Episod 2: Kebab Madinah & Jejak Raudhah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari pertama di Madinah kami mulakan dengan aktiviti santai-santai je. Maklumlah, baru sampai, jadi kami ambil masa untuk ronda-ronda sekitar hotel sambil mengenal jalan. Untung sangat sebab hotel kami dekat betul dengan Masjid Nabawi, kurang 50 meter. Keluar dari pintu hotel, dah nampak masjid. Dekat sangat sampai rasa macam bila-bila masa pun boleh terus melangkah ke sana. Alhamdulillah, memang satu kelebihan.

Suasana di Madinah tenang-tenang aja.

Jalan waktu musim sejuk tak penat

Baca doa dulu sebelum nak "menyelam"

Selepas balik dari masjid, ramainya umat...

Tapi ada satu benda yang saya terlepas pandang. Ingatkan saya tahan dengan cuaca di Madinah, rupanya tidak! Sampai menggigil dibuatnya. Betul-betul saya tak tahan. Long johns untuk Sofea siap saya bawa, patutlah dia nampak rileks je. Tak aci!

Aktiviti hari pertama taklah padat mana. Kami cuma jalan-jalan cuci mata sekitar hotel. Setiap kali masuk waktu solat, kelam-kabut jugalah kami bersiap dan bergegas ke masjid. Selesai solat, ada satu lagi aktiviti wajib yang tak boleh ditinggalkan. Apa dia? Mestilah memburu kebab Madinah!

Saya beli satu kebab untuk dikongsi dua orang. Mula-mula ingat tak cukup, tapi rupa-rupanya saiz kebab Arab ni memang besar! Makan kongsi berdua pun dah kenyang. Kalau beli dua, alamatnya tak habis la.

Misi utama kami yang sebenar pada hari pertama bukanlah kebab semata-mata. Ada satu misi yang kami tunggu-tunggu sejak tiba di Madinah, iaitu ziarah ke makam Rasulullah SAW.

Selepas solat Isyak, kami bersiap untuk mengikuti aturan ziarah. Ya Allah, suasana malam tu memang luar biasa! Ramainya manusia sampai susah nak digambarkan. Masing-masing menunggu giliran, dan bila pergerakan mula dibenarkan, keadaan terus menjadi sesak.

Bayangkan lautan manusia yang bergerak serentak. Ada yang berjalan laju, ada yang cuba mencari ruang, dan ada juga yang terpaksa mengikut arus orang ramai. Saya pula sibuk pegang tangan anak takut terlepas dalam kesesakan tu!

Tiada gambar di Raudhah untuk dikongsikan. Perasaan ketika itu bercampur baur, dan dengan masa yang sangat singkat, ia terlalu berharga untuk disia-siakan dengan kamera. Namun, suasananya tersimpan kemas di dalam ingatan.

Alhamdulillah, dengan izin Allah, kami berpeluang melihat kawasan makam Rasulullah SAW dari dekat dan menunaikan solat sunat. Perasaan masa tu bercampur-baur. Sebak, syukur dan terharu semuanya datang serentak.

Dalam hati, saya hanya mampu berdoa semoga Allah menjemput kami kembali ke bumi Madinah ini suatu hari nanti. Insha-Allah.

Bersambung…

Tertinggal episod lepas? Klik pautan ini untuk terus ke entri sebelumnya.

No comments:

Post a Comment