🌿 Let's Be Friends

Showing posts with label Religion & Belief. Show all posts
Showing posts with label Religion & Belief. Show all posts

Peristiwa Nuzul al-Quran

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sumber: TheInspirasi

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada 17 Ramadan, iaitu ketika wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibril di Gua Hira, kira-kira 6 km dari Makkah. Ketika itu Nabi Muhammad SAW berusia 41 tahun. Wahyu pertama yang disampaikan ialah perintah “Iqra’” (bacalah). Al-Quran kemudian diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun sebagai petunjuk dan pedoman hidup bagi seluruh manusia. Ayat Surah Al-Quran, Al-Baqarah:185 menjelaskan bahawa Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan sebagai petunjuk yang jelas bagi manusia.

Semoga kita terus menghayati peristiwa yang bersejarah ini.

Salam Nuzul al-Quran.

Sharhanah

Disiplin Hidup Bermula Dari Satu Perkara Yang Kita Buat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Kita selalu cakap tentang disiplin — bangun awal, kerja tepat masa, konsisten buat tugas. Tapi tanpa sedar, setiap hari kita sudah ada sistem disiplin yang tersusun: waktu solat. Lima kali sehari, setiap hari.

Waktu solat membahagikan hari kita. Subuh mula hari, Zohor hentikan sibuk, Asar ingatkan tenaga menurun, Maghrib pisahkan siang dan malam, Isyak tutup hari. Ia jadi “checkpoint” yang susun hidup kita supaya lebih teratur.

Solat ajar kita buat walaupun tak ada mood. Masuk waktu, kita bangun dan tunaikan. Itulah disiplin — bukan ikut rasa, tapi ikut tanggungjawab.

Waktu tak pernah tunggu. Masuk, berjalan, tamat. Begitu juga hidup. Solat latih kita hargai masa dan jangan tangguh perkara penting.

Di tengah sibuk, kita berhenti. Ambil wuduk. Berdiri. Tenang. Berhenti bukan lemah — ia reset supaya kita tak hilang arah.

Akhirnya, setiap kali masuk waktu, kita pilih: teruskan urusan atau dahulukan yang utama. Bila kita utamakan solat, kita sedang latih diri memimpin hidup, bukan dipimpin oleh dunia.

Soalnya bukan sekadar “cukup tak solat hari ini?”
Tetapi, “adakah solat membentuk cara aku hidup setiap hari?”

Sharhanah

Bukan Sekadar Tahan Lapar: Puasa Sedang Membentuk Siapa Diri Kita

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setiap tahun kita puasa. Menahan lapar, dahaga, dan kawal diri sendiri dari terbit hingga terbenamnya matahari. Tapi percayalah, puasa bukan sekadar soal perut; ia latihan kekuatan jiwa.

1. Kita Tidak Selemah Yang Kita Sangka

Sebelum Subuh, kita fikir: “Macam mana nak tahan sampai Maghrib?” Tapi kita tetap survive. Puasa ajar kita: banyak had yang kita fikir wujud cuma mental block.

2. Tidak Semua Keinginan Perlu Ditunaikan

Makanan depan mata, air dekat sangat — tapi kita pilih tak ambil. Puasa ajar kita kawal nafsu dan fokus pada yang lebih penting. Orang yang berjaya dalam hidup selalunya bukan yang paling berbakat, tetapi yang paling mampu mengawal diri.



3. Sabar Itu Aktif, Bukan Pasif

Sabar bukan tunggu je. Sabar aktif — jaga lidah, kawal emosi, tahan marah. Hidup pun sama, kita tak boleh kawal semua benda, tapi kita boleh kawal respon kita.

4. Kita Lebih Bersyukur Bila Pernah Kekurangan

Air kosong pun terasa nikmat bila berbuka. Kenapa?

Kerana kita merasai ketiadaan sebelum mendapatnya. Puasa mengajar nilai syukur melalui rasa kehilangan sementara.

Dalam hidup, kita selalu menghargai sesuatu selepas ia hilang. Puasa melatih kita menghargai sebelum kehilangan itu menjadi kekal.

Kesihatan.

Masa bersama keluarga.

Rezeki.

Ketenangan.

Semua itu lebih terasa nilainya ketika kita pernah “dikurangkan”.

5. Hidup Ini Bukan Tentang Diri Kita Sahaja

Apabila lapar, kita lebih mudah memahami orang yang hidup dalam kekurangan.

