Keyakinan Di Atas Sifat Takut Dan Malu?


Sebenarnya saya seorang yang penakut dan pemalu. Takut untuk beri pendapat, takut untuk meluahkan dan malu untuk menonjol. Disebabkan sifat ini, saya sering disisihkan dalam pelbagai hal.

Masa sekolah rendah, cikgu panggil saya untuk lantik menjadi Penolong Ketua Darjah. Saya diam keras membatu tiada reaksi. Hahaha. Terus cikgu lantik Mas Ayu, budak cantik bertahi lalat dan berambut kerinting jadi penolong ketua darjah.

Disebabkan pemalu sangat, saya tidak terpilih untuk masuk persembahan boria di sekolah. Apatah lagi nak masuk pertandingan bercerita pada Hari Kanak-Kanak. Saya hanya terpilih mewakili sekolah apabila cikgu menyedari saya tinggi, ada bakat melukis dan mewarna.

Disebabkan saya tinggi dan lemah lembut, cikgu jadikan saya pemain bola jaring sebagai GS. Duduk je dalam kawasan D dengan tugas menjaringkan gol. Daya tumpuan kena tinggi. Paling best, bila bola masuk ke dalam jaring, semua orang akan tepuk tangan. Malu!

Alhamdulillah, sifat saya ni tak terkesan dalam pembelajaran. Walaupun malu, saya tersenarai juga dalam top 10 pelajar cemerlang. Cikgu kata saya ni berat mulut. Pernah juga kena cubit dekat perut dengan cikgu sebab cikgu tanya saya tak jawab. Sakit yakmattt. Rasa nak lari balik rumah, tapi saya takut kena marah.

Bila sekolah menengah, sifat itu masih menebal. Saya sangat pendiam dan lembik. Insiden kena langgar bahu dengan pelajar perempuan kelas sebelah membuka mata saya. Dia langsung tak pandang, nak mintak maaf jauh sekali. Mungkin, orang lemah selalu orang tak nampak. Saya semakin rendah diri. Berlapis-lapis. 

Cikgu sering memuji disebabkan saya mempunyai tulisan yang cantik, pandai melukis dan karangan saya selalu dijadikan contoh untuk pelajar-pelajar yang lain. Saya lebih yakin akan diri sendiri.  Dan ada pula yang iri hati. Sudahhhh.

Tingkatan 4 saya cabar diri untuk tukar sekolah dalam daerah yang sama. Daripada aliran perdagangan ke aliran teknikal. Saya tinggalkan "best friend" aka jiran baik saya di sekolah itu. Kami dah berjanji daripada sekolah rendah nak sekolah menengah sama-sama. Sekali, dia cabar saya untuk bertukar sekolah, saya apalagi... pantang kena cabar. Terus tukar.

Saya pegang ayat ini waktu berkira-kira nak tukar sekolah..."Kejayaan memerlukan perubahan"..Ya, saya perlu hijrah. Akhirnya, saya ke bilik Pengetua. Ambil borang pertukaran.

Di sekolah baharu, saya masuk Kadet Polis, Kelab Tenis dan Persatuan Bahasa Melayu. Aktiviti kokurikulum  tu semua membina peribadi saya lebih baik. Alhamdulillah, Form 5 saya dapat pangkat 1 dengan 17 agregat.. Takdelah cemerlang macam budak 7 agregat tu kan..majoriti kawan-kawan yang tukar sekolah ke aliran Sains semua dapat pangkat 1. Kami berani berhijrah. 

Sifat takut ini saya menjadikan saya lebih yakin dalam alam remaja. Nak tahu kisah saya di alam universiti??? Tunggu sambungan next entry. Jemu juga baca panjang-panjang kan.

Sharhanah

3 comments: