menunggu di sini. Lepas tu baru nombor panggilan saya naik. Saya memulas tombol pintu dan melangkah masuk sambil memberi salam. Ada 2 doktor di dalam. Sorang lagi dah ada pesakit. Saya duduk di kerusi yang kosong. Ada doktor perempuan di situ menjawab salam.

Doktor meletakkan keputusan ujian darah saya di atas meja. Dengan menggunakan pen, doktor membuat ulasan. Keputusan  ujian fungsi hati, buah pinggang, kolestrol dan glukos saya adalah baik. Paling doktor suka adalah bacaan HDL saya. Ia adalah kolestrol baik. Lagi tinggi nilainya, lagi bagus sebab ia sangat membantu membuang LDL/kolestrol jahat di dalam darah. Mungkin saya suka sangat dengan buah avocado, ikan salmon, buah-buahan yang kaya serat tinggi, oat dan kekacang.

Untuk bacaan glukos dalam darah ketika puasa ialah 4.4 mmol/L. Manakala bacaan hemoglobin pula ialah 12.5 g/dL. Doktor menyarankan untuk saya meneruskan menjaga pemakanan dan kekal aktif.

Disebabkan tiada salinan, doktor minta saya snap ujian darah saya tu dan cadangkan pada saya untuk buat ujian darah setiap tahun. Ingatkan keputusan ujian darah akan masuk dalam aplikasi mySejahtera, rupanya tidak. Hanya ada keputusan tekanan darah dan ujian glukos dalam darah masa mula-mula buat je yang ada dimuatnaik dalam aplikasi tersebut.

Kalau macam tu, saya teruskan je aktiviti harian seperti biasa. Makan nasi sekali sehari, tidur selepas Isyak dan aktif mengemas rumah (menyapu, mengemop rumah) dan melompat di atas trampolin (kadang tak sempat nak buat, tau-tau dah lewat petang). 

Banyak orang tanya, macam mana saya tak gemuk selepas kawin? Saya jawab la, saya jenis tak makan banyak. Cuma, saya ni ada masalah gastrik. Huhuhu.

Doktor ada suruh saya ambil tarikh temu janji untuk pap smear. Saya jawab, nanti-nantilah. Hahaha. Walhal, boleh je ambil tarikh dulu.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada doktor, saya pun keluar sambil tengok jam di telefon. Kaki laju terus melangkah menuju ke ruang parkir. Mak aiiii, 2 jam lebih saya di sini😅. Banyak la keje sedang menunggu.

Kalau banyak duit, boleh je buat di klinik swasta. Cepat dan pantas!

Inilah pengalaman...

Baca Part 1 di sini.

Sharhanah

5 Punca Memori Anak Lemah!

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kalau tak nak memori anak lemah, tolong ambil serius pada 5 perkara di bawah ini;

Main games.

Tak salah main game, tapi tak boleh secara berlebihan dan ibu bapa perlu memastikan anak bermain video games yang bersesuaian dengan tahap umur. Setiap masa nak main game. Sebab game ni kan, punca distraction nombor 1. Nak belajar pun tak tenang sebab asyik fikir games je. Tapi, kelebihan main games ni kan, dapat meningkatkan mood positif! 

Tidur.

Pastikan tidur on time setiap hari. Tak boleh tidur lambat sangat. Sekiranya lambat tidur, kualiti tidur akan terganggu. Perkembangan otak banyak berlaku ketika tidur.

Jarang buat aktiviti outdoor.

Jarang berlari, melompat, jalan-jalan tengok alam dan sebagainya. Yang ini tak boleh tinggalkan sebab kena buat selalu. Asyik terperuk dalam rumah je. Kita punya kecerdasan dan kecergasan otak itu tidak berkembang dengan baik.

Asyik dengan media sosial.

Terlampau asyik dengan media sosial. Anak-anak yang masih bersekolah atau bawah 18 tahun, janganlah bagi main media sosial. Sebab apa? Media sosial ni punca stress, punca dopamine. So, benda tu semua tak elok.