Puasa membina empati. Ia membuat kita lebih peka terhadap:

  • Orang miskin
  • Orang yang diuji
  • Orang yang bergelut secara diam-diam

Puasa bukan sekadar hubungan dengan Tuhan. Ia juga membentuk hubungan dengan manusia. Hati yang pernah merasa susah, lebih mudah menjadi lembut. Dan dunia hari ini lebih perlukan hati yang lembut, daripada suara yang keras.

6. Disiplin Rohani Membina Kekuatan Dalaman

Puasa ada waktu mula dan habisnya. Ada peraturan, ada batas, ada garis yang tak boleh dilanggar.

Disiplin ini sebenarnya latihan integriti. Kita buat yang betul walau tiada siapa tengok. Bayangkan, tiada siapa tahu kalau kita minum seteguk air secara sembunyi — tapi kita tetap tahan.

Kenapa? Sebab kita sedar Allah sedang melihat.

Orang yang hidup dengan kesedaran macam ni, tak perlukan pengawasan orang lain. Integriti bukan soal siapa nampak kita; integriti adalah siapa kita bila tiada siapa melihat.

Dan puasa… ia melatih jiwa kita untuk jadi begitu.

Soalan penting: Apa yang berubah dalam diri kita selepas sebulan berpuasa? Kalau kita lebih sabar, lebih bersyukur, lebih empati — puasa benar-benar mengajar sesuatu.

Lapar sementara. Tapi karakter yang terbina, boleh kekal seumur hidup.

Sharhanah

Mustajabnya Doa Ini…

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Maksudnya:

Dan ingatkah kisah Nabi Ayyub as ketika ia menyeru Tuhannya,  “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang. (Surah Al-Anbiya’:83)

Pelajaran daripada doa Nabi Ayyub

  1. Mengadulah kepada Allah: Anni massaniyaddur “Ya Allah, sesungguhnya aku sedang diuji dengan kesusahan/penyakit”.
  2. Pujian Allah: wa anta arhamurroohimin - “sedangkan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Kasihan Belas Lagi Maha Penyayang”.
Dalam kesusahan? Inilah penawarnya

Maksudnya: “Ya Allah rahmat Mu aku dambakan, jangan Engkau biarkan aku bersendirian menguruskan urusan diriku (tanpa pertolongan Mu) dan baikilah untukku urusan hidupku semuanya, tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah.”

Sharhanah

AQIDAH: BERIMAN KEPADA KITAB

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Erti Kitab

  • Kalam Allah yang mengandungi panduan untuk manusia. Diturunkan Allah kepada Nabi dan Rasul yang terpilih.

Keterangan

  • Kumpulan wahyu Allah yang disampaikan kepada para Nabi dan Rasul untuk diajarkan kepada manusia sebagai pertunjuk dan panduan hidup.

Dalil: Al-Baqarah: 213

"Dan Allah menurunkan bersama mereka (Nabi) kitab yang benar"

Hukum

  • Wajib beriman dengan kitab Allah bagi setiap orang Mukmin

Info

  • Diturunkan kepada Nabi dan Rasul
  • Kitab diturunkan dengan perantaraan malaikat Jibril
  • Mengandungi panduan lengkap hidup manusia.

Nama kitab dan Nabi yang menerima

  • Zabur - Nabi Daud A.S
  • Taurat - Nabi Musa A.S
  • Injil - Nabi Isa A.S
  • AL-Quran - Nabi Muhammad S.A.W

Perincian Tentang Kitab

Umat Islam wajib tahu dan beriman dengan empat buah kitab.

Nama Kitab - Rasul - Bahasa - Isi Kandungan

  • Zabur - Daud A.S - Siryani - Petua, Zikir dan nasihat
  • Taurat - Musa A.S - Ibrani - Syariat (peraturan ibadah) dan aqidah / Sejarah Nabi Ismail / Menyatakan Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul yang terakhir
  • Injil - Isa A.S - Ibrani - Kisah penciptaan bumi dan manusia / syariat (peraturan beribadah) dan perkara-perkara aqidah / Menyatakan Nabi Muhammad SAW merupakan Rasul yang terakhir
  • Al-Quran - Muhammad S.A.W - Arab - Mengandungi 114 surah dan 30 Juz / aqidah dan syariat (ibadah, malaikat, munakahat dan jinayat) / kisah-kisah bangsa yang terdahulu / etika dan akhlak yang terpuji

Kelebihan kitab Al-Quran

  • Terpelihara daripada penyelewengan
  • Merupakan mukjizat dan syifa' (penawar) bagi segala penyakit
  • Memansuhkan syariat nabi-nabi yang terdahulu
  • Panduan yang lengkap untuk seluruh manusia
  • Sumber rujukan utama tatabahasa Arab
  • Mengandungi pelbagai ilmu
  • Kesusteraan yang tinggi dan indah

Kelebihan beriman dengan kitab

  • Mengenal Allah sebagai pencipta
  • Mendapat petunjuk jalan kebenaran
  • Mendapat ilmu yang bermanfaat
Akibat tidak beriman dangan kitab

  • Murtad
  • Sesat sepanjang hidup
  • Tiada pegangan/panduan hidup
  • Sentiasa berprasangka buruk terhadap Islam
  • Tiada minat yang berkobar-kobar meneroka ilmu Allah

Sumber: Nota UPKK

Sharhanah


8 Sunnah Cara Rasulullah Menjaga Kesihatan Diri Dan Kekal Hidup Sihat

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pernah ke dengar bahawa Rasulullah pernah ditimpa sakit yang teruk? Sebenarnya Rasulullah banyak mencontohkan kepada kita bagaimana baginda menjalani hidup kekal sihat.

Benarlah, menghidupkan sunnah nabi akan memberi banyak kelebihan dan memperbaiki kerosakan. Malah diberi pahala. 

Inilah adalah cara Rasulullah menjaga kesihatan diri agar tetap sihat,

  1. Bangun awal sebelum subuh
  2. Aktif menjaga kebersihan
  3. Sangat pemaaf
  4. Tidak pernah iri hati
  5. Sentiasa optimis dan tidak berputus asa
  6. Tidak pemarah
  7. Gemar berjalan kaki
  8. Tidak pernah makan berlebihan
Barang siapa yang sarapan setiap hari dengan 7 butir kurma jawa, maka tidak akan membahayakannya pada hari itu racun mahupun sihir.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sharhanah


9 Sebab Kenapa Allah Bagi Kita Sakit

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Allah SWT berfirman: Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Al-Anbiya: 35)

Adapun hikmah disebalik musibah sakit dan penyakit adalah:

  1. Allah sedang menguji manusia agar lebih bersabar dalam menghadapi ujian berupa penderitaan penyakit.
  2. Sebagai kifarah dosa dan kesalahan yang dilakukan manusia pada masa yang lalu.
  3. Dilipat gandakan kebaikan dalam hidup manusia yang ditimpa sakit atau penyakit. Hakikatnya Allah ingin menambah kebaikan kepada hamba-Nya dengan ujian sakit dan penyakit.
  4. Untuk mengangkat darjat manusia disisi Allah Azza Wa Jalla, kerana sakit dan penyakit adalah ujian kepada hamba-Nya agar bertambah darjat kemuliaan di akhirat.
  5. Untuk menyelamatkan manusia dari azab Allah. Dengan memberi sakit dan penyakit kepada manusia di dunia, semoga terselamat di akhirat kelak.
  6. Sebagai tanda ingatan, kerana manusia selalunya akan sedar saat sakit atau penyakit tersebut menimpa dirinya.
  7. Membersihkan dan mensucikan hati dan jiwa dari pelbagai penyakit rohani, seperti penyakit sombong, riak, ujung dan sebagainya.
  8. Untuk mengingatkan manusia atas nikmat Allah SWT yang diperolehinya dalam hidup. Kadangkala kita kurang mensyukuri semasa kita sihat dan kuat lagi.
  9. Untuk menyedarkan dan menginsafkan manusia di atas kesilapan yang dilakukan pada masa lalu.
Dapat disimpulkan, bersangka baik kepada Allah Yang Maha Baik, tiada yang terjadi melainkan ada kebaikan di dalamnya dan berdamailah dengan irodahNya; Ucaplah Innalillah wa inna Ilahi rooji’un jua puji lah DIA di semua tempat setiap masa.

Ya Allah berilah kami kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi apa jua permasalahan dalam hidup kami, dan berilah kebaikan kepada kami dari musibah sakit dan penyakit yang Engkau timpakan kepada kami. Mudah-mudahan kami menjadi hamba Mu yang soleh. Aamiinn

Sharhanah


Cara Bersedekah Sepanjang Bulan Ramadan Tanpa Gagal

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya WFH dan jarang keluar rumah. Macam mana nak bersedekah (wang)? Saya cuba senaraikan 30 nama penerima dan nombor akaun termasuklah pusat tahfiz, yayasan, rumah anak yatim dan badan kebajikan. Selain daripada carian Google, saya juga dapatkan maklumat di media massa untuk lebih terkini.

Dengan menggunakan kemudahan pindahan, saya memasukkan tarikh "Effective Date" bermula 1 Ramadan. Duit simpanan saya akan ditolak pada tarikh yang telah ditetapkan dan akan masuk ke dalam akaun penerima.

Tekan kalendar untuk masukkan tarikh

Sebahagian daripada senarai penerima sedekah
Duit akan ditolak setiap hari sepanjang Ramadan. Effortless dan kita boleh fokus pada kerja dan ibadah yang lain. Asyik duduk rumah jarang keluar. Mungkin inilah sedikit usaha saya untuk turut sama-sama bersedekah di bulan yang penuh berkah. Nak juga pahala berganda-ganda. Ramadan tahun depan ntah sempat ke tak.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan”.
(Riwayat At-Tirmidzi)

Sharhanah

Takutnya! BILA KITA SOLAT 5 WAKTU TETAPI SOLAT KITA TAK SAH PUN

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang terfikir samada solat kita setiap hari diterima Allah atau tak. Sah ke? Kita mungkin tak sedar ada 8 kesalahan asas ketika mendirikan solat.

1. TIDAK BERDIRI TEGAK

Berdiri lurus bagi yang berkemampuan. Itu rukun solat paling asas. Jika sakit, seharusnya sebelum terus duduk, kita berdiri dulu atas tikar sejadah, kemudian duduk.


2. TAKBIRATUL IHRAM

Lafaz Takbiratul Ihram adalah RUKUN QAULI. la wajib dilafazkan dengan jelas tanpa meninggalkan satu hurufpun di dalam kalimah, Allahu Akbar!


Melafazkan tanpa didengari oleh telinga sendiri, boleh membatalkan solat. Ini yang kita kena belajar ni.


3. BACAAN AL-FATIHAH YANG TIDAK BETUL

Al-Fatihah adalam RUKUN QAULI yang wajib dilafazkan 100% dengan makhraj dan tajwid yang betul.


Baca di dalam hati atau tidak didengari oleh telinga sendiri, boleh membatalkan solat.


4. TIDAK BERHENTI SEKETIKA (THOMAKNINAH) DALAM RUKUK DAN SUJUD

Bila nak rukuk/sujud, jeda (tempoh) antara perbuatan tu kena jaga, dalam kadar lafaz "subhanallah".


5. SUJUD YANG TAK SEMPURNA.

Ketika sujud, ada 7 anggota yang wajib kena lantai sujud:

  • Muka (termasuk dahu dan hidung).
  • Kedua-dua tapak tangan.
  • Kedua-dua lutut.
  • Penghujung 2 tapak kaki (ibu jari)

6. TANGAN BERAYUN KETIKA I'TIDAL

Pergerakan anggota besar yang dilakukan 3 kali berturut-turut boleh membatalkan solat. Nak I'tidal, angkatlah tangan penuh tertib.


7. DADA BERPALING DARI KIBLAT

Kadangkala, sejadah kita dah letak elok menghadap kiblat, tetapi sedar tak, kadangkala dada kita tak tepat menghadap kiblat. Kalau kiblat menyerong, dada pun ikut menyerong juga.


8. MEMEJAMKAN MATA KETIKA SOLAT

Makruh sebenarnya kita memejamkan mata tanpa keperluan:


Jika kita memejamkan mata sebagai contoh untuk elak gangguan di sekitar kita dan dengan cara menutup mata untuk menambah kekhusyukan, maka ia dibolehkan.


Kawan-kawan,

Kita kena peka bab ini bersama-sama ya. Kadang kita tak sedar, solat kita sendiri jadi tak sah.


Bayangkanlah macam manalah kiraan solat-solat yang lepas kalau kita solat sambil lewa. Adakah ibadah kita itu diterima Allah atau sebaliknya?


Sama-sama kita perbaiki solat kita. Perbaiki solat, maka kita sedang perbaiki kehidupan kita.


Sharing is caring!

Sharhanah

Bangunlah Untuk Bersahur

 Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

“Bersahurlah, sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Cuba tanya kepada diri sendiri, mengapakah sunnah mengalakkan kita bersahur? Kalau tak sahur pun tak ada salahnya kan? Cuma kita rugi untuk menikmati rahmat, nikmat dan barakah waktu itu. Jika kita tidak mahu menjamah makanan, setidak-tidaknya kita minum seteguk air.

Daripada Amru bin al-‘As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa umat Islam dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu ialah dengan makan sahur.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ada yang sahur pukul 12 tengah malam. Lepas tu tidur sampai subuh. Itu bukan sahur, tetapi supper. Terlepas keberkatan waktu sahur, dimana waktu ini adalah antara waktu paling mustajab untuk berdoa. Bangun awal juga dapat melatih kita untuk mengerjakan solat sunat tahajud dan amalkan zikir dan doa seperti di bawah;

Banyakkan istighfar;

Minta ampun kepada Allah;

Mohon hajat semasa di dunia (kebahagiaan rumahtangga, anak-anak yang soleh dan solehah, etc);

Minta urusan kematian kita dalam keadaan baik dan mudah (meninggal ketika solat, etc);

Minta lapangkan dan mudahkan kita di alam kubur sana. Jauhi fitnah kubur;

Minta urusan kita dimudahkan di akhirat (masuk syurga tanpa dihisab); dan 

Minta urusan orang lain dimudahkan (rakyat Palestin, saudara-mara & sahabat)

Allah berfirman:

“Siapakah yang berdoa kepadaKu, pasti Aku memperkenankan doanya. Siapa yang meminta daripadaKu, pasti Aku akan berikannya. Dan siapakah yang beristighfar memohon ampun padaKu, pasti Aku ampuni dia." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari & Muslim)

Selain itu juga, bersahur juga dapat membantu menguatkan tubuh badan serta memberi tenaga pada siang hari di samping aktiviti yang perlu dilaksana pada masa berkenaan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (Maghrib).” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Jelaslah di sini, maka beruntungnya orang yang bersahur. Kita pilih yang mana??

Selamat menjalani ibadah puasa buat semua!

Sharhanah

Roh Yang Sihat

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon  yang menggugurkan daun-daunnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Belajarlah menerima satu bebanan kesakitan itu dengan sebaiknya. Allah mendatangkan kesakitan itu bukan sebagai satu beban, pasti kita boleh bertahan kerana Allah tahu kita mampu hadapi kesakitan itu dan juga kerana Allah sayang akan hamba-hamba-Nya.

Setiap kesakitan yang kita hadapi akan mengkifarahkan dosa kita. Cuba kita perhatikan kehidupan Firaun, yang mana dia tidak pernah sakit. Allah memberikannya nikmat kesihatan, bersin pun tak pernah. Orang lain selalu sakit, Firaun tidak, sehinggakan dia menjadi angkuh dan mengaku diri sendiri tuhan. Dengan nikmat sihat itulah, Allah membinasakannya.

Kadang-kadang kesakitan yang Allah bagi adalah untuk meningkatkan martabat kita disisi-Nya.

Cuba kita perhatikan kisah Nabi Ayub a.s yang mana diberikan ujian kesakitan dan baginda tetap sabar menghadapi ujian tersebut. Dalam keadaan dirinya yang sakit ditambah pula dengan isteri dan anak-anaknya menjauhinya. Baginda tetap sabar menempuh kesakitan tersebut sehingga Allah menyembuhkannya dan meninggikan kedudukan Nabi Ayub disisi-Nya.

Kepada sahabat-sahabat yang sedang sakit, perbanyakkan selawat syifa’

“Ya Allah , berilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat berselawat ke atas baginda, akan menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberi kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakan juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarga dan sahabat baginda”.

Biar susah sedikit kerana Allah, untuk menghindar kesusahan yang besar…

Sharhanah

Amalan Doa Untuk Anak

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Amalan doa untuk anak
Anak-anak telah mula bersekolah hari ini. Selepas solat subuh, Sofea sudah siap sedia untuk ke sekolah. Zahra pula teruja dengan beg dan kasut baharu untuk ke sekolah agama. Tahun inilah, dia baru dapat beg baharu yang lebih berkualiti. Semalam, hantar Arissa dan Hariz balik ke asrama. Berjauhan beratus kilometer. Rindu tapi itulah.... Tetiba rasa sunyi dan kosong rumah ni.

