Bumi Madinah ni, kalau kita setakat duduk dalam hotel memang takkan cukup untuk selami sedalam-dalamnya gelora sejarah yang ada. Jadi, kami mulakan satu kembara jejak sirah yang sangat padat dengan emosi. Dari kisah keajaiban pertukaran kiblat di Masjid Qiblatain, hinggalah melayan keterujaan anak melihat timbunan coklat dan kurma segar di Kebun Kurma Abu Faisal, semuanya memberikan rasa takjub yang luar biasa.
![]() |
Namun, kembara kami kali ni bukan sekadar jalan-jalan kosong. Langkah kaki kami dibawa menyelami sisa-sisa perjuangan air mata dan darah yang sangat meruntun jiwa. Berdiri di kaki Jabal Uhud dan melihat sendiri tapak tempat Rasulullah SAW tercedera semasa Perang Uhud, hati rasa luruh mengenang betapa besarnya harga sebuah pengorbanan demi Islam. Rasa syahdu tu bersambung pula bila kami singgah di Masjid Bani Haram dan mendaki ke Gua Sajadah, tempat saksi bisu dahi mulia baginda SAW sujud menyembah-Nya.
Bukan itu sahaja, kami juga dibawa menelusuri memori indah fasa awal Islam berkembang di kota ini. Kami menjejaki landmark bersejarah tempat Nabi SAW diraikan dengan penuh gembira oleh kaum Ansar, melawat Telaga Ghars yang airnya digunakan untuk memandikan jenazah suci baginda, serta berehat di kedamaian Al-Mustazal Garden & Ethiq Water Spring, tapak ikonik tempat Saidina Abu Bakar memayungi Rasulullah SAW daripada terik matahari Hijrah.
Tidak ketinggalan, kami turut singgah ke Ladang Salman Al-Farisi, kawasan bersejarah yang menjadi saksi penyatuan ukhuwah apabila Rasulullah SAW dan para sahabat bergotong-royong menanam ratusan pohon kurma demi membebaskan sahabat Parsi yang dikasihi itu daripada belenggu perhambaan.
Satu per satu jejak sejarah kami lalui, membuatkan kami sedar betapa bertuahnya terpilih menjadi tetamu di bumi barakah ini. Kisah penuhnya... jom ikuti coretan kami. Maaf, kali ni coretan agak panjang.
![]() |
Selepas itu, bas membawa kami ke Kebun Kurma Abu Faisal. Dapat merasa kurma segar yang baru dipetik, katanya manis sangat. Ada banyak juga pilihan coklat. Saya mula rambang mata tengok. Sudahnya, tak beli satu apa pun.
Destinasi terakhir bagi ziarah pagi itu ialah Jabal Uhud.
Bila berdiri menghadap bukit batu yang tersergam di hadapan mata, terasa sayu mengenangkan peristiwa Perang Uhud. Di sinilah berlakunya salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam, yang menyaksikan pengorbanan para sahabat demi mempertahankan Rasulullah SAW dan agama Islam.
![]() |
| Pemandangan Makam Syuhada Uhud |
![]() |
| Kawasan pasar terbuka dan deretan kedai (Uhud Market) |
Bila kita membaca kisah sirah, terasa macam baca sejarah yang jauh. Tapi bila dapat menjejakkan kaki sendiri ke tempat yang berkaitan dengan peristiwa tersebut, perasaannya jadi lain. Seolah-olah kita diajak untuk berhenti sejenak, mengenang pengorbanan mereka dan bermuhasabah tentang sejauh mana kita menghargai nikmat iman hari ini.
Hari keempat kami bakal mengikuti ziarah luar yang kedua pula, dan jadualnya memang padat dengan lokasi bersejarah yang berkait rapat dengan perjuangan Rasulullah.
Awal pagi lagi, kami sudah membelah jalan menuju ke Uhud menaiki van... satu-satunya pengangkutan yang mampu menyusup masuk ke laluan yang mustahil diakses oleh bas. Kali ini, kami bukan sekadar memandang Jabal Uhud dari kejauhan. Langkah kami dibawa rapat ke lokasi hiba; menjejak tapak bersejarah tempat tumpahnya darah Rasulullah SAW akibat kecederaan berat dalam Perang Uhud.
Membayangkan bagaimana Rasulullah SAW mengalami kecederaan, termasuk luka pada wajah dan gigi baginda yang patah dalam peristiwa tersebut, membuatkan hati terasa sebak. Baginda menanggung begitu banyak kesukaran demi menyampaikan risalah Islam kepada umat manusia.
Kita yang hidup pada zaman ni kadang-kadang mengeluh bila diuji dengan perkara kecik. Tapi bila mengenangkan pengorbanan Rasulullah SAW dan para sahabat, terasa betapa banyaknya perkara yang perlu kita syukuri.
Perjalanan diteruskan pula ke Gua Sajadah (Ghar Bani Haram) di kawasan Jabal Sila'. Kami mendaki sedikit untuk sampai ke lokasi tersebut. Melihat sendiri kawasan berbatu dan bentuk muka bumi di sekitarnya memberikan gambaran yang berbeza tentang keadaan Madinah pada zaman dahulu.
Kisah yang paling masyhur menceritakan bagaimana baginda pernah bersujud teramat lama di dalam gua ini. Sujudnya begitu lama sehinggakan para sahabat yang mengawal di luar, seperti Abdul Rahman bin Auf, mula berasa cemas dan bimbang jika baginda telah wafat dalam sujudnya. Dek kerana sujud yang begitu lama dan penuh khusyuk itu, dikatakan terdapat lekukan pada permukaan batu gua yang mengikut bentuk sujud baginda.
Bila berdiri dan tengok sendiri ruang tu, hati saya tiba-tiba dijentik rasa sayu. Rupa-rupanya di celah-celah bukit batu yang keras inilah, insan paling agung di dunia menangis, merintih, dan sujud menyembah-Nya demi keselamatan dan kemenangan umat Islam. Pengalaman melihat sendiri tempat ini betul-betul memberi kesan mendalam yang takkan dapat kami lupakan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
| Caj masuk dikenakan |
Sejarah menceritakan, masa penduduk Madinah berpusu-pusu keluar nak sambut ketibaan nabi, ramai yang keliru tak kenal yang mana satu Rasulullah SAW sebab tak pernah tengok wajah baginda lagi. Bila matahari mula memancar terik, Saidina Abu Bakar dengan penuh adab berdiri lalu mengangkat kain jubahnya untuk memayungi Rasulullah SAW daripada kepanasan. Melalui tindakan spontan penuh kasih sayang itu, barulah penduduk Madinah kenal siapa sang Nabi yang mulia.
Kami juga sempat melihat Telaga Ethiq yang terletak dalam kebun itu, tempat di mana baginda melepaskan dahaga kembara Hijrah yang panjang.
Sebelum gerak balik ke hotel, kami sempat turun sekejap dekat satu tapak runtuhan lama. Ingatan saya agak samar-samar tentang tempat ni, rasanya macam bekas tapak rumah salah seorang sahabat nabi. Walaupun sekejap, aura sejarahnya tetap kuat terasa. Ziarah luar hari ini betul-betul padat dan membuka mata kami berdua. Rasa penat menapak terus hilang, berganti dengan rasa rindu yang semakin menebal kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW sebelum kami pulang ke hotel untuk bersiap-siap meninggalkan kota Madinah yang penuh barakah ini.
Bersambung…
Tertinggal bahagian lepas? Klik pautan INI untuk ke entri sebelumnya.




















Terima kasih atas perkongsian, membawa pembaca turut sama menelusuri sirah Baginda SAW
BalasPadamSama-sama puan.
Padamteringin sangat ke sana. semoga ada rezeki ke sana
BalasPadamAda rezeki, Insha-Allah.
Padammemang confirm air mata akan keluar jika melihat langsung tempat2 di mana Nabi Muhammad saw berjuang demi Islam... mendengar sambutan kaum anshar, dan tempat2 yang Rasul allah suka, macam terharu sangat sangaaatttt . rindunya nak balik ke sana :(
BalasPadamYa, rasa sebak sangat. Semoga catatan ini dapat mengubati kerinduan kita, dan marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.
PadamMasa saya pergi tahun 2014, banyak betul pembinaannya.
BalasPadamMungkin fasa projek pembesaran Masjidil Haram tengah rancak tahun tu.
Padam