Layan TV berlebihan.

Individu yang selalu menonton TV tidak bergerak dan sangat berisiko untuk mendapat sakit jantung. Ia juga boleh menyebabkan masalah rabun.

Bawa anak bongsu saya jalan-jalan masuk hutan.

Sharhanah

Berikan Secebis Kebebasan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ramai suami yang dahulunya sihat dan aktif sebelum kahwin, menjadi boroi dan gemuk. Ini kerana aktiviti yang digemari sebelum ini seperi bersukan, memancing dan aktiviti luar tidak dapat diteruskan kerana komitmen penuh kepada keluarga.

Ada yang bagai telah dirantai kaki sehingga segala geri dikawal. Ada yang takut untuk membeli barang untuk self reward sehingga nak beli barang untuk diri sendiri perlu disorok hantar ke pejabat.

Berbeza dengan wanita, lelaki sikapnya memang tidak suka bercakap. Seronok pun diam, sedih pun diam. Banyak yang dipendam menyebabkan risiko masalah mental berganda.

Mereka hanya boleh menjadi “diri sendiri” apabila bersama dengan rakan. Oleh itu sekali sekala benarkan mereka untuk keluar bersosial tanpa ditemani isteri dan keluarga.

Beri suami “me time” untuk melakukan aktiviti yang digemari, galakkan suami untuk aktif semula di padang dan beri mereka secebis kebebasan seperti zaman bujang.

Sekali sekala benarkan mereka hadiahkan sesuatu untuk diri sebagai reward. Walaupun tubuh besar , didalamnya masih anak kecil yang ada banyak impian dan barang barang yang ingin dibeli.

Sumber: Public Health Malaysia

Sharhanah

Part 1: Pengalaman Mengikuti Program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan Atau National Health Screening Initiative (NHSI)

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya ambil peluang untuk periksa tahap kesihatan saya ketika kerap bawa mak ke Klinik Kesihatan awal April yang lalu. Dah alang-alang, saya pun mendaftarlah diri dalam aplikasi MySejahtera (walhal dah uninstall lama dah... dah kena install balik. Ekekeke). Saya pilih tarikh ikut tarikh temujanji mak dengan doktor iaitu pada 29 April. Senang, datang sekali.

Pada hari kejadian, jadi kelam kabut sebab 2 nama kan. Kejap nombor giliran mak naik, dah kena bawa mak untuk check tekanan darah dan glukos di Kaunter 3. Tengah tunggu mak, nama saya pula dipanggil untuk pendaftaran. Ya, kena bayar RM1. Berlari anak saya mendapatkan mak disebabkan mak masih di kaunter 3. Masa mak berjumpa doc dan saya pula keluar untuk dapat keputusan ujian darah mak di kaunter hadapan. Waktu tu juga lah nombor giliran saya naik. Saya ke kaunter 2 untuk check tekanan darah dan glukos.

Bacaan tekanan darah saya menunjukkan 129/67mmHg. Walaupun masih dalam range normal, tapi penat kot marathon ke sana ke sini. Patutnya berehat dulu kan, baru ambil bacaan. (Keputusaan bacaan ini akan dimasukkan ke dalam aplikasi MySejahtera).

Saya masuk semula dalam bilik doktor selepas dapat ujian darah mak. Menunggu pula di farmasi untuk ubat mak. Lepas tu jururawat beri saya borang Saringan Risiko NCD untuk diisi.

Lepas tu, saya kembalikan borang tersebut. Tak lama lepas tu, nama saya dipanggil untuk temujanji ambil darah pada 23/5. Saya diberi kad temujanji dan 1 borang seperti di bawah. Nanti nak ambil darah, perlu bawa bersama.

Borang tu kecik je. Nak kena simpan elok-elok sebab lambat lagi nak ambil darah

Dapat kad temujanji tu, saya pun dah boleh balik. See you on 23/5!