Ya Allah, Yang Maha Pengasih permudah dan lancarkan urusan anak-anak di sekolah. Lindungilah mereka demi mendalami ilmu. Ya Allah, sesungguhnya kepada-Mu saya bertawakal dan berserah.
Sharhanah

Rezeki Orang Sakit

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Selagi ketentuan Allah bagi sakit itu belum menepati qadar Allah iaitu sembuh maka kekallah sakit itu biar pun pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan. Maka usaha kita itu dikira ibadah dan berbaik sangkalah kepada Allah dalam semua hal.

Apabila seorang hamba Allah jatuh sakit, Allah akan utuskan 4 malaikat;

  1. Malaikat pertama akan mengambil selera makannya
  2. Malaikat kedua akan mengambil rezekinya
  3. Malaikat ketiga akan mengambil kecantikan. Wajahnya pucat.
  4. Malaikat keempat akan mengambil dosanya
Apabila sampai waktu yang telah Allah tetapkan untuk hamba-Nya kembali sihat, Allah akan menyuruh malaikat pertama, kedua dan ketiga memberi balik apa yang telah diambil oleh mereka. Akan tetapi Allah tidak menyuruh malaikat keempat memberi balik dosa hamba-Nya. Sesungguhnya setiap kesakitan itu adalah kifarah dosa dan itulah sebesar rezeki dibawa pulang bertemu Allah. 

“Sakit itu kifarah dosa. Allah nak hapuskan dosa kita yang ada untuk digantikan dengan pahala sebab Allah sayang hamba-Nya”.

Sharhanah

Adab Ketika Berziarah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

"Hak kewajipan Muslim kepada Muslim yang lain ada lima; menjawab salam, menziarahi orang sakit, menghantar jenazahnya, memenuhi undangannya, menjawab ketika bersin (jika mengucap "Alhamdulillah" maka jawablah dengan "Yarhamukallah")". - Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Adab Ketika Berziarah

  • Waris dan sahabat bersedekah bagi pihak pesakit.
  • Lunaskan hutang sesama manusia dan hutang dengan Allah seperti hutang nazar, zakat dan fidyah mahupun kafarah yang belum sempat ditunaikan.
  • Saling bermaaf-maafan dan berlapang dada dengan pesakit serta mendoakan.
  • Elakkan bergambar sedangkan pesakit dalam keadaan mengaibkan.
  • Santuni pesakit-pesakit lain dan waris mereka.
  • Nyatakan penghargaan kepada kakitangan hospital yang banyak membantu.
  • Lakukan ziarah pada waktu sesuai dan janganlah terlalu lama.
  • Bawa hadiah yang boleh membantu dan menggembirakan pesakit.
  • Nyatakan harapan sembuh dan pahala besar di sisi Allah apabila sabar dan tabah juga berbaik sangka kepadaNya.
  • Niat lah ziarah ku ini lillah kerana kasih sayang dan ukhwah kerana-Nya.
  • Berdoalah di sisi pesakit

Sharhanah

Sirah: Pembentukan Negara Madinah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Pertama kali menjejaki ke bumi Madinah pada awal tahun 2020, sangat mengujakan. Perasaan yang sangat damai dan tenang di sini sehingga anak sulung saya terkeluar perkataan "tak nak balik" selepas kami mengerjakan solat Subuh berjemaah pertama di Masjid al-Nabawi.

Jom ikuti sirah tanah suci ini dengan lebih santai.

Peta Madinah


Madinah terletak di Semenanjung tanah Arab, iaitu di utara Mekah. Nama asalnya ialah Yathrib.

Penduduk Madinah terdiri daripada berbilang bangsa, qabilah dan agama. bidang perniagaan seperti perniagan tamar dan bijirin menjadi salah satu sumber ekonomi mereka. Peperangan dan persengketaan sering tercetus antara qabilah. Qabilah yang paling berpengaruh di Madinah adalah;

dalam kalangan orang Arab - Aus dan Khawarij

dalam kalangam orang Yahudi - Bani Qainuqa, Bani Nadhir, Bani Quraizah.

Asas Pembentukan Negara Madinah

Madinah ialah negara Islam yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad SAW. Setelah Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah, baginda telah meletakkan tiga asas penting dalam pembentukan negara Madinah.

