Bahagian 4: Tiga Anugerah, Saksi Usaha dan Doa

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akhirnya keluar. Saya dan abahnya sempat menemaninya ke sekolah — walaupun sekejap sahaja kerana abahnya perlu kembali bekerja. Kami datang dengan hati yang tenang, tanpa harapan yang terlalu tinggi.

Alhamdulillah… dia memperoleh 7A 2B. Bagi saya, itu sudah cukup membanggakan, apatah lagi dia bersekolah di luar bandar dengan kemudahan yang sederhana. Saya sudah pun bersyukur.

Tapi Allah beri lebih daripada yang saya bayangkan.

Nama dia dipanggil naik ke pentas. Saya senyum.

Lepas tu dipanggil lagi. Saya pandang abahnya.

Sekali lagi dipanggil. Saya dah terdiam.

Tiga kali dia naik ke pentas menerima anugerah berdasarkan keputusan SPM — Bitara Pencapaian Terbaik, Mata Pelajaran Terbaik Matematik dan Sains Komputer. Saya terpaku di tempat duduk rasa macam tak percaya. Anak yang selalu saya anggap “oklah… biasa-biasa je” rupanya ada sesuatu yang lebih. Dia akhirnya membuktikan bahawa dia mampu — bukan kepada orang lain, tetapi kepada dirinya sendiri.

Alhamdulillah... Sijil-sijil dan terselit duit di situ
Tahu-tahu saja, dia berdiri di depan, di atas pentas sambil memegang sijil-sijil anugerahnya… dan buat hati saya rasa penuh.

Air mata saya bergenang waktu itu. Bukan kerana bilangan A semata-mata, tetapi kerana terbayang seluruh perjalanan kecilnya yang panjang dan penuh makna.

Dari detik dia dilahirkan — saat kami sama-sama ‘menunggu lama’ di koridor labour room, dari fasa lambat masuk prasekolah, alam remaja mengadu sunyi kerana tiada kawan rapat. Sehinggalah usaha-usaha kecil yang dia lakukan diam-diam, tanpa saya sedar betapa besar maknanya. Semua detik itu, setiap tangis, sabar dan perjuangan kecilnya, membentuk dirinya hari ini. Dan saya hanya mampu menunduk syukur, menangis sebak, kerana Allah begitu indah menyusun langkah anak yang kami kira ‘biasa’ ini.

Coretan ini lahir daripada hati saya sebagai seorang ibu yang pernah menyimpan harapan besar. Sejak Tingkatan 1, dia mencuba untuk melangkah ke SBP. Tidak berjaya. Tingkatan 4, dia cuba lagi. Sekali lagi impian itu tidak menjadi kenyataan.

SBP bukan rezekinya. Namun itu bukan bermakna masa depannya gelap. Sekolah harian menjadi medan perjuangan sebenar. Di situlah dia bangun perlahan-lahan, belajar tentang sabar, tentang usaha, tentang tidak pernah menyerah walau berkali-kali diuji.

Hari ini saya sedar, kejayaan bukan ditentukan oleh nama sekolah yang gah, tetapi oleh hati yang tidak pernah putus asa. Selagi ada usaha yang tidak jemu dan doa yang tidak pernah berhenti, kejayaan tetap ada jalannya — walaupun jalannya berbeza daripada orang lain.

Akhirnya... Allah beri apa yang dia nak.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh


Potongan Gaji Yang Selalu Kita Keluh, Rupanya Penyelamat Hari Tua

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, KWSP umumkan dividen tahun 2025 sebanyak 6.15% untuk Simpanan Konvensional dan juga Shariah. Berita ni memang buat ramai pencarum tarik nafas lega.

Jumlah agihan pula bukan biasa-biasa ya. RM79.6 bilion keseluruhan! Pendapatan boleh agih meningkat 9.5% berbanding tahun lepas, dan aset pelaburan KWSP kini mencecah RM1.409 trilion. Angka ini menunjukkan simpanan rakyat Malaysia diurus dengan sangat kukuh dan berstrategi.

Walaupun dunia berdepan isu geopolitik, tekanan tarif dan perubahan dasar perdagangan, KWSP masih mampu beri pulangan yang stabil. Ini bukti pelaburan jangka panjang dan kepelbagaian portfolio mereka memang menjadi.

Apa Maksud 6.15% Itu Sebenarnya?

Ramai nampak 6.15% dan fikir, “Alah, enam peratus je pun.”

Tapi cuba tengok contoh mudah ini:

Kalau simpanan anda ada RM50,000, dividen 6.15% bermaksud anda dapat lebih kurang RM3,075 untuk tahun itu sahaja.

Kalau simpanan RM100,000, dividen yang diterima sekitar RM6,150.

Itu belum campur caruman baru setiap bulan. Bila dibiarkan bertahun-tahun, kesan compounding (dividen atas dividen) akan buat jumlah simpanan makin membesar tanpa kita sedar.

Kenapa Wang KWSP Ini Penting?

  • Tabung hari tua – Inilah duit yang akan bantu kita bila dah tak bekerja nanti.
  • Pulangan konsisten – Setiap tahun ada dividen, dan biasanya lebih stabil berbanding simpan sendiri tanpa pelaburan.
  • Risiko lebih terkawal – Diurus oleh institusi besar dengan strategi pelaburan yang pelbagai.
  • Patuh syariah (untuk Akaun Shariah) – Bagi yang pentingkan aspek ini, boleh mencarum dengan lebih tenang.