23 Mei
7:30 pagi

Hari untuk ambil darah pun tiba. Saya puasa sejak 10 malam. Punyalah bersemangat sebab dah lama ooo tak ambil darah. Last masa mengandungkan anak bongsu 9 tahun yang lalu. 

Saya memandu sendirian ke KK. Al-maklumlah suami kerja pagi. Kalau dia keje petang, bolehlah meneman. Syukur ruang parking masih available walaupun dah hujung-hujung. Lepas keluar daripada kereta, berjalan kaki ke bangunan utama, dah nampak ramai orang sedang beratur. Haaa, sudah.

Ingatkan saya paling awal, rupanya tidak!

Nombor giliran saya
Tepat pukul 8 pagi barulah pintu dibuka. Pertama sekali, perlu ke kaunter pendaftaran untuk serahkan MyKad dan borang ambil darah. Kakitangan klinik akan beri nombor giliran. Lepas tu, duduk lah dulu. Waktu tu tercari-carilah juga tempat duduk kosong. Syukur masih ada. 

Sempatlah saya buat keje melayan pertanyaan pelanggan thru WhatsApp Business. Nama saya dipanggil di muka pintu bilik yang paling kanan. Tersentak dibuatnya sebab dalam kepala duk fikir mesti la lambat lagi. Nombor 21 kan.... Tetiba kurang setengah jam weh. Laju juga. Sebab selalu dah tau, kalau klinik kerajaan memang akan ambil masa menunggu. Sabar kena setinggi awan.

Segera saya bangun menuju ke bilik untuk ambil darah. Masuk je, ada 3 tempat. Ntah nak duduk mana. Sekali ada staf yang panggil saya duduk betul-betul di tepi pintu masuk. Alahai, semua staf lelaki rupanya. Saya diberi MyKad dan saya segera simpan dalam beg risau tercicir atau terlupa. Dekat sini, kemain ceria. Pasang lagu. Takde la suasana macam bilik mayat.

Staf baca bismillah semasa memasukkan jarum ke lengan saya. Darah keluar laju je memenuhi 1 tiub sambil dia menyanyi lagu Ukays. Hilang nervous makcik! Selesai sahaja, staf cakap saya dah boleh balik ke rumah. Saya terus bangun sambil mengucapkan terima kasih.

Saya sediakan kad bank siap-siap ingatkan kena bayar. Rupanya tidak! Balik macam tu je. Sebulan lagi, saya ada lagi 1 temujanji untuk berjumpa dengan doktor. Waktu tu la doktor akan buat ulasan tahap kesihatan saya. Biasalah nak menunggu keputusan darah tu sehingga bulan Jun... benda pun RM1 je. Tak kisah la sangat. Kita santai-santai je.

So, tungguuuuu...Nanti saya update.
Sharhanah

Minyak Masak- Berapa Kali Boleh Ulang Guna?

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Berapa kali boleh ulang guna minyak masak? Ada yang ulang 10 kali, ada yang kata 3 kali je, ada yang kata... lepas guna sekali terus buang. Yang mana betul?

Setiap kali minyak masak dipanaskan dan digunakan dalam masakan, ia akan melaui proses pengoksidaan, polimerisasi dan hydrolisis. Ketiga-tiga proses ini akan menyebabkan bertambahnya jumlah asid bebas lemak di dalam minyak tersebut. 

Penentuan Pembuangan Minyak Masak

Minyak masak yang digunakan berulang-kali perlu dibuang dan digantikan jika;

  • Bau tengik
  • Likat atau pekat
  • Warna minyak bertukar perang pekat
  • Warna makanan terlalu perang atau tidak menarik
  • Rasa makanan tidak sedap
  • Asap dihasilkan terlalu banyak

Warna Minyak

  • Kuning emas atau gangsa - masih boleh diguna pakai
  • Perang pekat atau hitam - perlu ditukar dan ditapis

Minyak masak yang sudah mengalami perubahan sifat seperti di atas, sebenarnya dah ada banyak radikal bebas yang boleh merosakkan sel serta molekul di dalam tubuh kita. Sekaligus menyebabkan banyak masalah kesihatan seperti masalah jantung, kanser dan lain-lain lagi.