Asas pertama

Pembinaan Masjid al-Nabawi di tapak tanah dua anak yatim Bani Najar. Baginda dan para sahabat berganding bahu dalam pembinaan masjid ini. Baginda menjadikan masjid tempat kaum muslimin berhimpun dan melakukan pelbagai aktiviti.

Nabi Muhammad SAW menjadikan masjid berperanan sebagai:

  1. Pusat ibadah bagi mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT.
  2. Pusat pembelajaran Agama Islam dan perkembangan ilmu serta dakwah.
  3. Pusat pertemuan dan perhimpunan umat Islam untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan.

Pusat pemerintahan yang menjadi tempat perbincangan Nabi Muhammad SAW dengan para sahabat sebelum membuat sesuatu keputusan.

Asas kedua

Mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan Ansar

Kaum Muhajirin ialah para sahabat yang berhijrah bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah.

Kaum Ansar pula ialah penduduk asal Madinah yang memeluk Islam dan banyak membantu baginda dalam penyebaran Islam. 

Contoh persaudaraan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW:

  • Abu Bakar as-Siddiq r.a dengan Kharrijah bin Zuhair r.a
  • Umar bin al-Qhatab r.a dengan 'Itban bin Malik r.a
  • Jaafar bin Abi Talib r.a dengan Muaz bin Jabal r.a

Akhlak yang diamalkan kaum Ansar untuk mengukuhkah silaturahim dengan kaum Muhajirin:

  1. Memberikan perlindungan
  2. Membantu menyediakan keperluan
  3. Berkongsi harta dan keuntungan

Persaudaraan yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW berjaya menghapuskan perkauman jahiliyah yang mementingkan keturunan dan harta benda. Seterusnya, persaudaraan berjaya membentuk masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Asas ketiga

Pembinaan negara Madinah: Mewujudkan Piagam Madinah

Piagam Madinah ialah satu perjanjian bertulis yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW. Perjanjian itu mengandungi aturan kehidupan bersama-sama dengan golongan Muslimin dan bukan Islam, iaitu golongan Yahudi yang tinggal di Madinah. Perjanjian ini bertujuan menjaga keselamatan dan keamanan negara Madinah.

Isi kandungan Piagam Madinah

Antaranya termasuklah:

Kewajipan umat Islam saling melindungi, bantu-membantu dalam kebajikan, menentang kezaliman, pergaduhan dan perbuatan dosa.

Kedudukan kaum Yahudi dan orang bukan Islam.

Diberi kebebasan mengamalkan agama mereka dan mempunyai hak dalam beragama serta melakukan kebaikan.

Tanggungjawab semua penduduk Madinah

Memperakui Nabi Muhammad SAW sebagai ketua negara.

Memberikan sumbangan kepada negara, hidup bersatu padu dan berkerjasama mempertahankan Madinah daripada pemberontak dan segala bahaya kepada negara.

Setiap perbalahan diadili mengikut ajaran Islam.

Iktibar daripada peristiwa pembentukan negara Madinah

Masjid mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Kita hendaklah mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti ibadah dan kemasyarakatan.

Memelihara dan mengeratkan silaturahim dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam.

Sikap hormat-menghormati dan toleransi dengan pelbagai kaum dapat melahirkan masyarakat yang harmoni.

Kepimpinan Nabi Muhammad SAW  ialah contoh terbaik untuk dicontohi.

Bersikap adil, tegas dan mengutamakan kesejahteraan orang yang dipimpin.


Yang merindui,

Sharhanah

Akhlak: Tanggungjawab

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Bertanggungjawab ialah kesungguhan untuk memikul dan melaksanakan tugas serta kewajipan yang telah ditetapkan selagi tidak bercanggah dengan syarak.

Dalil:

"... sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota itu akan ditanya tentang apa  yang dilakukannya".

(Surah Al-Israa' 17:36)

Bahagian Bertanggungjawab

  • Tanggungjawab kepada diri sendiri - Menunaikan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
  • Tanggungjawab kepada Allah - Memelihara diri daripada perkara-perkara yang tidak diredhai Allah dan memantapkan iman dalam diri dan melaksanakan tuntutan rukun Islam dengan sempurna.
  • Tanggungjawab kepada ibu bapa - Mendoakan, bercakap dengan lemah lembut, taat dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa.
  • Tanggungjawab kepada guru - Menumpukan perhatian ketika guru mengajar, mematuhi segala yang diarah dan menghormati serta mendoakan kesejahteraan guru.
  • Tanggungjawab kepada negara - Kesetiaan, menjaga harta benda awam dan menjaga keselamatan serta keamanan negara.
  • Tanggungjawab kepada masyarakat - Melibatkan diri dalam aktiviti khidmat masyarakat, saling menasihati dan berbuat baik serta memelihara kerukunan hidup berjiran.