Hakikatnya, potongan KWSP setiap bulan mungkin nampak kecil dan kadang-kadang rasa “rugi” sebab gaji berkurang. Tapi sebenarnya, itulah simpanan yang paling kita tak perasan sedang membesar.

Jangan Pandang Ringan Simpanan Sendiri

KWSP bukan sekadar potongan wajib. Ia adalah sistem perlindungan masa depan. Lagi lama kita bekerja dan mencarum, lagi besar hasilnya nanti.

Cuma satu perkara penting, JANGAN terlalu bergantung pada KWSP sahaja. Kalau ada lebihan, tambah simpanan sendiri atau buat pelaburan lain. KWSP adalah asas, bukan satu-satunya sumber.

Dividen 6.15% ini bukan sekadar angka. Ia tanda bahawa disiplin mencarum itu berbaloi.

Sudah semak i-Akaun anda hari ini? πŸ˜‰

Saya? masih menunggu giliran....


Sharhanah

Bahagian 3: Di Hadapan Kaabah, Hati Kecil Itu Mulai Tumbuh

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Rezekinya, saya membawa dia menjejak kaki ke bumi Harmain untuk menunaikan umrah ketika dia di Tingkatan Satu. Di tanah suci itu, di hadapan Kaabah dan dalam lautan doa manusia dari seluruh dunia, saya melihat wajahnya yang tenang seolah-olah sedang menyimpan sesuatu yang hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Mungkin di situlah Allah menitipkan sesuatu ke dalam hatinya. Sesuatu yang tidak terus berbunga, tetapi perlahan-lahan berakar. Sesuatu yang tidak nampak pada mata manusia, tetapi tumbuh diam-diam, menunggu waktu untuk menyerlah.

Sebaik sampai di Madinah.

Keputusan UASA Tingkatan 3 yang diterimanya baik. Tidaklah terlalu gemilang, tetapi cukup untuk membuka ruang pilihan.

Masuk Tingkatan 4, dia memilih aliran STEM B — satu keputusan yang memisahkan dia daripada hampir semua kawan rapatnya. Mereka memilih haluan lain. Dia pula memilih jalan yang sunyi dan sukar. Petang itu dia pulang ke rumah dengan wajah yang lain macam. Beg sekolah diletakkan perlahan. Suaranya tidak seceria biasa.

“Mama… tak bestlah kelas tu. Tak ada kawan. Add maths pula susah.”

Itu ayatnya, tetapi berat untuk hati seorang ibu mendengar.

Di sinilah sebenarnya cerita dia bermula.

Bila sunyi mula mengambil tempat dalam hidupnya, dia mula mengisi ruang itu dengan buku dan nota. Kesunyian yang dulu dikeluh, perlahan-lahan bertukar menjadi fokus. Dia mula serius belajar — bukan kerana dipaksa, tetapi kerana dia mahu membuktikan sesuatu kepada dirinya sendiri. 

Saya cuba bantu semampu yang boleh. Saya hantar dia ke tuisyen fizikal. Beberapa bulan kemudian dia mengaku, “Mama, tak fahamlah.” Hati saya sedikit risau, tapi kami cuba lagi. Saya tukarkan ke tuisyen online. Alhamdulillah, kali ini dia kata jelas. Saya nampak perubahan pada caranya mengurus masa, pada wajahnya yang lebih tenang setiap kali ulang kaji.

Sejak itu, nampak jelas dia mula bersungguh-sungguh belajar. Rajin pula ke kelas tambahan yang cikgu adakan di sekolah, ulang kaji sendiri di rumah. Ada kerja kursus yang perlu dihantar, dia buat dengan lebih teratur dan teliti.

"Mama… kawan-kawan tadi suruh Sofea ajar Matematik,” katanya perlahan, senyumnya sederhana tapi jelas teruja.

“Oklah, macam tu… dapat bantu kawan-kawan,” saya jawab sambil tersenyum.

Dalam hati, saya tahu — dia sudah mula ada kawan di kelas itu. Kelas yang dulu dia fikir sunyi, yang dia rasa tiada seorang pun kawan rapat… kini mula dipenuhi kehangatan persahabatan.

Langkahnya ke sekolah pun nampak lebih ringan. Wajahnya lebih ceria. Sunyi yang dulu mengganggu hatinya, kini diganti dengan senyuman yang datang sendiri daripada rakan-rakannya.

Sampai satu hari, saya hadir sesi bicara akademik di sekolah. Saya datang tanpa harapan besar. Saya sudah belajar untuk tidak meletakkan jangkaan terlalu tinggi. Bagi saya, cukuplah dia jadi anak yang baik. Itu sahaja doa saya setiap hari.

Namun di bilik itu, seorang demi seorang guru menyebut namanya. Mereka bercakap tentang potensinya. Tentang kesungguhannya. Tentang harapan yang mereka sandarkan kepadanya.

Saya agak terkejut. Takut juga. Kerana saya sudah tidak berani berharap terlalu tinggi. Saya cuma mampu berbisik dalam hati,

“Ya Allah… aku serahkan segalanya pada-Mu.”

Bersambung...

Bahagian 1: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Sharhanah

Bahagian 2: Perjalanan Biasa yang Penuh Pengajaran

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selepas detik kelahiran itu, perjalanan anak sulung saya, Sofea bermula perlahan. Dia mula sekolah prasekolah pada umur enam tahun — agak lewat berbanding adik-adiknya yang seawal empat tahun sudah menjejak kaki ke kelas. Permohonan pertama saya ke prasekolah gagal dan memohon sekali lagi tahun berikutnya. Alhamdulillah, kali ini dia berjaya ditempatkan di sekolah yang sama dengan adiknya, cuma kelas berbeza.

Dia lewat setahun, bukan kerana dia tidak mampu, tetapi kerana kami memilih untuk menunggu adiknya cukup umur supaya mereka dapat bersekolah bersama. Ia memudahkan urusan saya sebagai ibu. Namun tipulah jika saya kata saya tidak pernah rasa bersalah. Dia membesar di rumah pengasuh, tidak melalui tadika seperti adik nombor tiga dan empat — sedangkan yuran yang mahal itu tetap saya sanggup keluarkan untuk yang lain.

Kadang-kadang hati kecil berbisik, “Adilkah aku?” Saya cuba memujuk diri bahawa setiap anak punya jalan yang berbeza. Kasih sayang tidak pernah berkurang, cuma cara dan peluang yang hadir dalam hidup mereka tidak selalu sama.

Tapi Allah itu Maha Adil.
Tamat prasekolah
Dia memang minat belajar. Mungkin kerana memulakan sekolah agak lambat, setiap buku, setiap angka, setiap perkataan baru seolah-olah membuka dunia yang menakjubkan baginya. Mata yang bersinar, hati yang teruja. Belajar baginya bukan sekadar kewajipan, tetapi petualangan kecil yang setiap hari mahu dijelajahi.

Masuk Tahun 1 dan 2, dia di kelas A. Darjah 3 jatuh ke kelas B. Mungkin masa tu dia leka. Namun kadang-kadang, jatuh itu bukan hukuman — tapi wake-up call. Tahun berikutnya dia bangkit semula. Dia dilantik menjadi Pengawas Briged Siber sekolah. Bukan pelajar paling cemerlang yang setiap tahun naik pentas dan bukan juga atlet sekolah. Dia pelajar biasa. Jarang naik ke pentas.
Sofea Darjah 1
Kalau ada pun, anugerah kedatangan cemerlang. Ya,  dia sangat suka pergi sekolah! Pernah sekali tu, dia masuk persembahan, saya di bawah berdebar sebab tahu, bila dia bercakap… pasti ada gagapnya. Tapi dia tetap berdiri. Tetap cuba. Dari sinilah saya belajar satu perkara besar: keberanian kecil itu… jauh lebih hebat daripada kejayaan yang disorak ramai.

Sekolah rendahnya berlalu begitu sahaja. Dia memperoleh 2A dalam UPSR dimana peperiksaan besar itu dimansuhkan pada tahun berikutnya. UPKK 6A dan PSRA Jayyid Jidan (Sangat Baik). Sejak itu, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma mahu dia jadi anak yang baik. Dan saya tak tahu… itulah permulaan perubahan yang sebenar.

Kerana apabila tiba waktunya, anak yang pernah saya fikir “biasa-biasa” ini akan menunjukkan sesuatu yang tidak pernah saya jangka. Sesuatu yang akan membuat saya tersedar bahawa kadang-kadang, kita sebagai ibu terlalu cepat menilai. Dan kadang-kadang, anak yang diam, yang sederhana… sedang Allah siapkan untuk luar biasa.

Bersambung...


Sharhanah

Bahagian Pertama: Dari Koridor HKL ke Pentas Anugerah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya pernah diam-diam berhenti berharap pada anak sulung saya.

Bukan kerana dia nakal.

Bukan kerana dia gagal.

Tetapi kerana dia terlalu… terlalu biasa.

Kisah perjalanan anak sulung saya bermula di Hospital Bersalin Kuala Lumpur. Tahun 2007, pada tarikh yang kononnya “cantik”, rupanya penuh sesak dengan tangisan pertama para bayi yang berebut melihat dunia. Ibu-ibu berbaju pink bersilih ganti masuk ke labour room. Wad penuh. Katil tiada. Saya dan bayi kecil saya “menetap” hampir tiga jam di tepi koridor labour room menunggu katil di wad kosong. Di situ, saya kaku. Anak sulung. Saya langsung tak tahu cara menyusukannya dengan betul.  saya pandang wajah kecil itu lama-lama. Dalam hati berbisik, “Maafkan mama… mama belum pandai.”

Saya tidak tahu waktu itu, Allah sedang menulis kisahnya dengan cara yang tidak tergesa-gesa. 

Dia bukan anak yang selalu disebut-sebut namanya di sekolah rendah. Bukan yang aktif bersukan. Bukan yang petah bercakap di hadapan orang. Malah sering gagap ketika pembentangan. Dia bukan yang paling menyerlah. Dia cuma hadir. Diam. Sederhana.

Dia pernah jatuh kelas, permohonan ke sekolah impian gagal, ada waktunya ketika dia pulang dari sekolah menengah lalu berkata, “Tak bestlah sekolah. Tak ada kawan.” 

Dan ada waktunya… saya sebagai ibu belajar menelan rasa bersalah. Membandingkan. Mempersoalkan. Menyalahkan diri sendiri. Sampailah satu hari, saya berhenti meletakkan harapan yang tinggi. Saya cuma berdoa satu perkara:

“Ya Allah, jadikan dia anak yang solehah. Itu sudah cukup.”

Saya tak sangka, apabila saya lepaskan harapan besar itu dan Allah gantikan dengan sesuatu yang lebih indah.

Ini bukan kisah anak genius.

Ini bukan kisah kejayaan yang sempurna tanpa cacat.

Ini kisah anak yang membesar perlahan-lahan.

Dan ibu yang belajar erti sabar, tawakal dan reda — satu bab demi satu bab.

Bersambung...

Sofea, baby batch #07


Sharhanah

Belajar Melepaskan: Rahsia Rumah Lebih Tenang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang-kadang kita rasa rumah semak, kepala pun ikut serabut. Sebenarnya dalam Islam, rumah yang terlalu penuh barang memang tak selari dengan konsep kesederhanaan dan ketenangan jiwa.

Islam suka gaya sederhana iaitu tak berlebih-lebihan. Simpan barang sampai tak guna bertahun-tahun pun boleh jadi satu bentuk “israf”. Bukan membazir duit, tapi membazir ruang… dan tenaga emosi.

Rumah pula sepatutnya jadi tempat sakinah — tempat rehat, tenang, isi semula jiwa. Kalau barang sampai susah nak bergerak, nak solat pun rasa sempit, memang hilang fungsi asal rumah tu.

Kebersihan dalam Islam bukan sekadar tak ada kotoran. Rumah tak berselerak, tak bertimbun benda tak perlu — itu pun sebahagian daripada iman.

Bab rezeki pula, ada pandangan ulama sebut rumah terlalu padat boleh ganggu cahaya, udara dan juga emosi. Kadang-kadang bukan rezeki tak cukup… tapi hati yang takut melepaskan.

Sedangkan Islam ajar kita yakin. Apa yang disedekahkan tak pernah mengurangkan rezeki. Barang elok yang kita lepaskan boleh jadi pahala berjalan.

Kadang-kadang yang berat tu bukan barang. Tapi rasa “sayang”, rasa “nanti kalau perlu”, rasa takut tak cukup. Padahal bila rumah lapang, hati pun rasa ringan.

Kalau sekarang rasa semak kepala, mungkin bukan rumah saja yang perlukan ruang — jiwa pun sama.

Gambar sekadar hiasan

Sharhanah

Disiplin Hidup Bermula Dari Satu Perkara Yang Kita Buat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Kita selalu cakap tentang disiplin — bangun awal, kerja tepat masa, konsisten buat tugas. Tapi tanpa sedar, setiap hari kita sudah ada sistem disiplin yang tersusun: waktu solat. Lima kali sehari, setiap hari.

Waktu solat membahagikan hari kita. Subuh mula hari, Zohor hentikan sibuk, Asar ingatkan tenaga menurun, Maghrib pisahkan siang dan malam, Isyak tutup hari. Ia jadi “checkpoint” yang susun hidup kita supaya lebih teratur.

Solat ajar kita buat walaupun tak ada mood. Masuk waktu, kita bangun dan tunaikan. Itulah disiplin — bukan ikut rasa, tapi ikut tanggungjawab.

Waktu tak pernah tunggu. Masuk, berjalan, tamat. Begitu juga hidup. Solat latih kita hargai masa dan jangan tangguh perkara penting.

Di tengah sibuk, kita berhenti. Ambil wuduk. Berdiri. Tenang. Berhenti bukan lemah — ia reset supaya kita tak hilang arah.

Akhirnya, setiap kali masuk waktu, kita pilih: teruskan urusan atau dahulukan yang utama. Bila kita utamakan solat, kita sedang latih diri memimpin hidup, bukan dipimpin oleh dunia.

Soalnya bukan sekadar “cukup tak solat hari ini?”
Tetapi, “adakah solat membentuk cara aku hidup setiap hari?”

Sharhanah

Bukan Sekadar Tahan Lapar: Puasa Sedang Membentuk Siapa Diri Kita

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Setiap tahun kita puasa. Menahan lapar, dahaga, dan kawal diri sendiri dari terbit hingga terbenamnya matahari. Tapi percayalah, puasa bukan sekadar soal perut; ia latihan kekuatan jiwa.

1. Kita Tidak Selemah Yang Kita Sangka

Sebelum Subuh, kita fikir: “Macam mana nak tahan sampai Maghrib?” Tapi kita tetap survive. Puasa ajar kita: banyak had yang kita fikir wujud cuma mental block.

2. Tidak Semua Keinginan Perlu Ditunaikan

Makanan depan mata, air dekat sangat — tapi kita pilih tak ambil. Puasa ajar kita kawal nafsu dan fokus pada yang lebih penting. Orang yang berjaya dalam hidup selalunya bukan yang paling berbakat, tetapi yang paling mampu mengawal diri.



3. Sabar Itu Aktif, Bukan Pasif

Sabar bukan tunggu je. Sabar aktif — jaga lidah, kawal emosi, tahan marah. Hidup pun sama, kita tak boleh kawal semua benda, tapi kita boleh kawal respon kita.

4. Kita Lebih Bersyukur Bila Pernah Kekurangan

Air kosong pun terasa nikmat bila berbuka. Kenapa?

Kerana kita merasai ketiadaan sebelum mendapatnya. Puasa mengajar nilai syukur melalui rasa kehilangan sementara.

Dalam hidup, kita selalu menghargai sesuatu selepas ia hilang. Puasa melatih kita menghargai sebelum kehilangan itu menjadi kekal.

Kesihatan.

Masa bersama keluarga.

Rezeki.

Ketenangan.

Semua itu lebih terasa nilainya ketika kita pernah “dikurangkan”.

5. Hidup Ini Bukan Tentang Diri Kita Sahaja

Apabila lapar, kita lebih mudah memahami orang yang hidup dalam kekurangan.

Puasa membina empati. Ia membuat kita lebih peka terhadap:

  • Orang miskin
  • Orang yang diuji
  • Orang yang bergelut secara diam-diam

Puasa bukan sekadar hubungan dengan Tuhan. Ia juga membentuk hubungan dengan manusia. Hati yang pernah merasa susah, lebih mudah menjadi lembut. Dan dunia hari ini lebih perlukan hati yang lembut, daripada suara yang keras.

6. Disiplin Rohani Membina Kekuatan Dalaman

Puasa ada waktu mula dan habisnya. Ada peraturan, ada batas, ada garis yang tak boleh dilanggar.

Disiplin ini sebenarnya latihan integriti. Kita buat yang betul walau tiada siapa tengok. Bayangkan, tiada siapa tahu kalau kita minum seteguk air secara sembunyi — tapi kita tetap tahan.

Kenapa? Sebab kita sedar Allah sedang melihat.

Orang yang hidup dengan kesedaran macam ni, tak perlukan pengawasan orang lain. Integriti bukan soal siapa nampak kita; integriti adalah siapa kita bila tiada siapa melihat.

Dan puasa… ia melatih jiwa kita untuk jadi begitu.

Soalan penting: Apa yang berubah dalam diri kita selepas sebulan berpuasa? Kalau kita lebih sabar, lebih bersyukur, lebih empati — puasa benar-benar mengajar sesuatu.

Lapar sementara. Tapi karakter yang terbina, boleh kekal seumur hidup.

Sharhanah

Susah-Susah Dahulu: Rahsia Masak Cepat Setiap Hari

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sekarang ini, saya agak sibuk di dapur menyediakan pelbagai pes asas untuk memudahkan kerja memasak sepanjang bulan puasa. Memang bukan kerja lima minit tau — mengupas bawang, mengisar cili, menyangai rempah… memang ada sesi air mata dan pedih mata yang tak dapat dielakkan. Dapur pun penuh aroma bawang dan rempah! Tapi saya tahu, semua ini sangat berbaloi.

Pes halia dalam bentuk kiub

Pes lengkuas dah lama simpan

Antara pes yang saya sediakan ialah pes sambal, pes tomyam, pes kari, pes sambal hijau, pes masak lemak dan juga pes ikan bakar. Bila semuanya sudah siap dimasak dan cukup rasa, saya biarkan sejuk sebelum dibahagikan ke dalam bekas ketul ais — siap portion sekali masak lagi. Kemudian terus simpan dalam peti sejuk beku. Bila dah beku keras, saya keluarkan dan simpan pula dalam bekas kedap udara. Masuk balik ke dalam peti sejuk beku. Boleh tahan sehingga tiga bulan!

Seronok tengok deretan pes yang tersusun rapi — rasa macam ada “stok rahsia” di dapur sendiri. Bila nak memasak, tak perlu lagi kisar itu ini. Hanya keluarkan beberapa ketul, campak ke dalam kuali, dan masakan pun siap dengan lebih cepat.

Memang betul kata orang, susah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Kini kerja memasak jadi lebih pantas, teratur dan menjimatkan masa.

Sharhanah

Kali Kedua ke Fraser’s Hill - Februari 2026

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang


Ini merupakan kali kedua saya menjejakkan kaki ke Fraser’s Hill. Walaupun sebelum ini saya hampir bersumpah tidak akan kembali akibat perjalanan yang berliku dan mencabar, akhirnya saya akur, ada tarikan yang terlalu kuat untuk ditolak.


Keindahan alam, ketenangan yang mendamaikan jiwa serta suasana sejuk yang menenangkan hati menjadikan destinasi ini bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi panggilan untuk kembali sekali lagi.

Ya, hari biasa. Jaraknya lebih kurang 120km dari rumah. Taklah dekat, tapi cukup untuk rasa macam pergi “healing trip” singkat.

Bezanya kali ini, saya dan suami hanya membawa anak nombor dua — yang kini sedang menunggu penuh debar keputusan SPM 2025. Inilah kali pertama dia menjejakkan kaki ke sini. Dulu, saya pernah datang bersama tiga orang anak, tetapi ketika itu dia tidak dapat ikut kerana tinggal di asrama. Jadi trip kali ini memang khas untuk dia seorang. Yang lain semua di sekolah, jadi terasa lebih eksklusif — macam “mini getaway” khas buat anak yang sedang menanti fasa baru dalam hidupnya.

Kami bertolak seawal 8 pagi, melalui jalan lama Ulu Yam menuju ke Kuala Kubu Bharu. Tapau bihun goreng di gerai makan dan berkelah di Empangan Sungai Selangor. 

Cuaca pagi itu memang cantik, cerah dan nyaman. Angin tasik menyapa lembut, rasa tenang sebelum memulakan perjalanan yang berliku.

Masuk saja jalan mendaki, selekoh demi selekoh buat jantung berdebar. Walaupun tak setakut dulu, tetap juga kecut perut bila fikir kalau ada kereta tiba-tiba muncul di depan. Jalan sempit dan berliku, memang kena fokus betul-betul. Dalam hati tak putus berdoa semoga perjalanan kami selamat sampai ke destinasi.

