Dengan nama ALLAH Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Sejujurnya, perjalanan umrah ini bukanlah sesuatu yang saya rancang dari awal. Semuanya bermula dengan rezeki yang Allah aturkan, selepas saya berjaya menyelesaikan hutang kereta dua tahun lebih awal daripada tempoh sepatutnya. Duit yang biasanya digunakan untuk membayar ansuran bulanan kereta itulah yang saya disiplinkan diri untuk simpan ke dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Tak sangka, berkat simpanan sedikit demi sedikit itu akhirnya menjadi bekal yang cukup untuk saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Lebih istimewa dan membuatkan hati ini sarat dengan rasa syukur, Allah izinkan saya membawa anak sulung bersama-sama untuk memulakan kembara jiwa ini.
Fasa persiapan kami sebenarnya hanya mengambil masa sekitar tiga bulan sahaja. Alhamdulillah, aturan Allah itu maha luas; urusan membuat pasport di UTC, suntikan vaksin, sehinggalah menghadiri kursus umrah di masjid semuanya dipermudahkan tanpa sebarang kesulitan. Malah, buku panduan ringkas ibadah umrah sentiasa menjadi teman rapat untuk kami mengulangkaji ilmu sebelum tiba di sana.
 |
| Selamat tinggal rumah! |
Hari yang dinantikan akhirnya tiba. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Madinah menaiki Saudia Airlines mengambil masa lebih kurang 9 jam. Ini merupakan pengalaman penerbangan paling lama buat kami berdua. Sepanjang berada di atas awan, layanan yang diterima tersangatlah baik. Rasanya hampir 5 kali kami dihidangkan dengan makanan. Perut langsung tak sempat nak merasa lapar!
 |
| Menu paling sedap |
Lebih kurang jam 6 petang waktu tempatan, saujana Madinah menyambut ketibaan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz. Saat kaki mula melangkah keluar dari pintu lapangan terbang, deruan angin sejuk yang menusuk hingga ke tulang seolah-olah mengucapkan selamat datang, menyelubungi seluruh jasad dengan rasa syahdu dan tenang. Hati terus terusik mengenangkan kota suci inilah yang menyimpan begitu banyak sirah dan kisah perjuangan kekasih Allah, Rasulullah SAW.
 |
Hari pertama sebaik sahaja tiba di Madinah
|
Saat itu, perasaan di dalam dada benar-benar gagal diluahkan dengan kata-kata. Sukar. Antara rasa syukur yang tidak terhingga, keterujaan yang meluap-luap, dan sebak yang menitiskan air mata... semuanya bercampur menjadi satu. Hati seakan terpaku memikirkan bagaimana sebuah perjalanan yang pada awalnya tidak pernah dirancang ini, akhirnya bertukar menjadi satu kenyataan yang sangat indah pada pagi Subuh pertama kami di Masjid Nabawi.
Sebaik sahaja selesai menunaikan solat Subuh berjemaah dan kami melangkah pulang ke hotel untuk bersarapan, saya berpaling memandang anak di sebelah, dia tiba-tiba memeluk saya erat sambil berbisik:
"Mama, bestnyaaaa... macam tak nak balik Malaysia."
Mendengarkan luahan spontan daripada bibir kecilnya itu, hati saya disengat satu rasa yang sangat indah. Terbukti, ketenangan kota suci ini bukan sahaja menyapa jiwa orang dewasa, malah turut mendamaikan sekeping hati anak kecil saya.
 |
Pagi di Masjid Nabawi
|
Di sinilah bermulanya titisan kisah kami sebagai tetamu Allah. Kembara jiwa yang bukan sekadar memindahkan jasad ke bumi barakah, tetapi sebuah penyerahan hati demi memburu ketenangan hakiki dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Bersambung…
Ikut terharu dan rindu bacanyaaaa❤️❤️❤️. Tanah suci ini memang selalu buat kita nak balik kan kak.... Sayapun ingin sekali mengadu depan Kakbah saat ini tentang banyak hal .
BalasPadamKakak ke Madinah dulu baru Mekkah yaa. Dulu saya Mekkah dulu baru Madinah. Ditunggu cerita selanjutnya 🤗
Saat menaip entry ni pun rindu membuak-buak, lagi2 bila tengok kembali album umrah ni. Rasa macam baru semalam je kaki melangkah ke Tanah Suci, padahal dah 6 tahun berlalu.
PadamYa, saya masuk Madinah dulu.
Alhamdulillah, bila Allah dah jemput pasti dipermudahkan urusan ke sana.
BalasPadamAlhamdulillah
PadamSemoga saya pun dijemput ke suatu hari nanti .
BalasPadamAamiin.
PadamInsha Allah, semoga kita semua bisa menjadi tetamu di rumah Allah satu masa yg pasti
BalasPadamInsha-Allah
Padam