Fadhilat Bertanggungjawab

Sudah pasti dikasihi Allah dan Rasulullah serta disukai oleh ibu bapa dan masyarakat. Apa kerja yang dilakukan akan menjadi sempurna dan mendapat faedah yang berpanjangan.

Akibat Tidak Bertanggungjawab

Apabila kita tidak bertanggungjawab, tentunya dimurkai Allah dan Rasulullah. Kerja yang diamanahkan tidak sempurna, hasil kerja yang sia-sia dan tidak mendapat keberkatan.

Jadilah insan yang bertanggungjawab dengan apa yang diamanahkan.

Sharhanah

ADAB - MENZIARAHI JENAZAH

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

Adab Menziarahi Jenazah

  • Mengucapkan takziah kepada keluarga
  • Mengucapkan kata-kata yang boleh menyenangkan perasaan dukacita kepada keluarga
  • Berdoa supaya jenazah mendapat keampunan
  • Menunaikan solat jenazah
  • Memberi pertolongan kepada keluarga dalam pengurusan jenazah
  • Mengiringi jenazah ke tanah perkuburan

Ucapan takziah kepada keluarga

"Semoga Allah SWT membesarkan pahala mu dan menguatkan ketabahan mu dan mengampunkan bagi si mati"

TAKZIAH ialah ujian kepada keluarga si mati supaya bersabar dan menghiburkan mereka dengan pahala yang dijanjikan Allah SWT dan mendoakan keampunan kepada si mati serta keluarganya.

Istirja' ketika mendengar kematian

إِنَّا لِلَّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Sesungguhnya, kami adalah milik Allah SWT dan kepada-Nya jualah dikembalikan..

Fadhilat Beradab Ketika Menziarahi Jenazah

  • Dapat mengeratkan silaturrahim dengan keluarga jenazah
  • Memberi keinsafan
  • Mengurangkan tekanan emosi keluarga jenazah
  • Dapat menunaikan hak sebagai seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Akibat Tidak Beradab Ketika Menziarahi Jenazah

  • Menjejaskan hubungan silaturrahim dengan keluarga jenazah
  • Menambah tekanan emosi keluarga jenazah yang kehilangan ahli
  • Tidak menunaikan hak sebagai seorang muslim ke atas muslim yang lain.


Surah Asy-Syu'araa' 26:83

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang 

"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh." (Asy-Syu'araa' 26:83)


Adab Sebelum Dan Selepas Tidur

Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani

Nak tidur pun perlu ada adab tau. Disenaraikan adab-adab sebelum tidur;

  • Memberus gigi sebelum tidur
  • Mengambil wudhu
  • Memohon maaf

Saya mendidik anak-anak dari kecil untuk memohon maaf kepada ibu bapa setiap malam sebelum mereka masuk tidur. Saya juga minta maaf pada mereka. Kosong-kosong!

  • Berpakaian bersih
  • Membaca doa

بِسْمِكَ اللّٰهُمَّ اَحْيَا وَاَمُوْتُ

"Dengan menyebut nama-Mu ya Allah, aku hidup dan aku mati”


Adab-adab selepas bangun tidur

  • Membaca doa bangun tidur
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ اَحْيَانَا بَعْدَمَآ اَمَاتَنَا وَاِلَيْهِ النُّشُوْرُ
“Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kami sesudah kami mati (membangunkan dari tidur) dan hanya kepada-Nya kami dikembalikan”
  • Kemaskan bilik tidur
  • Mandi dan bersuci
  • Berpakaian bersih dan kemas

Fadhilat Mengamalkan Adab-Adab Sebelum Dan Selepas Bangun Tidur

  • Dapat mengamalkan sunah-sunah Nabi Muhammad SAW
  • Dapat menjaga kesihatan tubuh badan
  • Melatih supaya sentiasa berdisiplin
  • Tidak rasa mengantuk dan letih
  • Fikiran sentiasa cerdas dan fizikal cergas
  • Disayangi oleh keluarga

Surah Al-'Ankabuut 29:69

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.


(Al-'Ankabuut 29:69)