Semakin tinggi kami mendaki, suhu makin dingin. Telinga pula terasa berdesing sedikit sebab tekanan. Terus saya tutup aircond dan buka tingkap sikit — nikmatnya hirup udara sejuk semula jadi!

Kami tiba di Bukir Fraser sekitar jam 12 tengah hari. Perkara pertama? Lari ke tandas awam dulu! πŸ˜„ Lepas tu barulah santai berjalan kaki sekitar pekan Fraser’s Hill. Kami singgah di Menara Jam yang ikonik tu. Di kawasan tu ada balai polis, pejabat pos, klinik kesihatan, kedai runcit, hotel dan restoran. 

Uniknya, di sinilah terletaknya sempadan antara Selangor dan Pahang. Kedai Makan Kheng Yuen Lee berada di bahagian Selangor — tapi percayalah, selangkah saja melangkah ke depan, dah rasmi masuk negeri Pahang! Rasa macam boleh “travel dua negeri dalam satu minit”.

Kami memilih Restoran Cattelya di Puncak Inn (bahagian Pahang) untuk makan tengahari. Ruang makan kemas, bersih dan pemandangan luar memang lawa. Saya order sup cendawan bersama roti bakar, set nasi paprik ikan, Nescafe dan teh O ais 2 gelas. Paprik tu memang sedap! Cuma sup cendawan kurang kena dengan selera saya. Total RM37.50.

Lepas makan, kami nekad kali ini tak mahu jadi “pelancong sekitar menara jam” sahaja. Dulu datang, situ jugalah tempat lepaknya. Rupa-rupanya banyak lagi sudut menarik yang kami tak sempat terokai.

Kami parking kereta di Taman Awam Bukit Fraser — kawasan yang lebih santai dengan food court dan taman permainan. Dari situ, kami berjalan ke view point. Subhanallah… suasana tenang dengan pemandangan hijau terbentang luas. Memang rasa nak duduk lama-lama, tapi biasalah… masa selalu mencemburui. Banyak lagi tempat menunggu untuk diteroka, jadi kami simpan rasa tenang itu dalam hati dan teruskan perjalanan.

Taman Eko Rimba Jeriau 

Destinasi seterusnya — Air Terjun Jeriau. Dalam 4km juga nak sampai. Jalannya dua hala, sempit dan berliku. Ada rasa macam nak patah balik… menyesal pun ada. Hahaha... tapi kami teruskan juga. Sampai sekitar jam 2 petang.

Kami park kereta dan mula berjalan masuk ke kawasan tersebut. Kebetulan ada empat orang sedang rancak berbual di situ. Tak sangka pula, rupa-rupanya suami kenal salah seorang daripada mereka. Memang betul orang kata, dunia ini kecil saja!

Sempatlah mereka bertanya khabar sekejap sebelum memberi sedikit panduan. Kata mereka, kalau nak sampai ke air terjun, kena terus berjalan sampai habis laluan. Jadi tanpa berlengah, kami pun teruskan langkah dengan rasa teruja untuk melihat sendiri keindahan yang menanti di hujung jalan.

Persekitarannya cantik, bersih dan terjaga. Air sungai mengalir jernih, bunyinya menenangkan. Kami menuruni anak-anak tangga… eh, kenapa air terjun di bawah? Selalunya bukan di atas ke? Rupanya air terjun di sini berketinggian antara 10 hingga 30 meter, dengan sungai dan kolam yang jernih.

Kawasan ini dikelilingi Hutan Dipterokarp — ekosistem hutan hujan tropika yang terkenal dengan pokok tinggi seperti Meranti, Keruing dan Kapur. Memang rasa macam berada dalam dokumentari alam semula jadi.

Antara tarikan di sini:

* Sungai jernih

* Air terjun

* Tapak perkhemahan & berkelah

* Memerhati burung

* Flora hutan

Kemudahan pun lengkap — ada pondok rehat, tandas, surau dan parkir.

Saya sempat cuci muka dengan air sungai. MasyaAllah… sejuk sampai terasa ke tulang, tapi segar!

Masa nak naik semula anak tangga… haaa, baru tahu langit tinggi rendah. Jenuh juga! Anak yang muda pun mengah. Kalau ada baju salin dan masa lebih, memang saya dah mandi sungai. Tambah pula tak ramai orang — masa itu cuma ada sepasang pelancong warga emas dari Barat.

Singgah The Paddock


Sebelum pulang, kami singgah di The Paddock. Kawasannya cantik, dihiasi pokok-pokok conifer yang buat rasa macam di luar negara. Anak saya naik kuda — RM10 untuk satu pusingan. Jadilah, sekadar lepaskan rindu. Kali terakhir dia naik kuda masa umur 3 tahun!

Petang itu kami pulang ikut jalan yang sama. Sempat juga saya berangan nak ikut jalan Raub… tapi tengok jarak, terus fikir dua kali. Kecualilah kalau nak sambung ke Cameron Highlands, kan?

Walaupun penat, perjalanan kali ini penuh rasa syukur. Kadang-kadang bukan tempat itu yang paling penting, tapi siapa yang ada bersama kita sepanjang perjalanan. Untunglah, dia jadi anak tunggal beberapa jam!❤️

Sharhanah

Akhlak Seorang Mukmin

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Kita rasa agama itu berat. Banyak hukum, banyak perintah. Tetapi dalam ayat ini, Allah ringkaskan agama dalam perkara yang sangat dekat dengan hidup kita.

