🌿 Let's Be Friends

Tapak Perkhemahan Di Port Dickson

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pemandangan malam di H&n Campsite

Ada yang suka berkhemah? Atau yang suka sangat dengan pantai dan laut? Kalau suka, saya ada cadangan. Saya dah beberapa kali ke H&n Campsite yang terletak di Jalan Pantai, Batu 4, Port Dickson.

Tapak perkhemahan ni agak unik. Kiri, pemandangan pokok bakau. Kanan, pemandangan pantai dan depan, pemandangan laut. Kiranya, ia berada di kawasan tanjung. Macam kita berkhemah di tengah-tengah laut gitew.

H&n Campsite, dekat dengan Pantai Saujana.

Pertama kali saya pergi berkhemah 2H1M selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu tu tak ramai sangat. Senang nak cari tapak untuk dirikan khemah. Saya bawa sendiri khemah. Pacak betul-betul depan open sea. Angin bayu membawa diri ku... Sepintas lalu ku terkenang kan muuu...🎶 Eh!

Caj tapak yang dikenakan hanyalah RM30 (sekarang dah RM50/tapak). Ada kemudahan seperti sewaan khemah, kabin surau, beberapa buah tandas dan bilik mandi, parkir, kereta sorong (untuk bawa barang ke tapak), genset untuk lampu dan plug point juga disediakan.

Di sini bolehlah buat aktiviti seperti memancing, BBQ, berenang, membina istana pasir, menangkap ketam, mengumpul siput waktu air surut dan menyaksikan matahari terbenam.

Tak bawa bekalan makanan? Jangan susah hati... keluar sedikit ke jalan raya utama, banyak gerai makan sedang menunggu. Cuma buka dan tak buka je la. Berhampiran stesen minyak, ada pasar malam. Boleh lah nak tapau bawa balik ke khemah. Makan tepi laut bertemankan cahaya lampu.

Kadang, saya tidak bermalam disebabkan suami kerja esoknya. Hanya santai-santai dalam khemah dan melayan karenah anak-anak mandi laut. Pernah juga saya buat kerja sambil menikmati deruan ombak. Baca di sini. Bestkan.. tapi, kena pastikan bateri telefon penuh lah.

Cuma yang tak best, waktu puncak, waktu pengunjung ramai. Nak dapat tapak best, memang susah sikit. Baru-baru ni saya ke sana lagi, tepi laut semua dah penuh dengan khemah. Saya dapat pacak di bawah pokok. Kekurangan? Tak privacy sebab laluan pengujung, agak panas sebab terlindung daripada laluan angin dan agak jauh nak ke tebing. Itu yang malas nak melepak dalam khemah. Panasss...

Kalau duduk sebelah kiri, seram pula tengok pokok-pokok bakau. Di bahagian hadapan, kalau air surut... nampak pemandangan bongkah batu. Rasanya tanjung buatan kot (ditambak)... ya, sebelah kanan port paling best. View pantai, laut yang luas… dekat dengan tebing, boleh duduk sambil celup kaki bila air pasang. Tapi, port ni cepat habis...

Lagi satu bab tandas dan bilik mandi. Lagi-lagi dah nak masuk maghrib. Waktu tu la ramai yang nak guna.. waktu puncak, jenuh menunggu. Lepas penat menunggu, waktu giliran kita nak mandi, air pula habis. Hahaha... naya. Kalau subuh tu, kena bangun awal tau.

So far, tempat ni best je. Kalau anak-anak ajak ke pantai, memang ke sinilah kami. Tak bawa khemah, kami bentang tikar melepak di Pantai Saujana. Nampaklah H&N Campsite dari jauh. 