Sebab itulah kita disarankan agar tidak mengulang-ulang menggunakan minyak masak yang sama lebih daripada 3 kali. Korang ulang minyak masak berapa kali???

Untuk guna minyak masak lebih lama dan panjangkan jangka hayatnya, gunakanlah cara penggorengan yang lebih sesuai.

Yang pertama, elakkan menggunakan salutan yang mengandungi tepung atau pun rempah. Sebelum nak simpan balik minyak yang telah digunakan tu, biarkan minyak untuk sejuk dulu. Kemudian baru tapis dan simpan di tempat yang jauh daripada sinaran matahari. Elakkan mencampur minyak masak yang dah lama dengan yang baharu sebab nanti kualiti kesemua minyak menurun.

Jadinya gunakan kaedah-kaedah yang lebih sesuai untuk simpan minyak masak kita tu. Kalau dah tiba masa kena buang, buanglah juga ye. Tapi ingat, jangan buang dalam longkang ataupun sinki. Ia akan menyebabkan masalah tersumbat sistem pengaliran.

Jadi, untuk buang minyak masak yang dah kita tak nak tu, perlu sejukkan dulu ya. Kumpul dalam bekas tertutup dan yang ketiga, buang dalam tong sampah ataupun dekat pusat pengutipan minyak masak terpakai.

Hari tu dapat emel. Ada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen Petronas berdekatan dengan rumah. Disebabkan suami nak pergi keje, nak beratur ramai pula orang, dia bagi saja pada salah sorang yang beratur tu. Lagipun 1 balang je.

So lepas ni, kumpul, jual dan dapatkan wang tunai. Cuma balang nak cari mana ntah. Sementara ni, pakai balang biskut raya je la. Ekekeke

Sharhanah

Menangis Dapat Menenangkan Dan Mudah Tidur

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan ditahan air mata itu...

Menangis adalah respon biasa seseorang manusia apabila berhadapan dengan situasi beremosi apabila sedih, gembira, marah dan ketakutan.

Selepas menangis, kesedihan dan kedukaan yang dialami dapat diredakan. Tangisan akan merangsang daya "parasympathetic" yang membantu seseorang individu untuk bertenang dan mudah tidur.

Namun sekiranya ia berlaku terlalu kerap, air mata tidak lagi dapat membantu anda. Dapatkan rujukan doktor untuk rawatan lanjut.

Mudah mengeluarkan air mata,

Sharhanah

Pilih Untuk KETENANGAN Dalam Kehidupan

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Mengadap Laut China Selatan

Memilih Ketenangan mendahului segalanya dinamakan kematangan dalam emosi. Kita diam bukan bermakna kita tewas atau kalah. Kita tidak membalas kejahatan bukan bermakna kita lemah.

Pilih untuk ketenangan jiwa kerana bila kita asyik marah jer, berdendam, bermusuhan dan bertikam lidah hanyalah sia-sia & menghabiskan tenaga kita.

Pilih tenang dalam kehidupan seperti berikut;

  • Elakkan pertengkaran dan pergaduhan
  • Tidak perlu membalas kejahatan & berdendam
  • Usah bazir tenaga dengan memarahi orang lain
  • Tidak perlu komen & ulas jika tidak perlu
  • Tidak perlu bertindak balas atas semua perkara
  • Tidak perlu melayan drama
  • Tidak perlu menang untuk semua perkara
Hidup lebih tenang!
Sharhanah

Probiotik, Bakteria Baik Untuk Penghadaman Yang Baik

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Probiotik adalah bakteria yang baik yang menghuni usus kita. Probiotik memainkan pelbagai peranan dalam badan kita seperti membantu menghadam makanan yang tidak dapat diurai secara cekap, meningkatkan metabolisme badan dengan mengekstrak lebih banyak tenaga daripada nutrien makanan, menghasilkan vitamin B, menyingkirkan toksin, dan membantu mengekalkan kesihatan usus kita.