Allah mulakan dengan tauhid. Seolah-olah Allah berkata:

"Betulkan hubungan dengan-Ku dahulu."

Kemudian Allah sebut ibu bapa.
Kenapa selepas tauhid terus ibu bapa?
Kerana syurga itu dekat dengan redha mereka.
Sudahkah kita benar-benar berlembut dengan ibu dan ayah?
Atau suara kita lebih tinggi daripada doa mereka?

Allah sebut anak yatim dan orang miskin.
Ini ujian hati — adakah kita hanya peduli diri sendiri, atau kita peka pada kesusahan orang lain?

Dan Allah pesan:
“Katakanlah yang baik kepada manusia.”

Bukan kepada orang yang baik dengan kita sahaja.
Bukan kepada orang yang sefahaman sahaja.
Tetapi kepada manusia.

Kadang kita jaga solat, tapi lidah melukakan.
Kadang kita tunaikan zakat, tapi hati masih keras.

Ayat ini seperti cermin. Ia bertanya perlahan kepada jiwa kita:

* Adakah aku benar-benar mentauhidkan Allah?
* Adakah aku sudah berbakti kepada ibu bapaku?
* Adakah tutur kataku membawa rahmat atau luka?

Islam itu bukan sekadar ritual. Ia adalah kasih sayang yang hidup dalam setiap tindakan.

Semoga Allah lembutkan hati kita, jernihkan niat kita, dan jadikan kita hamba yang menunaikan janji kepada-Nya.

Sharhanah

Ke Tempat Yang Tidak Dirancang

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari itu bermula tanpa sebarang pelan besar. Kebetulan saya off day, dan entah dari mana datangnya keinginan spontan untuk menikmati sarapan pagi di luar bersama suami — sekadar mahu memenuhi ruang waktu, tanpa tergesa-gesa.

Hidangan saya bersama air suam

Pinggan suami

Hidangan terhidang sederhana tetapi sarat dengan rasa: nasi putih, rebung masak lemak, terung dan bendi masak cili, serta kari kambing. Makanan kampung yang tidak cuba memikat mata, namun cukup kuat membuatkan hati terasa pulang — tenang, akrab, dan jujur. Total RM15.

Selesai makan, kami saling berpandangan.

Tiada destinasi disebut, tiada jadual dirujuk.

Namun tanpa dirancang, stereng diputar dan kereta mula meluncur perlahan ke arah Kuala Klawang, kira-kira 58 kilometer dari tempat kami bermula.

Jalan Yang Bercerita

Perjalanan ke sana tidak pernah lurus. Jalan yang bengkang-bengkok dan berliku mengajak kami bergerak perlahan, dengan bukit-bukau di sebelah kiri berdiri setia, seolah-olah menjadi saksi bisu setiap detik perjalanan.

Kenderaan yang berselisih atau mengekori dari belakang amat sedikit, menjadikan jalan ini terasa lebih sunyi seperti dikhaskan hanya untuk kami sambil alam yang menemani.

Ada yang mencuri perhatian saya ialah burung-burung layang-layang yang terbang rendah, bermain-main di atas jalan raya seolah-olah  tahu tiada bahaya hari itu.

Suasana sepanjang perjalanan terasa redup dan sejuk, dilindungi pohon-pohon hutan dan dihiasi pokok-pokok paku pakis yang tumbuh subur di tepi laluan melengkapkan kehijauan yang mendamaikan mata dan jiwa.

Kampung Esok, esok la kita pergi

Berhenti, Bukan Untuk Bergegas

Sekitar jam 11 pagi, kami tiba di pekan Kuala Klawang.

Berhampiran Masjid Jamek Kuala Klawang, ada sebuah bukit kecil bernama Bukit Tajali. Terus terang, saya tidak tahu apa istimewanya tempat ini. Malas juga hendak mencari jawapan di Google — lagipun saya ke sini bukan kerana kerja, bukan juga untuk memburu harta karun.

Saya datang tanpa misi.

Jadi saya pilih cara paling jujur: panjat dahulu. Biar kaki yang letih ini mengenalinya dulu. Nanti, bila sampai ke atas, mungkin tempat ini sendiri akan memperkenalkan dirinya — tanpa perlu soalan, tanpa perlu jawapan segera.

Bukit Tajali (dahulu dikenali sebagai Bukit Undang

Terik matahari mula terasa dan anak-anak tangga Jelebu History Trail mula menguji kudrat — penatnya terasa lebih cepat, mungkin kerana usia yang tidak lagi muda.


Namun di puncak, angin bertiup kuat. Bukan angin yang mengganggu, tetapi angin yang menenangkan menghapuskan lelah yang tertinggal di tangga tadi.

Dari atas sana, pekan Kuala Klawang kelihatan kecil, sunyi dan damai, mengajar kami bahawa hidup ini tidak selalu perlu dikejar.

Pemandangan pekan Kuala Klawang dari Bukit Tajali

Ok... rupanya, di atas bukit ini, tersimpan dua tinggalan sejarah yang diam tetapi sarat makna.

Yang pertama ialah Batu Peringatan Inggeris, diasaskan secara bergotong-royong pada Jun 1897 sebagai lambang kesetiaan penduduk Jelebu terhadap pemerintahan Ratu Great Britain pada ketika itu. Batu ini bukan sekadar penanda masa, tetapi cerminan sebuah era dan perpaduan masyarakat pelbagai latar yang pernah bersatu.