You happy, we happy.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan: Klik SINI

Cahaya matahari menembusi awan

Sedap dia tidooo..
Sharhanah

Adab Ketika Berziarah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Hak kewajipan Muslim kepada Muslim yang lain ada lima; menjawab salam, menziarahi orang sakit, menghantar jenazahnya, memenuhi undangannya, menjawab ketika bersin (jika mengucap "Alhamdulillah" maka jawablah dengan "Yarhamukallah")". - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Adab Ketika Berziarah

  • Waris dan sahabat bersedekah bagi pihak pesakit.
  • Lunaskan hutang sesama manusia dan hutang dengan Allah seperti hutang nazar, zakat dan fidyah mahupun kafarah yang belum sempat ditunaikan.
  • Saling bermaaf-maafan dan berlapang dada dengan pesakit serta mendoakan.
  • Elakkan bergambar sedangkan pesakit dalam keadaan mengaibkan.
  • Santuni pesakit-pesakit lain dan waris mereka.
  • Nyatakan penghargaan kepada kakitangan hospital yang banyak membantu.
  • Lakukan ziarah pada waktu sesuai dan janganlah terlalu lama.
  • Bawa hadiah yang boleh membantu dan menggembirakan pesakit.
  • Nyatakan harapan sembuh dan pahala besar di sisi Allah apabila sabar dan tabah juga berbaik sangka kepadaNya.
  • Niat lah ziarah ku ini lillah kerana kasih sayang dan ukhwah kerana-Nya.
  • Berdoalah di sisi pesakit

Sharhanah

Resipi: Nasi Ayam Sedap Dengan Bahan Mudah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Semalam buat nasi ayam kali ke-2 guna resipi mudah. Sebab apa saya kata mudah? Sebab tak banyak bahan🤭. Saya guna je apa yang ada di rumah (daging ayam, bawang putih, halia, minyak bijan, daun bawang, sos tiram, kicap, sos cili, daun pandan, timun dan cili).

Saya sejenis malas nak keluar membeli walaupun ada kedai depan rumah. Apa yang ada... Yang itulah saya guna. Sesuai sangat untuk orang yang WFH. Ya la, 2 kerja dalam 1 masa. Kejar masa untuk memasak sebelum anak balik sekolah.

Sebab suami dan anak-anak bagi rating beratus bintang, hahaha... saya konfiden nak share resipi dalam blog. Teruskan membaca.

Bahan dan cara (Sup):

  • Tulang/leher/kaki ayam
  • Daging ayam potong 8 (lumur dengan sedikit garam setengah jam)
  • Daun bawang (bahagian bawah)

Rebus semua bahan di atas dengan api yang perlahan. (Saya tak letak kiub ayam sebab takde... So far ok je, rasa original)

Bahan dan cara (Nasi):

  • 4 pot Nasi - basuh dan toskan.
  • Sedikit lemak ayam
  • 4 ulas bawang putih - ditumbuk halus
  • 1 inci halia - ditumbuk halus
  • 1 sudu mentega dan 2 sudu minyak bijan untuk menumis.

Panaskan mentega dan minyak bijan. Goreng lemak ayam sampai keperangan. Kemudian, masukkan bawang putih, halia dan daun pandan. Dah naik bau, saya curahkan ke dalam beras. Masukkan juga beberapa senduk air rebusan ayam (angaran 4 pot seperti sukatan beras) dan sedikit garam. Kacau sebati. Masukkan ayam (yang dipotong 8 dan direbus tadi) dan susun ke dalam periuk nasi. Masak seperti biasa.

Bahan dan cara (Sambal cili):

  • 2 ulas bawang putih
  • 1 inci halia
  • 2 cili hidup
  • 1 cili padi
  • 2 sudu sos cili

Tumbuk bawang putih, halia, cili hidup dan cili padi sehingga lumat. Masukkan sos cili. Keluarkan dan masukkan ke dalam mangkuk kecil. Campurkan 1 senduk sup ayam dan kacau sehingga sebati, hidangkan.

Bahan dan cara (Kicap):

  • 2 ulas bawang putih - ditumbuk halus
  • 1 sudu minyak bijan
  • Kicap
  • Sos tiram
  • Sedikit garam dan gula

Panaskan minyak bijan dan goreng bawang putih sehingga keperangan. Masukkan kicap, sos tiram dan 1 senduk air rebusan ayam. Kacau sebati dan hidangkan.

Bahan untuk hiasan:

  • 2 biji timun - dipotong serong
  • Daun bawang
  • Bawang goreng

Tadaaaaa... hasilnya seperti di bawah.


Hidangan sepinggan Nasi Ayam

Cubalah, pasti semua terpikat!

Sharhanah