Makanan kaya probiotik sebahagian daripada diet harian, termasuklah produk makanan tradisional kita yang ditapai seperti;

  • Tempe
  • Tapai Ubi Tempoyak
  • Acar Timun
  • Budu
  • Cencaluk
“Anda harus berterusan menambah bakteria baik dalam usus anda untuk mengekalkan mikrobiota usus yang seimbang.” - Profesor Madya Dr Raja Affendi Raja Ali adalah Pakar Perunding Perubatan dan Gastroenterologi.

Peminat makanan yang kaya dengan probiotik,
Sharhanah

Aik, Dah Busuk??? ketahui Kaedah Yang Betul Simpan Telur Ayam

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Haaa, pasai apa pulak? Sebenarnya, kulit telur ada struktur yang berpori-pori yang dinamakan Porous.

Sebab tu lah, Allah dah wujudkan satu lagi lapisan pertahanan yang dikenali sebagai kutikula (egg bloom). Fungsi lapisan kutikula ini adalah sebagai pertahanan kepada telur.

Ia akan menghalang udara ataupun bakteria daripada luar daripada persekitaran ni daripada menembusi kulit telur itu dan masuk ke dalam. Unik sungguh ciptaan Allah.

Kalau kita basuh ataupun cuci telur tersebut sebelum kita simpan, akan tertanggallah lapisan kutikula. Maka, tertanggallah juga pertahanan semulajadinya. Lebih cepatlah telur menjadi rosak.

Kadang, geli kot nak simpan telur ayam yang ada najis atau kotoran yang melekat pada kulit telur.

Ada 2 kaedah simpan telur yang telah dibeli;

Pertama, nak cuci dulu pun boleh, tapi.. lepas cuci perlu lap dan keringkan telur tersebut. Kemudian, simpan di dalam bekas yang bertutup dan terus letak di dalam peti sejuk di bawah 4 darjah celcius.

Ingat ya, dalam peti sejuk bukannya dekat pintu peti sejuk. Suhu dekat pintu peti sejuk ni tak stabil disebabkan kita kerap tutup buka dan suhu di dalamnya pun turun naik. Maka lebih cepat telur yang telah dicuci ini rosak.

Kalau simpan secara betul, telur boleh bertahan lebih lama sehingga 2 hingga 4 minggu!

Selepas pembelian kaedah penyimpanan kedua adalah tak payah simpan dalam peti sejuk. Jadi, tak boleh cuci. Simpan je telur di sarang asalnya ataupun carilah bekas yang bertutup dan simpan. Tapi, sebelum masak, masih kena cuci ya. Sebab kulit telur tu kan ada habuk, kotoran yang melekat pada kulit telur, bakteria pada tangan orang yang mengutip telur, maka cuci dan bilaslah. Selepas itu baru pecahkan ke dalam bekas atau kuali.

Perlu tutup untuk telur tahan lebih lama 

Tanda-tanda Telur Telah Rosak

  • Berbau busuk dan hanyir
  • Warna putih telur berubah
  • Kulit berlendir (tanda bakteria)
  • Telur terapung dalam air (telur lama)
  • Kulit retak (wajib buang)
  • Tarikh tamat tempoh
  • Kulit ada lapisan berdebu (tanda kulat)

*Jika rasa ragu-ragu jangan makan! Salmonella menyebabkan demam, muntah, cirit dan kematian.

Disebabkan peti sejuk saya bersaiz comel, saya guna kaedah kedua. Korang guna kaedah yang mana satu?

Sharhanah