Yang kedua ialah tangki air lama, dibina pada tahun 1928, yang suatu ketika dahulu menjadi sumber bekalan air penting untuk penduduk sekitar. Ia berdiri sebagai saksi bisu keperluan asas kehidupan — air, yang menyatukan manusia tanpa mengira zaman.

Di puncak bukit ini, sejarah dan alam seakan berjalan seiring, mengingatkan kita bahawa setiap tempat punya ceritanya sendiri, jika kita sudi berhenti dan mendengar.

Kolam tadahan atau tangki air lama ini pernah menjadi nadi kehidupan penduduk setempat. 


Pulang Dengan Rasa Yang Berbeza

Kami pulang melalui jalan yang sama. Laluan tidak berubah, walaupun pada awalnya ada juga terlintas untuk pulang melalui Lebuhraya LEKAS. Namun jalan itu sudah terlalu biasa.

Anehnya, meskipun laluan tetap sama, rasa di dalam diri entah mengapa berbeza. Perjalanan pulang terasa lebih singkat, seolah-olah masa bergerak lebih pantas apabila hati sudah terisi.

Kami selamat sampai di rumah hampir waktu Zohor.

Pengajaran Dari Perjalanan Pendek

Perjalanan ini tidak dirancang. Tiada senarai tempat, tiada gambar sempurna yang dikejar.

Namun, ia mengajar sesuatu yang sederhana tetapi bermakna. Kadang-kadang, yang kita perlukan bukan percutian jauh, tetapi keberanian untuk berhenti sekejap dan menikmati apa yang ada.

Hari cuti itu mungkin tidak memberi cerita luar biasa, tetapi ia menghadiahkan ketenangan yang jarang singgah bersama suami tersayang.

Dan mungkin, itu sudah lebih daripada cukup.

Sharhanah

Di Jalan Ini, Saya Belajar Tentang Sabar

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dah nak maghrib


Gambar ini saya ambil ketika perjalanan pulang. Tiada destinasi istimewa, tiada percutian besar. Hanya jalan biasa, deretan kereta, dan langit senja yang perlahan-lahan menutup hari.

Waktu itu, kereta bergerak perlahan. Tidak boleh laju, tidak boleh memotong sesuka hati. Pada awalnya ada rasa tidak sabar. Tetapi bila pandangan terangkat ke langit, saya sedar sesuatu — hari pun tahu bila masanya untuk perlahan dan berhenti.

Langit tidak tergesa-gesa menjadi gelap. Ia beransur-ansur. Seolah-olah mengajar bahawa penamat yang baik tidak perlu terburu-buru.

Di jalan ini, saya belajar bahawa:

Tidak semua perjalanan perlu cepat

Tidak semua kelewatan adalah kerugian

Ada masa, Allah memperlahankan langkah kita untuk melindungi, bukan menghalang

Mungkin dalam hidup juga begitu. Kita rasa tertinggal kerana orang lain nampak lebih laju. Sedangkan Allah sedang menyusun perjalanan kita dengan tempo yang paling selamat.

Bila kali terakhir kita benarkan diri untuk tenang walaupun belum sampai?

Senja ini mengingatkan saya: Yang penting bukan siapa paling cepat, tetapi siapa yang sampai dengan hati yang selamat.

Sharhanah

Nisfu Syaaban: Mengingatkan Diri Sendiri

Nisfu Syaaban datang setiap tahun, tetapi sering berlalu tanpa benar-benar kita sedari. Sedangkan inilah bulan yang sering dilalaikan, bulan di mana amalan diangkat, dan bulan yang sepatutnya mempersiapkan hati sebelum Ramadan menjelma.

Saya cuba mengingatkan diri sendiri — mungkin belum banyak yang mampu dibuat, tetapi masih ada ruang untuk berdoa, memohon keampunan, dan memperbaiki hubungan sesama manusia. Bukan kerana kita sempurna, tetapi kerana kita sangat memerlukan rahmat-Nya.

Moga baki Syaaban ini menjadi masa untuk memperlahankan langkah, membersihkan hati, dan bersedia menyambut Ramadan dengan jiwa yang lebih tenang dan jujur.

Sharhanah

Kelebihan Nota KAFA Interaktif untuk Murid Sekolah Rendah

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Nota KAFA ini bukan sekadar buku atau nota PDF biasa. Ia dilengkapi dengan modul interaktif yang merangkumi semua aspek pembelajaran KAFA dari Tahun Satu hingga Tahun Lima. Pendekatan ini membantu murid memahami pelajaran dengan lebih tersusun, mudah dan berkesan.

Selain itu, modul interaktif yang disediakan membolehkan murid belajar secara kendiri dengan lebih menyeronokkan. Setiap topik disusun mengikut tahap umur dan kefahaman murid, menjadikan proses pembelajaran lebih sistematik dan tidak membebankan.

Antara kelebihan Nota KAFA ini:

  • Merangkumi silibus KAFA lengkap dari Tahun 1 hingga Tahun 5
  • Bukan sekadar nota bertulis, tetapi modul interaktif
  • Membantu murid memahami pelajaran dengan lebih cepat
  • Sesuai digunakan di sekolah atau di rumah
  • Menyokong pembelajaran kendiri dan berperingkat

Nota KAFA interaktif ini sesuai untuk ibu bapa dan guru yang mahukan bahan pembelajaran yang lengkap, praktikal dan mudah digunakan sebagai sokongan pembelajaran harian murid.

πŸ‘‰ Klik di sini untuk akses Nota KAFA

Sharhanah